Dakwaan kes Rasuah Ketua Polis Negara dilapor kepada BPR, kata Dato Jo

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum memberitahu Dewan Rakyat hari ini kes rasuah Ketua Polis Negara telah dirujuk kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Menjawab soalan tambahan daripada Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mengenai dakwaan kes rasuah melibatkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Mohd Johari berkata pihaknya telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Perkara ini di bawah Ordinan Pencegahan dan saya telah berhubung dengan pihak Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Musa dikatakan terbabit menerima suapan sebanyak RM2.1 juta bagi melepaskan sekumpulan gengster.

Teruskan membaca

Dewan Negara: Soalan ADN PAS pada 11 Julai 2007

Sesi Soalan Jawab Lisan – 10.00 hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 9 – Senator Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan apakah langkah segera dan jangka panjang yang diambil oleh Kerajaan khususnya dalam polisi keselamatan dan pemuliharaan pejabat-pejabat Kerajaan dalam menangani masalah kebocoran di lokasi awam dan pejabat Kerajaan yang dilaporkan berlaku hampir setiap minggu di seluruh negara kerana dikhuatiri ia akan membahayakan nyawa pegawai dan rakyat yang berurusan di tempat tersebut dan telah menjejaskan imej negara di mata dunia.
  • Soalan ke 29 – Senator Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah perancangan terdekat serta jangka panjang Kerajaan bagi memajukan negeri-negeri di Koridor Timur.
  • Soalan ke 51 – Senator Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI PELANCONGAN menyatakan jumlah perbelanjaan bagi program citrawarna bagi tahun 2005, 2006 dan 2007 dan sejauh mana program tersebut dapat meningkatkan aktiviti pelancongan negara.
  • Soalan ke 63 – Senator Puan Wan Ubaidah binti Omar minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan ‘nonsmoking section’ sama ada di dalam bilik Ahli Parlimen atau di Dewan Makan Parlimen kerana masih terdapat Ahli Parlimen dan pegawai Kerajaan yang merokok di tempat tersebut.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang – 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang

  • Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan) 2007
  • Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Biokeselamatan 2006
  • 64 daripada 153 pengedar Bumiputera berhenti edar Proton

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, seramai 78 pengedar PROTON, di mana 64 adalah Bumiputera, telah menghentikan operasi, manakala bagi PERODUA, 2 pengedar Bumiputera telah menghentikan operasi mereka.

    Katanya dalam jawapan bertluis kepada soalan Dr. Mohamed Hayati bin Othman (Pendang) minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan jumlah pengedar PROTON dan PERODUA yang gulung tikar pada tahun 2006 dan sehingga kini 2007, berapa bilangan peniaga Bumiputera dan berapa vendor yang terpaksa menghentikan produksi akibat pemberhentian dan kekurangan jualan ini.

    Menurutnya (yang tidak hadir ke Parlimen) berkata, bagi tempoh 2006 sehingga Jun 2007, PROTON mempunyai 241 pengedar, di mana 153 atau 63 peratus adalah Bumiputera dan PERODUA mempunyai 140 pengedar yang mana 76 atau 54 peratus adalah Bumiputera.

    katanya lagi, daripada segi vendor, terdapat 363 vendor yang membekalkan komponen automotif kepada PROTON dan PERODUA. PROTON mempunyai 226 vendor di mana 86 atau 38 peratus adalah Bumiputera, manakala PERODUA mempunyai 137 vendor di mana 64 atau 47 peratus adalah Bumiputera.

    Bagi tempoh 2006 sehingga Jun 2007, seramai 21 vendor PROTON, 14 daripadanya Bumiputera dan seramai 3 vendor PERODUA, satu daripadanya Bumiputera, telah berhenti membekalkan komponen automotif kepada kedua-dua pengeluar kereta nasional.

