MP PAS Pokok Sena: Bahas peruntukan Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani

13 November 2008:

Ahli Parlimen Pokok Sena membahaskan peruntukan Kementerian Pertanian (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 13 November 2008.

Teks penuh:
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Yang Berhormat menteri, saya ingin menyentuh soal B.21 Kementerian Pertanian… [Ketawa] Teringatkan helikopter nak tabur baja dengan racun, 06000 berkaitan dengan Pemberian Subsidi Baja, 08000 – Insentif Pengeluaran Padi,110000 – MADA, 010400 iaitu Industri Padi dan Beras.

Saya ingin menyentuh yang pertama sekali, saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Yang Berhormat menteri tentang kedudukan pengeluaran beras dalam negara kita ini. Berapa sebenarnya tahap sara diri yang ada pada waktu ini, kerana saya sendiri pun agak confused dengan target dan matlamat. Kalau ikut apa yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri dalam penggulungan kalau tidak silap saya Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan menjelang 2010 ini, kita harap kita
boleh capai sebanyak 86% tahap sara diri untuk pengeluaran beras dalam negara kita.

Sedangkan kalau saya lihat pada angka yang saya peroleh daripada dalam Rancangan Malaysia Kesembilan juga, iaitu pada tahun 2005, pada waktu itu tahap sara diri kita berada pada kadar 72%. Dalam buku ini pun kalau kita lihat dalam muka surat 217 ini, memastikan pengeluaran beras dalam negara kita memenuhi sasaran sekurangkurangnya 72% tahap sara diri.

Jadi saya lihat macam seolah-olahnya kita masih tidak keluar lagi, tidak meningkat daripada tahun 2005. Jikalau tahun 2009 kita hanya baru nak capai 72%, saya masih tidak nampak lagi apakah langkah-langkah yang boleh memberikan satu jaminan untuk kita capai pada tahun 2010 iaitu pada tahap 86%.
Jadi ini saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri tentang angka ini dan program-program tindakan yang boleh meyakinkan kita, bahawa kita tidak akan menghadapi masalah yang besar kalau berlaku sekali lagi krisis seperti mana yang berlaku sebelum ini. Maka kita akan mampu untuk pada tahun 2010 itu untuk capai tahap sekurang-kurangnya 86%.

Kedua, berkaitan dengan soal pemberian, soal insentif pengeluaran padi ini dan juga pemberian subsidi baja. Saya lihat bahawa kita menyambut baik usaha untuk memberi insentif galakkan kepada pengeluaran padi ini dengan memberikan apa-apa bantuan yang sepatutnya. Akan tetapi saya nampak dari segi bantuan yang diberikan itu, umpamanya baja ataupun racun, tidak membuat satu kajian yang teliti tentang keperluan ataupun kegunaannya munasabah ataupun tidak dengan keadaan persekitaran ataupun tanah di satu-satu tempat atau kawasan-kawasan sawah padi umpamanya.

Saya lihat bahawa ini seolah-olah macam kementerian ini tidak dapat memenuhi objektif dia, kalau dalam buku ini, pelanggannya ialah petani, pelanggan dia petani, penternak dan juga nelayan. Ini seolah-olah baja itu dikeluarkan, racun itu diberikan dengan tanpa satu kajian menyeluruh, seolah-olahnya kita tidak jadikan petani ataupun penternak dan sebagai pelanggan kita. Kita jadikan syarikat-syarikat pengeluar baja ini sebagai pelanggan kita,kita lebih utamakan mereka. Mereka keluar baja, baja itu elok ke tidak elok ke kita pakai ambil saja.

Umpamanya macam saya pernah sebut di sini, hari ini masih lagi berlaku berkaitan dengan soal baja organic growth umpamanya masih lagi berlaku dan masih dikeluarkan, diberikan pada kawasan-kawasan tertentu. Walaupun di kawasan umpamanya MADA di sebelah bahagian saya, di kawasan Pokok Sena umpamanya diberikan juga baja yang lain daripada organic growth ini, diberikan baja umpamanya NS
yang bentuk garam tanaman benih, semburan tonik tanaman dan sebagainya.

