Ucapan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS Kuala Krai) membahaskan Bajet 2009

Dr Mohd Hatta Ramli, MP PAS Kuala Krai

Dr Mohd Hatta Ramli, MP PAS Kuala Krai

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera. Terima kasih kerana memberi peluang bukan untuk berhujah tentang bajet sebab kita rasa Bajet 2009 ini seperti yang didahului oleh Ketua Pembangkang adalah bajet yang outdated, seperti juga kalau kita bercakap hari ini mengenai bajet zaman Dinasti Ming dulu ke, sebagai sejarah. Memang cantik untuk pengajaran kita tetapi tidak ada membawa makna pada negara kita pada masa ini.

Kita ditegur tadi oleh Yang Berhormat Pontian, katanya kita siang malam pagi petang mempertikaikan mengenai bajet kita yang telah diperjelaskan, perkara yang telah diperjelaskan tetapi untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kalau kita hendak menunjukkan kejayaan kerajaan kita sepanjang 50 tahun, mesti ada suatu ukuran, perbandingan nak menunjukkan kita ini hebat atau tidak.

Kalau sekadar berkata apa yang pembangkang nak sebut, apa yang pembangkang sebut, cadang mengenai negara berkebajikan, sebenarnya Barisan Nasional sudah buat 51 tahun. Memang betullah sebab 51 tahun Barisan Nasional memerintah, tidak ada parti lain yang memerintah.

Akan tetapi apakah ukuran kejayaan 51 tahun itu? Sebab itu wakil daripada pembangkang, termasuk dari Ipoh Timur mengajak kita membuat perbandingan dengan satu negara lain yang bermula hampir sama dengan negara kita iaitu Taiwan, negara yang sangat disanjungi oleh rakan-rakan sebelah sana sehingga mereka berkunjung beramai-ramai, dengan rombongan. Begitu seronok mereka pergi walaupun diatur dengan tergesa-gesa, last minute arrangement dengan izin.

Akan tetapi tak apa, kita ambil Taiwan sebagai satu ukuran. Mereka bermula inferior daripada kita, satu negara yang didiami oleh rakyat yang sebahagiannya lari meninggalkan Tanah Besar China untuk membangunkan sebuah negara baru. Dan hari ini dari segi population nya, Taiwan ini hampir sama dengan kita, lebih kurang samalah tetapi mereka telah jauh ke depan. Dia punya hasil, dia punya teknologi, dan kemajuannya berkali ganda atau berkali-kali ganda lebih baik daripada Malaysia.

Jadi kalau kita banding dengan sebuah negara yang lebih kurang sama bermula dengan negara kita, baru kita nampak bahawa kita ini ketinggalan. Maka di sinilah kita di pihak Pakatan Rakyat mencadangkan suatu alternatif yang lain, kita berpindah kepada satu kerajaan baru untuk membuat satu lonjakan. Kalau kita nak ikut natural growth yang dibuat oleh Barisan Nasional ini, maka sentiasa kita akan ketinggalan, tak akan dapat nak catch up dengan negara-negara lain.

Jadi kita kena bermula dengan cara yang baru. Jadi sebab itulah pihak kita memujuk, mengajak pihak sebelah sana untuk sama-sama mendukung dan menyokong perjuangan kita ini. Saya tadi sebak juga mendengar daripada Yang Berhormat Sri Gading menyatakan dilema beliau keluar daripada rumah, dilema isteri beliau keluar daripada rumah yang ditanya sama ada akan belot atau tidak. Ini bukan persoalan belot, kalau beliau ikhlas, beliau boleh berkata kepada rakyat, ini bukan masalah belot, ini masalah kita hendak mencari yang lebih baik. Kalau rakyat kita bersetuju dan rakyat sudah menunjukkan persetujuan untuk pergi ke arah yang lebih baik, saya yakin pengundi-pengundi Sri Gading akan faham kenapa Sri Gading berhajat sama untuk dalam satu team baru membawa kepada perubahan ini.

