Dewan Rakyat: Soalan Jawab Lisan MP PAS 4 Julai 2007

Sesi Soalan Jawab Lisan – 10.00 hingga 11.30 pagi

Soalan ke 14 – Dr. Mohamed Hayati Bin Othman [ Pendang ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan apakah dasar pembangunan luar bandar dalam rancangan Malaysia Ke 9 ini, dan bagaimanakah ianya dapat dipastikan untuk dilaksanakan secara menyeluruh.

Soalan ke 25 – Dato’ Haji Abdul Halim Bin Abdul Rahman [ Pengkalan Chepa ] minta MENTERI PENERANGAN menyatakan apakah peranan sebenar Jabatan Hal Ehwal Khas yang diwujudkan oleh Kementerian.

Soalan ke 28 – Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan jumlah graduan Melayu yang diambil bekerja dalam Perkhidmatan Awam dan jumlah graduan Melayu yang diambil bekerja dalam sektor swasta.

Perbahasan Rang Undang-Undang – Jam 11.30 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 hingga 5.30 petang
1. Rang undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 – “Menyambung semula pertimbangan dalam Jawatankuasa Sebuah-buah Majlis”
2. Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
3. Rang Undang-undang Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2007

Politik Singapura seperti permainan Snuker – Dato Halim

Tiada rundingan dibuat antara Malaysia dan Singapura buat masa ini bagi membincangkan mengenai isu penggunaan ruang udara negara ini oleh jet pejuang Singapura, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, soal bertolak ansur dengan republik itu dalam isu pengunaan ruang udara negara ini tidak wujud kerana keistimewaan itu sudah dibatalkan.

Katanya Malaysia telah membatalkan kebenaran kepada Singapura untuk menggunakan ruang udara negara sejak September 1998 dan tidak pernah mengubah keputusan itu sehingga kini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu sejauh mana kerajaan bertolak ansur dalam isu penggunaan ruang udara oleh jet pejuang Singapura dan status rundingan mengenainya sama ada sudah selesai atau tidak.

Dalam soalan tambahan Datuk Abdul Halim bertanya Yang Berhormat Menteri memang arif bahawa Singapura dianggap seperti Israel di asia barat. Singapura tidak bertolak ansur dan tidak mesra dengan jiran mereka kecuali faedah yang lebih besar diperolehi

“YB juga arif bahawa politik Singapura seperti permainan snuker atau biliard, lain buah dipukul lain buah yang masuk lubang, begitulah juga dengan Singapira lain yang diminta lain yang dikehendaki,” tanya Dato halim.

“Pembangunan WPI di johor akan menarik syarikat-syarikat pelaburan dari Singapura lebih ramai dimana mereka akan dapat menguasai tanah dan bangunan secara sah

“Tidakkah kerajaan sedar bahawa ini dilihat dari segi politiknya selaras dengan hasrat Singaputra dan tolak ansur Malaysia dengan Singapura yang lain daripada ruang angkasa.

Tanya Dato Halim lagi, apakah langkah positif supaya kedaulatan dan hak rakyat Malaysia dapat dijaga dan tidak terancam dimasa depan dan supaya tidak dikatakan menang sorak kampong tergadai serta apakah kerajaan ingin memperkenalkan kaedah pajakan ‘list hold’ dalam penjualan tanah kepada syarikat pelabur dari Singapura tidak dengan kaedah free hold yang memberi pemilikan kekal.

Bagaimanapun, Datuk Seri Syed Hamid berkata YB Pengkalan Chepa juga arif persoalan yang ditimbulkan telah berjaya dipindahkan daripada soal ruang angkasa kepada isu WPI.

Wakil Rakyat PAS bela nasib Umat Islam 4 Wilayah

Ustaz Ismail Noh (Pasir Mas) berkata biarpun Malaysia mengambil langkah tertentu, keganasan dan kezaliman yang dilakukan terhadap penduduk-penduduk Islam Selatan Thai terus berleluasa sehingga hari ini.