Akan tetapi saya nak sebut kepada Yang Berhormat Menteri bahawa hanya yang boleh digunakan, dimaklumkan kepada saya oleh petani-petani hanya rendaman benih dan juga semburan kalau tidak silap saya.

Garam itu macam pernah sebut itu masih lagi diberikan pada kali ini dan mereka katakan boleh pergi pungutlah di bawah tangga rumah-rumah petani, maka mereka tidak guna. Tonik diberikan tanpa diberikan tunjuk ajar ataupun kursus taklimat bagaimana cara untuk digunakan, sebab bila mereka katakan bahawa tonik tanaman ini bila digunakan lebih akhirnya daun padi itu akan jadi rosak. Jadi akhirnya petani tidak berani guna sebab mereka tidak tahu guna berapa had boleh digunakan dan
sebagainya.

Saya lihat bahawa kita kira keluar saja, kita kata bagi, jangan nanti rakyat petani kata kita tidak bagi apa. Jadi sebab itu selalu saya sebut dalam perbahasan bajet di peringkat dasar, saya katakan kita harus melihat dari segi aktual atau pelaksanaan bajet peruntukan yang kita buat itu.

Ini supaya dia betul-betul dapat memenuhi kehendak dan keperluan kepada kumpulan sasaran kita ataupun tidak. Kalau tidak nanti kita pakai belanja, kita ada peruntukan dan kita belanjakan. Akhirnya ia tidak mendatangkan atau memberikan keuntungan yang besar kepada petani-petani.

Kemudian berkaitan dengan soal racun, walaupun dibangkit oleh beberapa kawan-kawan saya tadi, saya pun nak bangkit juga sedikit berkaitan dengan soal racun yang diberikan…

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Laluan sedikit Yang Berhormat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Sekejap, sekejap, saya nak habiskan sikit lagi ni. Racun ini soal diberikan racun, saya nak tanya kenapa kawasan luar MADA diberikan lima kategori ya? Lima kategori dengan 32 jenis, dia sepatutnya begitulah, di mana-mana pun tidak kira luar MADA ataupun dalam MADA. Namun, di dalam MADA ini, hanya diberikan tiga jenis, sedangkan sepatutnya lima kategori dari 32 jenis racun.

Jadi saya nak tanya, pasal apa yang buat keputusan untuk diberikan dalam kawasan MADA ini tiga jenis, adakah Pengerusi MADA yang juga bekas Menteri Besar Kedah? Saya nak tahu perkara itu, yang keduanya Tuan Pengerusi dan juga Yang Berhormat Menteri, saya juga minta penjelasan pasal apa pula baja itu diberikan dalam kadar satu hektar RM240, Yang Berhormat Arau ya? Kalau tidak silap saya RM240 satu hektar, diberi mengikut hektar.

Jadi mereka boleh pergi kepada PPK untuk ambil racun tersebut, tetapi kalaulah dalam pilihan racun itu tiba-tiba RM235, jadi ada baki lagi RM5. RM5 itu tidak ada barang yang ada harga RM5.

Jadi duit itu tidak boleh diambil, jangan kata duit itu tidak boleh dipulangkan kepada petani. Untuk petani nak tambah duit nak bagi cukup dengan harga racun pun tidak boleh ambil, jadi saya pun tidak tahu apa punya pengurusan, management macam ini meniaga macam mana kan? Patutnya kalau tidak nak bagi duit balik, izinkan petani untuk tambahkan duit untuk dapatkan barang, untuk ditampung
dengan duit tersebut.

Jadi saya pun tidak tahu, sehingga saya telah difahamkan oleh kawan-kawan daripada petani Tuan Pengerusi, satu-satu PPK, lebihan duit ini, RM10 – RM12 ribu. Jadi kita nak tahu duit ini ke mana, sebabnya duit ini sepatutnya peruntukan mengikut hektar kepada petani.

