MP PKR Gombak: bahas usul potong gaji Menteri Pelajaran

26 November 2008:

Ahli Parlimen Gombak membahaskan usul di bawah peraturan 66 (9) daripada DAP Serdang mencadangkan memotong gaji Menteri Pelajaran, 26 Nov. 2008.

Teks penuh:
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tuan Pengerusi, saya ingin mengambil bahagian untuk menyokong usul yang dibawa oleh sahabat saya daripada Serdang dan telah pun disokong oleh beberapa teman sebentar tadi termasuk Yang Berhormat Ipoh Barat.

Persoalan yang dibangkitkan bukan soal RM10 yang hendak kita potong. Apa makna RM10 kepada Menteri Pelajaran? Terlalu kecil bagi beliau, tetapi yang kita hendak tekankan ini mesej yang hendak kita sampaikan. Kedudukan beliau sebagai Menteri Pelajaran haruslah bertanggungjawab bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada semua kaum dalam negara kita.

Akan tetapi kalau kita teliti usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Serdang sebentar tadi, jelas Yang Berhormat Menteri Pelajaran telah gagal menjalankan tugas dan tanggungjawabnya untuk memastikan apa yang telah dijanjikan selama hari ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan bertanggungjawab serta beramanah.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Mencelah sedikit.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak bagi jalan Yang Berhormat?
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Baru start.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Tidak apa.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Ya sila Yang Berhormat Hulu Terengganu.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Gombak. Tadi Yang Berhormat Serdang telah menyatakan bahawa ada berlaku diskriminasi, ada berlaku pilih kasih di antara sekolah kerajaan, sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina ataupun Tamil.

Saya hendak tanya Yang Berhormat Gombak, bahawa sekolah kebangsaan itu sekolah yang seluruhnya dikuasai dan dimiliki oleh kerajaan sama ada dari segi pemilikan tanahnya ataupun dari segi pengurusan pentadbirannya berbanding dengan sekolah jenis kebangsaan bantuan Tamil atau Cina.

Bahawa sekolah tersebut tanah miliknya bukan tanah kerajaan, pengurusannya diurus oleh jemaah pengelola, macam mana kita hendak samakan bantuan yang harus dihulurkan oleh kerajaan dari segi pembangunan pun. Adakah Yang Berhormat bersetuju membuat pembangunan bukan di tanah milik sendiri? Bagaimana pandangan Yang Berhormat Gombak? Terima kasih.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Hulu Terengganu sebab itu saya ingat elok masuk sekolah sekali lagi. [Disampuk] Tidak apa Yang Berhormat Pasir Salak, kalau hendak bangunlah jangan menjerit daripada bawah.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Itulah menghina itu, itu boleh lepas?
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tidak apa saya hendak jelaskan.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Hendak minta jalan Yang Berhormat?
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Bahasa-bahasa menghina itu boleh lepas.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Saya hendak jelaskan, semenjak bila Yang Berhormat Pasir Salak faham soal bahasa ini? Tuan Pengerusi, yang dibangkitkan oleh sahabat saya daripada Hulu Terengganu tadi, ini bukan soal diskriminasi. Kalau benar pun tanah itu tanah persendirian, dikelolakan oleh Lembaga Pengelola, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab apakah tidak boleh memberikan bantuan dan sokongan kepada anak-anak kita di sekolah-sekolah berkenaan? Kalau orang Cina, orang India daripada zaman kemerdekaan boleh menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi?

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: [Bangun]
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Tunggu, saya hendak jelaskan. Kalau orang Cina boleh terima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, orang Cina tidak pernah pertikaikan. Orang India boleh terima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah pertikaikan.

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Saya, mengelirukan.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat hendak minta jalan?
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Apa maksud tidak mengelirukan kalau papan tanda bahasa Melayu bahasa kebangsaan tetapi dalam masa yang sama telah membuat bahasa-bahasa lain sebagai papan tanda, bukankah itu satu penghinaan?

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, dia tidak bagi jalan Yang Berhormat.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Apakah maksud penghinaan? Terima kasih.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Ini masalah kalau tidak pergi sekolah Tuan Pengerusi. Apa yang berlaku di Pulau Pinang dia tidak buang nama jalan. Nama jalan kekal, dia hanya tambah beberapa bahasa yang lain, faham atau tidak Yang Berhormat Hulu Terengganu? Ini yang berlaku, kalau tidak, mengapa tidak tegur jalan-jalan di Sarawak Tuan Pengerusi?

Lapangan terbang di Sarawak Tuan Pengerusi pernah pergi Sarawak? Mengapa tidak? Di KLIA, di Mongolia, pernah pergi? Boleh tanya Yang Berhormat Pekan. Jadi saya minta perkara ini jangan politikkan. Saya minta Tuan Pengerusi, yang saya hendak jelaskan ini ialah kalau orang Melayu, orang Cina dan India boleh terima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tidak pernah pertikaikan.
Orang Iban dan Kadazan terima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengapa Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh memperkasakan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil untuk mereka mengamalkan bahasa ibunda mereka?