Ustaz Ismail berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Luar Negeri di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Luar Luar Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid berkata kerajaan sebagai Pengerusi OIC telah menghantar dua pasukan penyiasat untuk melihat tindakan dan usaha-usaha kerajaan Thailand bagi menentukan mereka dapat membawa keselamatan dan menjamin kestabilan di Selatan Thai.

“Adakalanya kita bercakap secara terbuka, adakalanya untuk tujuan-tujuan tertentu dilakukan secara senyap-senyap. Bagaimanapun, ia terus dilakukan bagi membantu masyarakat Islam di Thailand,” jawab beliau.

Dalam soalan asalnya, Ismail minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah kesan kepada Kerajaan Malaysia dengan berlakunya konflik di selatan Thailand dan apakah tindakan yang selanjutnya.

Dalam pada itu, Abdul Fatah Harun (PAS-Rantau Panjang) juga berpeluang mengemukakan soalan tambahan meminta kerajaan menyatakan apakah motif Malaysia memberi kesanggupan bekerjasama dengan Thailand untuk mendedahkan terdapat beberapa ribu rakyat terutamanya orang Melayu Selatan Thai yang mempunyai dua kerakyatan.

“Keadaan ini menimbulkan kegelisahan serta melemahkan umat Islam dan orang Melayu Selatan Thai, yang selama ini telah diketahui berkenaan perkara ini,” katanya.

Syed Hamid, bagaimanapun menegaskan Malaysia mengambil tindakan secara bijak dan bukannya emosi dan dalam masa sama bertindak tegas dalam soal mempertahankan keadilan dan kemanusiaan.

“Apa yang kita buat apabila melihat umat Islam di sana tidak mempunyai peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi? Kita bantu mereka ke arah itu demi kepentingan bersama,” tegas Syed Hamid.

Sebelum ini, kerajaan telah membantu Thailand dalam bidang ekonomi, sosial dan perundangan di bawah Rancangan Langkah-langkah Membina Keyakinan.

Manakala, di bawah Joint Development Strategy (JDS), Malaysia giat membantu dalam usaha membangunkan dan meningkatkan taraf hidup dan keadaan sosial rakyat yang hidup di Selatan Thai.

Kerajaan lepas tangan bantu pendidikan rakyat

KUALA KANGSAR, 3 Julai: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata sikap kerajaan yang lepas tangan dengan tidak membantu rakyat dari segi kewangan untuk melanjutkan pelajaran amatlah dikesali.

Kata beliau, dakwaan kerajaan yang menyatakan agensi-agensinya telah memberikan biasiswa kepada rakyat tidak tepat sama sekali kerana bantuan yang diberikan terpaksa dibayar kembali kepada agensi tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Talang dekat sini malam tadi.

Dalam majlis tersebut, beliau menyeru kepada kerajaan untuk memberikan biasiswa kepada setiap pelajar bagi mendapatkan pendidikan tinggi tanpa mengira asal usul dan latar belakang mereka.

Tegasnya, jika kerajaan boleh membazirkan berjuta-juta ringgit duit rakyat dalam perkara kurang faedah, antaranya perbelanjaan Formula One lebih RM130 juta pada tahun ini, mengapa tidak digunakan wang tersebut untuk pelaburan ilmu seperti memberikan biasiswa kepada para pelajar yang akan menjadi benteng negara dan kerajaan kelak.

Katanya, walaupun kini ada segelintir agensi kerajaan seperti Petronas, Mara dan Bank Negara memberi biasiswa tetapi persoalannya tidak ramai yang dapat memohon dan berjaya mendapatnya.

“Hanya segelintir sahaja yang dapat. Hanya sebilangan kecil anak-anak Melayu cemerlang dalam pelajarannya yang dapat,” ujarnya.

Soalnya, bagaimana pula dengan ribuan pelajar Melayu lain yang kurang bernasib baik dalam pencapaian akademik dan dari latar keluarga yang susah di kampung-kampung dan di ceruk-ceruk desa?