Jadi sepatutnya diberi balik kepada petani, tetapi saya katakan bahawa saya bersetuju kalau tidak bagi pun tetapi syaratnya izinkan petani untuk tambah duit untuk dapatkan racun yang mereka perlu. Jadi, ini yang seharusnya dilihat sebagai satu masalah yang dihadapi oleh petani-petani.

Kemudian dalam insentif untuk pengeluaran padi dan beras di negara ini, kerajaan pernah mengeluarkan satu yang disebut sebagai matching grant maknanya untuk memudahkan supaya petani-petani boleh membelikan peralatan-peralatan atau pun jentera-jentera yang kecil-kecilan ini untuk mereka mengusahakan mengurangkan kos pengeluaran.

Akan tetapi masalah yang dihadapi sekarang ini macam matching grant ini macam lambat proses dia, macam di kawasan saya di satu kawasan sahaja bukan di keseluruhan kawasan itu masih ada lagi 28 jentani yang tidak dapat diberikan tidak dapat dibekalkan kepada petani-petani.

Jadi, sepatutnya maknanya mereka matching grant ini maknanya kalau harganya RM5 ribu jentani itu maknanya petani RM2,500 kerajaan akan bayar RM2,500 geran, saya difahamkan itu oleh kawan-kawan daripada petani.

Jadi, saya lihat bahawa sepatutnya kita harus menyediakan peruntukkan yang cukup untuk mempercepatkan proses pengeluaran padi supaya dari segi kos pengeluarannya berkurangan dan ini akan memberikan kebaikan dari sudut pendapatan dan dengan sendirinya target kita untuk mendapatkan 10 tan satu hektar itu akan dapat dicapai secara yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Gulung Yang Berhormat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ya, saya hendak gulung Tuan Pengerusi, maaf kepada kawan-kawan saya tidak dapat bagi laluan tadi. Saya hendak sentuh berkaitan dengan RM16,000 iaitu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Yang Berhormat Menteri di Kedah sekarang ini ada 1,000 hektar ke 1,000 hektar saya pun ingat maknanya lebih kurang lah 1,000 hektar di Negeri Kedah ini, tanah yang ditanam dengan tanaman nanas iaitu ditanam bukanlah orang nampak secara meluas maknanya
secara kecil-kecilan.

Dalam kawasan saya agak banyak kawasan penanaman nanas dan diakui oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia. Saya ucapkan terima kasihlah bahawa nanas di Kedah ini adalah antara nanas yang nombor satu di Malaysia iaitu nanas hasil daripada cantuman nanas Sarawak dengan nanas gondol daripada Johor maknanya dia campur dua itu dia jadi elok makna boleh mengatasi nanas daripada
Johor.

Akan tetapi, persoalan yang saya hendak bangkitkan di sini ialah dari segi pertama sekali peranan FAMA umpamanya dari segi pemasaran ini tidak begitu baik dan petani-petani nanas ini, peladang-peladang nanas ini masih bergantung kepada usaha mereka sendiri untuk membuat pemasaran. Jadi, FAMA ini nampak macam tidak meningkat dia punya ini, hanya fikir soal Pasar Tani sahaja daripada Pasar Tani biasa kepada Pasar Tani Mega. Jadi itu tidak nampak ada perkembangan dari sudut
pemasaran untuk kebaikan kepada petani-petani.

Jadi saya hendak minta supaya Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) ini dapat memberikan tumpuan yang lebih baik untuk turut membantu bagaimana persoalan mengatasi masalah pemasaran khususnya bagi peladang-peladang nanas di Kedah. Kemudian, soal ada satu yang disebut peruntukkan RM2,400 satu ekar kalau tidak silap saya berkaitan dengan soal benih, baja dan racun kalau tidak silap saya RM2,400 satu ekar.

Saya dimaklumkan bahawa permohonan ini proses permohonan ini agak lambat. Proses permohonan ini kelulusan dia agak lambat dan ini agak menyulitkan dan menyusahkan kepada peladang-peladang. Jadi, saya minta supaya kita juga harus melihat, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia harus lihat sekarang ini kita bukan sahaja untuk hendak tanam nanas untuk hendak buat kenduri, untuk buar acar dan
sebagainya tetapi kita pun sudah menerokai sebelum itu dalam bentuk mengetinkan nanas.

