Dengan lulus Agensi Kelayakan Malaysia, mutu pendidikan tinggi akan meningkat?

Puan Mumtaz binti Md. Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membenarkan saya untuk membahaskan Rang Undang-undang Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

Isu pertama yang saya ingin kemukakan ialah adakah pihak kementerian ada memasukkan mana-mana cadangan ataupun mana-mana seksyen yang mengatakan bahawa mana-mana universiti yang tidak mendapatkan kelulusan ataupun akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia ini boleh beroperasi di Malaysia. Itu yang pertama.

Jadi, kalau tidak ada itu, apakah kewajipan ataupun galakan untuk kita memastikan bahawa semua universiti yang ada di dalam negara ini akan mematuhi akta ini dan akan mendapat kelulusan akreditasi ini.

Yang kedua, untuk kita mendapatkan hak akreditasi, contohnya macam sebelum ini di bawah Rang Undang-undang Makmal Patologi, sekiranya satu makmal induk mendapat kelulusan, tidak semestinya cawangan akan mendapat kelulusan. Oleh itu, untuk akreditasi ini, adakah sekiranya universiti induk itu mendapat kelulusan, bagaimana pula dengan cawangan yang ditubuhkan di bawah universiti yang sama di tempat-tempat yang lain.

Adakah mereka perlu mendapatkan permohonan ataupun akreditasi serta sijil yang berlainan bagi cawangan-cawangan yang mereka tubuhkan di bawah universiti tersebut. Berkenaan dengan swaakreditasi di bawah seksyen 61, diberikan bahawa pihak pemberi pendidikan boleh membuat satu swaakreditasi atas undangan.

Apakah tindakan kerajaan dan bagaimanakah galakan yang akan dibuat oleh kerajaan bagi memastikan bahawa swaakreditasi ini akan benar-benar mencapai matlamatnya? Dan adakah sebarang insentif diberikan kepada manamana pemberi pendidikan tinggi boleh membuat swaakreditasi ini?

Seterusnya berkenaan dengan seksyen 24, disebutkan bahawa Agensi Kelayakan Malaysia ini boleh memberikan pinjaman pendahuluan serta biasiswa. Bagaimanakah perkara ini berlaku? Adakah tidak perkara ini bertentangan ataupun berlaku pertindanan dengan perkara yang telah dibuat oleh PTPTN di mana pihak Agensi Kelayakan Malaysia boleh mengeluarkan biasiswa yang tersendiri.

Untuk di bawah seksyen 36 mengatakan bahawa antara objektif kerangka ialah untuk menggalakkan di bawah 36.(e), untuk menggalakkan pariti penghargaan antara kelayakan akademik, profesional, teknikal, vokasional dan kemahiran.

Adakah ini bererti dengan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia ini semua pengiktirafan ataupun galakan yang dibuat berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi akan melalui dan mendapat pengesahan daripada AKM sebelum sebarang perisytiharan tentang mana-mana penghargaan ataupun award diberikan kepada manamana pelajar.

Berkaitan dengan Agensi Kelayakan Malaysia juga, saya ingin bertanya kepada kerajaan. Tidakkah pihak kerajaan sedar tentang bagaimana berlaku perbezaan peratusan kemasukan pelajar-pelajar ke sekolah rendah, ke sekolah menengah di mana kita lihat berlaku keseimbangan antara peratusan pelajar yang masuk antara lelaki dan perempuan. Bila perkara ini timbul sampai ke peringkat universiti berlaku perbezaan yang cukup jelas iaitu lebih kurang 70% perempuan akan masuk universiti. Manakala 30% adalah pelajar laki-laki.

Dalam konteks ini dalam usaha kerajaan menyeragamkan serta meninggikan kualiti kelayakan pelajar-pelajar di Malaysia, adakah pihak kementerian akan membuat penekanan agar memastikan syllabus yang diperkenalkan di semua universiti akan lebih mesra lelaki.