Akhirnya katanya, atas sebab kemiskinan dan tidak berjaya terpilih mendapatkan biasiswa, maka tanpa pilihan mereka terpaksa mendapat pinjaman daripada Tabung pinjaman PTPTN.

Dan malangnya, apabila para pelajar tidak dapat membayar kembali pinjaman tersebut, mereka akan diugut sehingga dituntut ke mahkamah,katanya lagi.

Belum ada lagi tindakan dikenakan terhadap Stesen TV?

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, Stesen-setesen TV swasta terikat dengan peraturan, syarat lesen dan garis panduan dalam penyediaan dan penyiaran kandungan yang terkandung dalam Akta Kominikasi dan Multimedia 1998 (AKM), Akta Penapisan Filem 2002 (APF), Kod Kandungan dan Garis Panduan Menyeluruh penyiaran Program Televisyen (GMPPTV).

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Kamarudin Jaffar (Tumpat) semalam (2 Julai) yang meminta Menteri menyatakan tindakan yang diambil kementerian terhadap stesen televisyen yang tidak memenuhi garis panduan penyiaran.

Dr Lim berkata tindakan yang boleh diambil kesatas stesen TV yang tidak mematuhi syarat-syarat lesen akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun (Seksyen 242 AKM 98) dan kompaun tidak melebihi 50% dari jumlah denda maksima mengikut budibicara Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Bagaimanapun dalam jawapan yang diberikan belum ada stesen TV yang telah diambil tindakan.

Antara syarat khas lesen, pihak pemegang lesen/ stesen TV hendaklah tidak menyiarkan kandungan yang menyinggung sensitiviti agama, bangsa dan budaya mana-mana masyarakat.

Tidak menyiarkan apa-apa jua kandungan yang bertentangan dengan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Tidak menyiarkan kandungan yang menimbulkan propaganda agama-agama lain selain daripada agama Islam.

Memastikan semua kandungan ditapis oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum ia disiarkan. Memastikan siaran langsung/ tertunda mendapat kelulusan khas pihak suruhanjaya sebelum ia disiarkan.

Bahas Rang Undang2 Timbang dan Sukat (Pindaan) 2007

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengakalan Chepa]: Saya rasa pindaan ini sangat baik. Cuma saya melihat dalam masyarakat kita, dalam perniagaan kita, saya bersetuju dengan Yang Berhormat bagi Jasin, banyak penipuan.

Misalnya di market alat timbangan itu diubah daripada kalau satu kilo itu ia tidak cukup satu kilo. Terutama sekali alat-alat timbangan daripada negara jiran kita, Thailand yang digunakan dalam pasaran kita.

Jadi, bagaimana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri hendak memantau supaya alat-alat timbangan ini tidak rosak jangka hayatnya misalnya enam bulan mesti ditukar atau diperiksa; ataupun alat-alat yang disahkan oleh SIRIM bahawa alat ini boleh tahan dua, tiga tahun supaya penipuan tidak boleh dilakukan kepada pengguna oleh peniaga-peniaga.

Begitu juga dalam sukatan seperti cupak dan gantang. Kadang-kadang apabila kita membeli beras secara bukan dalam beg plastik tetapi secara sukatan ini, dia gunakan jari, dia melentikkan jari ini, dia buang. Maknanya apabila menggunakan jari ini, beras itu sudah berkurangan bagi satu gantang dan satu cupak itu.

Apakah standard yang mesti digunakan supaya sukat menggunakan gantang ini tidak luak atau tidak berkurangan menggunakan satu standard kayu yang betulkah atau skil yang betulkah atau macam mana hendak buat.

Yang ketiganya, saya tengok timbangan di lapangan terbang. Bila kita timbang di rumah, cukup 20 kilogram tetapi kadang-kadangnya lebih bila digunakan alat timbangan di lapangan terbang. Bagaimana boleh berlaku agensi kerajaan sendiri tidak standard dengan alat timbangan yang di pasaran.

