Ucapan Dr Lo’ Lo’ (PAS Titiwangsa) membahaskan Bajet 2009

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan bajet kita pada hari ini. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera. Pertamanya saya ingin bercakap mengenai satu perkara, isu yang saya kira sangat penting iaitu tentang penjaja jualan dan juga peniaga kecil, bukan pasal rokok ya!

Di kawasan Titiwangsa seperti juga saya percaya di bandar-bandar lain di serata Malaysia, isu penjaja-penjaja kecil adalah satu isu yang begitu kronik. Baru-baru ini di satu kawasan di Blok E Desa Pandan, peniaga-peniaga, penjaja-penjaja di situ telah di saman oleh DBKL untuk ke sekian kalinya.

Mereka ini telah dikumpulkan oleh kakitangan DBKL Cawangan Titiwangsa sendiri dalam satu kawasan yang memang bukan untuk penjaja tetapi dikumpulkan untuk memastikan mereka ini tidak berselerak dan mudah dipantau. Malangnya sehingga sekarang mereka tidak diberi lesen dan tidak ada kemudahan seperti bekalan air bersih dan juga bumbung.

Akhirnya ia seperti ayam dengan telur. Maknanya mereka akan di saman tetapi mereka terpaksa terus untuk berniaga di situ, untuk mencari rezeki dan…

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh minta penjelasan?
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Kemudian mereka akan di saman terus….. Saya minta maaflah, tidak ada masa banyak yang saya hendak cakap.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Saya hendak berkongsi. Ini bagus ni!

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Nanti dulu. Saya kira perkara-perkara seperti ini perlulah diberi perhatian oleh pihak berwajib. Kalau di Kuala Lumpur oleh DBKL. Saya lihat tidak ada suatu usaha pelan yang berstrategik untuk menangani masalah penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga kecil di Kuala Lumpur…

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Sikit sahaja, Yang Berhormat, boleh?
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Nantilah, tengah ada point ni!
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Ampun.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Jadi.. Ha, dah kacau ini saya pun sudah terlupa. Ini menyebabkan peniaga-peniaga kecil yang berselerak sering kali menjadi mangsa kepada penguatkuasaan. Saya bukanlah mahu bersekongkol dengan mereka yang mungkin melanggar undang-undang dan sebagainya, tetapi kita perlu melakukan sesuatu.

Mereka ini hendaklah diurus dan ditangani dengan sebaik-baiknya. Malah dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 juga tidak ada satu pun di situ point ataupun klausa ataupun bahagian yang benar-benar
menunjukkan keprihatinan ataupun usaha-usaha kerajaan untuk memastikan peniaga-peniaga kecil dan peniaga-peniaga ini dibela. Apa yang berlaku baru-baru ini, seorang Ahli Parlimen yang pertama…

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Bolehkah, Yang Berhormat?
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Satu, setengah minit sahaja.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih. Tidak sampai setengah minit. Saya sehaluan dengan Yang Berhormat sebab dasar kerajaan menggalakkan peniagapeniaga kecil untuk berniaga dengan hasrat dan tujuan iaitu memberi kesempatan dan membantu mempertahankan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menghadapi ekonomi global tetapi tindakan penguatkuasaan nampak tidak sehaluan.

Jadi, apakah Yang Berhormat bersetuju bahawa penguatkuasaan ini kena membuka minda mereka daripada otak yang cetek kepada yang lebih lebar supaya hasrat itu dapat diketengahkan selaras dengan tuntutan rakyat dan kerajaan?

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Yang Berhormat. Ucapan yang sebelum itu bolehlah masuk ke dalam ucapan saya. Cuma saya kurang bersetuju apabila dikatakan pihak penguatkuasaan, kerana mereka hanya menjalankan tugas yang ditentukan oleh polisi kerajaan itu sendiri, bukannya salah kepada pihak pegawai-pegawai penguat kuasa.

Jadi, sering kali penjaja-penjaja ini diletakkan di tempat yang salah. Misalnya kalau ada pusat penjaja kedudukannya tersorok di kawasan perumahan, bas tidak masuk dan sebagainya. Sudah pastilah pusat-pusat penjaja ini akan menjadi ‘gajah putih’ dan pihak agensi kerajaan yang membina seperti DBKL pula tidak mengambil usaha yang betul-betul proaktif untuk memastikan promosi dilakukan untuk membantu peniaga-peniaga ini.

Akhirnya mereka ini keluar balik daripada pusat penjaja yang legal tadi menjadi penjaja-penjaja di luar yang illegal.

Seterusnya, baru-baru ini dalam bulan Ramadan, kita semua tahu kerana ia bukan satu rahsia lagi di mana gerai-gerai di Bazar Ramadan ini kadang-kadang disewakan dengan harga beribu-ribu ringgit sedangkan yang asalnya, yang dikeluarkan oleh DBKL hanya beberapa ratus ringgit sahaja.

