MP PAS Tumpat: Mencelah penggulungan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani

13 November 2008, 2.47 petang:

Ahli Parlimen Tumpat mencelah penggulungan Menteri Pertanian dan Industri Asas tani, 13 November 2008.

Teks penuh:
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya terpaksa tinggal petang tadi kerana ada hal lain dan minta rakan saya yang amat taat kepada perjuangan untuk membangkitkan perkara itu dan dimaklumkan awal pagi tadi bahawa beliau telah berjaya membangkitkannya.

Mungkin saya sebut sedikit tentang padi tadi, bendang … ini Yang Berhormat Menteri sudah puluhan tahun merasai masalah oleh sebab kekurangan air melalui saliran air maka mereka hanya boleh menanam padi setahun sekali.

Jadi, jika diusahakan supaya sepenuhnya menerima air melalui saliran maka saya harapkan bahawa mereka akan dapat menanam sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Keduanya ada jalan … yang sedang dibina tetapi jalan itu di samping memberi nikmat penggunaannya sebagai jalan raya juga akhirnya menjadi benteng kepada air yang bertakung di musim tengkujuh ini.

Jadi kalau boleh Yang Berhormat Menteri pastikan ada laluan-laluan air di bawah Jalan Kasban itu supaya air tidak bertakung di musim-musim tengkujuh. Berkaitan dengan ikan Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri di kawasan Tumpat, Geting dan di pulau-pulau itu merupakan tempat di mana projek atau industri ikan dalam sangkar khususnya ikan siakap yang dikatakan terbesar dari sudut perusahaan oleh bumiputera di seluruh negara.

Jadi saya mohon perhatian Yang Berhormat Menteri kerana masalah air payau ini keluarnya air dari kawasan bendang padi ke kawasan lagun di Pantai Sri Tujuh itu akan terus merosakkan bentuk komposisi airnya dan ini akan mematikan ikan siakap dalam sangkar tersebut.

Manakala di bahagian lain pula di kawasan Tumpat Yang Berhormat Menteri, iaitu di kawasan-kawasan di pulau yang berhampiran dengan Bandar Tumpat itu dijadikan tempat di mana ikan-ikan siakap ini dibela dalam sangkar juga dan oleh itu boleh hidup dengan subur kerana aliran airnya berjalan di samping air itu nampaknya kekal air payau.

Jadi saya memohon kepada Yang Berhormat Menteri memberi tumpuan yang lebih kerana industri ini amat berjaya daripada hasil usaha rakyat. Saya haraplah sumbangan daripada TEKUN itu diagih-agihkan sama rata. Sebab ada sedikit masalah orang-orang sana memaklumkan saya bahawa agihan TEKUN ini nampaknya diberikan hanya kepada orang-orang UMNO dan orang-orang PAS kurang mendapat manfaat daripadanya. Saya berharapkan supaya Yang Berhormat menteri memberi perhatian
juga akan hal ini. Terima kasih.

Dato’ Mustapa bin Mohamed: Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Tumpat dapat berucaplah, dia curi tulang sedikit, tidak apalah ambil kesempatan untuk TEKUN tiada kaitan dengan kementerian saya. Ambil perhatianlah, yang penting kita prihatin kepada mereka 89 orang dan pegawai saya sudah pergi ke sana untuk menyampaikan bantuan.

Saya minta maaf tidak dapat pergi, insya-Allah saya akan melawat kawasan ini sedikit masa lagi dan mereka telah tulis surat kepada saya untuk makluman Yang Berhormat Tumpat; bukan kerana itu tetapi untuk menyatakan terima kasih kepada Kerajaan Pusat RM800 ribu diberikan.

Yang Berhormat Pengakalan Chepa bangkitkan Tok Bali, Yang Berhormat Pengkalan Chepa mendakwa bahawa kebanyakan ikan Tok Bali ini katanya kebanyakannya pergi ke Siam. Ini tidak betul. Sebenarnya 80% mendarat sekarang ini, dahulu peringkat awal betul ada kira-kira 250 vessel di Tok Bali ini; sekarang 20% ikan ini memang ke Thailand dan 80% di Malaysia.

Jadi, untuk makluman Tuan Pengerusi tahun 2011, Kompleks LKIM di Tok Bali akan siap dengan belanja kesemuanya 3 fasal ialah RM90 juta. Dibuat satu projek Barisan Nasional di Kelantan yang dia kalah sejak tahun 1990 lagi tetapi kita teruskan pembangunan di Kelantan. RM90 juta untuk Kompleks LKIM Tok Bali dan apabila kompleks siap akan ada industri hiliran dan ini akan menggalakkan lagi bot-bot Malaysia untuk mendarat ikan Tok Bali bukan di Siam lagi.

Jadi dakwaan Yang Berhormat Pengakalan Chepa bahawa kebanyakan Tok Bali ke Siam tidak betul.
Untuk makluman, hari ini ada 307 buah bot dan sebenarnya kebanyakan mereka mendaratkan ikan di Tok Bali.

Tinggalkan komen