Ucapan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor) membahaskan Bajet 2009

Perbahasan bajet 2009 pada 20 Oktober 2008

Dr Dzulkefly Ahmad, MP PAS Kuala Selabgor

Dr Dzulkefly Ahmad, MP PAS Kuala Selabgor

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya bangun untuk sama-sama membahaskan belanjawan Bajet 2009 yang telah pun dihurai dengan panjang lebar oleh pandangan Ketua Pembangkang dan di kebanyakan sudut mungkin telah puas dihujahkan dengan penghujahan yang kukuh dan tuntas oleh beberapa lagi Ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat.

Saya mahu memulakan perbahasan ini dengan mengungkap satu coretan kolumnis Media Perdana yang menceritakan bagaimana pengalaman beliau yang sekali gus merupakan kekecewaan beliau dan rintihan beliau yang menyebutkan tentang bagaimana sepinggan nasi putih kosong yang dibeli di restoran nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) naik daripada 60 senhingga menjadi RM1.00.

Tatkala ditanya mengapa kenaikan mendadak seperti ini, taukenya menyebut bahawa ia adalah kerana harga petrol naik. [Ketawa] Semua Ahli Dewan yang mulia ini maklum mulai 5 Jun yang lalu harga minyak petrol naik daripada RM1.92 bagi RON 97 kepada RM2.72 seliter, lonjakan 78 sen, paling bersejarah di negara ini.

Meskipun telah tiga kali diturunkan harga petrol ini iaitu pada 23 Ogos sebanyak 15 sen, awal September 10 sen dan baru-baru ini 15 Oktober turun 15 sen, jumlah harga yang telah turun ialah 40 sen. Namun pada setiap penurunan hinggalah ke hari ini nasi putih kosong di restoran nasi kandar di Jalan TAR ini masih pada harga RM1.00 sepinggan.

Tuan Yang di-Pertua, walaupun ada lawak-lawak yang beliau coret dan oleh kerana semuanya agak celik, saya tidak perlu lanjutkan dengan salahnya telahan dahulu bahawa semua yang naik itu sepatutnya turun juga, tetapi nyata dalam telahan ini beliau tersasar dan tersilap.

Tuan Yang di-Pertua, inilah antara keluhan rakyat teramai. Suri rumah juga mengeluh dan merintih harga keperluan di dapur naik dan terus naik. Bawang, cili, asam jawa semuanya naik. Tepung, bayam, kacang panjang dan ikan kembung yang menjadi penanda aras rakyat bawahan (marhaen) kali ini tidak boleh lagi dibeli dengan harga RM8 sekilo. Sekarang ia sudah melebihi RM12, RM13 dan mungkin juga RM15 sekilo.

Tuan Yang di-Pertua, itulah satu snapshot kedudukan rakyat yang berlatar belakang perbahasan ataupun pembentangan Bajet 2009, tidak termasuk tambang bas naik, bas sekolah naik, tambang teksi naik, cendol naik, karipap naik, semuanya yang disebutkan. Namun apa yang menjadi malangnya, saya lanjutkan, dalam suasana yang seumpama ini apabila dibahaskan oleh semua Ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Rakyat dan kadang kala ada juga insinuasi-insinuasi dari Ahli Yang Berhormat daripada sebelah sana, khususnya Sabah dan Sarawak yang juga merintih memberitahu Dewan yang mulia ini.

Paling malang adalah kerana apabila setelah penghujahan itu dibuat bahawa bajet perlu dinilai semula dengan kadar yang seberapa segera dan dibentangkan kembali. Kita lihat sindrom penafian Kerajaan Barisan Nasional masih lagi pada tahap yang cukup kukuh walaupun telah diberikan satu deraan yang agak parah setelah 8 Mac, tsunami politik yang melanda mereka.

Tuan Yang di-Pertua, kita mahukan adjustment yang kritikal, adjustment yang penting untuk dibuat kerana seluruhnya unjuran-unjuran khususnya bagi persoalan pendapatan sudah tidak boleh lagi diguna pakai kerana jauh tersasar. Ini telah pun dibahaskan dan mungkin saya akan menimbulkannya kemudian. Sekali gus apabila kita lihat dan saksikan respons yang sedemikian maka kita mempertikaikan sejauh mana keprihatinan kerajaan dalam benar-benar menggarap pahit getirnya kedudukan rakyat khususnya rakyat marhaen, rakyat teramai dan yang berpendapatan rendah.

