MP PAS Pokok Sena: Sistem persekolahan gagal membentuk moral dan jati diri … lebih menumpu ‘exam orineted’

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Persoalan moral, persoalan identiti, soal jati diri di kalangan pelajar-pelajar yang akhirnya akan melahirkan seorang warganegara yang baik dalam negara kita ini.

Kadang-kadang saya lihat bahawa sejauh mana kementerian melihat daripada segi perseimbangan antara penumpuan kepada persoalan pencapaian akademik dengan persoalan mutu moral dan juga melahirkan jati diri di kalangan pelajar-pelajar.

Saya bimbang Yang Berhormat bahawa kadang-kadang bila terlalu tumpuan bukan saja kepada guru saya katakan tetapi oleh kerana sistem sudah jadi begitu, ia mempengaruhi ibu bapa dan mempengaruhi masyarakat membuat penilaian pencapaian anak-anak kita di sekolah ialah berapa A dia boleh skor, itu saja.

Jadi akhirnya ibu bapa pun lebih tumpu kepada persoalan pencapaian daripada sudut exam oriented nya. Guru begitu, pelajar pun begitu jadi akhirnya semua pihak hilang tumpuan, hilang fokus kepada persoalan-persoalan moral, persoalan jati diri.

Sebab itu akhirnya lepas sekolah kita terpaksa hantar pula pergi PLKN. Maknanya PLKN itu menggambarkan, mencerminkan pada awal penubuhannya ialah kerana timbulnya masalah moral, masalah tak ada jati dirinya dan hilang identitinya di kalangan masyarakat anak-anak muda kita ini, lalu lahirlah PLKN.

Jadi bermakna bahawa berapa belas tahun dalam sistem persekolahan ini kita gagal untuk membentuk daripada segi moralnya, daripada segi jati dirinya, daripada segi identitinya.

Jadi saya minta sejauh mana perimbangan ini untuk menyebabkan supaya kita tidak sangat sampai tertumpu kepada soal orientasi peperiksaan. Bukan saya katakan tidak penting tetapi harus diimbangi penilaian-penilaian itu supaya tumpuan kepada persoalan moral tadi.

Yang kedua itu saya nak balik kepada soal sekolah antarabangsa tadi, saya minta berapa jumlah pelajar-pelajar daripada rakyat Malaysia yang berada di sekolah-sekolah antarabangsa di dalam negara kita ini. Terima kasih.

Dato’ Razali bin Ismail: Yang pertama Yang Berhormat Kepong ya. Saya ucapkan terima kasih di atas cadangan supaya kita selalu menyemak semula kurikulum kita. Yang penting bukannya dia punya content itu but the how to. Bukan nilai-nilai yang tersenarai ada 14 hingga 16 nilai itu.

Bukan kita nak menghafalnya tapi kita memahaminya, kita boleh beramal pada nilai-nilai itu dan juga menghayatinya. Memang saya bersetuju dan kita juga melihat iaitu dalam kita membangunkan seorang manusia, yang paling penting ialah kita memberi fokus kepada diri individu itu sendiri.

Bukan hanya kita pentingkan semata-mata kepada pembangunan warganegara, tetapi adalah setiap warganegara itu terdiri daripada individu-individu itu sendiri.

Erti pada setiap individu itu dia harus kenal dirinya, dapat mengawal dirinya, dapat memberi dirinya untuk kebaikan. Ini adalah merupakan inti pati yang penting dalam tinjauan kembali kita dalam pendidikan moral dan juga pendidikan agama Islam kepada anak-anak kita.

Mengenal diri, dia harus tahu siapa dirinya. Kalau sebagai seorang Islam, dia hanyalah merupakan seorang hamba Allah…. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Sebagai khalifah di muka bumi ini apakah tugas dan tanggungjawabnya”.

Selain daripada itu dapat mengawal segala rontaan nafsu syahwatnya yang sentiasa bergelora dalam dirinya. How he manage dia punya rontaan nafsu syahwatnya, be able to control the emotion, be able to control the temptation dia itu iaitu mengawal diri, mengenal diri dan memberi diri untuk kebaikan orang. Ini adalah merupakan inti pati-inti pati daripada segi pendidikan moral itu sendiri.

Yang satu lagi itu ialah kita juga harus memberi penekanan dan saya rasa Kementerian Pelajaran sedang memberi penekanan kepada multiple intelligent.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih timbalan menteri. Saya bersetuju dengan kawan-kawan saya khususnya Yang Berhormat Batu Pahat tadi bahawa ini persoalan yang sangat besar.

Dalam perhimpunan Agung UMNO yang lalu pun agak vokal di kalangan para perwakilan membangkitkan persoalan isu ini dan saya anggap ini bukan isu UMNO ataupun isu parti-parti politik tetapi ini merupakan satu isu nasional yang harus difikirkan tentang keberkesanannya kepada anak-anak kita.

Kalau tidak nanti bermakna kita tidak mahu bahawa mereka menjadi bahan uji kaji yang akhirnya dalam tempoh uji kaji itu yang menjadi mangsanya sejumlah anak-anak kita yang tidak dapat satu pencapaian
yang baik dalam mata pelajaran ini.

Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, saya hendak pergi lain sedikit dari persoalan sudut pencapaian anak-anak kebolehan belajar matematik dan sains ini dalam bahasa Inggeris sebab isu utama yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh bahasa dalam negara kita ini ialah kita sepatutnya memartabatkan bahasa Melayu bahasa Malaysia itu sebagai bahasa ilmu.