Begitu juga hospital. Waktu menyukat berat badan ini, kalau kita digunakan alat menyukat di rumah mungkin 79 kilogram tetapi apabila pergi ke hospital dia naik kepada 81 kilogram berat badan itu.

Saya hendak tanya bagaimana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hendak menguatkuasakan dan hendak pastikan bahawa satu standard sahaja dalam
alat timbangan dan sukatan ini supaya pengguna tidak keliru dan juga peniaga tidak menipu dan pengguna barang-barang tidak kena tipu. Sekian, terima kasih.
————-
Ucapan pada 25 Jun 2007

Kementerian Kesihatan pandang serius penyakit TB

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr chua Soi Lek berkata, kementerian memandang serius kewujudan penyakit TB resistan ubat melalui sistem survelan makmal.

“Sepanjang pemantauan yang dibuat pada tahun 2006 sejumlah 42 kes kejadian TB resistan ubat daripada 16,665 yang telah dikesan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Mohd Hayati bin Othman (Pendang) semalam.

Dr Mohd Hayati bin Othman (Pendang)dalam soalannya minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah tindakan kerajaan di dalam menghadapi penyakit TB resistan ubat yang semakin meningkat dan denggi termutasi sekarang ini apabila kes kematian mengejut akibat demam panas semakin kerap sekarang ini.

Dr Chua berkata kematian yang berlaku pada pesakit denggi adalah disebabkan oleh pendarahan akibat kompilasi demam denggi berdarah dan bukannya disebabkan demam panas.
“kadar kematian demam denggi di Malaysia sangat rendah iaitu di bawah paras 0.3 % jika dibandingkan dengan kadar kematian demam denggi dunia iaitu antara 1 hingga 2 %.

“Mengenai kes denggi, sehingga kini tiada kes denggi termutasi yang dilaporkan kepada kementerian. Bagaimanapun kementerian mengingatkan orangramai supaya segera mendapatkan rawatan jika mengalami demam”.

Dr Hayati berkata sebenarnya Kebanyakan TB resistan ubat adalah dibawa oleh pendatang asing terutama dari Indonesia dan India.

Tetapi olehkerana kemasukan mereka adalah secara haram, mereka yang mengidap penyakit TB resistant takut untuk ke hospital mendapat rawatan, ini menyebabkan penyakit itu berjangkit kepada rakyat.

“Apakah kita hanya akan membiarkan mereka begitu tanpa membuat seach kepada kes-kes dengan kerjasama kementerian Keselamatan Dalam Negeri,” kata Dr Hayati.

Salahuddin bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (1)

Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Pertama sekali saya mengucapkan syabas kepada pihak kementerian yang telah membawa satu Rang Undang-undang ini yang bertujuan untuk menubuhkan Lembaga Biokeselamatan demi untuk menjaga beberapa perkara yang telah disebutkan sebentar tadi.

Di sini saya tidak ada masalah untuk menyokong Rang Undang-undang ini. Cuma bagi saya, undang-undang sahaja tidak cukup untuk kita memastikan tidak berlakunya apa yang dikatakan penyalahgunaan ataupun terlepas pandang di dalam kita membicarakan tentang Rang Undang-undang ini.

Saya yakin dan percaya bahawa kita bersetuju supaya adanya perkhidmatan sokongan ataupun kumpulan-kumpulan sokongan ke arah memperkasa lembaga ini seperti mana yang disebutkan sebentar tadi tentang bagaimana Amerika Syarikat sebagai contoh telah mengeksport jagung-jagung yang tidak mencapai ataupun tidak memenuhi piawaian yang disebutkan sebentar tadi.

Maka dengan ini, keraguan yang timbul adalah adakah kita di Malaysia ini di samping rang undang-undang yang kelihatan tegas ini, kita punya kepakaran, kita punya makmal dan kita punya kepakaran manusia di dalam kita menyemak semua barangan yang akan masuk ke dalam negara kita.