Akan tetapi saya mengharapkan bahawa sekarang ini sepatutnya kita boleh membuat nanas dalam bentuk chip, nanas-nanas goreng, sekarang ini di pasaran yang ada di Malaysia itu kita menggunakan chip nanas itu daripada Taiwan. Akan tetapi kita sudah ada pengeluaran nanas yang sepatutnya kita boleh lahirkan dia sebagai chip nanas untuk jadikan makanan ringan bagi rakyat Malaysia dan juga untuk tujuan eksport untuk masa yang akan datang. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Rujuk: 13 November 2008,45-48

Ahli Parlimen Pokok Sena mencelah ucapan penggulungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Jawatankuasa).

Teks penuh:
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Menteri. Sebenarnya saya tidak keliru, tetapi Yang Berhormat Menteri menambahkan lagi kekeliruan saya. Bila disebut tadi, Yang Berhormat Menteri bersetuju bahawa dalam 2005 kita berada pada 72% tetapi Yang Berhormat Menteri sebut sekarang sekitar 73%. Akan tetapi dalam buku kita akan capai tahun depan, 72% dan daripada 72% kita harap lonjakan boleh naik sampai 2010 kepada 86%.

Jadi itu saya katakan, angka itu kadang-kadang saya takut. Yang dalam buku ini dia pakai yang belajar yang dulu pakai cetak balik sahaja. Itu saya kata kadang-kadang ada juga items, saya tengok dalam buku belanjawan ini, ia statik, ia tidak berubah. Dia kata, yang dulu sudah ada, pakai, ikut yang lama. Jadi perangai ini ada juga kadangkadang.

Saya hendak tanya, Yang Berhormat Menteri, sejak daripada program 10 tan satu hektar itu telah dilancarkan oleh pihak kementerian, berapa peratus ia boleh membantu kepada lonjakan untuk pertambahan pengeluaran padi dan beras dalam negara kita. Daripada 72%, mungkin hendak naik. Berapa banyak yang sudah boleh membantu kita itu.

Dato’ Mustapa bin Mohamed: Dua perkara, Tuan Pengerusi. Yang pertama mengenai angka-angka ini. Mengenai padi dan beras ini, ia juga sensitif kepada cuaca. Kadang-kadang banjir besar melanda di Kedah, umpamanya tahun 2006. Baru-baru ini pun banjir di Pendang umpamanya. Ini yang menjadikan angka kadang-kadang turun naik.

Kalau banjir besar menjejaskan pengeluaran. Maka itu kadang-kadang angka itu kalau kita tengok tidak logik kalau turun naik mendadak tahun demi tahun, tetapi itu penjelasannya.

Mengenai keberkesanan projek apa yang dipanggil dahulunya 10 tan, sekarang ini kita cuba cari nama barulah kerana bila bercakap tentang 10 tan ini sebenarnya tidak banyak negara yang menghasilkan 10 tan. Ada beberapa orang petani di Sekinchan mendapat 10 tan. As a target, dengan izin, ia boleh dijadikan target tetapi sekarang ini kita di Kedah, MADA umpamanya, projek ini dilaksanakan melalui mini estet di mana dikumpulkan beberapa petani dalam satu kawasan, di Jelai umpamanya, 100 orang
petani yang dikumpulkan dan terdapat peningkatan hasil.

Jadi di bawah projek ini, terdapat bimbingan yang bersepadu termasuklah di Jelai ini, daripada MARDI, membimbing petani-petani berkenaan, memberi latihan tentang pembajaan yang sesuai, kawalan air, dan pengurusan ladang. Maka saya difahamkan di Jelai umpamanya, ia telah naik kepada kira-kira tujuh metrik tan satu hektar. Sebelumnya enam metrik tan. Jadi itu kejayaan yang dicapai.