Tuan Yang di-Pertua, saya boleh menerima bahawa dari sudut-sudut tertentu ataupun dari sudut-sudut yang diterima sebagai parameters micro ataupun micro-economic parameter, kewangan dan ekonomi negara itu tidaklah jauh ataupun tidaklah sangat tergugat; balance of payment betul, simpanan antarabangsanya (foreign reserve) betul, surplus account and currentnya betul dan begitu juga dengan national savingnya.

Memang ada kebenarannya bahawa ia tidak di tahap yang mencurigakan. Namun untuk berhujah bahawa secara terus-terusan negara akan bebas daripada ancaman the global net down yang persis dari sudut impaknya yang parah seumpama global depression 1930, saya kira penafian itu tidak dapat – it’s no longer tangible. Ekonomi negara sudah tidak boleh dikira apa yang dihujahkan sebagai boleh dirungkaikan daripada politik.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Inilah yang dikatakan sebagai ketidakupayaan ekonomi negara itu decoupled ataupun decoupling of economy kerana ia tidak boleh ….
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan, Yang Berhormat Kuala Selangor.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Baru masuk. Belum lagi …
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sudah masuk. Sudah jauh masuk.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi laluan Yang Berhormat?
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tidak mengapalah, saya bagi.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Silakan Yang Berhormat PasirSalak.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Sebab sudah lama tidak dengar suaranya.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Dia baru balik dari UK.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih dan juga Yang Berhormat Kuala Selangor, terima kasih banyak. Saya merasa agak hairan dengan kebijaksanaan Yang Berhormat Kuala Selangor yang begitu berpengalaman dan berpengetahuan dalam soal ekonomi mempunyai sikap penafian yang disebutkan, iaitu mengatakan bahawa kerajaan tidak mengambil kira kesan daripada kemelesetan ekonomi yang akan melanda dunia dan negara kita ini dan terus berdegil dengan perancangan dan belanjawan yang dikemukakan.

Apakah Yang Berhormat tidak membaca di dalam akhbar dan mengikuti perkembangan apa yang dilakukan oleh kerajaan dilaporkan di dalam media cetak, media elektronik bahawa kerajaan mengakui adanya kemelesetan ekonomi yang akan kita hadapi. Dengan sebab itu kerajaan mengambil tindakan-tindakan untuk menghadapi masalah ini.

Apakah Yang Berhormat tidak faham? Saya hendak tanya sekarang. Yang Berhormat bercakap sudah berapa banyak perkara disebut, saya tidak nampak cadangan. Apa cadangan Yang Berhormat sebagai daripada Parti Pembangkang untuk membaiki bajet yang dibentangkan oleh kerajaan?

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Cukup Yang Berhormat Pasir Salak.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Jangan bawa soal nasi sepinggan dua pinggan. Kalau takut harga nasi naik, jangan makan di kedai, makan di rumah. Ini soal nasi sepinggan menjadi isu dalam Dewan Rakyat, memalukan daripada seorang tokoh ekonomi, seorang bekas pensyarah. Bercakap soal harga nasi, kita mahu strategi bajet, bagaimana kerajaan untuk menjadikan bajet ini sebagai satu bajet yang boleh …

