MP PKR Machang: Dalam kes ‘mata lebam Anwar’, kenapa Peguam Negara kini sembunyi fakta?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Jawapan Yang Berhormat Menteri berhubung kes Permatang Pauh yang dipukul pada malam 20 September. Saya persoalkan kenapa Peguam Negara hari ini menyembunyikan fakta.

Saya merujuk kepada afidavit atau kenyataan bersumpah oleh bekas pegawai polis yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes itu yang memberikan perincian tentang persoalan-persoalan siapa, bila, di mana, bagaimana. Semuanya lengkap.

Sebab itu saya lanjutkan perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Ipoh Timur, kenapa siasatan itu mengambil masa terlalu lama. Saya hendak ingatkan balik, hendak balikkan semula ingatan kita. Selepas kejadian 20 September Yang Berhormat Menteri, dan berikutnya Yang Berhormat Permatang Pauh muncul di mahkamah dengan mata lebam.

Kemudiannya Jawatankuasa Khas Polis itu dibentuk diketuai olah Datuk SAC II Mat Zain Ibrahim, pencen dah sekarang ini. Laporan itu diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Itu keterangan dia, fakta dia. Sebenarnya siasatan itu telah pun mengenal pasti siapa yang pukul, telah pun dikenal pasti, telah diberitahu kepada Pejabat Peguam Negara.

Apa yang berlaku waktu itu ialah Pejabat Peguam Negara lantik seorang lagi doktor, Dr. Abdul Rahman untuk kemudiannya mempertikaikan laporan Dr. Abdul Halim Mansar. Dr. Halim ini yang periksa Yang Berhormat Permatang Pauh waktu luka parah. Dr. Abdul Rahman ini tak jumpa pun, tak buat pun fizikal check up.

Akan tetapi Peguam Negara pakai laporan Dr. Abdul Rahman yang kemudiannya dia bagi tahu bahawa betul Yang Berhormat Permatang Pauh dipukul tapi tak tahu siapa yang pukul. Itu membawa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dianggotai oleh orang-orang pencen sahaja termasuk Tan Sri Abu Talib.
Saya masih ingat, tak sampai 48 jam mereka mengenal pasti siapa yang pukul.

Baik, isunya adalah, Yang Berhormat Ipoh Timur tadi bangkitkan laporan kes itu kemudiannya bahan bukti yang terbaru itu ditemui, sampai kepada Yang Berhormat Permatang Pauh. Yang Berhormat Permatang Pauh buat laporan di IPK Selangor dan juga di BPR Putrajaya. Siasatan bermula. Melalui kenyataan laporan oleh SAC Mat Zain Ibrahim bekas pegawai polis ini, dia telah pun menyebutkan secara terang siapa yang pukul.

Ada jawapan, di mana berlaku, ada jawapan. Siapa lagi yang tahu dia sebut satu-satu. IGP hari ini tahu perbuatan itu. AG hari ini tahu perbuatan itu. Sangat jelas. Siasatan ini cuma perlu mengambil kenyataan daripada Mat Zain Ibrahim. Tak payah ambil masa sampai empat, lima bulan sebab isunya sangat straight to the point dengan izin, itu isu.

Saya mohon penjelasan yang lebih ini tidak satu ayat sahaja mengatakan bahawa AG tak tahu. Itu tak mampu meyakinkan kita, itu satu. Saya setuju bahawa kes ini masih disiasat. Kita masih menunggu hasilnya. Yang kedua Yang Berhormat Menteri, soal integriti.

Hari ini kita ada Institut Integriti. Dia ada badan dia, macam lembaga (board) dia. IGP dan juga AG ini duduk dalam board integriti ini. Dua orang ini dia ada dalam board integriti. Macam mana integriti
hendak diwujudkan kalau sekiranya mereka sekarang sedang disiasat. Adakah kedudukan mereka ini akan dikaji balik? Kasihan Institut Integriti, terpalit kerana keanggotaan dua watak ini.

