walaupun khinzir dan anjing ini tidak boleh dimakan oleh umat Islam tetapi mesti dihormati sebagai makhluk Allah. Nak tembakpun tak boleh..

Perbahasan Tuan Wong Nai Chee [Kota Melaka] dengan Dato’ Ab. Halim Ab Rahman [Pengkalan Chepa] mengenai isu Khinzir pada 11 September 2007

Wong Nai Chee [Kota Melaka]: Satu isu lagi Tuan Yang di-Pertua, isu penternakan khinzir yang baru-baru ini wujudnya satu insiden di Paya Mengkuang, di Kuala Sungai Baru, Kampung Baru Minlok dan juga Air Molek iaitu pada pagi 4 September tahun ini.

Satu isu yang mana satu pelaksanaan cuba dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Melaka ke atas penternak-penternak khinzir ini.

Saya tidak mahu memberikan gambaran yang salah seolah-olah saya menyokong masalah isu pencemaran alam sekitar tapi apa yang saya rasa, sebenarnya perkara itu boleh kita elakkan kerana wujudnya pertikaian ke atas notis-notis yang diberikan. Notis diberikan 20 September ataupun 21 September tapi pelaksanaan telah pun dilakukan sebelum itu iaitu pagi-pagi 4 September, mereka telah pun pergi sana dan cuba melaksanakan perintah.

Saya juga difahamkan, pelaksanaan itu adalah ke atas semua kawasan dan bukan hanya 15 penternak-penternak khinzir itu. Bukan sahaja ke atas 15 ladang-ladang khinzir itu tetapi pelaksanaan itu adalah secara menyeluruh dan ini telah pun menimbulkan kemarahan warga-warga di sana, kerana ada ladang-ladang yang saya percaya telah pun menaikkan taraf sistem dan juga infrastruktur mereka atas permintaan daripada pihak Kerajaan Negeri Melaka sebelum itu.

Semuanya saya rasa ini adalah satu perkara yang mendukacitakan kerana apabila pelaksanaan dilakukan, bahkan ahli-ahli Exco MCA dalam negeri Melaka pun tidak tahu wujudnya perkara sebegitu. Malang sekali ia telah pun menjadi satu perkara perkauman dan juga sentimen dan perasaan anti kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, mengapa masalah ini boleh jadi begini? Saya rasa mungkin dari segi komitmen kerana apabila kita dapat menangani masalah pencemaran alam sekitar, maka kita haruslah mengambil subsektor penternakan khinzir ini sebagai satu subsektor penternakan sama rata ataupun sama kedudukan dengan penternakan ayam ataupun lembu, biri-biri dan kambing dalam negara kita, kerana isu penternakan khinzir ini adalah cukup sensitif.

Ia bukan sensitif dalam masyarakat Melayu, tapi juga dalam masyarakat Cina dan sebagainya. Jika kita biarkan masalah ini begitu saja, maka ia akan menjadi masalah atau satu subjek perkara
pergaduhan bagi generasi muda kita.

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]:
Terima kasih Kota Melaka, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya rasa isu yang besarnya, yang basic ataupun pokok isunya alam sekitar. Cuma berlaku kebetulannya khinzir itu. Ini tak boleh nak lari daripada pergi masalah khinzir yang salah tapi alam sekitar ini perlu diperbetulkan.

Dalam Islam, walaupun khinzir dan anjing ini tidak boleh dimakan oleh umat Islam tetapi mesti dihormati sebagai makhluk Allah. Nak tembak pun tak boleh, nak buat sakit pun tak boleh. Kalau orang Islam menembak atau membuat sakit kepada makhluk yang telah ditentukan oleh Allah ini, dia mendapat dosa.

Waktu Nabi Nuh waktu tenggelam semua, khinzir ini ada di atas bahteranya yang boleh membuatkan khinzir ini biak sampai sekarang.

Jadi, saya sangat hairan kenapa isu alam sekitar ini tidak boleh ditangani melalui isu alam sekitar. Di USM, telah wujud satu kajian yang didapati oleh seorang profesor di sana, dia panggil MEMERANG. Kalau digunakan sistem penapisan MEMERANG ini, air-air daripada longkang atau daripada ini boleh dibersihkan dan sampai ke sungai itu dengan keadaan bersih.

Kenapa tidak digunakan ini sebagai satu jalan keluar dan mungkin dalam beberapa bulan atau waktu, ia selesai. Jadi isu alam sekitar ini jangan letak kepada khinzir tetapi kena selesaikan mengikut alam sekitar. Terima kasih.

Tuan Wong Nai Chee [Kota Melaka]: Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Chepa. Saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Pengkalan Chepa kerana ini isu masalah alam sekitar. Ini bukan isu lain-lain ataupun isu sensitif.

Walaupun Yang Berhormat beragama Islam dan saya beragama Buddha, tapi saya rasa memang ada satu nilainilai universal yang kita boleh terima seperti mana yang dikatakan dan disebut oleh Yang Berhormat Pengkalan Chepa bahawa kita tidak seharusnya menyakitkan haiwan-haiwan yang lain dan sebagainya kerana ini nilai-nilai universal.

Satu Respons

  1. […] Dalam Islam, walaupun khinzir dan anjing ini tidak boleh dimakan oleh umat Islam tetapi mesti dihormati sebagai makhluk Allah. Nak tembak pun tak boleh, nak buat sakit pun tak boleh. Kalau orang Islam menembak atau membuat sakit kepada makhluk yang telah ditentukan oleh Allah ini, dia mendapat dosa. (Selanjutnya) […]

Tinggalkan komen