Di MADA menjelang tahun 2010, kita berharap keluasan yang diuruskan di bawah mini estet ini akan bertambah pada kira-kira 10 ribu hektar. Satu hari jika diuruskan secara kaedah tersebut, maka ini berpotensi untuk menaikkan pengeluaran di kawasan MADA.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Penjelasan Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Menteri. Berkaitan dengan racun tadi Yang Berhormat kata ada rundingan antara petani dengan MADA. Ada Lembaga Pengarah PPK ini sedang mengikuti persidangan kita ini live dalam internet.

Mereka menghubungi saya, tidak rundingan mereka kata. Mereka kata tidak rundingan. Saya beritahu petani-petani kawasan saya dan beberapa kawan saya yang merupakan jawatankuasa atau Lembaga Pengarah PPK, mereka sedang mengikuti melalui internet dan mereka kata tidak betul. Mereka tidak ada rundingan malah sekarang ini mereka kata bahawa jenis masalah penyakit itu sama sahaja antara MADA dengan luar MADA, sama sahaja. Kenapa harus MADA diberikan hanya tiga kategori, di luar MADA diberi lima kategori.

Jadi saya takut nanti Pengerusi MADA iaitu Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kedah ini bagi maklumat tidak betul kepada Dato’ Menteri. Dia hendak jaga dia punya, dia sudah kalah. Kerajaan
dia jatuh dalam pilihan raya baru-baru ini, jadi dia tidak mahu juga imej dia sebagai Pengerusi MADA itu terjejas. Patutnya Pengerusi MADA itu kena bagi pada Menteri Besar Kedahlah. Itu baru betul.

Dato’ Mustapha bin Mohamed: Yang Berhormat Pokok Sena ini buat tuduhan melulu ya? Seperti biasa ya.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Bukan tuduhan melulu Yang Berhormat. Ini fakta.
Dato’ Mustapha bin Mohamed: Tidak ada kaitan dengan Pengerusi. Saya tidak berunding dengan Pengerusi MADA. Maklumat tidak datang daripada Pengerusi MADA.
Maklumat…

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Pengerusi MADA lah suruh pegawai MADA bagi.
Dato’ Mustapha bin Mohamed: Jadi lepas ini Yang Berhormat bagi nama. Saya hendak pastikan kesahihan maklumat ya. Takut Yang Berhormat pusing-pusing, confuse lagikan. Lepas bagi nama dan kita hubungi serta merta petani-petani berkenaan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Pokok Sena ini memang selalu confuse. Confuse sahaja.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Yang Berhormat Arau pun tidak nafi.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan confuse kan orang.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Yang Berhormat Arau pun tidak nafi, dia mengaku, dia mengangguk bahawa…
Dato’ Mustapha bin Mohamed: Walau bagaimanapun Tuan Pengerusi, kita…
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Bagi nama sekaranglah.
Dato’ Mustapha bin Mohamed: Bagi nama. Lepas ini bagi nama.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tidak bolehlah bagi nama. Ini rahsialah nanti black list.
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Apa pula rahsianya. Mana kita tahu.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ini memang UMNO dok black list selalu… [Dewan riuh]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Cukup Yang Berhormat ya.
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Transparent. Kita hendak transparent. Sebut nama dia.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya hendak sebut sekarang bahawa saya cabar Yang Berhormat Menteri sila turun untuk bertemu dengan semua Jawatankuasa PPK. Saya katakan kita bertemu dengan jawatankuasa PPK.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Cukup Yang Berhormat ya.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Apa maklumat, apa pandangan mereka terhadap MADA khususnya terhadap Pengerusi MADA sekarang ini.
Dato’ Mustapha bin Mohamed: Terima kasih Yang Berhormat. Jadi seperti saya maklumkan tadi, kita sudah tubuhkan satu Jawatankuasa Majlis Muafakat.
Dato’ Dr. Mohamad Shahrum bin Osman [Lipis]: Yang Berhormat Pokok Sena bagi nama pegawai itu. Senang kita berhubung.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Siapa itu?