Sesuai untuk menggalakkan pelajar-pelajar lelaki menyambung pelajaran sehingga ke peringkat universiti kerana perkara ini sekiranya kita tidak pantau, bukan hanya memberi kesan dari segi pekerjaan, tetapi kepada seluruh kedudukan sosial masyarakat kerana berlaku ketidakseimbangan antara pendidikan perempuan dengan lelaki.
Teruskan membaca

“Adakah LAN telah gagal melaksanakan fungsinya… sehingga perlu badan baru” kata Senator Wan Ubaidah

Puan Wan Ubaidah binti Omar: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk turut memberikan beberapa pandangan mengenai dengan Rang Undang-undang Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

Pada awalnya, apabila rang undang-undang ini hendak diperkenalkan, terdetik di pemikiran saya, adakah LAN selama ini telah gagal melaksanakan fungsinya sebagai satu badan untuk mengakreditasi kursus-kursus dalam negara kita sehingga perlu kepada satu badan yang baru yang dinamakan sebagai Agensi Kelayakan Malaysia.

Kita dengar sebelum ini pun beberapa rungutan dan betapa sukar untuk mendapatkan kelulusan daripada LAN terutamanya oleh badan-badan ataupun IPTS-IPTS di dalam negara kita.

Saya ingin merujuk kepada fasal 126, dan sebelum itu fasal 115 yang menyatakan bahawa dengan adanya rang undang-undang ini, maka LAN akan dimansuhkan tetapi fasal 126 juga membenarkan nama LAN masih boleh terus diguna pakai.

Apakah ini nanti tidak akan boleh menimbulkan keraguan. Jadi, yang mana satu sekiranya Agensi Kelayakan Malaysia masih mengguna pakai nama Lembaga Akreditasi Negara.

Saya kira adalah wajar apabila LAN itu dimansuhkan, maka apa perlunya lagi nama itu diguna pakai. Saya ingin juga bertanya apakah bidang kuasa Agensi Kelayakan Malaysia ini laku juga diguna pakai untuk semua IPTA dan juga IPTS dalam negara? Apakah kursus-kursus pendek juga tertakluk kepada Agensi Kelayakan Malaysia? Apakah definisi kursus pendek itu?

Adakah kursus satu hari atau dua hari juga tertakluk kepada Agensi Kelayakan Malaysia? Bagi IPTS ataupun IPTA yang sudah pun mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Negara, kalau boleh saya ingin mendapat jawapan berapa buah IPTS dalam negara kita yang sudah mendapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Negara dan juga bagi IPTA, sudah berapa buah IPTA di dalam negara kita yang sudah dapat kelulusan daripada Lembaga Akreditasi Negara?

Bagi yang sudah mendapat kelulusan ini, adakah mereka perlu memohon semula ataupun perlu mengisi borang-borang yang baru ataupun membayar fi-fi yang lain pula apabila diluluskan oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

Begitu juga bagi kursus-kursus profesional yang banyak mendapat rungutan, terutamanya daripada kalangan IPTS di mana kursus-kursus profesional sudah pun mempunyai badan-badan pemantauan mereka sendiri, adakah mereka juga masih tertakluk di bawah Agensi Kelayakan Malaysia? Jadi sejauh mana agensi ini akan memantau dan menentukan kelulusan bagi kursus
kursus yang bertaraf profesional.
Teruskan membaca

