Dewan Rakyat: Soalan Jawab Lisan MP PAS 5 Julai 2007

Soalan Jawab Lisan (jam 10.00 hingga 11.30 pagi)

  • Soalan ke 43 – Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah peruntukan Kerajaan yang digunakan dan diumumkan cadangan penggunaannya untuk kawasan DUN Ijok sepanjang pilihan raya kecil kawasan DUN tersebut baru-baru ini dan perincian penggunaan peruntukan tersebut.
  • Soalan ke 65- Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan jumlah penanam dan kawasan yang telah dikenal pasti untuk ditanam Kenaf (ganti tembakau) serta agensi terlibat untuk tujuan pemasaran.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang (jam 11.30 pagi – 1.00 tengahari dan 2.30 – 5.30 petang)

  • Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
  • Rang Undang-undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2007
  • Ismail Noh bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (3)

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Oh, di Indonesia. Di Malaysia ini tidak ada lagi Melayu yang Kristian?
    Dato’ Seri Azmi bin Khalid: Itu saya tidak kata begitu. Saya kata di Indonesia ada Melayu Kristian.
    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Okey. Kita bimbang juga Yang Berhormat Menteri. Takut Melayu Kristian, Indonesia ini akan diserap masuk secara perlahan-perlahan. Kawalan-kawalan gen ini mesti di…

    Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Banyak lagi Yang Berhormat?
    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Tidak banyak sudah. Melibatkan ternakan binatang-binatang. Saya pernah melihat sendiri bagaimana biri-biri wajahnya anjing. Tetapi saya tidak melihat di sini, saya melihat di suatu ladang di luar negara. Mukanya muka biri-biri tetapi orang Kelantan kata ada mih. Mih itu bahasa Arab itu bahasa Arab Datuk Menteri. Mih itu …

    Dato’ Seri Azmi Bin Khalid: Minta maaf Yang Berhormat saya bertanya. Tuan Yang diPertua, saya hendak tahu sama ada Yang Berhormat Pasir Mas ini faham antara genetically GMO ini yang diubah genetiknya. Gennya diubah. Bukan secara hibrid, secara cantuman mani dengan antara satu haiwan dengan haiwan yang lain. Itu bukan. Tetapi ini kita dibincangkan dalam undang-undang ini gen yang dimodifiedkan. Bukan secara cantuman satu haiwan dengan haiwan lain. Terima kasih.

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Dia boleh berlaku itu Yang Berhormat Menteri. Dia boleh berlaku sama ada percampuran mani dengan mani ataupun percampuran juzuk daripada mereka, kemudian masuk ke dalam juzuk kepada mereka.

    Dato’ Seri Azmi bin Khalid: Yang Berhormat, saya hendak memperjelaskan sedikit bahawa yang dibincangkan bukan mani dengan mani, yang dibincangkan ialah genetically modified ataupun gen yang telah diubahsuai bentuk dan corak. Jadi tidak ada kaitan dengan mani dengan mani.

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya pun tidak berkata begitu, cuma saya panjangkan, saya lanjutkan supaya kerana benda-benda ini berlaku sebagaimana saya katakan ulama silam juga telah membicarakan masalah ini dan kerana itulah saya kata tadi bahawa syubahat. Kalau itu haram secara jelas.

    Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat boleh gulung Yang Berhormat.
    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Ya, saya gulung. Tuan Yang di-Pertua, saya sudahkan dengan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik ini.

    Saya baca sekejap tadi di mana saya melihat 6 (1), (2), (3), (4), (5), (6) dan (7) ini, saya melihat ianya terlalu longgar. Dalam keadaan kita terdedah dengan syubahat. Kalau yang haram itu jelas, yang halal itu jelas, sudah jelas dah pada pandangan orang Islam, tetapi sekarang ini perkara ini tidak jelas lagi. Jadi bila perkara tidak jelas, bahagian penguat kuasanya atau bahagian kawalannya, saya tengok terlalu longgar di mana tidak diperbutirkan dengan secara nyata iaitu kawalan syariah.

    Saya minta Yang Berhormat Menteri dengan rendah diri pada hari ini supaya memasukkan perkataan itu kerana kita tidak tahu siapa yang menjadi menteri. Kita tidak tahu kerana menteri ini terbuka kepada sesiapa. Nasib baiklah kalau menteri itu ada, ini saya tidak menuduh Tuan Yang di-Pertua, nasib baiklah kalau menteri itu ada motivasi agama dan sebagainya itu baguslah, tetapi kalau menteri itu tidak ada motivasi-motivasi sedemikian barangkali dia… Bila kita baca semua daripada (1) sampai (8), (9), (10), (11) dan seterusnya, saya nampak ia longgar sangat.
    Apakah salahnya kalau kita butirkan di situ supaya tidak ada golongan-golongan yang boleh mempermainkan.