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Cukuplah itu.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Apa pula cukup? Kenapa takut?
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tidak apalah itu. Saya faham. Duduk dengar.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Takut hendak berhujah.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Duduk, dengar, duduk.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Saya tidak takut hendak berhujah.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Kalau hujan cakap macam ini…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini soal ekonomi dunia. Soal ekonomi dunia.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Seorang lawan berapa orang ini?
Seorang Ahli: [Menyampuk]
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Apa balik?
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, saya mahu teruskan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini soal ekonomi dunia.
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: [Menyampuk]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya Yang Berhormat Pasir Salak ya.
Beberapa Ahli: [Menyampuk]
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Cabar apa? Apa cabar? …hendak cabar apa?
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, Yang Berhormat.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini antara saya dengan Yang Berhormat Kuala Selangor.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Cukuplah Yang Berhormat. Ya.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: …sudah cukup. Bukan time kamu, karang kamu hujah, kamu hujah lah. Dia sudah…[Dewan riuh]
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini soal … Apa kamu-kamu?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Apalah hendak tunjuk samseng dekat sini?
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Duduklah Yang Berhormat Pasir Salak.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, saya teruskan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, teruskan Yang Berhormat Kuala Selangor.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Inilah masalahnya Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Bercakap soal ekonomi dia.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Macam lepas gian.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Pandai, tetapi apabila orang berhujah takut. Takut hendak mendengar hujah. Apa ini? [Dewan riuh]
Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Duduklah Yang Berhormat Pasir Salak. Mengarut sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Teruskan Yang Berhormat Kuala Selangor.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Apa mengarut? Ya, berhujah, mari.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pasir Salak cukup ya.
Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka]: Tuan Yang di-Pertua, nanti potong dia punya masa, tambah sini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak payah ganggulah. Yang Berhormat Kuala Selangor teruskan.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Berapa orang hendak tolong ini? Berapa orang hendak tolong ini. lagi-lagi ramai tolong. Tolong lagi. [Dewan riuh]
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Cukup lah. Kita, cukuplah Tuan Yang di-Pertua
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya. Teruskan-teruskan.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Bercakap soal ekonomi, macam-macam…
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Baik. Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat boleh berucaplah nanti.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, kita selaku wakil rakyat yang mewakili rakyat membawa perbahasan antara lainnya apa yang juga dirasakan oleh rakyat di akar umbi.
Seorang Ahli: Yes. [Tepuk]
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Ini dia. Kita…

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini bukan rakyat, ini parti pembangkang punya dakyah. Dakyah parti pembangkang, rakyat saya tidak…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Dia tidak beri jalan Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Seorang kolumnis media perdana…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tohmahan tidak habis-habis.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: …yang menulis di dalam media perdana. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin…
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi Yang Berhormat Shah Alam Yang Berhormat?
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya ingin meneruskan penghujahan saya.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Shah Alam, dia tidak bagi.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya ingin meneruskan penghujahan saya Tuan Yang di-Pertua. Saya sebutkan, kalau kita masih ingat bagaimana mantan Menteri Kewangan yang juga selaku Perdana Menteri apabila membentangkan bajet yang lalu. Panjang penghujahannya tentang pembangunan membawa persoalan pendapatannya di hujung dan di akhir-akhir. Itu songsang bukan?

Kita berbelanja apa yang sebenarnya dalam kemampuan atau lebih sedikit. Akan tetapi daripada cara pendekatan perbahasan dan perbelanjaan bajet yang lalu itu, bicaranya panjang tentang pembangunan atau development atau apa yang hendak dibuat …

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Akan tetapi …
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Kena minta jalan Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Cukup lah.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Ini bukan kali pertama Kerajaan Barisan Nasional membentangkan satu bajet.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya menyebutkan…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sudah berapa puluh tahun, berapa puluh kali…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Dia tidak beri jalan Yang Berhormat. Tidak beri jalan ya.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya ingat …
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Menyampuk]
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Apa?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, teruskan Yang Berhormat Kuala Selangor.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya menyebutkan kerana di sini yang menjadi teras pertikaian adalah kerana kita sudah sepuluh tahun mengalami bajet defisit. Pada tujuh tahun yang lalu, hampir-hampir lima tahun yang lalu. There was a progressive attempt in reducing the deficit budget yang merupakan satu yang boleh diberikan sedikit pengiktirafan, tetapi kali ini Bajet 2009 pendapatannya memang jauh tersasar. Oleh kerana itu, segala penghujahan dan segala perkara yang dibawa dalam Bajet 2009 yang lalu yang dibentangkan oleh mantan Menteri Kewangan pada pandangan kami sudah jauh tersasar.

Ambil sahaja contoh, saya akan hujahkan mengapa defisit bajet terus-terusan akan menjejas mikroekonomi negara khususnya daripada sudut sovereign rating yang hari ini kita di paras single A, masih baik dari sudut menggamit pelaburan dan juga dari sudut currency kita.

Namun, kalau begini caranya kita sudah tidak ada perdulian kepada persoalan defisit kerana khususnya dalam perbelanjaan, dalam bajet yang lalu persoalan pendapatan yang hari ini diterima, diterima oleh CIMB Research House. Paling mutakhir disebutkan sendiri oleh Malaysian Institute of Economic Research oleh pengarah urusannya sendiri, bahawa negara ini sudah tidak lagi boleh mengekang serangan global meltdown ini. Justeru kerana itu, persoalan bajet mesti dibentangkan kembali dengan numbers dan numbers crunching nya yang baru, sesuai dengan bagaimana, apa dia dan bagaimana persoalan pendapatan dalam negara mampu dijana dan dipacu.

