Mahfuz minta PAC siasat peruntukan Dana RM10 bilion kepada Khazanah Nasional

MP PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar petang tadi menyerahkan surat memohon Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Seri Azmi Khalid menyiasat peruntukan dana RM10 bilion dalam pakej ransangan ekonomi yang diberikan pada Khazanah Nasional Berhad tahun lepas.

MP PAS Pokok Sena, Dato Mahfuz Omar menyerahkan surat permohonan kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid. Turut memerhati Ahli PAC, Dato' Kamarudin Jaffar

Permintaan Mahfuz itu ekoran Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar sebelum ini yang berjanji menyediakan lebih 70 ribu peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, projek ‘pasang siap’ serta pelaburan khusus di Wilayah Pembangunan Malaysia (WPI) melalui pakej tersebut.

“Saya mahu suatu siasatan dibuat ke atas Khazanah Nasional, saya nak tahu projek apa (yang dibuat), di mana (impak pembangunan) dan sejauh mana projek tersebut sedang dilaksanakan,” gesa Mahfuz.

Beliau turut mempersoal tentang penyusutan 1.2 peratus ekonomi negara.

“Mengapa boleh ada penyusutan ekonomi negara sebanyak 1.2 peratus untuk suku tahun ketiga tahun ini, sedangkan Khazanah menjanjikan pelbagai projek pasang siap dengan ransanga ekonomi ini, sepatutnya penyusutan ini tidak berlaku.”

“Apakah langkah pemantauan yang diambil oleh Khazanah untuk pantau RM10 bilion ini? Ada ketelusankah di dalamnya (pengurusan dana) dan bagaimana ia menguntungkan rakyat,” soal Mahfuz lagi.

Beliau yang juga Naip Presiden PAS berkata, ada pihak berpendapat peruntukan dana tersebut untuk meransang saham beberapa anak syarikat Khazanah sendiri di dalam Bursa Saham Malaysia.

Beliau turut memberikan contoh, sejumlah wang tertentu dari dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan untuk menyelamatkan ValueCap Sendirian Berhad.

Tambahnya lagi, kerajaan juga memperuntukan banyak dana untuk meransang ekonomi nasional sebelum ini, namun rakyat tidak merasai impak ekonomi dan pembangunan dari pakej ransangan tersebut.

Dana-dana yang dimaksudkan termasuk pemberian RM2 bilion kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk membina terminal pengangkutan tambang murah di KLIA.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukan dana RM250 juta untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

Telekom Malaysia Berhad turut mendapat RM2 bilion untuk penyediaan sistem jalur lebar berkelajuan tinggi dan RM480 juta kepada PLUS Berhad kerana tidak menaikan tol.

Selepas membuat kenyataan tersebut, Mahfuz menyampaikan suatu memorandum kepada Azmi.

Tinggalkan komen