Sedangkan Institut Integriti melakukan banyak kerja Yang Berhormat Menteri, cukup bagus. Integriti sektor awam, integriti sektor swasta, sektor politik, macam-macam dan dia bersungguh-sungguh. Bahkan Dewan yang mulia ini pun kita ada jawatankuasa, Select Committee on Integrity. Malangnya Tuan Yang di-Pertua, laporan pun tak bentang lagi ini.

Laporan on Select Committee on Integrity belum dibentangkan lagi, kita tak tahu. Soalan saya yang pertama waktu menjadi Ahli Parlimen di sini ialah laporan Select Committee on Integrity, sampai hari ini kita tunggu masih belum dibentangkan.

Jadi ini antara dua tiga perkara yang saya fikir cukup fundamental yang saya mohon Yang Berhormat Menteri untuk memberikan penjelasan. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Sebelum menteri menjawab, saya suka mengingatkan kepada Ahli Yang Berhormat mengenai Peraturan Mesyuarat 37(1)(b) iaitu apabila minta penjelasan daripada menteri, tolonglah jangan gunakan kesempatan itu untuk berhujah seolah-olah ada ruang untuk berbahas lagi, membawa fakta-fakta yang lain.

Dan satu lagi saya ingatkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang kadang-kadang kita sengaja untuk tutup telinga, pura-pura tidak dengar, Peraturan Mesyuarat 36(8) iaitu kelakuan-kelakuan ataupun sifat Hakim, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, TYT-TYT, dan mereka yang menjalankan keadilan mahkamah termasuk AG dan sedemikiannya, itu tidak boleh disebut, kecuali ada usul yang dikeluarkan iaitu usul persendirian.

Ingat kepada ini semua, Yang Berhormat, saya yang menentukan, saya yang duduk di sini. Kalau umpamanya tafsiran saya tidak betul, bawa kepada Peraturan Mesyuarat 43. Sila Menteri.

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Kes ini dalam penyiasatan. Jadi biar kita selesai penyiasatan itu. Kalau tidak nanti saya akan menjawab benda yang spekulasi sahaja. Yang Berhormat Machang juga mendakwa wujudnya ketidakadilan dalam tindakan kes-kes rasuah. Jika ia melibatkan pihak pembangkang berbanding jika ia melibatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional.

Untuk makluman Yang Berhormat, kepantasan tindakan siasatan oleh pihak BPR bukan bergantung kepada siapa pelakunya, tetapi bergantung kepada komplikasi atau bentuk kes dan kerjasama yang diberikan oleh saksi-saksi.

Ada kes-kes yang dapat disegerakan kerana kerjasama penuh dari saksi serta tidak melibatkan banyak dokumen. Mana-mana kes yang melibatkan banyak dokumen serta melibatkan saksi-saksi bukan sahaja dalam negara malahan di luar negara. Ini memberi kesan kepada tempoh penyiapan sesuatu siasatan.

Sebagai contoh baru-baru ini BPR telah menyiasat dan menuduh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri dan seorang Ketua Pemuda dari parti kerajaan atas tuduhan rasuah. Tindakan yang diambil amat pantas kerana kes adalah straight forward.

Jadi, saya ingin menyatakan di sini bahawa BPR tidak bertindak memilih sama ada orang itu daripada pembangkang ataupun orang itu daripada Barisan Nasional.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Respond daripada Yang Berhormat Menteri saya ucapkan terima kasih. Begitu pun Yang Berhormat Menteri harus juga memberikan respond terhadap perkara khusus yang saya dibangkitkan waktu mengambil bahagian dalam perbahasan tempoh hari.

Saya membandingkan dua kes. Satu kes Menteri Besar Kelantan yang segera didatangi oleh BPR ambil kenyataan atas alasan menyembunyikan fakta percubaan memberi rasuah. Saya kemudian membandingkan dengan seorang timbalan ketua menteri di sebuah negeri di Malaysia Timur, yang membuat kenyataan terbuka bahawa beliaulah yang bercakap kepada Perdana Menteri untuk tidak mengambil tindakan ke atas presiden partinya yang kebetulan disiasat oleh BPR.

