MP PAS Pendang: Minyak hasil ‘fried chicken’ dijadikan biodiesel

Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Menteri. Sebenarnya saya ada sentuh beberapa kali dalam perbahasan sebelum ini berhubung dengan penggunaan biodiesel ini, sebab kita tahu dalam negara kita trend kepada fast food ini sudah meningkat di dalam masyarakat.

Lebih banyak restoran-restoran makanan segera ini membuang hasil minyak kelapa sawit yang digunakan untuk menggoreng dalam kitar semula.

Saya rasa salah satu daripada kitar semula yang perlu kita turuti adalah seperti mana yang dibuat di Amerika Syarikat. Mereka menggunakan hasil daripada fried chicken ini lebih kurang satu trilion liter satu tahun untuk dijadikan biodiesel.

Apakah kementerian mempunyai pandangan bahawasanya minyak-minyak yang dibuang ini tidak dimasukkan dalam saliran alam sekitar kita tetapi diproses digunakan sebagai biodiesel. Ini untuk menggantikan minyak sawit yang khabarnya akan dikurangkan pengeluarannya dalam negara kita kerana minyaknya sudah pun berkurangan harga untuk satu tan sekarang ini. Apa pandangan daripada kementerian? Terima kasih.

Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili: Yang Berhormat Pendang terima kasih kerana begitu fussy dengan apa yang terjadi dalam sektor ini. Pihak kementerian melalui SIRIM kita sedang sebenarnya meneliti teknologi yang ada dalam perkara ini. Kita sedia maklum adalah banyak jenis-jenis minyak yang terbuang sahaja mahupun hasil daripada industri kereta, industri kelapa sawit.

Jadi soal sekarang ini melihat kepada teknologi yang berskala kecil ataupun sederhana, di mana minyak-minyak ini boleh diproses. Baru sahaja dua bulan lalu kami berada di Indonesia sebenarnya untuk melihat satu teknologi di mana dia multisource bukan sahaja daripada jatropha, bukan sahaja daripada
minyak kelapa tetapi minyak-minyak lain seperti minyak buangan.

Itu peringkat-peringkat perintis dan kita sedang menelitikan dari segi adaptasinya ataupun pembentukan sendiri di peringkat SIRIM atau industri tempatan dan melihat jika ada usahawan-usahawan yang ingin masuk dalam sektor ini. Pasti kita sedang menggalakkan penggunaan teknologi seperti tersebut.

Tuan Yang di-Pertua Ahli Yang Berhormat daripada Pontian, Seputeh, Petaling Jaya Selatan, Rompin dan Pendang juga telah membangkitkan isu berkenaan dengan keselamatan penggunaan teknologi nuklear di negara ini.

Berkaitan keselamatan penggunaan teknologi nuklear, kerajaan telah pun memberi perhatian dengan menggubal dan menguatkuasakan Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 atau Akta 304 dan persetujuan perundangan melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Sukacita saya maklumkan bahawa laporan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa menunjukkan risiko kemalangan jiwa akibat logi jana kuasa ataupun kemudahan nuklear lain adalah jauh lebih rendah berbanding dengan aktiviti berkaitan dengan sumber tenaga bukan nuklear.

AELB bersama Majlis Keselamatan Negara juga telah merancang program kesiap siagaan kecemasan radio aktif-radio aktif preparedness emergency. Latihan kecemasan juga diadakan di kemudahan reaktor penyelidikan bagi memantapkan sistem kesiap siagaan, radiological preparedness emergency system yang sedia ada.

Bagi pengurusan sisa bahan radio aktif dan bahan nuklear, langkah bagi menjamin keselamatan adalah dengan menentukan sisa tersebut diambil balik oleh pembekal atau distorkan dengan selamat di pusat pengurusan sisa radiologi kebangsaan yang sedia ada iaitu di Agensi Nuklear Malaysia.

Rujuk: Sesi Pencelahan Penggulungan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi [Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili] 3 November 2008 ms 83-84

Tinggalkan komen