MP PAS Pasir Puteh: Langkah keselamatan keatas ‘awak-awak asing’ di Perkampungan Tok Bali

Tuan Muhammad bin Haji Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan jumlah kerugian akibat kebakaran bot-bot laut dalam yang berlaku di pelabuhan Tok Bali pada akhir Jun lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Dato’ Mustapa Mohamed]: Tuan Yang di-Pertua, soalan ini soalan yang spesifik iaitu satu kebakaran yang berlaku di Tok Bali pada bulan Jun tahun ini. Sebelah petang bulan Jun yang lepas.

Soalannya berkaitan dengan jumlah kerugian yang terlibat akibat kebakaran tersebut. Lima bot telah terlibat dalam kebakaran tersebut, satu tenggelam Tuan Yang di-Pertua, satu separuh terbakar dan satu lagi rosak cuma wiring dan peralatannya. Mengikut taksiran yang dibuat, kerugian ialah kira-kira RM3 juta dan kebakaran ini berlaku akibat kebakaran dapur gas yang tidak ditutup dengan sempurna bersebelahan dengan bilik enjin salah sebuah bot yang terlibat. Jadi itu jawapan kepada soalan spesifik Yang Berhormat Pasir Puteh. Terima kasih.

Tuan Muhammad bin Haji Husain [Pasir Puteh]: Untuk makluman yang kita terima bahawa bot-bot ini dikuasai oleh awak-awak asing khususnya daripada Thailand. Adakah kerajaan sudah buat satu penyiasatan tentang peranan awak-awak asing ini masuk ke pusat penjaja ikan Tok Bali itu yang setelah berlakunya kebakaran yang melibatkan lima buah bot ini, menjadikan penduduk tempatan merasakan bahawa ini melibatkan keselamatan kepada penduduk tempatan kerana awak-awak asing telah melakukan berbagai-bagai perkara jenayah di kawasan di Tok Bali sekarang ini.

Mencuri, gejala sosial bahkan berlaku juga pembunuhan. Soalan saya ialah adakah kerajaan bercadang untuk menyediakan atau mewujudkan satu sistem security kepada awak-awak asing ini yang masuk ke Perkampungan Tok Bali yang menjamin keselamatan dan kesejahteraan kepada penduduk tempatan ini. Terima kasih.

Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini terdapat kira-kira 20,000 orang asing yang bekerja sebagai krew atas bot-bot nelayan daripada kira-kira 90,000 nelayan di Malaysia, 20,000 merupakan awak-awak asing iaitu kira-kira 25% dan pada masa ini kita masih lagi gagal untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk berkecimpung dalam bidang ini.

Ini cabaran yang kita hadapi dalam industri perikanan khususnya dalam industri laut dalam di mana krew dikehendaki keluar ke laut dua minggu dalam sebulan umpamanya dan tidak ramai rakyat Malaysia yang sanggup untuk keluar ke laut dua minggu tanpa bertemu dengan anak isteri terlalu lama bagi mereka.

Di Tok Bali mengikut anggaran ada kira-kira 3,000 awak-awak asing yang bekerja dalam kira-kira terdapat 250 bot laut dalam di Tok Bali. Ada kira-kira 3,000 krew asing yang bekerja di Tok Bali.
Jadi soalan Yang Berhormat apakah kerajaan bercadang untuk melaksanakan sistem keselamatan supaya krew asing ini tidak mengancam penduduk tempatan.

Kerajaan sedar bahawa ada laporan-laporan yang dibuat di balai polis tentang gangguan yang dilakukan oleh krew asing ini sehingga menimbulkan ancaman keselamatan. Ini satu masalah yang agak serius.

Kita tidak mahu kehadiran krew asing ini menimbulkan masalah kepada penduduk tempatan. Jadi pihak keselamatan telah pun mengambil beberapa tindakan tetapi jelas bahawa tindakan ini belum lagi berkesan dan insya-Allah kita akan memperketatkan lagi langkah-langkah untuk memastikan bahawa mereka tidak mengganggu ketenteraman awam.

Kalau mengikut peraturannya, mereka tidak boleh keluar daripada kawasan tertentu yang mereka boleh beroperasi. Tidak boleh keluar ke pekan Pasir Puteh umpamanya. Lebih-lebih dari Kota Bharu. Tidak boleh. Mereka cuma bekerja atas bos dan mendaratkan ikan jeti. Itu saja ruang lingkup mereka boleh bergerak. Itu peraturannya.

Akan tetapi kita tahu bahawa ada yang melanggar peraturan tersebut dan insya-Allah pihak keselamatan akan memastikan segala peraturan dipatuhi bagi memastikan bahawa keselamatan rakyat Malaysia terjamin dengan kehadiran krew asing ini. Terima kasih.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, daripada kerugian yang dialami oleh pihak nelayan ini, apakah jaminan kerajaan membayar ganti rugi terhadap bot-bot yang melibatkan rakyat tempatan dan apakah langkah-langkah keselamatan yang disediakan di atas bot yang dibuat pemantauan supaya kes seperti ini tidak berulang di lain masa.

Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan tidak menyediakan ganti rugi. Pihak pemilik bot dikehendaki mengambil insurans dan kalau bot-bot ini diinsuranskan, maka mereka akan membuat tuntutan dengan syarikat insurans. Bukan tanggungjawab kerajaan untuk menggantikan kerugian yang dialami oleh bot yang diusahakan oleh usahawan ataupun individu.

Berkaitan langkah-langkah keselamatan yang diambil mengikut lesen yang diluluskan, bot itu hendaklah mempunyai alat-alat termasuklah fire extinguisher, hos dan lain-lain.

Jadi kes ini berlaku oleh kerana dapur gas yang tidak ditutup dengan sempurna. Ini juga berlaku kadang-kadang mungkin di bot lain dan juga di rumah-rumah. Ini kecuaian walaupun langkahlangkah telah pun diambil. Walaupun bot ini telah pun memenuhi syarat-syarat.

Syaratsyaratnya kena ada fire extinguisher, kena ada hos dan lain-lain tetapi daripada maklumat yang ada pada kita, peristiwa ini berlaku disebabkan oleh kecuaian krew bot berkenaan akibat dapur gas yang tidak ditutup dengan sempurna. Jadi caranya ialah untuk krew-krew memastikan bahawa perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa akan datang. Terima kasih.

Rujuk: Sesi soalan jawab lisan 30 oktober 2008

Tinggalkan komen