    Misalnya kita masukkan kawalan syariah sebagaimana bank misalnya. Bank kita masukkan kawalan syariah, kita butirkan penggunaan air, itu, ini semuanya telah kita bincangkan, kita butirkan dengan kawalan syariah ini. Apakah kita tidak mahu kawalan syariah ini? Mengambil kira penganut-penganut agama Islam yang sedang berhadapan dengan perkaraperkara syubahat sekarang ini. Lainlah kalau kita rasakan bahawa dosa-dosa mereka kita akan terima dan kita akan tanggung. Saya rasa tidak mungkin sedemikian. Tuan Yang di-Pertua pun saya rasa tidak akan tanggung dosa orang. Tuan Yang diPertua akan tanggungkah dosa orang?

    Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Tidak payah libatkan sayalah.
    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Tidak payah. Saya alihkan kepada Yang Berhormat Menteri pulalah. Takkanlah Yang Berhormat Menteri sanggup. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Tidak boleh kita hendak tanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain baik saya, baik Yang Berhormat Menteri. Untuk itu supaya ianya tidak berlaku, tidak ada ruang masuk ini, kita kena tutup rapat-rapat supaya tidak berlaku benda ini. Nanti berlaku, baru kita bincang. Orang yang akan datang dalam Parlimen tidak tahu siapa yang kemudian daripadanya.

    Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Baiklah Yang Berhormat masa cukup.
    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Saya minta supaya ditambah dan dalam Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dimasukkan iaitu kawalan syariah supaya perpindahan genetik ini dapat dikawal dengan syariah dan oleh orang-orang yang mempunyai pengetahuan cukup sebagaimana yang disebut oleh sahabat-sahabat kita sebelum daripada ini. Sekian, terima kasih.
    —————————-
    Ucapan disampaikan pada 26 Jun 2007

    Di Pendang, “masih belum ada usaha nak turap jalan”

    DALAM tempoh Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9), Dasar Pembangunan Luar Bandar akan menjurus kepada pembasmian kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kadar kemiskinan luar bandar dan seterusnya menangani ketidakseimbangan sosioekonomi antara bandar dan luar bandar.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan Dr Mohd Hayati bin Othman (Pendang) hari ini.

    Dr Mohd Hayati dalam soalan asalnya minta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan apakah dasar pembangunan luar bandar dalam RMK-9 ini, dan bagaimanakah ia dapat dipastikan untuk dilaksanakan secara menyeluruh.

    Kata Dato’ Aziz, Kementerian telah menetapkan enam strategik teras pembangunan luar bandar.

    Antaranya, meluaskan liputan dan meningkatkan kualiti prasarana asas, utiliti dan ameniti sosial di kawasan luar bandar; membasmi sepenuhnya kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kadar kemiskinan luar bandar kepada 5.9% pada tahun 2010; Memrguatkan pembangunan modal insan dikalangan masyarakat luar bandar.

    Memperhebatkan usaha membangunkan kawasan-kawasan terpencil, mundur dan terbiar melalui (PROSDET), JHEOA, LKT dan LKW; merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar; serta melonjakkan ekonomi dan industri di kawasan luar bandar.

    Sementara di luar Dewan, Dr Hayati berkata, setelah hampir 50 tahu merdeka masih banyak kawasan luar bandar yang belum ada jalan tar, paip air dan elektrik terutama di Sabah dan Sarawak.

    “Di Alor Nam, Bakar Arang, Paya Medan kesemua termasuk kawasan saya (Pendang) misalnya, masih belum ada usaha untuk menurapkan jalan kampong tersebut.

    “10 km daripada Pekan Pendang, masyarakat kampong masih menggunakan air perigi,” katanya.

    Katanya lagi, nampaknya kawasan BN sahaja barangkali ada pembangunan tetapi kawasan pembangkang selain bandar-bandar besar pembangunan tidak dilaksana.

