MP PAS Pendang cadang syarikat Konsesi Lebuhraya ambil OKU bekerja

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Timbalan Menteri hari-hari kita melalui PLUS dan kita dapati pemberi tiket PLUS itu kebiasaannya orang yang cantik, lawa cukup sifat.

Tadi disebut 32,850 orang merupakan mereka-mereka yang kurang pendengaran ataupun cacat pendengaran. Jadi apakah hasrat kementerian untuk memaksa PLUS ataupun syarikat-syarikat yang memberi tiket-tiket transit di lebuh raya ini supaya menggunakan 32,000 orang yang cacat pendengaran ini supaya bekerja di situ dan berilah apa-apa juga insentif kepada syarikat ini supaya mereka mengambil daripada mereka yang cukup sifat cuma hanya pendengaran sahaja yang kurang. Pohon penjelasan daripada kementerian terima kasih.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [Puan Noriah binti Kasnon]: Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Memang seramai lebih 32,000 orang di dalam negara kita yang mengalami ketidakupayaan pendengaran dan cadangan boleh kita panjangkan kepada pihak PLUS ataupun pihak tol-tol ya di lebuh raya sebagai pekerja.

Tetapi kita tidak ada kuasa untuk memaksa Yang Berhormat. Tetapi insentif seperti potongan cukai berganda oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri ada diberikan kepada mereka yang mengambil pekerja-pekerja OKU. Begitu juga dengan kumpulan OKU ini mereka boleh kepada pihak swasta mereka boleh berdaftar terus dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Ianya sangat efektif, sangat berkesan di mana daripada 10,094 orang OKU yang berdaftar, 7,180 orang OKU yang telah mendapat penempatan pekerjaan di sektor swasta. Jadi saya kira ini juga adalah termasuk dalam PLUS atau pun pekerjaan-pekerjaan seumpamanya. Terima kasih.

Soalan asal
Soalan No. 5 – Datuk Dr. Tiki anak Lafe [Mas Gading] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah OKU mengikut jenis setakat ini dan adakah kementerian memperkenalkan program terbaru yang lebih berkesan untuk memastikan golongan ini betul-betul dapat hidup berdikari.

Rujuk: Sesi soalan jawab lisan 30 Oktober 2008

Tinggalkan komen