Oleh kerana itu kalau saya ambil beberapa contoh. Pada setiap penurunan RM10 setong minyak mentah tapis blend, penurunan pendapatan negara adalah sebanyak RM4 bilion pada setiap penurunan reduction of USD10 per barrel. Congakan yang dibuat dan congakkan saya sendiri di sana sahaja terdapat berkemungkinan besar, ballpark numbers adalah kekurangan pendapatan sebanyak RM16 hingga RM20 bilion daripada penjualan atau pun pendapatan utama kerana ekonomi negara kita masih lagi bersifat commodity based. Walaupun kita bercakap tentang k-ekonomi tetapi masih menaruh pergantungan kepada hanya minyak kepala sawit, getah dan bijih galian.

Ini yang kita runsingkan tentang persoalan tentang persoalan pengurusan ekonomi dan finance negara. Kerana apa? Hari ini negara dunia bercakap, future risk bercakap tentang the new Asian century. Saya sendiri sedang membaca satu buku The New Asian Hemisphere oleh Profesor Kishore Mahbubani yang uar-uarkan tentang kedatangan satu era baru dalam Asian renaissance. Akan tetapi kalau begini cara kita mengurus tadbir kewangan dan ekonomi Negara seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang, “Terkial-kial kita untuk bertarung bukan dengan negara-negara emerging economy seperti South Korea, Singapore, Hongkong, Taiwan dan seumpamanya dengan Vietnam, Thailand, The Philipines pun kita jauh terkial-kial ketinggalan untuk menggamit contohnya FDI”.

Itu sebabnya, kalau kita lihat kalau ambil juga crude palm oil. Crude palm oil pada setiap penurunan RM100 satu tan. Kita akan kehilangan penurunan pendapatan sebanyak RM1.76 bilion. Kurang lebih, congakan pakar-pakar ekonomi, saya rasa saya bersetuju dengan mereka adalah sebanyak RM25 bilion. Kerana apa? Kerana anggaran dan estimate yang dibuat dalam bajet yang lalu adalah pada paras harga CPO RM3,300 2009.

Hari ini, harga CPO hanyalah berlegar di sekitar RM1,630 dan di CPO futures lebih rendah daripada itu. Jelas dengan dua penghujahan ini, kalau Yang Berhormat Pasir Salak masih dengar
bagaimana persoalan bajet 2009 yang lalu Tuan Yang di-Pertua sudah tidak lagi tenable untuk menggarap perbelanjaan yang dibuat. Justeru kerana itu, saya meneruskan juga …

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Sebut Pasir Salak tadi boleh berhujah tidak?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak beri jalan Yang Berhormat?
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Yang di-Pertua, dia sebut Pasir Salak. Jadi boleh berhujah tidak dengan Pasir Salak.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Yang Berhormat Pasir Salak untuk round pertama.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Dia tak bagi jalan Yang Berhormat.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Yang Berhormat Kuala Selangor dia tengok saya, dia ajak saya berhujah. Akan tetapi apabila saya bangun hendak bercakap dia tidak bagi.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya sudah terima hujahan tadi yang saya rasa tidak ada hujahnya pun…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tiap-tiap kali bercakap dia tengok saya.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Cukup meleset…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: So, you are inviting me to debate with you. Come let’s go and debate.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak perlu debat kat sini Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Ini floor saya, saya debate dahulu. Sebentar nanti Yang Berhormat Pasir Salak boleh…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tapi Yang Berhormat boleh lihat di sini Yang Berhormat. Arah sini Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, kalau dilihat dari sudut capital market, share market…
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Kuala Selangor mohon laluan.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya tidak mempunyai masa yang mewah Tuan Yang di-Pertua.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sedikit sahaja, hendak tanya sahaja.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: … mahu memberikan…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Takut dia.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Kuala Selangor sedikit sahaja hendak tanya.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Kalau Yang Berhormat Pasir Salak tidak takut, insya-Allah.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Cuma inginkan penjelasan.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Baik, baik saya…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Kuala Selangor, saya pun tidak hendak kita bercakap retorik sahaja. Cuma saya hendak tahu dari segi pandangan ahli ekonomi lokal kita. Saya setakat ini saya tidak dengar lagi yang lokal economies
kita menggunakan secara terbuka bahawa bajet kita ini tidak boleh dibahaskan, tidak boleh diperdebatkan. Soal sumber tadi yang dikatakan merosot kerana harga CPO kita jatuh, harga minyak kita jatuh. Apakah kita tidak ada sumber lain.? Apakah defisit itu kita tidak boleh merancang dan melaksana? Saya berharap Yang Berhormat Kuala Selangor dapat memberi penjelasan.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Baik, saya sebutkan sebentar tadi, researches houses yang disebutkan tadi adalah semuanya lokal. Saya tidak merujuk kepada mana-mana international research houses. Saya menyebutkan tentang CIMB Bank, Aseambankers termasuk Malaysia Institute Of Economic Researches think-tank kerajaan itu sendiri. Kesemuanya kalau Yang Berhormat Batu Pahat juga membaca, sepatutnya sudah insaf dengan betapa pentingnya. Perkara ini bukan untuk memerintah dari segi kepentingan parti…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Apakah MIER ada mengatakan bahawa bajet ini mesti ditolak…
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Persoalan bajet…
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: …dan dibuat baru?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi jalan Yang Berhormat?

