Web milik PM berunsur hasutan

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin tidak sedar turut menyamakan bapa mertuanya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan kenyataannya terdahulu yang menyifatkan ‘bloggers’ dan ‘webmaster’ dikatakan tidak bertanggungjawab sebagai ‘monyet’ setelah satu laporan polis dibuat ke atas bahan yang terkandung dalam web milik Perdana Menteri yang dikatakan berunsur hasutan.

Menurut Dato’ Kamarudin, Khairy dalam satu kritikannya terhadap isu beberapa bloggers dan webmaster yang dikatakan menyiarkan bahan berunsur fitnah menyamakan sikap pengendali blog dan web sebagai ‘monyet’.

Semalam katanya Ahli Jawatankuasa DAP, Ronnie Liu telah membuat laporan terhadap satu bahan dalam web Perdana Menteri yang dikatakan berunsur hasutan.

Berikutan itu, kenyataan Khairy terdahulu sebelum ini menyamakan bloggers dan webmaster sebagai ‘monyet’ kenyataan itu dengan sendirinya terpakai dalam kes bapa mertuanya itu, kata Kamarudin kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau menyifatkan Khairy seorang pemimpin pemuda yang tidak sopan, beliau turut melahirkan kekesalan kepada Naib Ketua Pemuda Umno itu atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

Kamarudin yang juga Setiausaha Agung PAS meminta laporan yang dibuat ke atas PM itu disiasat oleh pihak polis dengan telus dan adil seperti dalam kes Raja Petra dan bloggers yang lain, Polis begitu cepat sekali menyiasat.

Semalam, satu laporan polis dibuat terhadap Perdana Menteri berhubung satu komen yang didakwa berunsur hasutan yang disiarkan dalam lamanwebnya.

Laporan tersebut dibuat Ronnie Liu di balai polis Damansara Utama.

Menurut laporan tersebut, sebuah artikel bertajuk ‘Bersatulah Kaum Cina’ yang didakwa mengandungi komen berunsur perkauman, telah disiarkan dalam lamanweb tersebut pada November 2005.

Artikel tersebut, disiarkan atas nama penulis, Dr Ng Seng, mendakwa, kaum Cina berkomplot untuk melemahkan politik dan ekonomi orang Melayu.

Artikel tersebut yang ditulis dalam versi bahasa Malaysia, mendakwa rusuhan kaum 1969 adalah percubaan yang gagal oleh orang Cina untuk mengambilalih negara ini.

Artikel tersebut disiarkan dalam bahagian ucapan takziah yang disediakan berikutan kematian isteri pertama Abdullah, Datin Seri Endon Mahmood pada Oktober 2005.

Artikel yang mula disiarkan pada 14 November tahun lalu, telah dikeluarkan dari laman web tersebut semalam.

Ronnie Liu dalam satu laporan akhbar internet berkata, beliau membuat laporan tersebut untuk menunjukkan mewujudkan sikap ‘double standard’ dalam tindakan yang diambil terhadap beberapa blogger politik.

“Saya tidak mencadangkan bahawa polis mengambil terhadap Perdana Menteri. Tetapi saya menyatakan bahawa tindakan tidak sepatutnya diambil terhadap Raja Petra (webmaster Malaysia Today) dan Nathaniel Tan (blogger dan webmaster KeADILan),” katanya.

Dua minggu lalu, Nathaniel ditahan kerana menyiarkan komen yang mengaitkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Johari Baharum dengan dakwaan rasuah ekoran pembebasan tiga tahanan Akta Darurat. Bagaimanapun, siasatan terhadap Johari ditutup kerana dikatakan tiada bukti.

Minggu lalu, Raja Petra dipanggil memberi keterangan ekoran komen dalam Malaysia Today yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam.

Ronnie berkata, beliau telah membuat salinan artikel tersebut sebelum ia dikeluarkan.

“Saya dimaklumkan mengenainya semalam. Saya telah muat-turun satu salinan dan mencetaknya kira-kira jam 1 pagi tadi (semalam),” katanya.

Tinggalkan komen