Ini juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini keadilan namanya. Sementara kita pertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita pertahankan orang Melayu, kita juga mesti berlaku adil kepada kaum-kaum yang lain dalam negara kita. Dalam konteks ini Tuan Pengerusi…

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Gombak, mohon penjelasan sedikit Yang Berhormat Gombak. Sedikit sahaja, boleh? Balik Pulau sedikit? Saya hendak tanya Yang Berhormat Gombak sebab tadi dikaitkan dengan Perlembagaan, adakah alasan yang diberi oleh Ahli Parlimen daripada Hulu Terengganu, mengasing-asingkan tanah dan sebagainya dari aspek pembangunan itu adalah merupakan asas untuk kita mengasing-asingkan seperti yang dibenarkan di dalam Perlembagaan. Setahu saya, di dalam Perlembagaan, dalam aspek pendidikan semua patut diberi keadilan yang sama tanpa mengira kaum. Mohon penjelasan.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Balik Pulau, saya tidak salahkan teman saya daripada Hulu Terengganu, dia pun datang daripada hulu Tuan Pengerusi. Jadi saya hendak jelaskan sedikit…

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Tuan Pengerusi, saya hendak tanya Yang Berhormat Gombak.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Nanti dahulu saya sudah beri laluan tadi, bagi saya beri jelas dulu kepada Yang Berhormat Balik Pulau.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Sepatah perkataan sahaja.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Saya hendak beri penjelasan dulu Tuan Pengerusi.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Dia tidak bagi jalan Yang Berhormat.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Sepatah perkataan sahaja.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Saya hendak jelaskan di sini, kalau soal tanah itu merupakan satu soal yang menjadi masalah kepada UMNO dan Barisan Nasional, saya hendak tanya kepada komponen Barisan Nasional seperti MCA, kebetulan Timbalan Menterinya pun daripada MCA, apa peranan beliau? Saya minta MCA tolong jangan diperkuda oleh UMNO.

Orang Cina mengharapkan supaya mereka juga sebagai bangsa Malaysia mendapat pembelaan yang sewajarnya. Sekolah-sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina ini bukan untuk anak-anak Cina sahaja Tuan Pengerusi. Kalau kita tengok statistik tiga tahun yang lalu jumlah anak Melayu yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina sudah mencapai 80,000 orang.

Anak Melayu belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, mengapa? Kerana kualiti pendidikannya baik, disiplinnya tinggi, guru-gurunya tahap profesionalismenya tinggi. Apakah itu satu kerugian kepada bangsa Malaysia. Kalau anak kita boleh menguasai bahasa Mandarin dengan baik, anak kita boleh menguasai bahasa Tamil dengan baik. Itu memberikan kebaikan kepada negara. Kalau benar Malaysia hendak bersaing dengan negara Cina dan India dalam 10 tahun yang akan datang, kalau kita tidak mempersiapkan anak bangsa kita untuk menguasai Mandarin dan Tamil dengan baik; bagaimana mungkin anak-anak kita dapat menjalankan urus niaga di negara China ataupun negara India.

Sebab itu tumpuan ini harus diberikan secara serius oleh Menteri Pelajaran. Saya harap Yang Berhormat Timbalan Menteri seorang tokoh yang cukup berwibawa jangan diperkudakan oleh Menteri Pelajaran. Gunakan kedudukan itu, kuasa yang ada untuk membantu orang-orang Cina dan orang-orang India di negara kita.

Kalau Menteri Pelajaran bersedia untuk menerima sedikit teguran ataupun nasihat. Lihat di negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, lihat di negeri Perak kita beri baru-baru ini 1,000 hektar tanah kepada Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina seluruh negeri Perak, 1,000 hektar. 50 tahun tidak dapat apa pun daripada Barisan Nasional. Sekolah Tamil jauh ketinggalan. Timbalan Menteri Wilayah ada sini. Cameron Highlands ada. Apa mereka buat?

Mengapa 50 tahun Barisan Nasional perintah MIC jadi komponen Barisan Nasional Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil masih ketinggalan. Tidak payah pergi jauh tidak payah pergi Sungai Petani, Kulim. Ijok hanya satu jam daripada Bandaraya Kuala Lumpur masih ketinggalan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil.

Di mana tanggungjawab kita? Kalau benar kita pemimpin Melayu Islam kita harus tegakkan keadilan bukan sahaja untuk orang Islam tetapi juga kaum-kaum yang lain dalam negara kita. Jadi Tuan Pengerusi, saya berharap usul ini akan disokong oleh teman-teman saya daripada UMNO dan Barisan Nasional. Bukan soal RM10 tetapi saya kira mesej yang hendak kita berikan kepada Kementerian Pelajaran yang saya pernah berada di sana satu ketika dahulu.

Pegawai-pegawainya, pentadbirnya telah menjalankan tugas dengan cukup baik dan bertanggungjawab. Malahan teman saya dari Kuala Terengganu juga dahulu pernah datang daripada warga pentadbir Kementerian Pendidikan. Mereka menjalankan tugas dengan baik. Akan tetapi kalau Yang Berhormat Menteri mengambil sikap mempolitikkan semata-mata untuk menggamit sokongan orang-orang Cina menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Menjanjikan enam buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina semata-mata apa? Politik tidak lebih daripada itu. Janji sana janji sini tetapi sampai sekarang tidak dilaksanakan. Mujur, alhamdulillah dan saya berterima kasih kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia kerana tidak mempercayai janji-janji kosong oleh UMNO dan Barisan Nasional dan tolak MCA tolak Barisan Nasional dalam pilihan raya yang lepas.

Saya berharap dengan ketegasan yang diambil oleh Serdang pada petang ini dan insya-Allah akan disokong oleh teman-teman daripada Barisan Nasional kita akan lihat satu pembaharuan yang cukup positif demi kebaikan anak bangsa kita di Malaysia. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tinggalkan komen