Dewan Negara: Soalan ADN PAS 18 Julai 2007

Sesi Jawab Lisan – 10.00 hingga 11.30 pagi

  • Soalan ke 40 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan perkembangan terkini FTA dengan Amerika Syarikat. Sejauh manakah pula pelaksanaan FTA setakat ini serta apakah manfaat kepada rakyat dan
    negara.
  • Soalan ke 45 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan berapakah jumlah kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan untuk membaik pulih struktur bangunan dan siling bocor dari Januari 2005 sehingga Jun 2007 dan berapakah kontraktor yang telah dikenal pasti yang telah didakwa di mahkamah.
  • Soalan ke 49 – Puan Wan Ubaidah binti Omar minta PERDANA MENTERI menyatakan jenis, gred dan nilai minyak petroleum yang dieksport dan diimport oleh Malaysia sejak tahun 2003.
  • Soalan ke 71 – Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta PERDANA MENTERI menyatakan :-
    (c) bagaimanakah Kerajaan mengenal pasti cabaran serta agensi yang bertanggungjawab untuk memantau projek Wilayah Pembangunan Iskandar agar aliran keluar wang negara khususnya ke Singapura dapat dikawal dan tidak menyebabkan ketidakseimbangan dalam negara ; dan
    (d) berapakah syarikat GLC milik Kerajaan yang telah dikenal pasti akan dapat menyaingi syarikat gergasi luar negara dalam memajukan Wilayah Pembangunan Iskandar tersebut.
  • Perbahasan Rang Undang-Undang – 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang

  • Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
  • Rang Undang-undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2007
  • Rang Undang-undang Penggalakan Pelaburan (Pindaan) 2007
  • Senator Mumtaz mahu wanita Islam (pramugari) diberi pilihan pakai pakaian menutup aurat

    Puan Mumtaz binti Md Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, kerana membenarkan saya untuk turut bersama rakan-rakan untuk membahaskan Rang Undang-undang Pengangkutan Melalui Udara (Pindaan) 2007.

    Saya mempunyai beberapa perkara untuk ditanya kepada kementerian khususnya berkaitan juga dengan insurans. Sekiranya kita merujuk kepada persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Heng Seai Kie tadi berkenaan adakah syarikat penumpang tempatan ini akan dilindungi insurans?

    Sebagaimana kita lihat tiket yang kita beli berdasarkan daripada Malaysia Airlines Berhad, tidak ada tawaran untuk kita membeli insurans. Walau bagaimanapun sekiranya kita melihat tiket AirAsia selalunya kita akan mendapat juga satu pakej insurans untuk diberi secara pilihan kepada penumpang selain daripada harga tiket.

    Jadi adakah ini bermaksud bahawa syarikat lain selain daripada AirAsia itu memasukkan terus di dalam harga tiket itu, harga-harga insurans yang akan dikenakan. Itu yang pertama.

    Kedua, dari segi pemilihan oleh pihak kerajaan untuk memberikan hak kepada mana-mana pihak untuk menjadi penginsurans untuk pengangkutan udara ini. Adakah kerajaan akan memberi pertimbangan yang sama sebagaimana kita berikan kepada bank untuk dipilih sistem perbankan
    Islam ataupun sistem perbankan konvensional iaitu dengan mana menawarkan juga Syarikat Takaful Malaysia ataupun syarikat-syarikat takaful yang lain untuk turut sama dilibatkan dalam penender sebagai insurans bagi pengangkutan melalui udara ini.

    Ketiga, jika dilihat melalui kontrak, kalau dahulu tiket yang kita beli kita akan lihat banyak perkara-perkara atau terma-terma dimasukkan dalam tiket tersebut, tetapi kerana sekarang dengan adanya e-ticketing ini, kita melihat terlalu ringkas perkara yang diletakkan di dalam tiket dan yang lain itu semua dalam komputer.

    Jadi dari segi hak sebagai penumpang, kita kirakan sebagai layman yang membeli tiket di kaunter dan mereka akan mendapat tiket yang ringkas tanpa mereka ini merujuk komputer kerana mereka ini tidak membeli melalui komputer di rumah.

    Bagaimanakah kontrak ini dapat difahami dengan sepenuhnya oleh penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan melalui udara ini dan adakah ianya menjadi secara automatik keseluruhan Rang Undang-undang Akta Pengangkutan Melalui Udara ini akan menjadi hak kepada mereka walaupun mungkin perkara itu tidak difahami ataupun tidak dilihat oleh penumpang itu sendiri.

    Seterusnya, isu yang ingin saya kaitkan ialah mengenai perkembangan Koridor Timur yang akan dibuat oleh kerajaan melalui kerjasama dengan Petronas. Oleh kerana kita melihat di negara kita ini kalau di sebelah selatannya ada Senai, di sebelah utaranya ada Penang Airport dan di tengahnya ada Kuala Lumpur.