Di mana kita melihat Amerika Syarikat dengan sikap ketidakpedulian mereka ini akan terus menjadikan platform atau premis seperti FTA untuk membawa masuk barangan mereka seperti tanam-tanaman, hasil-hasil pertanian dan kemudian kita melihat ubat-ubatan yang akan menerobos masuk ke dalam negara kita.

Manifestasi kejahatan Amerika Syarikat ini kita boleh lihat di dalam menggunakan Hollywood untuk menjelmakan impian mereka. Mereka boleh buat filem Terminator, The Flies ataupun Spiderman sebagai contoh. Itu jelmaan niat jahat mereka, bagaimana penyalahgunaan kejuruteraan genetik ini menggunakan organisma hidup ini untuk kepentingan mereka.

Jadi oleh itu saya melihat bahawa adakah kita benar-benar telah bersedia untuk menjadikan negara kita di samping Rang Undang-undang ini, kita ada satu keperluan, kita ada satu mekanisme untuk menyekat, untuk menimbang, untuk menilai dan ada kekuatan untuk menolak. Seperti Jepun sebagai contoh.

Kenapa mereka berjaya dan begitu berani untuk menghalang pengeksportan jagung ke dalam negara kita? Sudah tentu kita boleh menjawab bahawa mereka punya teknologi yang tinggi dan mereka punya kepakaran yang tinggi dalam menentukan setiap barang yang masuk ke dalam negara kita.
——————–
Ucapan disampaikan pada 25 Jun 2007

Dato’ Halim bahas Rang Undang2 Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya rasa tertarik terutama kepada Menterinya dan kepada Akta ini mengenai pengukuran kebangsaan. Ada dua, tiga perkara sahaja Tuan Yang di-Pertua yang saya hendak bangkitkan.

Saya rasa sangat penting pengukuran kebangsaan ini, bukan sekarang tetapi awal lagi sepatutnya dikuatkuasakan. Kita telah mengalami konflik di antara Filipina dengan Malaysia mengenai Sipadan, tetapi di dalam upacara internasional kita menang.

Saya hendak tahu pengukuran mana yang digunakan sehingga di Haque, kehakiman di Haque itu boleh beri kemenangan kepada Malaysia, salah satu faktornya? Kalau itu, adakah akta ini selaras dengan kehendak yang digunakan di The Haque itu? Yang keduanya Pulau Batu Puteh di Singapura yang menjadi konflik di antara Malaysia dengan Singapura?

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Bukan di Singapura, di Johor.
Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Di Johor. Antara Malaysia dengan Singapura di Perairan Johor. Jadi, Singapura tidak hendak keluar langsung dan seolah-olah
dia menganggap Pulau Puteh itu sebahagian daripada negara dia.
Seorang Ahli: Batu Puteh.

Dato’ Haji Ab. Halim bin Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Batu Puteh sebahagian daripada negaranya. Jadi, dalam Akta ini, kita hendak guna, adakah selaras, bolehkah kita guna bila kita lulus nanti yang memihak kepada Malaysia ini sendiri dalam soal pengukuran yang dikatakan oleh Malaysia bahawa Pulau Batu Puteh itu ialah perairan Malaysia.

Yang ketiganya ialah di sempadan antara Malaysia dengan Thailand di Sungai Golok. Mengikut keadaan sekarang ini, ukuran sempadan internasional di antara Thailand dengan Malaysia ini berdasarkan kepada dalaman dalam sungai itu sendiri. Jadi, mana tempat dalam itulah yang membuatkan menjadi ukuran sempadan.

Jadi pihak Thailand telah menambak seluruh sungai itu dengan tambak yang kuat. Jadi bila datang bah, banjir, dengan sendirinya hakisan itu berlaku di Malaysia yang membuatkan sempadan antara Malaysia dengan Thailand ini berubah mengikut dalaman sungai itu. Adakah Akta ini boleh menyelamatkan keadaan itu apabila kita luluskannya? Di manakah standard yang akan digunakan di antara sempadan internasional ini?