    Ismail Noh bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (2)

    Akhir-akhir ini kita disedarkan dengan ‘istingsakh’ dalam bahasa Arabnya iaitu pengklonan, perpindahan gen kepada gen lain. Ulamak-ulamak silam Tuan Yang di-Pertua, di abad 15, 16 telah pun mengemukakan dalam kitab-kitab fikah bagaimana sekiranya berlaku ‘pengklamian’ di antara kambing dengan anjing dan bila kambing ini melahirkan anak, dia langsung tidak melahirkan anak yang dapat dilihat tanda-tanda wajah dan fizikal lain daripada baka bapanya.

    Ertinya anjing. Walaupun dia sudah pergi kepada sepuluh, dua puluh generasi maka hukumnya juga terus tetap haram. Walaupun kambing tadi tidak membawa cara hidup anjing. Rupa dia tidak ada rupa anjing. Cara hidup tidak rupa cara hidup anjing. Kambinglah dia kerana sudah sepuluh generasi sudah.

    Tetapi ulamak masih lagi mengatakan bahawa dia haram. Dalam keadaan sekarang ini bukan sepuluh generasi, barangkali satu generasi. Kita tidak tahu bila berlaku. Kerana itulah saya menyokong. Saya berdiri hari ini, pihak parti saya, parti PAS saya menyokong di atas apa yang disarankan oleh kerajaan.

    Saya mengucapkan syabas kerana berani mengambil risiko besar walaupun barangkali kita dimarahi oleh negara-negara Barat yang mempunyai kepentingan perniagaan. Hendak melariskan apa yang mereka lakukan kepada negara kita ini. Tetapi kita mengambil suatu inisiatif awal supaya perkara-perkara ini tidak masuk ataupun tidak terlaksana.

    Banyak perkara saya melihat bahawa ia melibatkan manusia sendiri. Sebagaimana yang disebut oleh Pengkalan Chepa pagi tadi, ia melibatkan perpindahan gen daripada manusia kepada manusia kerana manusia hendak kepada yang cerdik sekarang ini. Saya bimbang kerana kalau kita bawa, kita terlalu highligt manusia barat ini cerdik, manusia barat ini hebat. Itu hebat, ini hebat. Lama-lama bila kehebatan itu yang kita munculkan, kita ketengahkan kepada masyarakat.

    Akhir sekali datang generasi kita yang merasakan apa salahnya kita bawa gen ini masuk ke dalam gen manusia Melayu. Barang kali terfikir di suatu ketika di waktu akidah sudah tidak ada. Ini Sri Gading, tidak ada Sri Gading di sini. Tidak ada Sri Gading. Ustaz kita pun sudah balik dah.
    Bila berlaku kehakisan akidah, syariah, Quran tidak dibaca lagi, nilai-nilai murni sudah tidak ada lagi. Orang akan berfikir bahawa barat itu bagus. Manusia barat ini cerdik, pandai, bijak dan sebagainya.

    Akhir sekali mereka memikirkan bagaimana hendak bawa gen ini masuk ke dalam gen Melayu yang mempengaruhi kehidupan Melayu supaya manusia Melayu juga akan menjadi cerdik akan datang. Barangkali terfikir begitu. Kerana itulah di dalam pembangunan negara kita mesti seimbangkan. Jangan hanya menekankan kepada pembangunan fizikal semata-mata tetapi tidak ada …

    Dato’ Seri Azmi bin Khalid: Saya celah hendak tanya sikit penjelasan. Kenapa dibangkitkan gen Melayu kepada gen Melayu? Kenapa yang dimaksudkan Yang Berhormat ialah kepada orang Islam ke kepada Melayu saja? Sebab Melayu ada Kristian, Hindunisia, bukan seperti semua Islam. Yang mana satu Yang Berhormat?

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Saya cakap Melayu Islamlah. Saya tidak dengar lagi Melayu… Hari ini baru secara rasmi yang dikatakan oleh menteri bahawa Melayu ada Kristian.
    Dato’ Seri Azmi bin Khalid: Di Indonesia orang Melayu ada yang Kristian.
    ——–
    Ucapan pada 26 Jun 2007

    JASA wujud untuk tangkis hujah PAS

    Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin berkata, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) diwujudkan dibawah Kementerian Penerangan bertanggungjawab memberikan penjelasan dan penerangan bersemuka bersama rakyat memperjelaskan isu-isu semasa yang dihadapkan kepada kerajaan.

    Zainuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa) hari ini yang meminta Menteri Penerangan menyatakan apakah peranan sebenar Jabatan Hal Ehwal Khas yang diwujudkan oleh kementerian.

    “JASA bertanggungjawab dalam melaksana program taqarrub, cerama/ Forum Islam Hadhari, pemimpin bersama rakyat dan lain-lain,” kata Zainuddin.