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tidak apa, biar saya jawab. In the latest of financial edge daily, jelas menunjukkan bahawa apa pun yang disebutkan oleh Pengarah Urusan, tentang kedudukan ekonomi khususnya tentang pendapatan yang merupakan sebahagian separuh daripada bajet. Pendapatan adalah separuh daripada perbincangan bajet yang sudah jauh tersasar. Berbelanja itu satu hal. Kita hanya boleh berbelanja apa yang kita ada.

Kalau hendak lebih pun, lebih sedikit-sedikit. Ini kalau sudah sampai double digit defisit apa ceritanya Tuan Yang di-Pertua?

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Saya tanya apakah MIER ada mengatakan bahawa bajet ini perlu ditolak dan di bawa bajet baru?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat kena minta jalan Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Mafhumnya, adalah persoalan itu tolong baca Financial Daily. Mungkin Yang Berhormat Batu Pahat kurang membaca mutakhir ini. Baik, Tuan Yang di-Pertua…
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab itulah saya jawab, siapa kata itu saya kata…
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Bukan Yang Berhormat Kuala Selangor sahaja pandai bacalah.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tolong cakap betul-betul, maksudnya apakah MIER kata tolak? Bawa bajet baru? Jangan putar belitkan kenyataan MIER itu.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, MIER tidak bercakap tentang bajet, tetapi ekonomi dan kewangan negara. Persoalannya, penting dalam bajet adalah pendapatan ekonomi negara. itu yang diperbahaskan, bukan untuk menjawab soalan Yang Berhormat Batu Pahat, lebih besar daripada itu.

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]
Ekonomi dan pendapatan negara sudah jauh tersasar. Ini memerlukan satu krisis atau crisis management yang di antara lainnya mesti diterjemahkan dalam pembentangan bajet yang baru.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab itu saya kata bajet ini boleh diteruskan. Tahulah kerajaan buat revision kemudiannya.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Cukuplah, cukup. Saya ada banyak lagi point ini. Itu yang saya bagi laluan tadi. Sudah bagi betis hendak…
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Dalam bahasa halusnya MIER tolaklah itu.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Itu saya tidak cakap.
Tuan Haji Roslan bin Shaharum [Bukit Gantang]: Tidakkan itu tidak reti Yang Berhormat Batu Pahat. Apa yang teruk sangat?
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan berdialog.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya…
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan diputarbelitkan.
Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan berdialog. Siapa yang bercakap, bercakap dengan elok. Kalau ada minta penjelasan, minta penjelasan dengan baik. Sila teruskan.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Baik terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Justeru kerana itu Tuan Yang di-Pertua, saya mengambil kesimpulan kalau mahu berbicara tentang persoalan pendapatan negara yang sudah hari memang jauh terjejas, dan juga yang akan seterusnya menjejaskan beberapa perkara yang telah saya sebutkan terlebih dahulu tentang sovereign rating, dan juga tentang bagaimana kesemuanya ini akan dapat membawa kesan kepada mikro economics khususnya unemployment, khususnya growth ataupun pertumbuhan.