Dato’ Mustapha bin Mohamed: …Majlis Muafakat antara petani, MADA, pegawai dan lain-lain, BERNAS dan isu-isu begini boleh dibangkitkan dalam majlis tersebut. Jadi terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya saya pergi kepada…
Dato’ Dr. Mohamad Shahrum bin Osman [Lipis]: Sah Yang Berhormat Pokok Sena penakut.

Dato’ Mustapha bin Mohamed: Lepas ini bagi Yang Berhormat Pokok Sena ya. Seterusnya Yang Berhormat Pengkalan Chepa ada bangkitkan tentang katanya peruntukan RM3.5 juta yang masih disediakan oleh kerajaan negeri untuk membantu petani-petani mendapat baja ini. Sebagai sejarahnya baja ini memang di peringkat awal ada sedikit sebanyak masalah di Kelantan ya, agihan baja ini. Akan tetapi bermula April 2007, kaedahnya sudah pun berubah di mana selain daripada PPM, tok imam, ketua
unit dan pegawai juga boleh mengesahkan.

Dulunya ada pengikut-pengikut fanatik parti PAS ini dia tidak mahu mendapat pengesahan daripada ketua kampung yang dilantik oleh Kerajaan Pusat ini. Jadi itu menjadi masalah. Kalau dia tidak mahu pergi, tidak dapatlah. Jadi mengambil kira…

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Dato’ Menteri. berkaitan dengan padi sebab Dato’ Menteri kata nak habis bab padi ini. Saya nak balik kepada isu bab racun tadi, tak selesai lagi itu, tak jawab habis itu.

Satu yang saya pertahan apa yang saya katakan tadi bahawa saya sudah check pekeliling yang dikeluarkan oleh MADA dan dilekatkan di semua pejabat-pejabat PPK bahawa jadual kawasan-kawasan jadual racun ini, luar MADA dan juga dalam MADA lima kategori 32 jenis. Tiba-tiba daripada segi pelaksanaannya, hanya dibuat untuk tiga kategori saja, tidak kepada lima kategori.

Jadi saya nak katakan bahawa ini saya akan persoalkan siapa yang membuat keputusan dan saya check tadi tidak ada satu pengerusi-pengerusi Jemaah Pengarah PPK itu dipanggil untuk membuat perundingan ataupun apa-apa mesyuarat dengan pihak MADA sama ada pihak pengurusan ataupun pihak pengerusi MADA iaitu Pengerusi UMNO Negeri Kedah.

Satu lagi Yang Berhormat Menteri yang Yang Berhormat tidak jelas lagi, duit Yang Berhormat Menteri. Satu hektar RM240 dia punya kos kalau tak silap saya tetapi bila saya katakan bahawa apabila petani pergi ambil racun RM235 lebihan RM5, duit lebihan itu tidak diberi balik.

Kalau nak beli tak cukup, kalau kita nak tambah duit tak diterima. Jadi saya nak kata siapa yang membuat keputusan seperti ini yang akhirnya menyebabkan setiap satu-satu PPK itu lebihannya RM10,000 ataupun RM12,000 duit yang sepatutnya diperoleh oleh petani kerana diberi itu bukan kepada petani, atas hektar, atas keluasan kawasan sawah padi. Terima kasih.

Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, mengenai perkara kedua yang dibangkitkan. Yang tidak cukup atau pun lebih tadi. Yang tidak cukup katanya petani tidak dibenarkan untuk menambah RM5. Jadi, saya akan siasat aduan tersebut.

Walaupun ini duit kerajaan, bukan milik sesiapa, jadi kalau lebihan kena pulang pada kerajaan. Jadi, saya akan siasat. Cuma yang kedua tadi, saya tadi jumpa Yang Berhormat di luar Dewan. Minta
nama tidak dapat lagi, saya tunggulah sebelum Yang Berhormat balik ke Pokok Sena, bagi nama siapa yang membangkitkan perkara ini. Saya hendak tahulah, saya akan siasat hingga ke akar umbi. Saya beri jaminan akan siasat hingga ke akar umbi.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Dia begini. Saya tidak akan beri nama sebab saya tahu bahawa itu bahaya kalau saya beri nama. Maknanya ada orang akan …
Dato’ Mustapa Mohamed: Dia takut apa? Kalau Yang Berhormat kelentong, orang lain mana tahu.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Akan tetapi saya katakan kalau betullah… [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara] MADA beritahu bila tarikh mesyuarat dengan PPK, bila tarikh mesyuarat, hari apa, yang dikatakan ada rundingan…