    Difahamkan bahawa JASA diwujudkan adalah untuk menyaingi dan menangkis hujah-hujah penceramah-penceramah PAS, menjelaskan dan menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh PAS.

    Kebanyakan kakikatangan JASA adalah bekas-bekas pemimpin PAS. //Lagi

    Ismail Noh bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (1)

    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ingin mengambil kesempatan bagi sama-sama melihat, mengkaji serta memberi pandangan kepada rang undang-undang yang sedang kita bincangkan ini iaitu Rang Undang-undang Biokeselamatan.

    Saya suka mengambil kesempatan pada petang ini dan merupakan orang terakhir bercakap kerana rang ini terdedah dan terlibat secara langsung dengan agama khususnya dengan agama Islam dan penganut-penganut Islam di negara ini.

    Sepanjang yang saya dengar daripada kelmarin hingga ke hari ini, saya tidak mendengar suatu ucapan khusus yang diberi oleh ahli-ahli agama dalam Dewan ini khususnya dari kalangan YB-YB ustaz dari Barisan Nasional, melainkan hanya sekadar mencelah tetapi tidak memberi suatu pandangan yang berlatarkan kepada syariah dan pandangan syariah.

    Saya bersetuju dengan sahabat YB daripada Tanjong yang sekejap tadi yang mengatakan bahawa rang undang-undang ini mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu. Saya bersetuju dengan mengatakan bahawa perkembangan atau kepentingan pertama iaitu perkembangan ‘dirasah’ ataupun ‘Al-badh’ iaitu kajian kepada bio ini kerana ia merupakan suatu barangkali kalau tidak terbaharu tetapi dikira suatu yang baru di negara kita.

    Kajian kepada bio ini kerana ia merupakan suatu barang kali kalau tidak terbaru, tetapi dikira sebagai suatu yang baru di negara kita. Sebagaimana yang saya dengar dari sahabat-sahabat kita yang telah berucap sebelum daripada ini.

    Yang kedua, kita mempunyai kepentingan [bercakap dalam bahasa Arab]. Apa pandangan syariah secara totalnya. Pandangan syariah kepada perkembangan yang telah kita bincangkan sejak tadi. Sebagaimana yang saya katakan bahawa tidak ada pandangan sahabat-sahabat secara khusus tentang perkara ini dari segi syariah berdasarkan kepada Al-Quran, hadis Qias, ijmak ulamak dan amalan-amalan yang telah dilakukan sebelum daripada ini.

    Kerana itulah saya memberanikan walaupun saya tidak mempunyai pelajaran, pengetahuan tinggi, banyak tentang sains, tetapi saya cuba melihat keadaan ini kerana kita tahu bahawa kehidupan sekarang ini, kehidupan, realiti umat Islam di negara kita ini dikelilingi oleh syubahat. Dikelilingi oleh banyak perkara syubahat yang disebut Rasulullah S.A.W [bercakap dalam bahasa Arab]. Ini sebagai asas sebenarnya. Sekarang ini kita sedang mencari asas daripada perbincangan-perbincangan yang telah dikemukakan oleh …

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar [Dato’ Seri Azmi bin Khalid]: Tuan Yang diPertua, saya minta Yang Berhormat daripada Pasir Mas tadi menterjemahkan apa yang dia kata.
    Tuan Haji Ismail bin Noh [Pasir Mas]: Terjemahannya begini. “Sesungguhnya halal itu nyata dan yang haram itu nyata. Di antara dua yang nyata ini ada perkara-perkara yang samara-samar, yang tidak diketahui oleh sebahagian besar daripada orang ramai. Tetapi siapa yang menjauhi diri dia daripada barang yang samar-samar ini, dia telah menyelamatkan diri dia daripada perkara-perkara yang haram. Tetapi siapa yang mendekati diri dia dengan perkara-perkara yang syubahat, dia menjatuhkan diri dia ke tempat yang haram.

    Sebagaimana gembala kambing bawa kambingnya bawa di tempat-tempat larangan. Lama-lama kambingnya itu akan terjatuh di tempat larangan. Ingatlah bahawa setiap pemerintah itu ada kawasan larangannya.