Namun demikian Tuan Yang di-Pertua, saya mahu merubah sedikit pendekatan saya. Kerana saya rasa masa yang ada ini, saya mahu mengongsi lontaran pandangan saya dari satu sudut pandang pembentangan bajet yang juga sekali gus akan menggarap beberapa isu yang kalau boleh saya mahu maksimakan masa ini.

Tuan Yang di-Pertua: Ada 10 minit lagi Yang Berhormat. Sepuluh minit.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya tidak mahu beri laluan apa lagi Tuan Yang di-Pertua. Belanjawan dari sudut pandang Islam khususnya dari sudut pandang Pas umumnya, perlu mengambil kira tiga dasar penting dan dasar inilah di bawah pemerintahan Islam Hadhari kerajaan Barisan Nasional saya mahu memajukan supaya diambil teliti. Ini beberapa cadangan yang lebih khusus mungkin. Pertama adalah prinsip yang disebutkan dalam bahasa Inggerisnya good governance.

AkanTetapi ia termaktub dalam Al-Quran sebagai satu yang dituntut Allah SWT. Itu adalah prinsip Al-Istikhlaf dalam surah An-Nur ayat 55, Allah memberi faham bahawa di antara sifat sebuah kerajaan dan kepimpinan yang bertanggungjawab adalah mereka yang mengurus tadbir negara dengan prinsip Al-Istikhlaf dalam bahasa yang mudahnya good governments [Dengan menyebut sepotong ayat Al-Quran] tanpa saya berhujah panjang, saya mahu terus masuk. Itu prinsip good governance dan good governance ini menyinggung persoalan antara lainnya supaya tidak berbelanja lebih daripada pendapatan. Nabi Allah Yusuf dalam surah Yusuf menyebutkan hanya 7 tahun. Ini sudah 10 tahun.

Defisit yang berterusan seumpama ini meninggalkan kesan yang cukup berat kepada negara dan kepada rakyat. Saya ingin menyebutkan dan dihujahkan kemudian huraiannya. Yang kedua, prinsip Al-Istiqmar [Dengan menyebut sepotong Al-Quran] Allah SWT. menyebut manusia ini dijadikan di atas muka bumi supaya dimakmurkan muka bumi ini dan pada akhirnya untuk mencapai apa yang dikatakan sebagai the world being ness of all Rakyat Al-Falah.

Tuan Yang di-Pertua, saya berhajat untuk menguraikan perkara ini dalam kekangan waktu yang ada ini. Yang pertama yang saya ingin sebutkan tentang melanjutkan persoalan bajet itu. Daripada sudut pandang good governance atau pun Al-Istikhlaf wajar dan wajib sebuah kerajaan memastikan bukan hanya mampu membuat anjuran-anjuran policy prescription , tetapi lebih penting daripada itu membawa sistem penghantaran ataupun sistem delivery , penyampaian sistem yang cekap yang berkesan.

Kalau total bajet kita Tuan Yang di-Pertua, adalah sebanyak RM207 bilion kurang lebih, 1% ketirisan menjejaskan sebanyak RM2.7 bilion. Anggaran pakar ekonomi yang saya boleh quote, saya tidak sandar kepada mana-mana pembangkang, The Edge menyebutkan, seorang pakar ekonomi Morgan Stanley menyebutkan bahawa tahap ketirisan dan kebocoran pengurusan ekonomi kewangan negara ini adalah pada tahap 3% GDP.

Dengan kata lain, kalau berterusan berlaku ketirisan dalam bajet ini dan dalam delivery system bajet ini yang sudah jelas pada kita bagaimana ianya dibuktikan sama ada Laporan Ketua Audit Negara sama ada segala ketirisan yang kita bahaskan sepanjang-panjangnya di Dewan yang mulia ini pembelian BII contohnya yang sudah tidak prudent melangkaui dan melepasi apa yang historical amalan negara Indonesia itu sendiri. Pembelian Pakistan Bank Of Commerce, pemberian kepada projek-projek mega, fast feed broadband, 2 Bilion dan juga pada projek-projek yang terbengkalai seperti Broga…

Sedikit masa dahulu jambatan bengkok Johor RM100 juta pampasan, RM700 juta pampasan.
Keseluruhannya perkara ini meninggalkan satu kesan yang cukup parah…