Yang keempat iaitulah kawasan Joint Development Area (JDA), yang merupakan tempat, kawasan yang mempunyai 13 trilion minyak gas. Jadi, ukuran mana yang membahagikan di antara kawasan ini berada di Thailand, dan kawasan kita berada di Malaysia?

Begitu juga kawasan minyak di antara Malaysia dengan Vietnam. Ia menyatakan bahawa sebahagiannya masuk kawasan Vietnam dan satu lagi masuk kawasan Malaysia. Jadi saya hendak tahu dengan jelas, adakah Akta ini meliputi dan boleh menyebelahi apabila kita lulus nanti?

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
—————–
Ucapan disampaikan pada 25 Jun 2007

Dr Hayati bahas Rang Undang2 Biokeselamatan (2)

Vaksin ini merupakan suatu bentuk genetically organism yang akan digunakan untuk menghalang badan kita daripada terkena penyakit dan ini merupakan suatu berita yang cukup baik dan cukup positif kerana ia memberi suatu kelegaan kepada rakyat kerana kos untuk sesuatu vaksin yang kita import sekarang ini adalah suatu bebanan kepada rakyat terutama sekali kalau kita lihat kepada jemaah haji kita yang ingin menunaikan haji misalnya dalam meninga cockle, meningitis vaccine dan juga influenza vaccine, mereka terpaksa berbelanja lebih kurang RM50 hingga ke RM90 hanya untuk sesuatu vaksin.

Sekiranya kita dapat mengadakan ataupun membuat vaksin ini dalam negara kita, saya rasa ini akan menjimatkan kos baik kos jemaah haji ataupun kos yang ditanggung oleh Tabung Haji sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pagi tadi.

Tentang genetically modified food ini ada beberapa perkara yang harus kita beri perhatian iaitu kadang-kadang memberikan suatu kesan positif kepada sektor pertanian kita kerana ada di antara GM food ini ia akan memberi ketahanan kepada misalnya buah-buahan yang dihasilkan daripada diserang oleh penyakit.

Sayur-sayuran yang dihasilkan ataupun padi ataupun beras yang dihasilkan ia tahan daripada serangan kemarau misalannya ataupun jenis buah-buahan seperti papaya dan juga jagung yang telah dibuat kajian dan dihasilkan ia tahan daripada serangan penyakit dan juga serangan racun-racun tertentu yang boleh memudaratkan manusia itu sendiri.

Saya rasa perkara ini perlu diberi perhatian dan ia amat wajar sekiranya kementerian melantik mereka yang pakar untuk menduduki dalam jawatankuasa ini. Selain daripada apa yang telah digariskan dalam rang undang-undang ini, saya rasa mereka yang mempunyai kepakaran khusus misalnya dalam bidang penyakit, mereka yang berada dalam IMR iaitu daripada Kementerian Kesihatan perlu juga diletakkan di dalam jawatankuasa ini.

Begitu juga mereka yang berada di Communicable Disease Control (CDC) di Kementerian Kesihatan kerana mereka inilah yang sebenarnya tahu bagaimanakah merebaknya sesuatu penyakit tersebut contohnya macam penyakit bird flu yang kita risau dalam keadaan sekarang ini.

Mereka inilah yang menjadi pakar dan juga tahu bagaimanakah penyebaran penyakit tersebut, bagaimana ia bermula, kepada siapa ia pergi dan juga cara mana kita dapat menghalang. Jadi, mereka yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang ini perlulah diletakkan di dalam jawatankuasa ini kerana ia tidak disebutkan dalam rang undang-undang ini.

Begitu juga dengan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang genetic engineering ini seperti mereka yang berada di PUSPATI. Begitu juga mereka yang boleh mengolah data melalui komputer seperti mereka yang berada di MIMOS di MOSTI. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh kementerian dan saya secara peribadi memang menganggap rang undang-undang ini merupakan suatu yang penting dan juga sesuai pada masanya untuk kita sahkan atau melaksanakannya. Terima kasih.