MP PAS Padang Terap: Adakah kerajaan bercadang wajibkan anak 6 tahun ke pra sekolah

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Pelajaran menyatakan, apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah Tadika 6 tahun di sekolah yang dipenuhi oleh anak guru-guru sedangkan anak penduduk miskin tidak dapat memasuki kelas tersebut secara percuma.

Timbalan Menteri Pelajaran II [Dato’ Razali bin Ismail]: Terima kasih. Sebelum itu saya nak memperbetulkan sedikit soalan ini yang menyebut bahawa masalah Tadika 6 tahun di sekolah yang dipenuhi oleh anak-anak guru, sedangkan penduduk miskin tidak dapat memasuki kelas.

Saya rasa persoalan ini perlu dilunakkan, perlu disederhanakan sedikit. Kalau sekiranya soalan ini spesifik daripada Yang Berhormat Padang Terap, maka kita telah membuat tinjauan, terdapat seramai 718 orang anak-anak Tadika dan daripada jumlah itu hanya 38 orang anakanak guru.

Untuk makluman Yang Berhormat, kemasukan anak-anak ke pra–sekolah Kementerian Pelajaran terbuka kepada semua kanak-kanak yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Permohonan untuk menyertai pra-sekolah ini disebarkan melalui iklan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran pada bulan Jun sehingga Ogos setiap tahun. Pihak sekolah yang melaksanakan kelas pra-sekolah di sekolah berkenaan akan menyebarluaskan maklumat tersebut.

Suka disebut di sini bahawa terdapat ibu bapa yang tidak prihatin dengan iklan tersebut, selalunya terlewat untuk memohon sehingga iklan tersebut ditutup. Perlu ditegaskan bahawa jumlah murid bagi setiap kelas pra-sekolah tidak melebihi 25 orang. Ada kelas yang tidak mencukupi bilangan ini. Maka itulah terdapatnya anak-anak guru yang menyertainya.

Borang permohonan akan ditapis berdasarkan kepada merit pendapatan serta tanggungan ibu bapa atau penjaga. Proses pemilihan tersebut juga dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pra-Sekolah yang dianggotai oleh pihak pengurusan dan juga oleh wakil PIBG.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih timbalan menteri. Satu jawapan yang mantap, terima kasih. Persoalan yang saya timbulkan ini bukan melibatkan Padang Terap sahaja, melibatkan tempat-tempat lain sama. Disebutkan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri bahawa kelas-kelas masih tidak mencukupi.

Adakah pihak kerajaan bercadang untuk menambah kelas-kelas ataupun bangunan tersendiri yang
berasingan daripada kelas-kelas yang sedia ada di sekolah rendah untuk menampung ketidakcukupan ini?

Adakah kerajaan bercadang untuk mewajibkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke kelas-kelas pra-sekolah ini? Apakah ia tidak bertentangan dengan tadika-tadika, PASTI, pusatpusat tunas Islam dan sebagainya yang ada, yang dianjurkan sebahagian daripadanya oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar? Terima kasih.

Dato’ Razali bin Ismail: Memang Kementerian Pelajaran mempunyai hajat untuk memperluaskan kelas-kelas pra-sekolah ini untuk memberi program latihan pembangunan modal manusia dengan sebaik-baiknya. Untuk itu sekarang ini terdapat 6641 buah pra-sekolah dengan enrolmennya seramai 148556 orang kanak-kanak daripada kira-kira 7627 buah bilangan sekolah rendah.

Memang kita sedari bahawa permintaan anak-anak kita, ibu bapa untuk menyertai kelas pra-sekolah, annex di sekolah kebangsaan kita ini adalah terlalu tinggi. Memang pun Kementerian Pelajaran berhajat untuk memperluas dan membuka sebanyak 714 buah kelas prasekolah lagi menjelang tahun 2009 ini.

Tadi telah disebut bahawa kita tidak mahu bertelingkah dengan peranan yang dimainkan oleh KEMAS dan juga oleh Jabatan Perpaduan Negara untuk memastikan lebih ramai lagi anakanak kita, di kampung-kampung dapat menyertai kelas Tadika ini.

Kita ada kita punya kekangan sendiri untuk outreach dan sampai terutama ke sekolah-sekolah pedalaman dan sebab itulah kita beri juga peluang kepada agensi-agensi lain termasuk juga sektor swasta.

RUJUKAN: Sesi soalan jawab lisan 29 Oktober 2008

Tinggalkan komen