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: [Bangun]
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: …Yang ditanggung bukan oleh Kerajaan Barisan Nasional tetapi rakyat…
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Mencelah sedikit.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: …Tax payers. Oleh kerana itu Tuan Yang di-Pertua…
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Tolong, mencelah sedikit.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tak ada masa, minta maaf.
Tuan Yang di-Pertua: Ya, dia tidak benarkan Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Tuan Yang di-Pertua, saya membawa penghujahan ini kerana pentingnya untuk ditekankan persoalan sistem delivery ataupun penghantaran sebagai satu prinsip alistiklak yang dituntut oleh Allah, yang dituntut oleh Islam, yang dituntut oleh nilai-nilai sejagat on good governance.

Di samping itu juga persoalan meletakkan priority ataupun alalawiyah, prioritization dalam pembangunan supaya peruntukan-peruntukan dana yang mega mewah mesti diletakkan kepada projek-projek yang membawa pulangan yang besar kepada rakyat. Antara lainnya kalau pun defisit biarkan ianya defisit yang berkualiti bagi menjana multiplier effect khususnya untuk membawa kesan langsung kepada generasi hadapan.

Umpama prioritization adalah sektor-sektor pendidikan, health system yang kian terjejas, housing, perumahan dan juga mutakhir ini pertanian. Ada pun infrastruktur-infrastruktur yang lain
bersifat double tracking, bersifat apa jua yang mega mewah ianya penting tetapi ada di sana perkara yang lebih penting daripada yang penting. Sebab itu Islamic legal system menekankan
tentang takdim ahabbuminalmuhim. Meletakkan yang lebih penting daripada segala yang penting.

Oleh kerana itu kalaulah tidak diletakkan keutamaan ini pada teras dan kepada penarafan yang sebenarnya maka kita dapat lihat bagaimana koridor-koridor pembangunan ini yang kita hingga hari ini tidak diberikan penjelasan yang terperinci di sudut number crunching nya, di sudut programnya. Apa yang kita diuar-uarkan dan diisytiharkan adalah sebanyak kalau tidak silap saya RM1.3 trilion yang akan dibelanjakan di lima koridor ini.

Bagaimana rakyat mendapat limpahan pulangan ini masih jauh untuk dijangkau dan kesemuanya itu masih lagi merupakan mimpi di siang hari. Tidak termasuk bagaimana kesan buruk kesan sampingannya.

Justeru kerana itu Tuan Yang di-Pertua, persoalan pertumbuhan sebagai parameter mikro ekonomik perlu dilihat dan ditinjau kembali. There must a revisit of concept of growth ataupun konsep pertumbuhan GDP ataupun KDNK ini. Dari sudut pandang kami persoalan KDNK ini bukan hanya growth per say not growth for it’s growth sake.

Oleh kerana itu pacuan ekonomi, pacuan pertumbuhan setiap tahun mahu dipacu. Satu masa dahulu seorang mantan Perdana Menteri menyebutkan dengan begitu megah di Dewan yang mulia ini, kita akan memacu pertumbuhan sebanyak 10% untuk 10 tahun akan datang katanya. Ditakdirkan merudum 1999 a financial crisis of Asia dan kita lihat bagaimana sebuah negara yang memandu pada gear dua untuk satu jangka jalan yang terlalu jauh result in over heating, result in apa yang dikatakan sebagai ekonomi meruap dan membelon dalam banyak sektor khususnya sektor yang spekulatif seperti saham dan hartanah.

Oleh kerana itu Tuan Yang di-Pertua, saya Kuala Selangor bagi mewakili kawan-kawan dalam PAS dan juga Pakatan Rakyat memajukan satu konsep green GDP. Satu konsep bukan green sebab kami ini PAS tetapi hijau kerana ia merupakan dan menggambarkan simboliknya pertumbuhan yang mapan, yang sustainable dan yang subur.

Justeru kerana itu Tuan Yang di-Pertua, dalam persoalan ini perlu diambil kira juga pengenalan apa yang dikatakan sebagai carbon tax hasil daripada perhitungan karbon kredit untuk memulihara alam sekitar yang kian diperkosa dengan penjanaan pertumbuhan kononnya yang tidak mengenal apa erti nilai-nilai yang baik.

