Dr Wan Azizah: Sumbangan pekerja menjayakan projek Malaysia tidak dihargai

Ucapan YB Datin Seri Dr Wan Azizah bin Wan Ismail (Keadilan – Permatang Pauh) membahaskan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2007 pada 28 Ogos 2007

Baca juga kenyataan MTUC akan cabar pindaan Rang Undang-Undang ini ke mahkamah.

Dr Wan Azizah bt Wan Ismail Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, sekejap saja, saya mengambil masa yang pendek.

Sumbangan kaum pekerja dan kesatuan sekerja terhadap perkembangan ekonomi yang pesat dan pembangunan negara termasuk kerjasama dalam pengekalan keharmonian, perusahaan seharusnya menerima penghargaan dari kerajaan dan rakyat. Tanpa titik peluh pekerja yang bekerja di kilang, di ladang dan di pejabat, ekonomi Malaysia terutamanya dalam sektor perusahaan dan pertanian tidak akan berkembang dan berjaya menawan perhatian pelabur-pelabur asing.

Kita seharusnya mengiktiraf sumbangan kaum pekerja dan kesatuan sekerja yang telah mengorbankan segalanya bagi menjayakan projek perindustrian Malaysia sehingga negara kita pada satu masa telah digelar sebagai Asian Tiger dengan izin.

Maka apabila rang undang-undang semalam yang bertujuan meminda Akta Perhubungan Perusahaan dan rang undang-undang ini, Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja Pindaan 2007 ini, dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini, saya berasa sedih. Saya sedih kerana pekerja-pekerja yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek Malaysia tidak dihargai. Malah, hak-hak asasi pekerja semakin merosot.

Saya sedih kerana kebanyakan daripada pekerja-pekerja di negara ini masih menerima gaji pada kadar yang rendah sehingga mereka tidak berupaya menikmati keperluan asas untuk kehidupan seharian. Saya sedih kerana walaupun Kesatuan Sekerja Kebangsaan iaitu MTUC yang mewakili para pekerja telah mendesak kerajaan supaya rundingan diadakan dan pendapat mereka diambil kira.

Sebelum rang undang-undang ini dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini, namun seruan para pekerja tidak dipedulikan. Saya sedih kerana selepas hari ini hak berpersatuan dengan izin right to association, para pekerja akan merosot. Hak berpersatuan merupakan satu hak asasi manusia yang mustahak sehingga ia disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dengan izin, Universal Declaration of Human Rights. Ia merupakan satu daripada lapan konvensyen asas dengan izin core convention. Organisasi Pekerja Antarabangsa dengan izin International Labour Organization atau ILO.

Tuan Yang di-Pertua, walaupun majikan-majikan di negara kita dapat memperoleh keuntungan besar, namun gaji asas pekerja-pekerja seperti di sektor perladangan masih dibayar kurang daripada RM400 sebulan. Pekerja-pekerja dalam sektor tekstil dan pakaian yang diwakili oleh kesatuan sekerja, gaji bulanan yang diterima adalah seperti berikut, saya beri contoh.

Di Kangar dan Kulai hanya RM366 sebulan. Di Zon Dagangan Bebas Bayan Lepas hanya RM364 ke RM426 sebulan. Di Kluang RM353 sebulan dan di Johor Bahru RM286 ke RM450 sebulan.

Hak untuk berpersatuan secara bebas merupakan hak yang paling asas untuk seorang pekerja yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi ini dihadkan oleh Akta Kesatuan Sekerja.

Pada 22 Februari 2005, ada satu aduan telah diterima oleh Organisasi Pekerja Antarabangsa (ILO) tentang pencabulan hak dan kebebasan berpersatuan. Aduan tersebut telah menyebut bahawa Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang hendak dipinda ini menafikan kebebasan pekerja untuk membentuk sebuah kesatuan pekerja di mana kuasa mutlak adalah berada di dalam tangan Director General Kesatuan Sekerja (DGTU) untuk mendaftar ataupun membatalkan sebuah permohonan sebuah kesatuan pekerja.

Dengan izin saya ingin memetik perenggan yang berkaitan dengan kuasa mutlak DGTU “The power of the DGTU in deciding on the issue of similarity under section 2(2) of the Trade Union Act 1959 can be exercised by him not only in registering a new union but also in determining who is competent to be recognize as the representative union”.

Selama 30 tahun lebih kuasa DGTU telah digunakan untuk menafikan sesebuah kesatuan industri kebangsaan yang dituntut lebih daripada 100,000 pekerja di sektor industri elektronik. Selain daripada itu Malaysia sebagai ahli ILO harus menghormati deklarasi prinsip asas dan hak kerja dengan izin ILO Declaration of Fundamental Principles and Rights at Work yang telah dipersetujui secara sebulat suara dalam conference pekerja internasional dalam menyatakan dengan izin, saya hanya ingin mengingatkan yang berada di sebelah sana

“declare that all members even if they have not ratified the conventions in question, have an obligation arising for the very fact of membership in the organization to respect, to promote and to realize, in good faith and in accordance with the constitution, the principles concerning the fundamental rights which are the subject of those convention. Namely; freedom of association and the effective recognition of the right to collective bargaining.”


Tuan Yang di-Pertua Malaysia telah mengesahkan ratified convention 1958 iaitu hak mengorganisasikan dan perjanjian kolektif dengan izin right to organizer and collective bargaining
tetapi walaupun deklarasi yang disebutkan tadi telah dipersetujui kerajaan belum meminda Akta Kesatuan Sekerja supaya akta tersebut diselaraskan dan mencerminkan apa yang telah dipersetujui, mestilah kita kotakan apa yang kita setujui bersama. Apa yang sepatutnya dipinda dan direformasikan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 ini bukan apa yang di hadapan kita, tetapi
hak dan kebebasan untuk berpersatuan.