    Maka bagi Allah juga ada kawasan larangannya juga. Kawasan larangannya itu, iaitu suatu yang diharamkan oleh Allah. Ingatlah bahawa di dalam dada manusia ini ada seketul hati, ada seketul darah. Sekiranya baik darah itu, maka baiklah perjalanan segala tubuh badannya. Sekiranya buruk darah itu, maka buruklah perjalanan tubuh badannya. Dia adalah kata Rasulullah S.A.W. dia adalah hati. Ertinya berpunca daripada situ.” Yang saya hendak kaitkan di sini Yang Berhormat Menteri, Tuan Yang di-Pertua iaitu kita dilingkungi oleh banyak perkara yang samar, yang tidak diputus, yang belum diputus. Baik oleh fatwa ulamak ataupun muzakarah ulamak atau banyak perkara. //bersambung…
    —————
    Ucapan disampaikan pada 26 Jun 2007

    Salahuddin bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (2)

    Oleh itu sebagai contoh yang lain Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil suatu maklumat daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tentang bagaimana pernah berlaku dalam negara kita, tentang bagaimana beberapa makanan yang menjalani kejuruteraan genetik ini terbukti berbahaya kepada mereka yang mengalami alahan seperti kacang soya yang menggunakan gen kacang soya daripada Brazil.

    Saya mendapat maklum bahawa persoalan ini masih lagi tidak terjawab oleh pihak kementerian. Satu seminar yang telah diadakan dalam negara kita baru-baru ini masih lagi tidak boleh menjawab tentang jenis-jenis kacang soya sama ada yang telah kita minum pada hari ini, yang sedang berada di pasaran dan yang bakal masuk ke dalam negara kita ini.

    Adakah saya sebut tadi, kita punya suatu kepakaran untuk menilai dan untuk membuktikan bahawa kacang soya seperti ini telah memberikan atau telah menimbulkan bahaya kepada diri manusia dan kepada alam sekitar? Begitu juga bila kita melihat tentang ragi yang telah menjalani pemindahan gen untuk meningkatkan kadar penapaian. Kenaikan paras enzim turut menyebabkan pengumpulan sebatian toksik yang telah dikaji oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang ini.

    Jadi saya mengharapkan persoalan-persoalan penting seperti ini dan berapa banyak? Ini contoh kacang soya. Berapa banyak lagi jenis-jenis makanan dan minuman dan juga makanan segera yang masuk dalam negara kita ini yang telah dapat masuk dan telah berada di pasaran dan kita di Malaysia ini telah terdedah dengan semua jenis makanan yang seperti ini.

    Demikian juga saya juga bersetuju sebentar tadi dengan beberapa pandangan yang telah diberikan oleh pihak menteri sendiri tentang bukan sekadar penguatkuasaan undangundang dan lembaga keselamatan ini tetapi di sana juga ada isu tanggungjawab. Ada isu yang melibatkan tentang komitmen kita semua di dalam kita menghadapi apa yang dikatakan masa depan dan ancaman kepada biokeselamatan ini.

    Di mana kita melihat salah satu daripada kemajuan yang telah dicapai dalam bidang ini adalah apa yang dikatakan kejuruteraan genetik yang telah mencapai satu kemajuan di mana telah terdapat manusia-manusia yang boleh dilahirkan melalui proses tabung uji.

    Ini yang dinyatakan seperti in vitro fertilization atau Bahasa Malaysianya disebut bayi tabung uji. Teknologi ini sangat dikagumi dan dalam aspek Islam sendiri kita tidak boleh menolak tentang kemajuan daripada teknologi ini tetapi apakah jaminan bahawa satu masa nanti teknologi ini akan digunakan dan akan menjadi satu budaya dalam masyarakat kita tentang kegunaannya yang boleh melepasi tahap hukum.

    Di sinilah yang saya melihat adakah dalam Lembaga Biokeselamatan ini akan dimasukkan mereka yang pakar dalam bidang hukum ini, maksud saya para ulama yang kontemporari yang boleh melihat tentang isu halal dan haram ini dan di manakah kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa di dalam isu ini.

    Demikian juga kalau kita melihat kepada isu makanan yang sedang kita alami ataupun dunia sedang alami pada hari ini di mana pada baru-baru ini telah berlaku di Thailand sebagai contoh di mana berlakunya satu kesan yang sangat besar terhadap tanam-tanaman apabila proses pengklonan ini tidak mengikut spec yang ditetapkan ataupun piawaian yang dibenarkan.

    Maka berlakunya pemusnahan beratus-ratus, beribu-ribu hektar ladang-ladang padi ataupun kawasan tanaman padi yang terpaksa dihapuskan. Apakah jaminan bahawa spesies tanaman ni masuk ke dalam negara kita dan kita menggunakan benih-benih ini, digunakan oleh petani-petani kita untuk mereka juga menanam spesies yang sama ke dalam negara kita.

