MP PAS Pendang: Mencelah Ucapan DAP Rasah membahaskan peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani

13 November 2008:

Ahli Parlimen Pendang mencelah Ucapan Wakil DAP Rasah ketika membahaskan peruntukan Kementeria Pertanian dan Industri Asas Tani, 13 November 2008.

Teks penuh;
Ahli Parlimen Pendang mencelah Ucapan Wakil DAP Rasah ketika membahaskan peruntukan Kementeria Pertanian dan Industri Asas Tani, 13 November 2008.

Ahli Parlimen Pendang mencelah Ucapan penggulungan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat pada 13 November 2008

Teks penuh:
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Yang Berhormat Rasah, terima kasih Tuan Pengerusi. Kalau beginilah dasar yang dibuat oleh LPP saya rasa petani-petani di Sekinchan mungkin tidak dapat menjadi ahli dalam pertubuhan ini sebab kebanyakan di Sekinchan ini daripada bukan bumiputera. Apa pandangan Yang Berhormat Rasah?

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Ya itu sebabnya kita hendak mendapatkan kepastian. Saya minta supaya pihak menteri memaklumkan Dewan yang mulia ini, apakah dasar sebenar pihak kementerian dalam perkara ini? Kalau tidak ada dasar ini, kalau di peringkat bawah itu mengamalkan dasar dia sendiri, maka saya harap pihak kementerian boleh mengambil tindakan tegas kepada pegawai-pegawai di bawah itu kerana ini merosakkan perpaduan negara kita.

Bukan sahaja di atas merosakkan agenda untuk memajukan pertanian, merosakkan juga agenda perpaduan di negara kita kerana rakyat tengok. Saya hendak mendapatkan subsidi baja, saya bukan bumiputera, tidak dapat. Bukankah ini satu diskriminasi? Jadi saya harap pihak kementerian
mengambil perhatian yang cukup serius dalam perkara ini.

Saya juga cek dalam website tersebut, salah seorang ahli lembaga pengarah bernama Encik Francis Harden Hollis, saya tidak tahulah adakah dia bumiputera atau tidak. Pada pandangan saya bukan seorang bumiputera yang menduduki lembaga pengarah tetapi pada hakikatnya ada orang yang minta menjadi ahli dalam Pertubuhan Peladang ini daripada kaum bukan bumiputera tidak dibenarkan. Saya berharap menteri memberikan satu penerangan yang jelas dan memastikan perkara ini tidak berlaku.

Perkara yang kedua yang ingin saya bangkitkan di sini berkenaan dengan Butiran 10740 – Pembangunan Industri Khinzir.

Rujuk: 13 November 2008 ms 34-35

Ahli Parlimen Pendang mencelah Ucapan penggulungan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat pada 13 November 2008.

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih menteri kerana menyebut Pendang tadi. Memang tahun ini sudah dua kali banjir di Pendang dan banyak kawasan sawah padi yang telah padinya hanyut, tidak boleh ambil hasil. Apa yang saya hendak tanya ialah tentang estet padi yang dibuat di Jelai, sempadan dengan kawasan sayalah iaitu jalan hendak ke Alor Star.

Estet padi ini dikatakan telah meningkat sehingga 7 metrik tan per hektar. Saya hendak tanya dari segi penerimaan petani terhadap konsep estet ini adakah mereka menerima dan adakah ia akan diteruskan ke kawasan-kawasan yang lain kerana hasilnya sudah meningkat daripada 4, 5 tan ke 7 tan. Ini satu perkara yang baik.

Satu lagi kesan daripada banjir yang menyebabkan masalah satu jenis siput yang kita panggil siput gondang emas. Siput gondang emas ini apabila banjir berlaku dia pergi ke kawasan-kawasan yang tidak terkena banjir iaitu dia cari kawasan yang tidak tenggelam. Ia menyebabkan satu lagi masalah penularan. Saya harap pihak kementerian memberi perhatian yang cukup serius terhadap siput gondang emas ini.

Emas ini emas yang tidak boleh digunakan, tidak boleh dijual. Kita pergi ke Beijing hendak dapatkan pingat emas tetapi gondang emas ini datang ke dalam sawah. Saya harap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi perhatian yang lebih terhadap perkara ini. Terima kasih.

Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Pengerusi, saya menjawab celahan daripada Yang Berhormat. Sebenarnya dalam membuat jawapan tersebut saya juga menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan sama oleh Yang Berhormat Kuala Kedah dan juga Yang Berhormat Arau berkaitan dengan gondang emas ini. Jadi saya jawab yang pertama berkaitan dengan penerimaan konsep mini estet dan seterusnya sama ada ada perancangan untuk menambah kawasan.

Mengenai penerimaan konsep, saya dimaklumkan bahawa ia diterima baik. Di Jelai umpamanya, oleh kerana kejayaan projek perintis tersebut, maka petani-petani di sebelahnya memohon daripada ketua unit untuk menyertai unit yang sama kerana mereka melihat bagaimana ketaranya peningkatan hasil.
Oleh yang demikian, bagi menjawab soalan Yang Berhormat Pendang tadi, penerimaannya amat baik sekali dan kita bersyukur kerana kaedah ini diterima baik.

Sama ada hendak memperluaskan, sudah pasti kita hendak buat. Tadi disebut sekarang ini cuma ada kira-kira 2,000 hektar dan sekarang ini hendak ditambah 10,000 hektar dan suatu hari nanti kita harap lebih daripada 50%. Sesetengahnya mungkin tidak sesuai oleh sebab-sebab tertentu, bukan semua sesuai dan dapat ditukar kepada mini estet.

Akan tetapi kalau 50%, bayangkan kalau daripada 6, 7 metrik tan naik yield nya ini merupakan kira-kira 15%. Jadi kalau keseluruhan dapat naik 10% hingga 15% sudah tentu ia akan membantu untuk menambah pengeluaran negara.

Mengenai siput gondang emas, ini satu isu yang besar di seluruh negara sebenarnya seperti yang disebutkan oleh Yang Berhormat Kuala Kedah semalam. Tuan Yang di-Pertua, memang ini satu masalah yang serius. Mengikut maklumat yang diberikan kepada kami ada tiga ancaman besar di MADA, nombor satunya siput, keduanya tikus dan ketiganya ialah penyakit seperti karah dan lain-lain. Ini merupakan
tiga ancaman utama. Siput adalah antara yang paling serius.

Pada masa ini ada cara mengawalnya termasuklah amalan kultura dengan mengawal paras air sawah dalam lingkungan rendah supaya siput tidak boleh membiak. Ada juga cara biologi dengan melepaskan itik ke sawah. Ada juga dengan cara kimia, ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Kedah, kenapa tidak dibenarkan menggunakan ‘TC cake’ ini. Ini diharamkan kerana mempunyai kandungan toksik yang
terlalu tinggi dan ini akan menyahkan hidupan air seperti ikan dan lain-lain, maka kerajaan tidak membenarkan penggunaan ‘TC cake’.

Setakat ini memang keadaannya bertahan, tidak merebak dan tidak berkurangan. Ini masalah yang besar. Langkah-langkah masih diteruskan oleh pihak MADA dengan tiga pendekatan tadi, dengan menggunakan baja kimia termasuk ‘delicide’ umpamanya digunakan dan juga dengan menggunakan netting dan kultura itu.

Dengan itu kita harap masalah ini dapat dikurangkan dan yield padi akan meningkat dengan kawalan yang lebih berkesan.

Tinggalkan komen