Saya percaya ini antara perkara yang berlaku kerana masalah yang ada ketidaktelusannya di situ, antaranya diberikan kepada persatuan-persatuan penjaja dan peniaga. Saya tidak hendak sebut persatuan yang mana satu. Persatuan-persatuan yang ada di Kuala Lumpur ini saya tahu ada dua, tiga yang bertempur antara satu sama lain, tidak bersetuju antara satu sama lain dan sering menyalahkan antara satu sama lain.

Didapati apabila mereka ini mendapat bahagian mereka untuk diberikan kepada ahli-ahli mereka menyewakan kadang-kadang sehingga sampai 10 kali ganda harga gerai asal itu. Jadi, ini adalah sangat tidak sihat. Saya mencadangkan kepada DBKL supaya selepas ini agar dapat DBKL duduk bersama-sama dengan Ahli-ahli Parlimen untuk membincangkan mekanisme untuk pemberian Bazar Ramadan ini dengan lebih telus lagi.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga di sini ingin menyentuh tentang beberapa isu di kawasan saya sendiri iaitu misalnya dewan ataupun Pasar Moden Datuk Keramat di mana pembinaan pasar ini alhamdulillah sudah hampir 90% siap. Cuma saya hendak tahu sama ada cadangan atau pun kompelin saya dahulu di mana kawasan jualan barangan basah tidak praktikal, di mana tempat memproses dengan tempat menjual itu tidak sama, adakah telah diambil kira.

Saya harap selepas ini saya dapat turun ke pasar itu bersamasama dengan pegawai yang berkenaan daripada DBKL. Dengan ini kita sama-sama dapat melihat progress pasar itu berjalan dengan lebih baik.
Seterusnya saya ingin mengetahui, apakah yang terjadi dengan penambahbaikan kepada dewan orang ramai. Sudah lebih daripada dua tahun Dewan Orang Ramai dan Taman Tasik Datuk Keramat terbengkalai begitu sahaja.

Kita merasa sangat sedih sebab dewan yang dulu boleh digunakan, taman yang digunakan oleh rakyat, saya sendiri pun selalu turun bersenam dan beriadah di situ, sekarang ini sudah seolah-olah menjadi padang jarak padang tekukur.

Jadi, saya mahu tahu sejauh mana pihak DBKL telah menangani masalah ini dengan sebaik-baiknya.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di sini saya juga ingin menyebut satu lagi isu iaitu tentang pemindahan pembeli-pembeli rumah di flat Jalan Pekeliling.

Baru-baru ini mereka telah datang dalam satu kumpulan yang besar berjumpa dengan saya di mana pembeli-pembeli yang kalau lalu di Jalan Pekeliling itu kita lihat masih ada lagi beberapa rumah yang masih dihuni walaupun kebanyakannya sudah dikosongkan. Mereka ini pula menggantungkan banner, “Kami sokong UMNO, Barisan Nasional..”, dan sebagainya tetapi mereka datang minta tolong daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, walaupun bukan semuanya pengundi saya.

Mereka ini sudah mendapat surat untuk mengosongkan flat yang mereka tinggal itu sebelum 1 Disember. Mereka dijanjikan penempatan sementara di Flat Sri Terengganu di Sentul. Dijanjikan dalam surat itu sehingga perumahan tetap yang dijanjikan kepada mereka, sebab mereka ini adalah pembeli yang telah membeli flat tadi ini siap iaitu Parcel ‘S’. Projek Parcel ‘S’ ini telah dijanjikan sejak tahun 2000 lagi.

Sehingga tahun 2008 ini bukan sahaja tidak siap, bayang pun tidak ada! Cubalah Ahli-ahli Yang Berhormat fikir, adakah dalam masa setahun, dua ini di mana mereka dipindahkan, mereka boleh merasa yakin bahawa projek yang dibina ini akan diteruskan dan mereka akan mendapat balik hak mereka sebagai pemilik.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Masa Yang Berhormat sudah habis.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Bagi sikit lagi, tidak bagi warning.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, tidak boleh Yang Berhormat kita sudah tentukan berapa orang.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Gulung boleh sikit? Gulung sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sikit sahaja.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Okey, saya hendak gulung sikit sahaja. Sebagai Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, saya minta kepada kerajaan agar ada satu elaun khas untuk Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan sebab kita tidak ada ADUN dan juga dengan ini kita terpaksa menangani ramai pengundi-pengundi dan populasi dalam kawasan Parlimen kita.

Jadi saya mohon sangat-sangatlah supaya ini diberi satu perimbangan. Terima kasih.

RUJUKAN: Ucapan Perbahasan Bajet 2009 pada 29 Oktober 2008

Tinggalkan komen