Tuan Yang di-Pertua, kalau kita hitung GDP ini Tuan Yang di-Pertua segala apa yang ada dalam ekonomi dan aset negara ini umpamanya hutan belantara, our virgin forest ia tidak dianggap satu yang membawa kesan kepada GDP selama ia tidak dipunggah dan digondolkan. Sebaik sahaja lojing berlaku, sebaik sahaja apa jua ekonomi aktiviti berlaku ia termasuk dalam perhitungan GDP. Begitu juga dalam pembinaan sebuah prison di Sarawak yang harganya ratusan juta ringgit. Ia juga termasuk apa yang dikatakan sebagai GDP ataupun perhitungan kepada pertumbuhan GDP. Kalaupun kedua-duanya tadi membawa kesan yang cukup parah as a negative adverse impact kepada environment dan juga kepada negara.

Tuan Yang di-Pertua: Gulung dalam seminit Yang Berhormat.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Itulah sebabnya Tuan Yang di-Pertua persoalan pertumbuhan, persoalan growth GDP persay perlu di revisit. Perlu ditinjau kembali dengan satu paradigma dan satu world view, satu pendekatan yang jauh lebih baik daripada apa yang dikemukakan selama hari ini. Oleh kerana itu Tuan Yang di-Pertua, banyak lagi perkara yang ingin saya sebutkan yang terpaksa saya ringkaskan dan dalam satu minit ini Tuan Yang di-Pertua apa yang boleh saya sebut. Akhirnya Tuan Yang di-Pertua…

Tuan Yang di-Pertua: Elakkan pertengkaran lain kali.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Ya. Inilah celahan-celahan Yang Berhormat Pasir Salak, Yang Berhormat Batu Pahat ini Tuan Yang di-Pertua tapi kawan-kawan tak apa Tuan Yang di-Pertua. Jadi apa yang hendak saya tegaskan sebagai rumusannya Tuan Yang di-Pertua Bajet 2009 hari ini memerlukan satu pencerakinan semula. Ia perlu dihitung khususnya dari sudut
pendapatannya Tuan Yang di-Pertua kerana sudah jauh tersasar daripada apa yang dikatakan
sebagai hasil yang mampu dipungut RM176.2 bilion.

Juga begitu persoalan pengurusan, mengurusnya sudah jauh meningkat dalam tiga tahun contohnya. Dahulunya RM100 bilion sekarang RM155 bilion. Apa tidaknya Tuan Yang di-Pertua, kalau kabinet saiznya pun sudah double XL Tuan Yang di-Pertua. Yang kalah pun hendak jadi menteri juga. Jadi penasihat pun gajinya macam menteri juga.

Kesemua perkara ini Tuan Yang di-Pertua meletakkan persoalan dalam di bawah kerajaan Islam Hadhari persoalan prinsip ikhtilaf, prinsip istikmal memakmurkan negara dan rakyat, mengurus dengan pentadbiran yang baik untuk akhirnya melahirkan sebuah Negara baidatun toyyibatun warabulrafur yang menjadi cita-cita kesemuanya kita sama ada nilai sejagat mahupun nilai Islam masih jauh daripada mampu dicapai.

Justeru kerana itu saya merakamkan di Dewan yang mulia ini daripada Kuala Selangor membawa sekali lagi senario snapshot rakyat yang sedang terhimpit dengan segala kenaikan ini hasil daripada satu polisi yang tidak bertanggungjawab dan kurang kepeduliannya kepada rakyat hingga hari ini kita tidak boleh merombak kembali dan kembali kepada tahap lama walaupun kita akan mengurangkan harga petrol sebanyak RM0.78 untuk masa akan datang. Inilah perkara yang saya sebutkan dalam perbahasan titah dahulu dan saya ulangi sekali lagi rakyat mungkin tidak faham mikro ekonomik, pertumbuhan, foreign reserve, current account, surplus atau deficit tapi yang rakyat tahu apabila mereka ke Kuala Lumpur, apabila mereka berada di Kuala Selangor, di Sabah dan Sarawak di mana pedalaman sekalipun mereka ingin tanya berapa nasi kosong sepinggan di restoran yang mereka langgan. Inilah yang menjadi keperitan rakyat…

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, terima kasih.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Saya merakamkan Tuan Yang di-Pertua sekian terima kasih. Saya mohon dipertikaikan dan dibentangkan kembali Bajet 2009.

RUJUKAN: 20 Oktober 2008

Tinggalkan komen