Kita tidak menjanjikan apa-apa seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Machang tadi. Kita hanya menjanjikan bahawa ini adalah satu team baru dengan idea-idea dan semangat dan dengan rekod yang baik untuk diketengahkan kepada masyarakat. Jadi tak perlulah rasa berada dalam dilema untuk berhadapan dengan masyarakat. Dilema kita ialah untuk terus kekal dalam satu kerajaan yang berterusan menggagalkan hasrat rakyat untuk membangun dengan lebih pantas. Kalau pada kadar yang kita bergerak pada hari ini, kita tidak akan dapat bersaing, tidak akan dapat setaraf dengan negara-negara lain yang bermula sama dengan kita. Malah kita sekarang ini mula ditinggalkan oleh negara-negara yang dulunya jauh lebih inferior dalam semua aspek.

Kalau Yang Berhormat-Yang Berhormat dalam Dewan ini mengenang acara sukan misalnya. Kalau dulu kita merupakan satu kuasa besar dalam sukan hoki dalam dunia. Kita antara tiga, empat negara dalam dunia yang menjadi kuasa besar hoki. Ketika itu, Korea Selatan yang kita tidak pernah dengar main hoki, main bola pun tidak masa Pesta Bola Merdeka zaman kita muda-muda dulu, tidak ada namalah Korea Selatan ataupun Jepun. Hari ini mereka melangkah maju jauh, Korea Selatan menjadi kuasa hoki yang tidak dapat disaingi oleh Negara kita.

Jadi bagaimana ini boleh berlaku? Melainkan berlaku suasana yang begitu malang dalam pengurusan dalam negara kita ini. Pagi tadi kita berbincang mengenai prestasi sukan dalam negara kita. Menteri Belia dan Sukan telah memberikan jawapan bahawa sebenarnya masih lagi dalam denial bahawa Negara ini sebenarnya hebat kecuali beberapa sukan yang dulunya kita hebat. Akan tetapi kita tidak mahu mencari sebab puncanya, kenapa misalnya bola sepak berada dalam keadaan sungguh memalukan, kedudukan 164 tetapi hari ini dalam surat khabar kita berbangga kerana telah dapat mengalahkan sebuah negara 4-0, negara pada kedudukan 175. Hebat, tetapi itulah kedudukan kita.

Tidak disebutkan bahawa sebahagian daripada sukan-sukan ini dikuasai oleh ataupun persatuan-persatuan sukan yang dikuasai oleh orang-orang politik yang sentiasa bercakaran sesama mereka. Berebut jawatan, melobi sana, melobi sini, FAM misalnya, terlalu banyak campur tangan politik menyebabkan agenda sukan tidak terbela. Jadi ini yang harus kita berikan perhatian. Kita gagal menyaingi negara-negara kita yang maju.

Tuan Yang di-Pertua, kita juga tadi dengar Yang Berhormat Pontian menyebut salah satu daripada 18 perkara bahawa belanjawan pengurusan kita terlalu tinggi sampai 74% daripada belanjawan itu untuk pengurusan, hanya 26% untuk pembangunan, dengan jumlahnya lebih kurang RM150 bilion daripada belanjawan RM205 bilion itu. Ini jelas gambaran bahawa kita terlalu lebih atau kita gagal dalam pengurusan yang sebenarnya. Sedarkah kita bahawa jumlah RM150 bilion ini untuk Bajet 2009 yang dibentangkan adalah sama dengan seluruh bajet Negara tiga tahun yang lalu.

Tuan Pua Kiam Wee [Petaling Jaya Utara]: Lebih.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Lebih? Terima kasih Yang Berhormat PJ Utara. Lebih daripada seluruh bajet tiga tahun yang lalu. Jadi ini menggambarkan bahawa pengurusan kita ini sudah melambung tinggi kerana kalau nak bincang tentang emolumen. Saya rasa emolumen ataupun gaji, elaun dan sebagainya tidaklah sepatutnya naik sebegitu banyak, tapi di mana?

