MP PAS Pokok Sena: Kerajaan tidak bayar apa-apa subsidi kepada pengguna sebaliknya pengguna membayar subsidi kepada kerajaan.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kesan dengan kenaikan harga minyak dan juga kenaikan harga barang ini. Memang yang disebut oleh Yang Berhormat tadi bahawa kerajaan telah pun menurunkan harga minyak tetapi penurunan itu pada kadar yang terlalu kecil.

Kalau hendak dibandingkan dengan kenaikan yang begitu tinggi yang dinaikkan pada beberapa bulan yang lalu dengan kadar 78 sen seliter, tetapi bila naik 78 sen seliter kenaikan harga barang itu melambung tinggi.

Jadi, sudah tentu sukar bagi peniaga-peniaga ini untuk hendak menurunkan harga barang dalam keadaan penurunan itu terlalu kecil. Di sini juga kita melihat bahawa harga-harga barang kawalan kerajaan itu sendiri pun kita lihat bahawa kerajaan sendiri pun tidak dapat pastikan supaya kadar harga baru yang bersesuaian dengan harga minyak yang sudah pun turun itu dapat di turunkan.

Sedangkan kalau saya katakan dari segi kedudukan harga minyak kita sekarang ini berada pada paras sewaktu tahun sebelum 1995.

Pada waktu 1995, pada waktu itu USD70 setong sedangkan harga sekarang ini tidak sampai USD70 setong. Lingkungan di bawah antara USD62 ke USD65 setong. Ini bermakna bahawa sepatutnya kalaupun tidak dapat pada harga pada tahun 1995, tetapi sekurangkurangnya kita dapat harga pada waktu kenaikan baru-baru ini iaitu RM1.92.

Jadi, sekarang ini bagi saya seolah-olahnya kerajaan tidak bayar apa-apa subsidi.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Cukuplah
Yang Berhormat, sudah faham Yang Berhormat Menteri itu.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]:… Kerajaan tidak bayar apa-apa subsidi kepada pengguna sebaliknya pengguna membayar subsidi kepada kerajaan.

Jadi saya minta maknanya penurunan kali ini mestilah penurunan yang munasabah dengan kadar penurunan harga minyak daripada waktu naik itu lebih kurang USD65 ataupun USD67 sudah pun jatuh daripada harga yang asal itu.

Tan Sri Amirsham A. Aziz: Mungkin saya akan dapat membetulkan fakta. Sewaktu kita menaikkan harga minyak ke RM2.70 itu kita menggunakan harga minyak USD120 setong. Kita tidak mengubah harga minyak waktu harga minyak meningkat sampai USD147 setong, kita tidak gunakan itu.

Jadi, oleh itu kalau dibuatkan perbandingan bahawa dulu USD147 setong sekarang turun ke USD70 setong turun 50% . Jadi kita harus dapat menikmati penurunan yang mendadak juga, itu adalah satu teori yang salah.

Walau bagaimanapun kerajaan tetap akan terus memberi manfaat penurunan harga minyak kepada rakyat. Penurunan harga minyak telah pun diberikan dan juga masih lagi ada elemen subsidi di dalam harga minyak sekarang ini. Subsidi yang 30 sen masih berada lagi walaupun harga pam RM2.30.

Kalau kita mengikut harga pasaran sewaktu kita membuat keputusan menurun kepada RM2.30 seharusnya RM2.60. Jadi maksudnya kerajaan masih lagi menanggung subsidi untuk meringankan beban rakyat.

Kita harap dengan penurunan yang kita alami untuk beberapa hari dalam minggu ini
dapat juga Kabinet akan berbincang secepat mungkin kalau dapat kita memberi penurunan yang
sewajarnya harga minyak.

Rujukan: Pencelahan Penggulungan menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Amirsham A. Aziz, 29 Oktober 2008, ms 178-179

Tinggalkan komen