Dato’ Mustapa Mohamed: Saya akan beritahu setelah Yang Berhormat Pokok Sena bagi nama kepada saya.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya katakan bahawa petani…
Dato’ Mustapa Mohamed: …Spesifik, jangan Yang Berhormat reka-reka sahaja. Tidak boleh cakap dalam Dewan sahaja, tidak boleh bohong.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya hendak sebut, petani memerlukan sebab antara racun yang diperlukan oleh petani ialah racun rumput dan serangga. Ini yang dalam MADA tidak dapat, macam mana MADA kata itu tidak ada keperluan kepada petani MADA. Ini racun yang diperlukan.

Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, saya sudah buat pengakuan dalam Dewan ini. Memang ada senarai 32 racun, lima komponen. Saya mengaku bahawa di MADA cuma tiga komponen sahaja dan kenapa begitu, ada proses perundingan. Itu yang saya kata. Yang Berhormat mempertikaikan. Jadi, berilah keterangan pada saya. Saya tunggu.

Selagi tidak dapat keterangan, saya tidak boleh siasat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya minta Yang Berhormat Menteri beritahu bila rundingan itu berlaku, tarikh itu bila dibuat.

Dato’ Mustapa Mohamed: Bagi nama dahulu.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Bila tarikh mesyuarat antara pihak pengurusan… dengan…
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Bagi sahajalah nama itu.

Tuan Yang di-Pertua: Bila perundingan Yang Berhormat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Untuk apa dia hendak nama? Saya katakan bila tarikh mesyuarat?
Dato’ Mustapa Mohamed: Pasal apa takut, kita bukan hendak ambil ISA, bukan hendak masuk ISA
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: No, ni. Tidak, tidak. Ini isu …

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Bagilah nama Yang Berhormat Pokok Sena, bagi nama.
Dato’ Mustapa Mohamed: Dia cuba tidak bagi laluan sudah.
Tuan Yang di-Pertua: Nanti runding di luar, bila mesyuarat begitu jangan paksa di sini bila mahu…
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tidak, saya katakan bahawa tidak ada seorang pengerusi pun, Jemaah Pengarah PPK dipanggil mesyuarat berunding dengan pihak MADA negeri Kedah. Tidak ada, tidak ada. Jadi, saya minta tarikh. Kalau sudah kata MADA kata ada rundingan iaitu Datuk Mahathir Khalid iaitu pengerusi MADA, pengerusi UMNO negeri Kedah kata ada rundingan, sila beri tarikh bila. Tidak ada tarikh.

Dato’ Mustapa Mohamed: Ini saya punya floor Tuan Yang di-Pertua. Saya tidak mahu beri laluan sudah. Selagi Yang Berhormat Pokok Sena tidak bagi nama, saya tidak beri laluan sudah.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ini bukan soal floor tak floor, tetapi saya katakan…
Tuan Yang di-Pertua: Mesej Yang Berhormat Pokok Sena sudah didengar dan …

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya katakan ini keadilan untuk petani. Jangan ada masalah-masalah tertentu, akhirnya sepatutnya petani memperoleh perkara-perkara yang menjadi keperluan. Sebab itu saya katakan perlu diteliti apa keperluan sebenarnya kepada petani.
Tuan Yang di-Pertua: Ya. Terima kasih.
Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Yang di-Pertua, saya hairan bin ajaib kenapa dia tidak mahu bagi nama ini? Apa susahnya nama ini?

Seorang Ahli: Tidak perlu nama.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Apa masalah tarikh mesyuarat?
Tuan Yang di-Pertua: Tidak apa, tidak apa Yang Berhormat Pokok Sena, nanti runding di luar dengan Menteri. Menteri ini baik, Menteri baik orangnya.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Tinggalkan komen