Rupa-rupanya kalau kita selidik, pengurusan yang tinggi ini ialah kerana beberapa projek yang telah siap tiba-tiba runtuh, retak, kena sediakan wang tambahan. Baiki, baiki, baiki, retak lagi, tambah wang lagi. Jadi ini menyebabkan kos pengurusan semakin melambung kerana di peringkat awal pengurusan projek tidak diteliti dengan baik supaya tidak berlaku perkara-perkara yang merugikan. Jadi kita terpaksa berbelanja terlalu banyak untuk pengurusan dan ini memberikan sebab kita terpaksa mengorbankan pembangunan.

Jadi bila pembangunan terkorban, inilah soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pontian tadi. Semua prasarana jalan raya hanya akan disiapkan pada tahun 2016 di Sabah. Ertinya berapa tahun lagi baru kita akan nampak suasana pembangunan infrastruktur yang merupakan politik BN yang cukup hebat, yang selama ini telah menjatuhkan kami pembangkang. Politik pembangunan inilah yang berjaya memperdaya rakyat sehingga payah pihak pembangkang untuk menembusi kawasan-kawasan kuat BN atas isu pembangunan ini.

Namun pada hari ini kita didedahkan pembangunan yang cukup rendah tarafnya di seluruh negara kita ini. Saya ambil satu contoh kerana saya setiap minggu berulang-alik ke Kuala Krai. Satu stretch jalan di antara Bentong dengan Raub, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, the government has the cheek to put sign board. Ada dua tempat sign board yang mengatakan, “Berhati-hati jalan tidak rata”. Baguslah itu, tetapi ini adalah seolah-olah semacam permanent notice “ jalan tidak rata”. Kalau sudah tahu jalan tidak rata, apa patut kita buat?

Ratakan! Jalannya teruk Ahli-ahli Yang Berhormat. Kalau kita lalu di situ, kalau orang yang naik bas ekspres pun akan terpaksa membuka mata, berjagalah kalau sedang tidur kerana jalan yang
begitu teruk sangat tidak terbela dan tidak terbela. Ini di negeri Pahang, berlaku sedemikian. Begitu juga dengan tempat-tempat lain yang saya rasa memerlukan perhatian, kerana di situlah juga mungkin menjadi tempat ataupun punca kemalangan yang boleh mengambil nyawa rakyat kita yang tidak sedar bahawa jalan-jalan tersebut berada dalam keadaan yang begitu teruk sekali. Jadi, kita mintalah kerajaan paling tidak pun prihatin dengan masalah yang ada di depan
mata kita ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya telah menyebutkan dalam pencelahan dua hari yang lepas mengenai suasana ekonomi negara yang begitu teruk. Saya tidak hendak menyentuh di peringkat ini harga minyak ataupun kelapa sawit. Di Kuala Krai perkara yang lebih utama ialah harga getah. Sebahagian besar daripada petani-petani di Kuala Krai menjalankan industri small holding getah ini. Rata-rata di luar bandar industri inilah yang menjadi punca pendapatan mereka. Kira-kira tiga minggu yang lalu harga getah masih lagi RM5.80 sekilo. Ini kita kena ambil perhatian. Hari ini harganya di bawah RM3 sekilo. Cuba bayangkan, dengan RM5.80 pendapatan purata penduduk kampung lebih kurang RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

Mungkin dengan suasana di kampung jumlah ini mencukupi untuk menampung sara hidup menghantar anak ke sekolah dan mungkin membuat sedikit simpanan untuk masa depan. Hari ini dan masih lagi berlaku harganya di bawah paras RM3.00 iaitu RM2.80 – RM2.90. Ini bererti pendapatan mereka jatuh separuh! Kita kena sensitif ini, Tuan Yang di-Pertua.

Cuba bayangkan kalau elaun kita, wakil rakyat jatuh separuh dan semua kakitangan kerajaan gaji bulan ini dapat separuh. Cuba kita bayangkan implikasinya terhadap hidup kita kalau separuh
daripada gaji kita, apa yang kita hendak buat? Bagaimana tentang komitmen kita dengan pinjaman-pinjaman ataupun kos-kos pengurusan rumah tangga kita? Ini bencana sebenarnya, mala petaka bagi sebahagian rakyat kita.