    Oleh itu saya melihat kepakaran dalam bidang ini yang untuk menentukan spesies-spesies tanaman ini juga seharusnya diberikan perhatian oleh pihak kementerian.

    Jadi saya rasa Tuan Yang di-Pertua itu sahaja yang dapat saya bahaskan dan untuk saya memberikan pandangan terhadap penubuhan Lembaga Biokeselamatan ini dan saya mengharapkan bahawa ianya dapat berfungsi dan dapat memberikan satu jaminan keselamatan terhadap industri ataupun perkembangan bioteknologi dalam negara kita, jangka pendek dan jangka panjang. Terima kasih.
    ——————–
    Ucapan disampaikan pada 25 Jun 2007

    Kes bekas Ketua Pengarah BPR telah dirujuk kepada Peguam Negara

    Pihak Polis yang terdiri dari pegawai-pegawai Bukit Aman dan Kontinjen Kuala Lumpur telah mengambil tindakan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci terhadap pengaduan yang dibuat seorang pengadu yang mengatakan bekas Ketua Pengarah BPR terlibat dalam rasuah dan salahguna kuasa.

    “Pihak Polis mengambil tindakan berdasarkan kes dibawah seksyen 409 dan seksyen 165 Kanun Keseksaan,” kata Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Kamarudn Jaffar (Tumpat) hari ini.

    “Siasatan telah dimulakan pada 5 Mac 2007 dan pertengahan Mei 2007 kertas siasatan telah dirujuk kepada Peguam Negara dan setelah diteliti, Peguam Negara telah mengarahkan Polis meneruskan siasatan bagi menyempurnakan beberapa perkara yang diminta olehnya,” kata Datuk Seri Abdullah.

    Dato’ kamarudin dalam soalan asalnya minta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan sejauh mana siasatan terhadap dakwaan rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan Beka Ketua Pengarah BPR.

    Bagaimanapun beberapa perkara yang diarahkan oleh Peguam Negara untuk disiasat secara lengkap tidak dinyatakan dalam jawapan bertulis tersebut.

    Dakwaan terhadap Zulkipli timbul berikutan satu laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh bekas pengarah BPR Sabah Mohamad Ramli Manan, yang menulis surat kepada bekas ketua polis negara Tan Sri Mohamed Bakri Omar tahun lepas mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.

    Mohamad Ramli, 56, yang bersara pada 8 Disember lepas menegaskan laporan terhadap Zulkipli dibuat mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah pada Julai 2006, yang membolehkan polis membuka kertas siasatan.

    Perkhidmatan Zulkipli, 56, sebagai Ketua Pengarah BPR yang disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali, tamat pada 31 Mac lepas. Sebelum menduduki jawatan tertinggi dalam jabatan itu, Zulkipli pernah berkhidmat dengan pasukan polis selama 20 tahun.
    //LAGI

    SKMM tarik balik larangan TV swasta siarkan ucapan pembangkang

    Tan Kok Wai (DAP-Cheras) telah mengemukakan usul di bawah peraturan 18 mengenai arahan Pengerusi SKMM kepada pemilik stesen TV swasta supaya berhenti serta merta menyiarkan ucapan Pemimpin Pembangkang.

    Menurutnya, arahan tersebut telah menafikan hak rakyat mendapatkan saluran maklumat dan perlu diberi perhatian segera.

    Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib telah menolak usul tersebut kerana ia tidak perlu disegerakan di bawah Peraturan Dewan 18(2).

    Katanya, beliau dimaklumkan bahawa kementerian berkenaan telah mengeluarkan arahan untuk membatalkannya.

    Serentak dengan itu, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menarik balik surat yang menghalang stesen televisyen swasta menyiarkan ucapan ahli Parlimen pembangkang di Parlimen.

    Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik berkata, SKMM tidak sepatutnya mengeluarkan surat berkenaan kerana ia bertentangan dengan dasar kementerian.

    ‘‘Bukan polisi kita mengarah stesen televisyen menghentikan penyiaran ucapan ahli Parlimen pembangkang,” katanya pada sidang akhbar di Lobi Parlimen.

    Pada bulan lalu, Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Halim Shafie dilaporkan telah mengeluarkan surat mengarah stesen televisyen menghentikan penyiaran ucapan pemimpin pembangkang di Parlimen.

    Pada 29 Jun lalu, Malaysiakini menyiarkan surat Pengerusi SKMM tersebut.