    Pengurangan pengedar dan vendor merupakan salah satu proses yang diambil PROTON dan PERODUA di dalam usaha untuk meningkatkan daya saing menerusi konsolidasi dan rationalisasi jaringan pengedar dan vendor. Proses konsolidasi dan rationalisasi akan mengurangkan kos operasi di samping memastikan pengedar dan vendor mampu memberikan tahap perkhidmatan yang cekap serta membekalkan produk berkualiti dan kompetitif.

    Kerajaan berpuashati dengan Undang2 Syariah sekarang, Dr Mashitah

    Setiausaha Parlimen Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mashitah binti Haji Ibrahim berkata, Kerajaan berpandangan bahawa perlaksanaan hukum-hukum syariah di Malaysia adalah pada tahap yang memuaskan dan Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa prihatin terhadap perkembangan perlaksanaan hukum-hukum tersebut selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan.

    Katanya dalam jawapan bertulis satu perenggan kepada soalan yang dikemukakan Haji Ismail bin Noh (Pasir Mas) minta Perdana Menteri menyatakan apakah Kerajaan sudah berpuas hati dengan perlaksanaan hukum-hukum syariah di negara kita.

    Kerajaan terima cadangan syarikat bina paip minyak ke Pantai Timur

    Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Kerajaan telah menerima cadangan daripada beberapa syarikat untuk membina saluran paip bagi menyalurkan minyak dari kawasan utara ke pantai timur Semenanjung Malaysia.

    Menurut Perdana Menteri, cadangan yang dikemukakan ini antara lain adalah bertujuan untuk mengurangkan kesesakan serta kemalangan di Selat Melaka dan Kerajaan bersetuju dengan konsep yang dicadangkan oleh syarikat berkaitan berdasarkan antara lainnya bahawa ia akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

    Abdullah berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan DR. MOHAMED HAYATI BIN OTHMAN (PENDANG) minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah penduduk yang terpaksa berpindah dari kampung mereka dalam projek penapisan minyak di Yan dan Bachok serta saluran paip merentasi Semenanjung; dan di mana mereka dipindahkan dan apakah kajian kesan alam sekitar dan impak sosial projek tersebut serta faedah jangka pendek dan panjang kepada penduduk tersebut.

    Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, terdapat beberapa perkara yang masih perlu diberi perhatian dan penelitian oleh pihak syarikat sebelum memulakan projek ini.

    Masalah-masalah yang perlu dikaji oleh syarikat terbabit ialah;
    i. Pembinaan saluran paip merentasi banjaran dijangka sukar dan melibatkan kos yang tinggi;

    ii. Pembinaan kemudahan marin di kawasan utara dan pantai timur dijangka memerlukan pelaburan yang besar serta kajian terperinci mengenai kesesuaiannya sebagai pelabuhan utama;

    iii. Perbandingan kos antara penggunaan saluran paip dengan penggunaan kapal pengangkut minyak yang besar (very large crude carrier – VLCC) untuk membawa minyak dari kawasan utara ke pantai timur;

    iv. Kajian impak ke atas alam sekitar (EIA) termasuk risiko pencemaran sekiranya berlaku kebocoran saluran paip atau tangki penyimpanan minyak serta kajian impak sosial ke atas penduduk setempat dan sebagainya, seperti mana yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat; serta

    v. Komitmen penggunaan kemudahan yang disediakan oleh pembekal dan pembeli minyak memandangkan daya maju projek berkenaan bergantung kepada jaminan mereka.

    Kerajaan tidak berhasrat bina bangunan Parlimen baru

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Kerajaan tidak berhasrat untuk membina bangunan Parlimen yang baru kerana bangunan yang sedia ada masih kukuh.

    Menurut Nazri, Kerajaan juga berpuas hati dengan kerja-kerja membaiki kebocoran yang sedang dijalankan. Di samping itu, Kementerian Kerja Raya juga telah mewujudkan unit khas penyelenggaraan bangunan Parlimen yang diketuai oleh seorang Jurutera Kanan yang berpengalaman.

    Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan Haji Ismail bin Noh (Pasir Mas) yang minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah Kerajaan mempunyai rancangan untuk membina bangunan Parlimen baru setelah Parlimen yang ada sekarang sentiasa bocor dan terdedah dengan kerosakan demi kerosakan.

    Dato’ KJ bahas Rang Undang2 Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal

    Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin bercakap ringkas sahaja, khusus kepada fasal 4 rang undang-undang ini yang mengatakan perjanjian mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan sebagainya yang memberi kuasa yang berbunyi “Walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis dan berlawanan, Kerajaan Persekutuan hendaklah apabila akta ini berkuat kuasa, mempunyai kuasa untuk membuat apa-apa perjanjian dengan mana-mana orang yang memberi kuasa kepada orang itu mengusahakan dan seterusnya”.

    Ini pada saya adalah suatu kuasa yang amat besar yang diberikan kepada kerajaan dan khususnya kepada kementerian dan menteri dan kita telah mengalami apabila kuasa seperti ini diberikan, contoh khususnya ialah Kementerian Kerja Raya ataupun Jabatan Perdana Menteri dalam kes penswastaan lebuh raya dan sebagainya. Maka berbagai-bagai perjanjian berkaitan dengan kadar-kadar pembayaran, perkhidmatan dan sebagainya juga pengalaman tenaga dengan kadar yang dikenakan terhadap IPP dan seterusnya, PPA.

    Kebimbangan kita ialah bahawa kerajaan akan sewenang-wenangnya kerana kuasa mutlak ini mengadakan perhubungan perjanjian dengan syarikat-syarikat yang mana terma-termanya akan merugikan rakyat. Kerajaan akan lindungi kerana perjanjian itu seperti kes yang berlaku akan dikatakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

    Maka rakyat tidak dapat mengetahui apakah perjanjian tersebut, bilakah kadar-kadar akan dinaikkan? Betul, Yang Berhormat Menteri berjanji bahawa dengan undang-undang ini tidak akan dinaikkan kadar, tapi semua menteri berjanji sebelum pilihan raya

    Tuan Pengerusi, Apa kata kalau selepas sahaja pilihan raya, tiba-tiba kadar-kadar ini dinaikkan dengan tanpa mengambil kira kepentingan dan kedudukan rakyat? Kalau itu janji menteri hari ini, bolehkah menteri berjanji bahawa untuk 10 tahun yang akan datang, kadar fi-fi, caj-caj dan apa-apa pembayaran rakyat tidak akan dinaikkan sehingga misalnya dilakukan semakan semula selepas 10 tahun daripada hari ini.

    Itu saya fikir boleh memberikan jaminan kepada rakyat berbanding dengan sekadar mengatakan perjanjian ini, undang-undang ini tidak akan mengenakan apa-apa kenaikan pembayaran di pihak rakyat.

    Keduanya, kuasa ini juga saya bimbang mungkin akan digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu yang terlibat dalam usaha dan perusahaan ini seperti Solid Waste, Syarikat Alam Flora dan sebagainya untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang sedia ada ini dan juga untuk memberi peluang kepada kerajaan memberikan kontrak kepada syarikat-syarikat baru yang akan ditentukan oleh kementerian, yang tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat malah Parlimen sendiri.

    Jadi apakah jaminan Yang Berhormat Menteri bahawa apabila kuasa ini ada, maka syarikat-syarikat yang sedia ada yang ada kontrak interim dan sebagainya dengan kerajaan tidak akan semudah itu mendapat geran dan kemudahan daripada kerajaan dan jaminan menteri tentang syarikat-syarikat baru yang akan dilantik untuk Terengganu dan sebagainya itu tidak juga akan diberikan terma-terma yang cukup lumayan dan mudah untuk mereka meraih keuntungan dan sebagainya. Terima kasih Tuan Pengerusi.
    ————–
    Ucapan pada 4 Julai 2007 membahaskan RUU Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, ms 38