Barisan Pak Lah – Kabinet cacamerba menongkah kehendak rakyat

Oleh Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kegagalan Kerajaan BN menamakan tokoh-tokoh berwibawa dan bersih untuk menganggotai Kabinet kerajaan semalam. Kabinet yang penuh dengan individu yang bermasalah ini bukan sahaja tidak menggambarkan sikap serius BN dalam memahami mesej rakyat dalam pilihan raya lepas yang tidak mahu pemimpin korup memerintah negara.

Bagi DPP Pusat, Kabinet yang dibentuk semalam adalah satu Kabinet yang cacamerba dan menongkah kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang adil, cekap dan bersih.

Kabinet yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang sentiasa ‘mengantuk’ dan Timbalan Perdana Menteri yang ‘dibersihkan’ oleh ketuanya di luar mahkamah langsung menggembirakan rakyat. Perdana Menteri sendiri mempunyai beberapa skandal yang dipersoalkan oleh rakyat seperti isu Khairy Jamaluddin, kekayaan Kamaluddin Abdullah dan penglibatan Patrick ‘Badawi’ Lim.

Sedangkan timbalannya pula masih dipersaoalkan dengan isu Altantuya, komisyen kapal selam dan komisyen helikopter yang mencecah RM1 bilion. Menteri-menteri lain seperti Muhyiddin Yassin, Zaid Ibrahim, Nazri Aziz, Azalina Othman, Rais Yatim, Noh Omar, Hishamuddin Hussein, Muhammad Taib dan Shafie Afdhal adalah antara yang disebut-sebut oleh rakyat kerana pelbagai skandal sama ada seks, rasuah, tidak cekap, anti Islam dan lain-lain termasuk melarikan berkilo-kilo wang tunai ke luar negara.

Kita gembira melihat beberapa menteri rasuah dan tauke judi digugurkan, selain beberapa menteri yang disentap sendiri oleh rakyat. Tetapi, Pak Lah masih mahu melantik saki-baki menteri yang terjebak dengan pelbagai skandal untuk menganggotai Kabinet baru ini. Apa yang jelas, Kabinet ini amat cacamerba kerana tidak lagi mewakili pemimpin-pemimpin utama parti, tetapi lebih kepada mengukuhkan kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri.

Beberapa menteri dari team timbalannya digugurkan, mungkin kerana mahu mengurangkan tekanan, selain melain begitu ramai anggota Kabinet dari Sabah dan Sarawak sebagai strategi untuk mengelakkan pemimpin dari Malaysia Timur menyertai pakatan pembangkang sedangkan Kedah, Melaka dan Perlis tidak mendapat menteri. Adakah Kabinet ini hanya untuk mengukuhkan kedudukan Pak Lah yang semakin tercabar, atau untuk membangunkan negara?

Perlantikan menteri dari kalangan bukan orang politik seperti Datuk Amirsham A Aziz dan beberapa Ahli Dewan Negara seperti Muhammad Taib dan Zaid Ibrahim juga menunjukkan bahawa BN sudah ketandusan pemimpin berwibawa. Kerajaan BN terpaksa melantik semula tokoh yang pernah didakwa di mahkamah kerana membawa wang keluar negara.

Ketua Penerangan Umno itu hanya dibebaskan daripada kesalahan tidak mengisytiharkan wang yang dibawa, bukannya dibersihkan daripada dakwaan rakyat tentang di mana wang sebanyak itu diperolehi. Zaid Ibrahim yang terkenal kerana sikap anti Islam termasuk menyekat perlaksanaan hudud melalui proses mahkamah dibawa menganggotai Kabinet Hadhari selepas tokoh ulamak Umno, Abdullah Mohd Zain digugurkan.

Seperti juga krisis kepemimpinan yang berlaku di Perlis dan Terengganu, Kabinet Pak Lah juga tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahlinya sendiri. Penarikan diri dua orang Timbalan Menteri selepas pengumuman oleh Perdana Menteri menjelaskan kekalutan ini. Lebih kusut lagi apabila seorang bekas menteri meletakkan semua jawatan parti apabila beliau tidak dilantik sebagai menteri. Ini adalah bantahan terbuka mereka terhadap Kabinet cacamerba ini.

Ia juga adalah lanjutan daripada desakan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir supaya Pak Lah meletakkan jawatan. Radzi Sheikh Ahmad yang selama ini dikenali sebagai orang kuat Pak Lah digugurkan, mungkin kerana tidak cemerlang atau Pak Lah telah mendapat pengganti dari Johor Bahru.

Apa yang diperhatikan oleh rakyat ialah barisan Kabinet baru ini masih tidak dapat melepaskan diri mereka daripada amalan-amalan buruk dalam pentadbiran awam seperti kronisme, nepotisme dan rasuah. Ia jelas tidak mewakili aspirasi rakyat untuk sebuah kerajaan yang bersih dan adil.

Lebih ketara lagi bahawa Kabinet ini tidak mendapat sokongan padu daripada pimpinan tertinggi Umno sendiri, selain terpaksa berhempas pulas untuk mengelakkan beberapa parti komponen BN meninggalkan pakatan tersebut. Kabinet cacamerba ini boleh dikatakan sebagai Kabinet untuk mempertahankan survival politik Pak Lah sama ada daripada tumbangnya Kerajaan BN atau tercabarnya beliau oleh timbalannya.

4 Respons

  1. Kesemua yg dipilih adalah mengikuti tahap bodek mereka…

    Tiada apa yg perlu dipertikaikan…

    Memang mereka baguih dok ada dlm hal bodek ini…

  2. kan dia adalah imam besar hadhari, cucu ulama, jadi tak perlu idea dan cadangan dari orang yang tak berilmu,
    yang menjadi mangsa dan menderita ialah rakyat yang di bangangkan oleh pihak yang ada kuasa tapi tak ikut akal dari panduan Al-Quran an Hadis.
    bila Al-Quran dan Hadis tak di ikuti, maka yang beri panduan adalah syitan bisu dan iblis laknatullah.

    fikirlah berpandukan Al-Quran dan Hadis.

  3. baru depa tau selama ni depa ingat depa bagus,kuat

  4. budaya bodek membodek ini sudah sebati didalam umno.umno tak boleh hidup tanpa wang.umno ada lah tempat untuk orang orang tertentu sahaja.umno tidak akan boleh diubah lagi,

Tinggalkan komen