Kita tidak terasa. Mungkin kakitangan kerajaan juga tidak terasa kerana tidak mungkin gaji kita akan dipotong 50%. Malah dapat bonus lagi sebulan, tetapi bayangkan penduduk di Kuala Krai, Kuala Lipis, penduduk di pedalaman yang mengendalikan industri getah ini – separuh daripada gaji mereka. Kalau dulu mereka dapat RM1,500 sebulan, sekarang RM750 sebulan.

Sudah jatuh daripada paras RM1,000 yang pagi tadi dalam sesi soal jawab tentang bagaimana tindakan kerajaan untuk membantu orang-orang yang mendapat gaji RM1,000 ke bawah. Macam-macam jawapan yang diberikan.

Jadi, bagaimana? Sekarang ini kita akan dapat beribu-ribu pengusaha kecil getah ini yang akan tergolong dalam golongan yang mendapat pendapatan rendah ini, apa persediaan kerajaan? Apa bantuan kita? Kalau dalam industri besar yang sedang mengalami kegawatan bank misalnya kerajaan boleh bailout, kerajaan boleh menyediakan ratusan juta ringgit untuk dipump ke dalam industri tersebut, tentang penoreh getah di Kuala Krai ini bagaimana? Apa persediaan kita sebelum mereka mengamuk, sebelum mereka mula menunjukkan marah mereka, sebelum mereka menjadi peminta, apa langkah yang dirancang oleh kerajaan?

Sehingga hari ini kita tidak dengar lagi apa langkah-langkah yang hendak diambil sama ada penyediaan ataupun sokongan pada harga atau sokongan melalui subsidi harga. Ia mesti dibuat segera. Sudah hampir sebulan pendapatan mereka sedemikian. Tambahan pula dalam keadaan hari ini musim hujan, penoreh getah tidak boleh keluar menoreh. Bayangkanlah Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Ini bagi saya adalah satu bencana dalam kita bercakap mengenai masa depan rakyat kita dan keadaan ekonomi mereka pada masa kini.

Penurunan harga minyak walaupun kita alu-alukan, protes yang kita buat nampaknya memberikan kesan, harganya diturunkan tetapi kita sudah menyebut pada awal kenaikan dahulu drastic increase, dengan izin. Kenaikan yang melampau itu memang memberikan kesan bukan hanya pada harga petrol tetapi semua harga barangan yang lain. Kita sudah memperingatkan.

Mungkin Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu pun naikkan harga minyak ini tetapi berhemah mengikut kesesuaian dan kemampuan rakyat, tetapi menaikkan dalam satu jumlah yang begitu mengejutkan sampai RM0.78 ataupun 40% daripada harga. Kita sudah ingatkan bukan hanya harga itu yang membebankan tetapi kesan daripada kenaikan harga barangan lain.

Oleh sebab itulah kita suruh dahulu kerajaan bersabar sedikit. Naik biarlah berpatutan, tetapi apabila sudah harga naik ini dan harga barangan yang lain naik seperti beras, ikan, sayur-sayuran di pasaran dan segala barang lain naik seperti simen dan besi pun naik.

Tuan Yang di-Pertua, kita sudah tahu dari pengalaman kita dalam negara ini bahawa kalau harga barangan itu naik sudah tidak boleh turun lagi. Tidak boleh turun! Kalau dahulu kerajaan bersabar, harga minyak naik mengikut kesesuaian saya yakin peniaga-peniaga tidak boleh berleluasa menaikkan harga, tetapi bila sudah naik begitu melampau mereka ada sebab untuk menaikkan harga barang dan tidak boleh turun! Ternyata pada hari ini kita mengeluh.

Yang Berhormat Pontian menyuruh kita menghukum peniaga-peniaga yang kurang ajar, kata beliau. Satu bahasa yang tidak elok kerana ketika mereka naikkan harga dahulu bertepatan dengan sebabnya. Namun bila sudah dalam keadaan begini kita hendak marahkan siapa? Oleh sebab itulah kita minta sangat dahulu pihak kerajaan ambil sedikit tanggungjawab untuk bersimpati dengan rakyat, dengan satu tindakan yang preventif. Kita memang tahu punca kenaikan segala-galanya itu ialah kenaikan harga minyak tersebut tetapi orang tidak hirau.