Jika kita lihat kepada Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 10 hak rakyat itu bergabung dan menyertai persatuan dengan izin right to associate adalah jelas rang undang-undang ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Di sini saya ingin mengingatkan pihak Kementerian Sumber manusia bahawa sesuatu akta yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mengikut Artikel 4(1) boleh dijadikan null and void.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengingatkan kepada semua ahli Dewan termasuk pihak Kementerian Sumber Manusia bahawa selagi Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan izin United Nation Human Rights Council dan dengan keahlian tersebut kerajaan seharusnya bertanggungjawab mengambil tindakan yang pro hak asasi manusia termasuk kaum pekerja di Malaysia.

Rang undang-undang yang sedang didebatkan dalam Dewan ini tidak akan membawa apa-apa faedah kepada kaum pekerja tetapi menyebelahi pihak majikan. Dengan ini saya menyeru agar semua Ahli Parlimen yang prihatin kedua-dua belah tidak ada siapa yang boleh mendabik dada, tentang bertapa susahnya kehidupan seseorang pekerja dan bertapa lesunya keadaan hak seorang pekerja di Malaysia untuk merakamkan hak mereka sekuat-kuatnya.

Selain daripada itu kita harus peka kepada laungan pekerja yang sedang menuntut hak mendapat gaji minimum iaitu RM900 sebulan dan elaun sara hidup yang berjumlah RM300.

Rang undang-undang ini harus diselidiki dengan lebih terperinci dan mengambil pendapat kaum pekerja, merekalah yang akan menerima apa padahnya. Kesatuan sekerja terutamanya pendapat dan analisa daripada pihak MTUC supaya hak asasi pekerja tidak diabaikan.

Saya merasa sedih kerana semalam ada rombongan MTUC yang tidak dibenarkan masuk dalam Parlimen sendiri. Kami terpaksa keluar ke pintu depan, depan gate lagi untuk mereka memberikan memorandum. Apakah ini caranya kita menerima tempat Parlimen, di mana kita laung-laungkan dabik dada kitalah sama-sama membela nasib pekerja? Kenapa tidak rombongan mereka tidak dibenarkan peluang masuk dalam Dewan ini hanya untuk menerima, memberi satu memorandum kepada mereka-mereka ini yang digelar Yang Berhormat.

Jadi saya berharap pihak Kementerian Sumber Manusia akan menarik balik rang undang-undang ini dan menyerahkan kepada sebuah jawatankuasa khas select committee supaya semua pekerja boleh menyertai proses pindaan akta dengan lebih sempurna dan adil bagi menjamin kebebasan persatuan dan hak asasi terutamanya kaum pekerja.

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

Sementara itu, di luar Dewan Rakyat, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mencabar di mahkamah pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang diluluskan Parlimen pada 27 Ogos kerana mendakwa pindaaan tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud dalam kenyataannya menegaskan pihaknya juga akan membawa perkara ini ke persidangan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) kerana melanggar Piagam PBB dan Piawaian ILO.

Majlis Am MTUC mengambil pendirian tegas menolak pindaan-pindaan yang dibuat kedua-dua rang undang-undang tersebut kerana beberapa faktor. Antaranya, kedua-dua pindaan AKta Perhubungan Persekutuan dan Kesatuan Sekerja merangkumi hak perlindungan Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan (Artikel 5(1), 10 (1)(c).

Selain Artikel 1(3) Piagam PBB (yang menghendaki ahli-ahlinya termasuk Malaysia menghormati hak-hak kemanusiaan), MTUC merasakan undang-undang tempatan (Akta Hak Kemanusiaan) berhubung rapat dengan Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 dan undang-undang tempatan (Seksyen 2 dan 4(4).

Oleh itu yang demikian, tegas beliau, pindaan-pindaan tersebut sememangnya bercanggah dengan Akta Hak Asasi Manusia dan undang-undang hak asasi manusia.

Jelasnya lagi, salah satu kes (R Ramachandran) memperjelaskan hak-hak penghidupan contohnya hak terhadap mangsa pembuangan kerja secara tidak adil dilindungi oleh akta dalam bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, pindaan-pindaan tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan undang-undang tertinggi negara dan oleh yang demikian ia adalah tidak sah berdasarkan Artikel 4 (1) Perlembagaan Negara.

Tegasnya lagi, pindaan yang diluluskan itu sememangnya akan memalukan Malaysia dalam persidangan antarabangsa terutamanya artikel 1 (3) Piagam PBB yang dipersetujui.

“Perkara seperti ini tidak harus berlaku di Malaysia yang menyambut 50 tahun kemerdekaan, malah dalam menerajui kemajuan di masa hadapan. Ia juga jelas bertentangan dengan keyakinan mutlak yang dijanjikan oleh Menteri Sumber Manusia dalam mesyuarat Majlis Tindakan Buruh Kebangsaan (NLAC).

“Memandangkan pindaan-pindaan tersebut telah diluluskan di Parlimen, selain mencabar pindaan itu di mahkamah, Majlis Am MUTC juga memutuskan untuk membuat aduan kepada Suhakam mengikut seksyen 12 dan 13 Akta Hak Asasi Manusia untuk tindakan yang berpatutan,”tegasnya.

Justeru katanya, atas landasan perjanjian tiga pihak (tripartism), MTUC menyeru kerajaan menarik balik kelulusan terhadap pindaan-pindaan kedua-kedua rang undang-undang supaya keutamaan dan pendapat boleh diperbincangkan dengan lebih berkesan dalam mesyuarat NLAC.

Tinggalkan komen