Sampai hari ini kita tidak mendengar timbalan ketua menteri tersebut didatangi atau di ambil kenyataan oleh BPR, itu isunya. Kalau berbanding kes Permatang Pauh kelmarin. Itu lebih jelas hanya kerana memberi, mengganggu ataupun mengarahkan seorang pegawai polis supaya jangan menyiasat, itu sudah dikena enam tahun penjara, yang ini timbalan ketua menteri secara terbuka memberitahu bahawa beliaulah yang bertanggungjawab memberitahu Perdana Menteri jangan diambil tindakan ke atas presiden partinya.

Sangat jelas kalau hendak dibandingkan dengan Kelantan. Itu yang saya maksudkan kenapa harus berlaku begitu? Ini menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti badan penyiasat seperti ini. Oleh itu mohon penjelasan.

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, saya kira bahawa tindakan untuk menyiasat beliau itu sudah tentu akan dijalankan berdasarkan kepada kenyataan dia sendiri yang mengatakan bahawa dia menasihat supaya tidak diambil tindakan.

Jadi, ini saya percaya siasatan telah pun berjalan, diambil oleh BPR mungkin ia tidak dilaporkan, kerana saya tahu BPR dengar sahaja dia akan ambil tindakan, dia tidak kira siapa dia. Tak usahlah kira kalau hendak dibela, lebih baik dia bela UMNO daripada sebuah pasti yang kecil macam itu.

Tidak ada rasional yang boleh kita terima, mengapa hendak jaga seorang yang datang daripada parti kecil tetapi yang dari parti besar UMNO ini semua tindakan diambil.

Saya hendak bagi tahu macam kata kes-kes parti pemerintah Mustafa bin Salim, ADUN Lenggeng ambil tindakan; seksyen 10(9)A, April 1997. Mohd Noor bin Awang, Naib Ketua UMNO di Negeri Sembilan juga diambil tindakan. Mohd Rosihan bin Abdul Yazis, Mohd Fawzi bin Ismail, Ketua UMNO bahagian, semua ini diambil tindakan.

Jadi, saya kira kalu ianya tidak dilaporkan dalam akhbar secara besar-besaran tidak bermakna tindakan di ambil. Saya bagi jaminan iaitu bahawa saya tahu pegawai-pegawai BPR dia dapat tahu sahaja dia akan ambil tindakan untuk menyiasat.

Pengerusi Integriti dulu pun, dia sebut bahawa ada satu masa dia telah disogok wang tetapi dia tidak terima, tetapi kerana tidak melapor itu merupakan satu kesalahan dia terpaksa berhenti.

Jadi, Yang Berhormat saya bagi jaminan bahawa pihak BPR, saya pasti sudah tentu akan menyiasat kalau belum menyiasat apa yang telah disebutkan oleh timbalan ketua menteri itu.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ipoh Timur menyatakan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada tahun 2004 telah mensasarkan bahawa dalam lima tahun Indeks Transparensi Rasuah Malaysia berada dalam kedudukan ke-30.

Untuk makluman Yang Berhormat apa yang dinyatakan dalam Tekad 2008 adalah sasaran yang ingin dicapai. Sasaran ada yang tepat dan ada juga yang tersasar kerana banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh lima tahun lepas.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menghapus segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Tindakan ini bukan sahaja untuk memperbaiki persepsi tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan negara ini bebas daripada rasuah.

Usaha ini akan terus diperhebatkan lagi melalui pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang kita kena hendak bentang ini. Seperti mana Yang Berhormat tahu … telah pun kita ratify. Ini semualah yang kita hendak buat untuk kita mahu mencapai kedudukan transparensi rasuah di kedudukan 30.

Jadi saya harap Yang Berhormat pun cakap tentang benda Yang Berhormat tahu, kerana persepsi ini didengar dan Yang Berhormat sebagai Ahli Parlimen yang lama, yang dulu bekas Ketua Pembangkang kalu cerita sesuatu sudah tentu orang percaya. Inilah persepsi yang menjadi pertimbangan bagi transparensi international untuk membuat keputusan. Jadi Yang Berhormat tolong bantu kita lah, kita hendak lawan rasuah ini.

Rujuk: Pencelahan Penggulugan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz, 29 Oktober 2008 ms 142-144

Tinggalkan komen