Kita minta turunkan segera! Mungkin kalau turunkan balik seperti yang kita buat dalam protes kita berhimpun minta turunkan segera, mungkin peniaga-peniaga tidak boleh naikkan harga. Tidak sempat menaikkan harga, tetapi apa komen Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu? “Kalau kita turunkan harga minyak negara akan bankrap”, katanya. Pada hari ini turun RM0.40, tidak bankrap ke bankrap? Saya pun tidak tahu. Mungkin bankrap, saya bukan pakar ekonomi. PJU boleh memberitahu sama ada kita bankrap ataupun tidak. [Memandang ke arah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara]

Namun untuk mengatakan bahawa permintaan kita supaya harga barang itu atau harga minyak itu diturunkan pada ketika itu bukanlah sesuatu yang melampaui batas. Kita sudah memikirkan kesannya. Hari ini kita sudah menderita masalah ini hinggakan bajet hari ini kita hendak bincang pun sudah jadi tidak relevan, oleh kerana pendapatan negara berkurangan.

Bagaimana kita hendak mengagihkan sumber kita yang berkurangan ini dengan janji-janji yang ada di dalam ini? Bajet prihatin, katanya tetapi kalau wangnya sudah tidak ada. Manakala kos pengurusannya tidak boleh dikurangkan, tidak boleh dikurangkan kos pengurusan. Apakah kita kakitangan awam di sebelah sana bersedia untuk gaji kita dikurangkan contohnya, saya rasa kita tidak bersedia. Jadi di mana akan berlaku korban? Yang akan menjadi korban ialah belanjawan pembangunan. They gonna scarifies development dengan izin.

Jadi ini yang akan menyebabkan kita sudah dengar bunga-bunganya dalam jawapan-jawapan menteri bahawa beberapa projek mega Kementerian Pelajaran akan dikaji semula. Itu bunga-bunga hendak berhentilah itu, bunga-bunga hendak membatalkan projek dan beberapa serambiserambi ataupun koridor-koridor yang dahulunya menjadi antara hujah besar menjelang pilihan raya yang baru lalu, sudah mula nampaknya akan diletakkan di serambi. Betullah, tidak akan diketengahkan lagi.

Jadi itu korban apabila kita tidak berhemah dalam beberapa tindakan kita di dalam pengurusan ekonomi. Itu sebab kita mencadangkan beberapa langkah untuk pembangkang berbahas dengan Menteri Penerangan. Orang kata tidak praktikal dan sebagainya.

Tuan Yang di-Pertua dalam kita hendak meyakinkan rakyat ini ada pula cadangan-cadangan yang saya rasa sedikit perlukan penelitian. Tiga hari lepas kita mendengar pengumuman Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bahawa kerajaan akan menyediakan pemberian vitamin percuma kepada seluruh anak-anak yang belajar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak KEMAS ataupun Tabika KEMAS yang jumlah anak-anak kita di bawah umur enam tahun ini sekitar 170,00 dengan kos yang melibatkan RM17 juta.

Sekali pandang ya Tuan Yang di-Pertua, kita dengar baguslah. Memberi vitamin percuma. Kita di Malaysia ini Tuan Yang di-Pertua apa sahaja percuma memang kita appreciate. Sedangkan kita tidak tahu pemberian vitamin kepada anak-anak ini bukan suatu kemestian.

Vitamin ini perlu diberikan kepada anak-anak yang kurang vitamin. Kalau dibuktikan, kalau ditunjukkan, kalau didiagnose oleh doktor antara rawatan antara supplement yang diperlukan ialah vitamin, kita beri vitamin. Bukannya memberi borong kepada semua anak-anak. Memberikan vitamin multivitamins ke ataupun B kompleks ini ke secara borong begitu adalah satu perkara yang bahaya kerana pemberian vitamin yang berlebihan boleh menjejaskan kesihatan.

