MP PAS Tumpat: Bahas Peruntukan Kem. Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah

13 November 2008:

Ahli Parlimen Tumpat membahaskan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 13 November 2008.

Teks penuh:
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Tuan Pengerusi, amat ringkas sekali iaitu berkaitan dengan KEMAS, 00400 Pendidikan Prasekolah. Beberapa bulan yang lalu, Yang Berhormat Menteri mengumumkan bahawa kementerian telah memutuskan untuk memberi dan membekalkan vitamin-vitamin kepada pelajar-pelajar iaitu anak-anak kita di KEMAS.

Saya terkejut dan terperanjat mendengar pengisytiharan Yang Berhormat Menteri itu dan diumumkan bersekali bahawa sejumlah RM17 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Tuan Pengerusi, saya bukan doktor ataupun pharmacist. Akan tetapi saya ada sedikit sebanyak membaca beberapa iaitu berbagai-bagai laporan dan tulisan daripada pakar-pakar perubatan, doktor dan sebagainya. Yang mana ada di kalangan tulisantulisan tersebut termasuk yang terakhir yang saya baca merumuskan bahawa manusia yang mengambil vitamin ini secara umumnya hayat mereka lebih pendek daripada manusia yang tidak mengambil vitamin.

Ini fakta yang saya baca dan kalau hendak dipersoalkan, saya boleh rujuk balik melalui Google tentang maklumat tersebut. Jadi saya agak bimbang apabila kementerian membuat keputusan untuk anakanak
yang berumur 4, 5 dan 6 tahun ini.

Saya tidak mahu nanti pada 3, 4 tahun atau 5, 6 tahun yang akan datang, kita akan baca laporan bahawa beberapa ratus ribu rakyat Malaysia telah terencat itulah, terencat inilah, cacat sana, cacat sini kerana 5, 6 tahun dahulu di peringkat KEMAS, mereka telah diberikan vitamin yang telah dipersetujui dan diputuskan oleh kementerian. Kalau itu berlaku, yang saman-saman itu adalah satu hal,
yang berbilion-bilion lainnya. Akan tetapi kehilangan tenaga insan, manusia, tenaga rakyat Malaysia amatlah membimbangkan.

Jadi harapan saya ialah kementerian benar-benar membuat kajian dan mendapatkan rujukan daripada Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar kesihatan dan seboleh-bolehnya membuat sedikit penyelidikan tentang baik-buruknya vitamin-vitamin ini untuk anak-anak. Kalau dari segi makanan sihat, sama ada susu, telor, roti yang baik dan sebagainya, itu sudah tentu saya sokong dan saya fikir tidak kontroversi pandangan itu.

Makanan yang sihat diberikan di sekolah, air yang dirawat dan tidak kotor atau tidak terlalu banyak klorin dan sebagainya, itu sudah tentu sepatutnya diberi perhatian oleh kementerian. Akan tetapi untuk memutuskan dengan semudah itu vitamin untuk anakanak kita ini, saya amat-amat bimbang dan ragu-ragu sekali.

Keduanya dalam perkara yang sama ialah yang berkaitan dengan masalah Kementerian Pelajaran kita selama beberapa tahun ini menganggap bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat lemah. Menyebabkan kerajaan terpaksa mengorbankan dasar bahasa kebangsaan kita tentang bahasa Melayu ini sehingga merubah sistem pendidikan kita dan memaksa anak-anak kita untuk diberikan pengajaran dalam bahasa Inggeris untuk mata pelajaran sains dan matematik.

Apa kata kalau KEMAS memberikan sedikit penumpuan kepada pengajaran bahasa Inggeris di
peringkat KEMAS lagi supaya apabila anak-anak kita pergi ke sekolah rendah nanti, akan mempunyai penguasaan selain daripada bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu, juga bahasa Inggeris. Kalaulah itu berjaya KEMAS capai dan lakukan, maka ia tidak akan lagi menjadi asas kepada jabatan dan kementerian lain untuk mewajibkan pula bahasa Inggeris.

Saya bimbang kalau dibuat keputusan selepas UPSR ini bahawa penguasaan bahasa Inggeris masih lagi lemah, kerajaan dan Kementerian Pelajaran membuat dasar pula bahawa bukan sahaja matematik dan sains tetapi geografi dan sejarah mesti diajar di dalam bahasa Inggeris.

Kalau itu kesimpulan kementerian yang mana setakat ini pengalaman kita dengan Kementerian Pelajaran ini amat-amat membimbangkan dan mengelirukan kita. Jadi itu dua sahaja cadangan saya, Tuan Pengerusi. Terima kasih.

Rujuk: 13 November 2008, ms 101-103

Tinggalkan komen