    Adakah kerajaan bercadang untuk memastikan dan menaiktarafkan keseluruhan kemudahan yang ada di Lapangan Terbang Kota Bharu setanding dengan lapanganlapangan terbang antarabangsa yang lain untuk menggalakkan perkembangan Koridor Timur kerana kita percaya untuk menjadikan Koridor Timur ini satu realiti, pengangkutan melalui udara ini merupakan satu perkara yang amat penting.

    Sekiranya ada ataupun tidak ada, apakah kekurangan lagi yang ada di Lapangan Terbang Kota Bharu untuk dipertingkatkan oleh kerajaan bagi memastikan perkara yang kita bincangkan ini boleh menjadi kenyataan khususnya orang di Pantai Timur.
    Teruskan membaca

    Hanya 40% penagih berjaya menjauhkan diri dari Dadah

    Puan Wan Ubaidah binti Omar: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya difahamkan bahawa kadar penagihan semula di pusat serenti adalah sangat tinggi iaitu dalam kadar 70% berbanding dengan kadar penagihan semula di pusat swasta adalah jauh lebih rendah.

    Adakah kerajaan pernah mengkaji apakah perkara-perkara yang menyebabkan perbezaan yang begitu ketara dan apakah kaedah yang digunakan oleh pusat pemulihan swasta berbanding dengan pusat serenti.

    Timbalan menteri Keselamatan Dalam negeri, Datuk Fu Ah Kiow: Adalah tidak benar mengatakan penagih yang menjalani program pemulihan daripada pusat serenti menagih semula dengan kadar yang tinggi, itu tidak benar.

    Tadi saya telah melaporkan bahawa mengikut fakta yang didapati pada tahun 2006, daripada 14,000 di dalam kawasan yang menagih semula ialah 16% dan yang berjaya menjauhkan daripada dadah ialah 38.44%.

    Walau bagaimanapun, daripada jumlah tangkapan dan pengesanan tiap-tiap tahun, mereka yang menagih dan mereka yang dimasukkan ke dalam pusat serenti hampir 55% adalah penagih yang berulang dan mereka yang berulang itu bukan semua yang telah menjalani latihan daripada pusat serenti.

    Tentang keberkesanan daripada pusat serenti swasta atau NGO swasta, buat masa ini tidak ada data yang menunjukkan kadar kejayaan di pusat-pusat swasta.

    Semasa menjawab soalan asal Senator Dato’ Azian bin Osman minta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan, purata kos yang ditanggung oleh kerajaan bagi seorang pelatih pusat serenti, jumlah pelatih pusat serenti di seluruh negara serta keberkesanan sistem pusat serenti itu.
    Teruskan membaca

    Senator Mumtaz bahas Rang Undang2 Saksi Kanak-Kanak

    Puan Mumtaz binti Md Nawi: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana turut sama mengizinkan saya untuk sama-sama membahaskan Rang Undang-undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

    Pertama sekali saya hendak ucapkan syabas kepada Kerajaan Malaysia kerana telah memberi satu pengiktirafan kepada kanak-kanak seluruh negara sempena 50 tahun kemerdekaan, dengan membenarkan mereka turut sama memberikan keadilan kepada kes di mahkamah, di mana mereka dibenarkan menjadi saksi secara legal sekarang.

    Saya mempunyai beberapa soalan untuk dikemukakan kepada kementerian khususnya berkenaan dengan pemakaian Rang Undang-undang Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007.

    Yang pertama berkenaan dengan had pemakaian akta ini, adakah ini hanya terhad kepada kes-kes jenayah dan tidak sama terpakai kepada kes-kes sivil, memandangkan di bawah seksyen 16, dengan jelas mengatakan bahawa akta ini, peruntukan Akta Keterangan 1990 dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] terus terpakai.

    Jadi saya minta penjelasan, adakah perkara sama akan dipakai kepada kes-kes yang melibatkan kes sivil.

    Yang kedua, oleh kerana keterangan saksi ini akan turut terpakai kepada kes-kes jenayah, bagaimanakah pula caranya untuk pihak peguam bela mengemukakan proses impeachment of credibility dengan izin, of the infant witness.