Masalah bahaya vitamin ini masih lagi dipersoalkan dalam bidang perubatan. Jadi janganlah oleh kerana kita berasa kita boleh mendapat sedikit perbatuan politik ataupun political mileage, maka kita membuat suatu program yang boleh membahayakan anak-anak kita. Vitamin juga boleh menyebabkan keracunan Tuan Yang di-Pertua. Kena ingat ini sebab itu kita anakanak kita yang cukup sihat yang cukup makan tidak perlu vitamin ini. Vitamin will not help building the mental capacity dengan izin, tidak ada. Kalau anak-anak kita cukup, tidak perlu.

Orang-orang tua pun tidak perlu. Yang diperlukan oleh anak-anak di peringkat rendah ini kemungkinan makanan-makanan tambahan, susu program susu. Sebab itu kita tidak pernah membantah program susu ini.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad binti Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Kuala Krai, apakah ada kemungkinan projek pemberian vitamin ini akan menjadi lagi satu ketirisan dan kebocoran daripada wang pengurusan negara?

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Yang Berhormat Titiwangsa, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya belumlah hendak sampai ke situ. Cuma saya hendak mengatakan ada benda-benda yang kena rancang dahulu elok-elok. Saya sudah membuat preliminary discussion dengan Timbalan Menteri Pelajaran apabila saya dengar berita ini.

Saya telah mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri Kesihatan hendak bertanyakan sama ada Kementerian Kesihatan sudah dirujuk perkara ini, sudah ditanya dari segi kepakarannya sama ada pemberian vitamin ini baik ataupun tidak perlu. Kalau tidak perlu pun rasanya tidak apa, masih selamat tetapi takut-takut kita mendapat keracunan vitamin, berlebihan vitamin pun tidak elok untuk badan kita.

Jadi setakat ini Kementerian Kesihatan belum memberikan satu balasan tetapi Kementerian Pelajaran melalui timbalan menterinya telah mengatakan memang mereka tidak dirujuk. Mereka ini membuat keputusan sendiri di pihak kementerian yang berkenaan.

Jadi saya minta sangatlah bukan soalan jumlah RM17 juta itu banyak sangat. Tidak banyak sangatlah berbanding dengan RM205 bilion bajet kita ini, celah-celah gigi sahaja itu. Kita bukan mempertikaikan jumlahnya tetapi dari segi kewajaran program ini kepada anak-anak kita.

Ada banyak benda-benda lain lagi semalam dikemukakan oleh Yang Berhormat Muar bagaimana wang boleh digunakan untuk membantu anak-anak muda kita yang nampaknya dalam belanjawan prihatin itu tersisih. Tidak ada satu program contohnya untuk pemulihan pemuda-pemuda ataupun remaja kita yang bersangkut dengan masalah dadah ini. Saya rasa banyak lagi wang ini boleh disalurkan kepada program-program tersebut.

Jadi saya minta supaya kementerian berkenaan kaji semula dari segi viabilitynya, dari segi perubatannya sama ada selamat atau tidak, sama ada akan menambah mental kapasiti anak-anak ke ataupun dipilihlah mengikut rujukan daripada pihak perubatan.

Kalau pun di luar bandar mungkin ada kesempitan dari segi wang untuk bertemu doctor untuk mendapatkan penjelasan, mungkin teams kesihatan sekolah yang dibentuk di bawah Kementerian Kesihatan yang selama ini saya tahu menjalankan tanggungjawab dan tugas yang begitu baik dalam program kesihatan sekolah boleh digunakan untuk memastikan anak-anak pra sekolah. Ini pra sekolah ini. Saya risau kalau tidak kita tidak bangkitkan ini, dia akan lajakkan lagi kepada anak-anak sekolah pula. Kosnya akan meningkat tetapi kesannya mungkin tidak ada.

