Penyelewengan PKFZ: MP PAS Pokok Sena minta tubuh Suruhanjaya Diraja

Sesi Perbahasan Usul-usul dan Rang Undang-Undang

Usul 18 oleh MP PAS Pokok Sena ditolak Speaker

Usul 18 (1) oleh MP PAS Pokok Sena minta Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya menyiasat penyelewengan PKFZ. Bagaimanapun ditolak oleh Speaker. [20 Okt. 2009]

Teks Usul adalah seperti berikut:
YB Haji Mahfuz Omar, Ahli Dewan Rakyat bagi Kawasan Pokok Sena mohon mencadangkan :

“Bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang mengakibatkan negara dan rakyat menanggung kerugian berikutan peningkatan luar biasa kosnya dari RM1.088 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.


Isu ini adalah perkara tertentu berikutan kegagalan berterusan dan bertahun-tahun untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal itu ke muka pengadilan walaupun Menteri Pengakutan telah melantik PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) untuk mengaudit projek tersebut serta ditambah pula dengan tindakannya menubuhkan sebuah pasukan khas dan dua jawatankuasa pada bulan Jun lalu untuk mengemukakan cadangan mengenai skandal PKFZ berdasarkan laporan audit PwC dan melantik Datuk Lee Hwa Beng yang disebut-sebut sebagai tokoh yang bersih dan berterus terang menerajui Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK).

Langkah-langkah tersebut bukan sahaja tidak berjaya menghukum pihak yang bersalah malah mencetuskan pula drama tuduh-menuduh di antara Menteri Pengangkutan dengan pihak yang berkepentingan.

Lebih buruk lagi, pasukan petugas khas dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bagi menyediakan laporan berkaitan skandal tersebut juga amat lambat memperlihatkan sebarang perkembangan sehingga ia kelihatan mewajarkan kebimbangan Ahli Parlimen Ipoh Timur bahawa pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh kabinet lebih sebulan lalu itu sebenarnya adalah “super cover up”.

Kita amat bimbang pasukan yang ditubuhkan oleh kabinet itu akhirnya akan mengulangi jawapan Menteri Pengangkutan dalam dewan ini pada 28 Ogos 2007 lalu. Di dalam dewan ini, Menteri Pengangkitan pada masa itu, Tan Sri Chan Kong Choy menafikan wujudnya penyelewengan dalam pelaksanaan projek PKFZ.

Tuan Yang DiPertua,

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana rakyat negara ini terus dibiarkan, saya ulangi, terus dibiarkan menanggung kerugian yang amat besar berikutan kenaikan kos projek PKFZ itu.

Walaupun skandal PKFZ telah dibongkarkan sejak tahun 2003 dulu, namun terus wujud pelbagai helah untuk mengelakkan siasatan yang telus dan bertanggungjawab. Dalam tempoh itu juga, rakyat terus menanggung kerugian tanpa diketahui siapa sebenarnya yang bertanggungjawab.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimanakah Menteri Pengangkutan boleh mengeluarkan surat jaminan kepada bon yang diterbitkan untuk menampung peningkatan kos projek PKFZ yang tidak berdaya maju itu sedangkan sebarang surat jaminan perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja.

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana rakyat juga berhak mengetahui bagaimanakah kos projek yang meningkat kepada lebih RM4.6 bilion telah dimuktamadkan tanpa merujuk kepada agensi pusat.

Perkara ini perlu disegerakan mengambilkira wujudnya pendedahan bahawa kabinet telah memberikan kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos tersebut. Jika apa yang didedahkan itu benar, kita bimbang kelulusan retrospektif seperti itu akan terus berulang dan berlaku dalam masa terdekat ini.

Perkara ini juga perlu disegerakan kerana pihak yang terlibat dengan skandal PKFZ dikhuatiri akan mengulangi kebejatan yang sama di tempat lain dan di dalam projek lain jika mereka tidak dikenalpasti dengan segera melalui satu siasatan suruhanjaya diraja yang adil, bebas, telus dan bertanggungjawab.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, perlu disegerakan dan berkepentingan ramai.

Tinggalkan komen