    Sebab kalau dalam kes-kes biasa di mana saksi yang memberi keterangan kita meragui kredibilitinya, kita boleh membuat satu proses impeachment proceedings, jadi adakah kanak-kanak yang memberi keterangan juga akan terbabit dalam proses impeachment proceedings ini, sekiranya demeanor of witness, kita ragu.

    Yang ketiga, adakah saksi kanak-kanak ini sedar dan benar-benar memahami akan hakikat kebenaran keterangan yang diberikan dan sekiranya keterangan yang diberikan palsu, adakah saksi kanak-kanak ini akan juga dituduh di bawah perjury dan akan dikenakan hukuman kerana kepalsuan keterangan yang diberikan oleh pihak mereka.

    Yang keempat, adakah prosedur yang sama untuk mengambil keterangan kanak-kanak sekiranya ini juga terpakai dalam kes-kes sivil, adakah semua prosedur untuk mengambil keterangan kanak-kanak ini akan juga dipakai dalam kes-kes sivil dan sekiranya dipakai juga dalam kes-kes sivil, siapakah yang akan menanggung kos jurubahasa, pakar kanak-kanak dan semua peralatan yang digunakan bagi memastikan kes sivil itu boleh mengguna pakai saksi kanak-kanak.
    Teruskan membaca

    “Apa perasaan Najib, jika Isterinya jatuh Helikopter Nuri” – Salahuddin

    Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyatakan, beliau amat marah dengan kenyataan Najib yang menyatakan kerajaan memang mempunyai rancangan untuk menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bukan dalam tempoh terdekat ini.

    Salahuddin mempersoalkan, nahas demi nahas yang melibatkan Nuri bukan sahaja menyebabkan rakyat negara merasa amat malu, malah berada dalam ketakutan kerana tidak merasa yakin dengan tahap kemampuan pertahanan negara.

    “Apa perasaan Najib, jika isterinya jatuh Helikopter Nuri,” kata Salahuddin ketka dihubungi.

    “Sepatutnya kerajaan serta menteri yang bertanggungjawablah merasa malu dan takut serta bertindak habis-habisan untuk melengkap serta mengemaskinikan peralatan serta kemampuan pertahanan negara.

    “Tetapi, apabila menteri berkenaan sendiri menyatakan helikopter yang banyak memakan korban itu masih boleh digunakan, saya tidak yakin beliau mempunyai perasaan,” katanya.

    “Apa maksud Najib bila beliau mendakwa Nuri masih boleh digunakan? Nak tunggu berapa orang terkorban? Atau nak tunggu sehingga (Datin Seri) Rosmah (Mansor) terlibat dalam kemalangan ketika menaiki Nuri baru hendak menggantikan helikopter pemangsa itu?” katanya.

    Beliau seterusnya mempersoalkan, berapa banyakkah wang negara yang terpaksa dihabiskan “tak fasal-fasal” setiap kali Nuri terhempas?

    “Setiap kali Nuri terhempas atau terlibat dengan kemalangan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) memakan belanja, menteri nak pergi jenguk tempat kemalangan lagi banyak memakan belanja malah kalau nak disenaraikan satu-satu terlalu banyak,” katanya.

    Salahuddin menyeru Najib supaya menghentikan tindakan membazirkan wang negara akibat menggunakan helikopter pembunuh itu dan lebih dari itu, “hentikanlah kenyataan-kenyataan” yang menyakitkan hati rakyat.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memang mempunyai rancangan untuk menggantikan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagaimanapun bukan dalam tempoh terdekat ini.

    Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata ini kerana helikopter jenis itu masih boleh digunakan.

    “Ada (rancangan untuk menggantikan helikopter itu), tapi tidak serta merta sebab helikopter itu masih boleh digunakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kompleks Sukan Muadzam Shah, di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian sebuah helikopter Nuri TUDM yang membawa enam pegawai dan anggota TUDM yang dilaporkan hilang semalam semasa dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Kuantan.
    Teruskan membaca