Mengajar bahasa Melayu bahasa Malaysia kita di dalam matematik dan sains. Bukannya mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Sebab saya bimbang takut satu hari nanti kita akan ajar bahasa Melayu dalam bahasa Inggeris pula. Itu pun satu kemungkinan.

Akhirnya bila kita kata bahasa Inggeris paling hebat untuk membolehkan orang itu cepat boleh akhirnya lebih baik kita ajar bahasa Melayu dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik Yang Berhormat Pokok Sena, sudah cukuplah.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Sebab itu saya katakan bahawa ini usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Sebab itu bagi saya ini isu-isu pokok. Sebab itu saya sangat melihat bagaimana sepatutnya kita harus memberikan insentif yang lebih bagi orang yang belajar dalam bahasa ibunda kita bahasa negara kita. Saya ambil contoh Republik Czech…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, saya tak benar lagi Yang Berhormat.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Sedikit lagi.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Kalau Yang Berhormat hendak berceramah lain kalilah.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tak, tak. Bagaimana dia memberikan insentif kepada orang yang belajar dalam bahasanya. Siapa yang belajar dalam bahasanya free.

Yuran tak kena bayar kemudian asrama diberikan potongan. Budak-budak kita semuanya belajar dalam bahasa Inggeris di negaranya tetapi budak-budak daripada negara timur tengah datang ke negara dia belajar dalam bahasa Czech mereka mendapat free dari segi yuran dan juga mendapat insentif-insentif yang lain. Maknanya Republik Czech begitu memartabatkan bahasanya. Kita ini mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.

Dato’ Razali bin Ismail: Saya kira pandangan-pandangan yang diberi ini semasa satu round table discussion pula ya yang saya kira ini akan terdapat dalam Hansard kita dan boleh dikaji oleh rakan-rakan di Kementerian Pelajaran sebab hampir perkara yang serupa juga dibangkitkan dalam round table discussion yang kita buat empat siri itu.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya ingat Yang Berhormat aturkan satu discussion dengan Ahli-ahli Parlimen lah. Kalau di Dewan ini bukan tempat dan masanya Yang Berhormat.

Dato’ Razali bin Ismail: Saya hendak menjawab ya. PPSMI adalah serampang dua mata kaedah praktikal untuk mempelajari scientific English, satu. Kaedah yang praktikal mempelajari scientific English. Yang kedua ialah sambil memberi…

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat sudah satu jam. Berapa lama lagi hendak habis?
Dato’ Razali bin Ismail: Saya kira dalam 15 minit ataupun 20 minit lagi.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: ataupun kurang daripada itu Yang Berhormat.

Dato’ Razali bin Ismail: Baik Tuan Yang di-Pertua. PPSMI ini serampang dua mata sebenarnya.Kaedah praktikal untuk mempelajari scientific English. Yang keduanya sambil memberi pendedahan kepada conventional English.

Jadi ini adalah merupakan strategi awal ketika mana program PPSMI ini dilaksanakan dan seterusnya untuk membolehkan anak-anak kita accessible kepada ledakan maklumat yang sedang berlaku di pentas dunia global sekarang ini. Buka sahaja internet segala maklumat itu terdapat dalam bahasa Inggeris.

Carilah maklumat-maklumat semasa, terkini dalam bidang sains dan teknologi segala-galanya terdapat dalam bahasa Inggeris. Kita tidak pula hendak menafikan dari segi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Untuk maklumat Yang Berhormat daripada satu kajian yang telah dibuat subjek yang menggunakan bahasa Inggeris secara keseluruhan di sekolah rendah hanya 41% daripada keseluruhan mata pelajaran yang diajar adalah dalam bahasa Inggeris. 59% lagi itu adalah dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia kita ada 21% masa yang diajar di sekolah rendah. Bahasa Inggeris 15%.

Kemudian pendidikan Islam yang diajar bahasa Melayu, pendidikan seni, pendidikan jasmani, kajian tempatan itu 38% lagi, matematik dan sains 26%.

Ertinya di sini kira-kira 41% sahaja dalam bahasa Inggeris, 59% lagi itu adalah dalam Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, memartabatkan bahasa kebangsaan Yang Berhormat Lipis dan Yang Berhormat Permatang Pauh membangkitkan usaha kementerian memartabatkan Bahasa Melayu.

Dalam membina negara bangsa ini memang tidak disangkal lagi bahawa usaha memartabatkan Bahasa Melayu senantiasa dilaksanakan walaupun keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris adalah satu
tuntutan masa kini.

Dewan Bahasa dan Pustaka senantiasa berusaha membina Bahasa Melayu sebagai bahasa moden, bahasa ilmu dan bahasa yang digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia.

Antaranya termasuklah dengan menghasilkan corpus bahasa yang lengkap dan mantap seperti satu juta istilah dalam pelbagai bidang ilmu, kamus lengkap Bahasa Melayu, kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu, tata bahasa baku serta penerbitan lebih daripada 5000 judul buku berbahasa Melayu termasuk dalam bentuk elektronik.

Dalam tempoh PPMI ini, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada fokus dan strategi pelaksanaan memperkasakan bahasa kebangsaan dengan menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan, memantapkan pelaksanaan dasar buku negara, mengkoordinasi peranan semua pihak yang terlibat untuk mengaktifkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, pengayaan, penterjemahan dan penerbitan dan pewujudan bulan bahasa dan sastera negara.

Antara pelan tindakan yang telah dirancang ialah merancakkan lagi aktiviti penterjemahan bahasa asing kepada bahasa kebangsaan.

Rujuk: Pencelahan penggulungan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Razali bin Ismail, 30 Oktober 2008, ms 171, 182-185

Tinggalkan komen