Tuan Yang di-Pertua saya ingin juga mengulas sedikit mengenai peristiwa sedih yang dibawa oleh Machang mengenai tindakan ke atas Ketua Pembangkang semasa beliau ditahan 10 tahun yang lalu. Memang peristiwa tersebut tidak akan dilupakan dalam sejarah negara kita. Merupakan satu peristiwa gelap dalam proses pembangunan negara kita dan kita telah tahu akhirnya bahawa berlaku di sana satu tindakan yang cukup kasar dan ganas terhadap Yang Berhormat Permatang Pauh ketika itu sehingga boleh menjejaskan nyawa beliau sendiri.

Kemudian, kita dengar dan kita tahu faktanya bahawa yang menyeksa beliau ialah Ketua Polis Negara sendiri yang telah menerima hukumannya. Akan tetapi apa yang lebih menakutkan saya ialah apabila ada usaha-usaha untuk menutup fakta-fakta bagi melengah-lengahkan siasatan atau mungkin untuk mengganggu siasatan supaya perkara yang sebenarnya tidak diketahui oleh dunia luar iaitu penglibatan ketua pendakwaan ketika itu dan juga salah seorang pegawai tinggi polis yang hari ini menjadi orang nombor satu polis.

Ini satu perkara yang sangat menggerunkan kita. Dalam salah satu kenyataan yang disebutkan tadi sama ada afidavit kah ataupun apa-apa, disebut bahawa salah seorang doctor terlibat dalam memberikan fakta-fakta yang bersalahan, ada doktor kita. Jadi saya bagi pihak profesion perubatan berasa sedihlah kalau ada di antara pakar-pakar ataupun practitioner dalam bidang perubatan ini ya Yang Berhormat Kepong ya terlibat dalam perkara-perkara yang tidak beretika. Bersekongkol dengan pihak-pihak yang cuba untuk mengubah fakta dan menipu dalam laporan-laporan mereka. Kita sedih kerana kita tidak pernah dididik untuk memberikan faktafakta yang menyeleweng fakta-fakta yang tidak betul.

Sebagai doktor kita diajar untuk memerhati, memeriksa, menjalankan penyiasatan, membuat diagnosis mengikut cara-cara yang profesional dan saintifik. Akan tetapi apabila ada di antara kita bersekongkol sedemikian. ianya merosakkan seluruh profesion itu. Jadi bukan sahaja saya rasa tindakan perlu diambil terhadap dua pegawai tinggi ini. Sesiapa juga yang bersedia untuk dipujuk bersekongkol, harus diambil tindakan sama. Kalau tidak kita akan merosakkan profesion ini dan akan memalukan kita dan ramai lain yang tidak pernah terlibat dalam perkara-perkara yang tidak elok ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat habiskan dalam masa lima minit Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Ya. Boleh sambung hari Isnin?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tinggal Lima minit. Habiskanlah sekarang Yang Berhormat.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Yang juga mendukacitakan seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Machang tadi tindakan ini dibuat oleh pihak berkuasa polis.

Jadi di situ kita nampak Ketua Polis Negara dan pegawai-pegawai di bawahnya menunjukkan kehebatan mereka. Saya hendak ulang lagi perkara yang saya sebutkan tadi semasa saya meminta penjelasan daripada Yang Berhormat Gombak tadi. Kalau polis begitu hebat, kenapa jawapan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri Tuan Yang di-Pertua saya take acception kerana saya sungguh dukacita ini. Saya sungguh risau kalau jawapan ini yang diberikan iaitu, punca pondok polis Jalan Haji Taib ditutup ialah kerana lokasi tersebut tidak lagi sesuai atau selamat bagi anggota polis yang bertugas.

Saya rasa jawapan ini tidak rasional Tuan Yang di-Pertua. Takkan kita hendak cari satu tempat yang selamat untuk polis. Polis berada di tempat yang tidak selamat untuk menjadikan ia selamat. Kalau ada crime, jenayah di sesuatu tempat itu dengan banyak, kita letakkan polis supaya jenayah berkurangan.

Akan tetapi kalau tempat itu banyak jenayah, polis pula lari siapa lagi yang hendak duduk di situ?, Wakil rakyat Titiwangsa hendak duduk situ, orang perempuan? Dia mungkin kuat, dia mungkin hebat tetapi kalau polis pun ‘conggek’ kata orang Perak, bagaimana kita hendak mengharapkan orang lain untuk berada di situ.

