MP PKR Machang: Membantu kaum sendiri tidak salah, tetapi jangan membantu itu menindas hak orang lain

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya ucap tahniah. Kita enjoy debate yang macam ini Yang Berhormat Menteri. Kita harap sesi penggulungan yang lain pun, menteri-menteri akan berdebat macam ini juga lah.

Polemik kita ini timbul bila Yang Berhormat Menteri lontarkan bahawa dasar-dasar yang berlangsung dalam negara ini bertolak daripada dua dikotomi iaitu bumiputera dan nonbumiputera. Yang Berhormat Menteri orang Melayu, saya pun orang Melayu juga. Tak salah sebenarnya kalau kita sayangkan bangsa kita. Yang Berhormat Menteri ya, tak salah langsung.

Dalam Al-Quran pun ada lebih 50 ayat yang mula dengan “Ya kaumi “ iaitu, wahai kaumKu ataupun bila Allah Taala sebut utus pada Rasul, Allah Taala sebut “Illa Kaumika” iaitu, kepada kaum engkau. Itu tiada masalah, bab itu.

Kita faham, Yang Berhormat Menteri pun faham soal itu. Yang kita bahaskan sekarang Yang Berhormat Menteri ialah, apakah kecintaan kepada bangsa kita itu sampai boleh kita menindas atau membelakangkan atau menidakkan hak orang lain.

Perlembagaan satu bab, tetapi Perlembagaan bukanlah satu yang statik, ianya satu yang dinamik. Kalau sudah sampai seribu tahun, sejuta tahun tak boleh nak ubah, ini beku dan jumud namanya. Sebab itu saya fikir isunya di sini ialah bangsa Melayu ini Yang Berhormat Menteri, saya berpendapat mulianya kerana agama. Kalau dia tinggal agama, tak ada apalah.

Sebab itu Yang Berhormat Permatang Pauh tadi bangkitkan tak salah nak tolong Ahmad, nak tolong Abu Bakar, tak salah. Akan tetapi Ah Chong, Ah Kaw yang miskin dan tertinggal pun kena bantu. Ramasamy, Doraisamy, Mutusamy yang tertinggal pun kena bantu. Saya ingat yang itu pun ada. Bab itu pun ada dalam apa yang Yang Berhormat sebutkan tadi.

Saya berpendapat Yang Berhormat Menteri, perkara lebih pokok yang ditimbulkan tadi ialah membantu kaumnya sendiri tidak salah tetapi jangan sampai dalam membantu itu menindas, membelakang dan menafikan hak kaum lain di negara kita. Itu isunya, tetapi kalau kita nak pertahankan dasar itu sekalipun, saya berpendapat bahawa yang kita tentang ialah bukan perkara yang telah termeterai, termaktub dalam Perlembagaan.

Yang Berhormat Menteri pun mengaku tadi tiada khilaf bab ini antara kita. Akan tetapi dari sudut praktis dan amalannya, apabila perlaksanaan dasar itu memberikan keuntungan kepada segelintir, yang ini menjadi masalah. Sebab itu saya kata mulianya Melayu kerana agama.

Saya nak bagi dua contoh. Misal kata satu hari Perdana Menteri…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Singkatkan Yang Berhormat ya.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Menteri bagi floor.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya tahu Yang Berhormat. Saya Pengerusi Yang Berhormat.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih. Saya mohon maaf. Saya bagi dua contoh nak tunjuk dekatnya kalau Melayu itu dengan agama, selesai masalah. Perdana Menteri yang bernama Umar Al-Khattab, Khalifah.

Satu hari dia bagi pidato depan khalayak, tiba-tiba bangun seorang lelaki memberitahu, jangan kita dengar pidato Umar, selagi dia tak dapat terangkan dari mana kain yang dia buat jubahnya.

Saya juga dapat kain itu sebab harta rampasan perang, tetapi kain yang saya dapat tak boleh buat jubah. Akan tetapi Umar hari ini pakai jubah baru. Sehingga dia terangkan dari mana dia dapat jubah itu, barulah kita boleh dengar pandangannya.

Umar kemudiannya beritahu anaknya, Abdullah bin Umar “Tolong terangkan”. Anak dia kata “Bahagian aku, aku bagi kepada bapa aku, sebab itu bapa aku siap jubah”. Bahagian lelaki itu tak cukup. Maknanya, moral cerita ini ialah pemimpin besar pun kamu tetapi kalau dipertikai atau pun dipersoalkan oleh khalayak ramai, tak ada cacat celanya dengar.

Tak kena ISA pun ke atas lelaki yang mencabar Perdana Menteri ini. Kalaulah jubah boleh dipersoalkan oleh rakyat Yang Berhormat Menteri, apa lagi kalau hal pemberian saham, kontrak dan projek. Patut
sangatlah rakyat persoalkan dan pemimpin jangan rasa terjejas dan terancam. Itu soal yang pertama.

Yang akhirnya Tuan Yang di-Pertua ialah Perdana Menteri juga yang namanya Umar Al-Khattab, masa pemerintahannya dia berkempen dasar pertanian. Dia galakkan rakyatnya bertani, utamakan pertanian, dia siapkan padang ragut untuk rakyat. Rakyatnya menternak binatang, bawa ke padang ragut yang disediakan oleh kerajaan. sampai di situ didapati binatang ternakan peliharaan anak Khalifah dah pun meragut di padang itu.

Rakyat kompelin dengan Khalifah. “Kami bela binatang ternakan bagi menyahut dasar pertanian, tetapi bila kami pergi padang ragut kami dapati bahawa padang ragut itu anak kamu punya binatang dah pun makan habis dah”. Umar panggil anak dia, dan kata “Tolong jual binatang ini, dan duitnya masuk dalam
Baitulmal, keuntungan masuk Baitulmal, duit modal ambil kepada kamu.

Aku tak mahu kerana kamu anak aku, padang ragut aku buat untuk rakyat, kamu yang ambil”.

Moral cerita ini Yang Berhormat Menteri, tak salah dari sudut itu, tetapi kalau membelakangkan hak kepentingan ramai, itu dia, kisah dia. Yang Berhormat Batu Pahat pun tahu kisah ini dalam usrah kita dulu. La ni dia nampak macam celaru. Ertinya Yang Berhormat Menteri, persoalan saya pada Yang Berhormat Menteri ialah, kalau hal-hal yang macam itu pernah ada contohnya, kita nak ajak Dewan yang mulia ini tengok contoh-contoh itu.

Saya yakin Yang Berhormat Menteri punyai integriti untuk bercakap bab ini sebab itu saya ajak berkongsi sama. Tak salah tolong bangsa sendiri. Yang salahnya ialah sambil tolong, tekan, tindas dan aniaya bangsa lain. Itu isunya. Terima kasih.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Yang Berhormat Menteri, boleh minta laluan?
Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz [Padang Rengas]: Nanti saya jawab kejap. Yang Berhormat, tiada sebesar kuman pun perbezaan pandangan Yang Berhormat dengan saya… [Tepuk]

Tidak boleh tindas bangsa-bangsa lain. Ini saya nak menyatakan bahawa Kerajaan Barisan di sini tidak menindas bangsa lain. Saya nak beritahu, Yang Berhormat ada sebut, sebenarnya kalau Yang Berhormat lebih banyak tarbiah kepada rakan-rakan DAP dalam PR ini, tak ada masalah kita. Jadi apa Yang Berhormat cakap kepada saya itu macam khutbah kepada orang yang telah converted pun…

Rujuk: Pencelahan Penggulungan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz, 29 Oktober 2008 ms 101-103

Tinggalkan komen