MP PAS Shah Alam: … Allah sendiri mengakui Orang Bukan Islam menggunakan istilah Allah ….

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya ucapkan terima kasihlah kepada Yang Berhormat Batu Pahat dan juga Tuan Yang di-Pertua.

Walaupun saya tidak nafikan bahawa mungkin Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan tentang persoalan itu, ianya tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengemukakan dengan hujah, pandangan-pandangan yang berbeza.

Dalam persoalan ini tidak mustahil bahawa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ada dipengaruhi oleh kepentingan-kepentingan politik juga kerana penggunaan perkataan Allah adalah amat jelas, ianya tidak terhad hanya kepada orang-orang Islam.

Akan tetapi kalau kita pergi ke Timur Tengah kita akan melihat bahawa ianya digunakan oleh orang-orang Nasrani dalam gereja-gereja mereka dan sebagainya. Malahan di dalam al-Quran itu sendiri kita akan dapati ayat-ayat di mana Allah sendiri mengakui bahawa orang-orang yang bukan Islam menggunakan istilah Allah untuk membawa pengertian Tuhan.

Di antaranya, satu ayat yang malangnya saya tidak ingatlah pada hari ini dan saya tidak bawa pula saya punya hand phone yang ada ayat al-Quran yang menceritakan bagaimana di dalam surah al-Haj ayat yang ke-40.

Allah menceritakan bagaimana Allah jadikan satu kumpulan manusia untuk menghalang satu kumpulan manusia dan dengan itu terselamatnya tempat-tempat peribadatan, [Menyebut beberapa perkataan Arab] di mana di dalamnya disebut nama Allah dengan
banyaknya.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ya, terima kasih Yang Berhormat Shah Alam, cukup.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ini point bacaan yang pertama, yang kedua ini tentang DEB.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua saya ingat saya sudah tidak bagi, cukup.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya hendak mendapatkan penjelasan, pandangan.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Saya akan menjelaskan, saya akan menjelaskan.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okey.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab itulah saya mengatakan bahawa apakah jaminan kestabilan politik di negara kita ini? Sudah tentulah kebijaksanaan, hikmah kita.

Kalau kita sudah tahu bahawa umat Islam menggunakan perkataan Allah di Malaysia ini dalam konteks negara kita, jangan kita menjadikan contoh di negara lain, dalam konteks negara kita.

Mengapa kita mahu mengubah-ubahnya yang akan menyebabkan berlaku kekeliruan sedangkan kita tahu Islam sebagai agama rasmi. Apabila perkataan Allah digunakan dalam keadaan ia sudah menjadi kebiasaan sebab kita juga selain daripada melihat soal undang-undang, kita juga patut melihat soal norms, iaitu kebiasaan.

Kalau di dalam Bible sendiri pun, maafkan saya, perkataan yang digunakan hanyalah ‘Ilah, God and Lord,’ tidak ada perkataan Allah. Akan tetapi apakah tujuan di sebalik penggunaan perkataan Allah itu? Maka ini dalam keadaan kita takut menimbulkan kekeliruan, kebimbangan, salah faham, maka tidak perlu digunakan dan patuh sahajalah kepada apa yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga undang-undang supaya menjamin kestabilan dan keselamatan negara.

Tuan Yang di-Pertua, sebab itulah apabila ada orang mengatakan UMNO itu perkauman…
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: [Bangun]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Boleh saya respons pasal tuan tanya soalan itu, saya jawab.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Apabila ada orang mengatakan UMNO itu
perkauman, apakah sebenarnya UMNO perkauman? Sebab itulah kita melihat ada wakil-wakil rakyat termasuk Yang Berhormat Kampar sebagai contoh, menang pun kerana ramai orang UMNO masih mengundi beliau. Tidak timbul soal UMNO itu perkauman tetapi kerana dipersepsikan. Kalau kita melihat siapakah sebenarnya parti yang menang hanya dengan kerana sokongan satu kaum, kerana itulah saya ingin mengatakan bahawa tidak timbul. Oleh sebab itulah saya merasa terkejut apabila wakil rakyat DAP yang menjadi BEBAS di Perak itu, yang keluar daripada DAP menjadi BEBAS.

Dia mengatakan kenyataannya, cuba baca cuba teliti, dia mengatakan bila dia keluar
daripada DAP, dia sebenarnya membahayakan dirinya kerana dia telah menjatuhkan sebuah kerajaan Cina di Perak. Siapa perkauman? Dia yang mengatakan begitu, dia mengatakan sedemikian. Sebab itulah saya mengatakan bahawa…
Dato’ Haji Abd. Rahman bin Dahlan [Kota Belud]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kota Belud Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Itu selepas dia masuk BN.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab saya ingin mengatakan di sini bahawa yang paling penting adalah kita harus mencerminkan diri kita sendiri, melihat diri kita sendiri. Sebenarnya apa yang kita katakan, apakah sebenarnya kita tidak melakukan dan kerana itulah saya mengatakan bahawa soal yang paling penting di sini ialah soal perlembagaan itu sendiri. Ya, Yang Berhormat Kota Belud.

Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Minta
maaf Yang Berhormat Batu Pahat, saya terpaksa reverse sedikit, hendak sentuh sedikit pasal perkataan penggunaan kalimah Allah tadi. Saya cuma ingin minta kalau boleh Yang Berhormat Batu Pahat tanyakan kepada Yang Berhormat Shah Alam, saya tak bolehlah tanya dia because floor dia kan.

Pertama sekali apakah kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Shah Alam itu
adalah pendirian rasmi parti PAS? Saya keliru sedikit tentang pendirian parti PAS kerana dalam Dewan Ulama PAS Pusat website dia Tuan Yang di-Pertua, dia ada mengatakan di sini tidak salah penganut Kristian guna kalimah Allah, kata Dewan Ulama PAS Pusat.
Akan tetapi dalam artikel itu, dia juga keliru ataupun mengelirukan kerana jawapannya itu adalah jawapan politik kepada saya. Kalau boleh Yang Berhormat Batu Pahat bagi sedikit satu perenggan sahaja saya hendak quote daripada artikel ini. Dewan Ulama PAS Pusat kata, Yang Berhormat Datuk Ustaz Haji Muhamad Daud Al-Hiraqi, menjelaskan tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah Allah malah ia sering digunakan oleh umat Kristian dan Yahudi sejak dari dahulu.

Akan tetapi pada paragraph yang kedua dia kata, cuma jika Allah itu dikaitkan dengan perbuatan dan pemujaan syirik seperti mendua atau mentigakan Tuhan, itu adalah bertentangan dengan agama dan syarak dan dilarang umat Islam mengikut serta tetapi jika mereka merujuk Tuhan yang sama tidak mengapa.

Jadi maknanya Dewan Ulama PAS hanya membenarkan penggunaan Allah ini kalau ia merujuk kepada Allah seperti mana yang pengiktirafan agama Islam. Jadi ini saya minta kalau boleh tanya kepada Yang Berhormat Shah Alam, pendirian PAS dalam hal ini.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebenarnya saya tidak hendak tanya Yang Berhormat Shah Alam sebab saya tahu dia akan menyalahgunakan nanti peluang itu untuk bercakap lain. Akan tetapi Tuan Yang di-Pertua sebab itulah sebenarnya apabila…

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Ini standing order Tuan Yang di- Pertua, dia buruk sangka Tuan Yang di-Pertua, buruk sangka.
[MP PAS Shah Alam mencelah ucapan MP BN Batu Pahat membahaskan Titah Yang Dipertaun Agong pada 18 Februari 2009]

Tinggalkan komen