Sebab itulah kawasan ini akan terus dikuasai oleh penjenayah-penjenayah. Memalukan, saya tidak tahu macam mana Menteri Dalam Negeri akan menjawab ulasan-ulasan yang akan keluar daripada jawapan yang tidak munasabah ini. Persekitaran kawasan yang kotor. Kalau hendak bersih sahaja semua, maka kita kena buat balai-balai polis ini dalam tingkat di Putrajaya, bersih, dalam kawasan Parlimen.

Akan tetapi tempat-tempat yang begitulah di mana kita perlu berada. Bukannya lari. Mereka dapat kumpulkan orang atas nama polis, sama-sama gotong-royong membersihkan kemungkinan terdedah kepada penyakit berjangkit. Apa dia penyakit berjangkit di Lorong Haji
Taib?

Tuan Yang di-Pertua, penyakit-penyakit STD atau Sexually Transmitted Diseases, penyakit-penyakit bawaan seks. Itu yang dikenali di Lorong Haji Taib. Apakah Menteri Dalam Negeri risau anak-anak buah dia terdedah kepada ini? Terdedah kepada Sexually Transmitted Diseases ini Tuan Yang di-Pertua ialah by minat, by choice, bukannya kerana kita terpaksa makan makanan ada kuman dan mendapat jangkitan.

STD tidak akan berlaku sedemikian. Jadi kalau inilah yang hendak dibayangkan oleh Menteri Dalam Negeri, kita risau polis-polis yang ada pada hari ini nampaknya tidak ada jati diri untuk mengelakkan diri mereka daripada terdedah kepada ancaman STD ini. Ketiganya, serta ancaman penjenayah-penjenayah memudaratkan keselamatan polis.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Boleh saya membuat celahan sedikit sebab ini kawasan dan jawapan itu adalah jawapan bertulis kepada soalan saya. Agaknyalah kita mungkin boleh menawarkan pihak polis untuk mengadakan pondok polis di bangunan PAS sebab rasanya selamat sebab bangunan PAS dekat situ sahaja Yang Berhormat Kuala Krai, macam mana.

Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Cadangan yang sungguh baik. Kita masih ada satu ruang sedikit untuk sesiapa yang bersedia tetapi saya tidak yakin Menteri Dalam Negeri akan bersedia untuk berbuat demikian tetapi kita pelawa.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Habiskan Yang Berhormat.
Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Ya, sudah hampir habis ini. Jadi memudaratkan keselamatan anggota. Apa jenis polis kita ini. Polis kita sepatutnya berani macam dia pergi membanteras, menyuraikan demonstrasi-demonstrasi kami, dia cukup hebat, dia cukup garang, berani. Demonstrasi kami, tidak ada apologetik di situ. Dia begitu hebat.

Hari ini dikatakan beratus-ratus orang polis telah menangkap setinggan-setinggan, memukul setinggan di Plentong di Johor. Ini cukup hebat, ini yang kita hendak tetapi apabila dengan penjenayah-penjenayah ini Tuan Yang di-Pertua takut memudaratkan keselamatan anggota, sebab itu saya cadangkan di awal tadi supaya balai-balai polis ini dibuat di dalam kem-kem tentera , gerenti selamat.

Tentera akan melindungi polis-polis ini tetapi takkanlah ini jenis polis yang kita hendak. Jadi Tuan Yang di-Pertua saya rasa kalau Menteri Dalam Negeri tidak memperbetulkan jawapan dan persepsi yang ada di hadapan kita ini, kerana ini bertulis saya minta dia undurkan diri.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Minta penjelasan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Habis masa Yang Berhormat.
Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Boleh bagi?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak payahlah. Cukup Yang Berhormat.
Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Jadi Tuan Yang di-Pertua, itulah sebahagian sumbangan kita. Bukan bercakap tentang bajet sebab bajet telah menjadi tidak relevan. Terima kasih, assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

RUJUKAN: 16 Oktober 2008

Tinggalkan komen