MP PAS Rantau Panjang: Minta kerajaan sediakan mekanisme kawalan kredit

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan dari segi sudut jangka panjang, apakah kerajaan menyediakan satu mekanisme kawalan kredit terhadap rakyat?

Kita lihat sekarang ini, akibat daripada kadar inflasi yang meningkat dan kenaikan harga barang, kadar penggunaan kredit adalah amat tinggi dalam masyarakat kita termasuklah pinjaman pendidikan, kenderaan, rumah, pinjaman along dan sebagainya sehingga hampir 80% pendapatan bayar untuk kredit.

Jadi apa mekanisme kawalan oleh kerajaan untuk memastikan bahawa masyarakat kita tidak terus terbeban dengan arus kemiskinan akibat dengan fenomena yang ada sekarang ini.

Tan Sri Amirsham A. Aziz: Seperti yang saya beritahu tadi bahawa salah satu pelan jangka panjang untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan ialah memberi peluang perniagaan. Dengan peluang perniagaan, kita harus memberi kredit. Kredit yang diberi oleh pelbagai agensi mikro kredit adalah luas. Jadi sekarang ini tidak ada masalah atau peluangpeluang untuk orang miskin untuk mengakses atau mendapat kredit supaya dapat mereka menjalankan perniagaan.

Dari segi berapa banyak pinjaman ataupun pinjaman yang tidak akan membebankan rakyat itu kita ada maklumat berkenaan dengan berapakah seseorang itu tertanggung dari segi kredit.

Oleh itu, syarikat-syarikat peminjam dapat memberi penentuan bahawa adakah orang yang akan meminjam ini berkemampuan untuk membayar balik kredit. Berkemampuan untuk membayar balik kredit adalah mustahak. Penting untuk pemberian kredit kerana pemberian kredit tujuannya adalah untuk memberi keselesaan kepada peminjam bukan untuk memberi kesusahan kepada peminjam.

Oleh itu, saya tahu dulu sebagai seorang pegawai bank kita harus memberi pinjaman kredit yang tidak sewenang-wenangnya atau terus memberi beban kepada rakyat.

Jadi, itu adalah satu falsafah yang digunakan oleh setiap syarikat-syarikat peminjam. Yang Berhormat, memang benar secara mikronya jumlah peruntukan yang diagihkan khusus untuk kemiskinan luar bandar adalah lebih tinggi berbanding kepada kemiskinan bandar.

Sebagai contoh KKLW atau Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah agensi utama yang bertanggungjawab untuk program kemiskinan luar bandar merekodkan perbelanjaan sebanyak RM139 juta pada tahun 2007 berbanding dengan KPKT atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agensi utama yang bertanggungjawab untuk program kemiskinan bandar sebanyak RM19.9 juta pada tahun yang sama.

Rujukan: Pencelahan Penggulungan menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Amirsham A. Aziz, 29 Oktober 2008, ms 185-186

Tinggalkan komen