MP PAS Kuala Krai cadang ‘kita turut sama’ membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan pendidikan

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kita dahulu pernah menjadi sebuah negara yang membangun dan mendapat bantuan teknikal daripada negara yang lebih maju, termasuk di antaranya yang menghantarkan syarikat-syarikat multinasionalnya di negara kita dan turut membangunkan negara kita dengan turut sama menyumbang kepada pembangunan infrastruktur pendidikan dan sebagainya.

Jadi saya ingin peranan Malaysia ini pada peringkat kita sudah hampir menjadi negara maju ini untuk bertindak cara yang sama, iaitu pergi ke negara-negara yang dikatakan sedang membangun ini dan bukan sahaja mengeksploitasi perniagaan dan perdagangan seperti yang disebutkan tadi semakin besar dan banyak yang berpihak ataupun balance nya lebih kepada kita.

Akan tetapi apakah kita berhasrat contohnya kalau Petronas masuk ke negara-negara di Afrika dan memulakan perniagaan, exploration dan sebagainya di sana.

Untuk melihat hebatnya Malaysia ini, mereka juga turut sama dalam membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan termasuk pendidikan kepada negara-negara yang kita masuk itu supaya kesannya adalah lebih baik, lebih positif dan nama kita menjadi lebih hebat. Minta penjelasan, terima kasih.

Timbalan Menteri Luar Negeri [Datuk Abdul Rahim bin Bakri]: Terima kasih Yang Berhormat, seperti mana yang saya jelaskan di sini sebelum ini bahawa sebenarnya, Malaysia menggunakan Malaysian Technical Cooperation Programme yang memberikan faedah kepada 129 negara sebagai salah satu cara untuk bukan sahaja menjamin kerjasama diplomasi dan perdagangan, tetapi juga adalah merupakan bantuan yang diberikan oleh Malaysia sebagai sebuah negara yang telah mencapai kejayaan kepada negara-negara yang sedang membangun.

Dalam soal seperti mana Yang Berhormat bangkitkan tadi bahawa syarikat-syarikat multinasional khususnya Petronas yang meneroka bidang-bidang pelaburan di negara-negara tersebut tidak pernah melupakan tanggungjawab sosial mereka kepada negara-negara tersebut.

Ini kerana Petronas di antaranya bukan sahaja memberikan peluang untuk mendapatkan pendapatan negara yang lebih kepada negara-negara tersebut untuk membolehkan mereka dapat membangunkan negara mereka, tetapi juga menyediakan biasiswa dan juga peluang-peluang latihan kepada pelajar-pelajar di negara tersebut, khususnya membawa mereka ke negara ini iaitu dilatih di universiti yang dimiliki oleh Petronas.

Apa yang penting di sini, seperti mana yang saya jelaskan sebelum ini telah ada 16,811 peserta daripada 129 negara yang telah kita latih dalam pelbagai bidang. Mereka ini bukan sahaja mendapat latihan di negara ini dan balik ke negara mereka sekurang-kurangnya membantu untuk membangunkan negara mereka, tetapi melalui Alumni MTCP ini, mereka juga menjadi penghubung yang penting, yang menjamin perhubungan di antara negara kita dengan negara tersebut berterusan dan memberikan faedah kepada kedua-dua belah pihak. Terima kasih.

Soalan asal No. 9 – Dato’ Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir [Jerlun] minta Perdana Menteri menyatakan apakah usaha yang telah dilaksanakan sejak tahun 2004 untuk membela nasib negara-negara Dunia ketiga dan negara-negara selatan seperti yang dilakukan sebelum ini.

[Sesi soalan jawab lisan pada 19 Februari 2009]

Tinggalkan komen