MP PAS Kuala Krai: bahas peruntukan Kem. Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah

13 November 2008:

Ahli Parlimen Kuala Krai membahaskan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 13 November 2008.

Teks penuh:
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya ingin memberikan sedikit pandangan mengenai perkara yang kita bincangkan dalam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini yang antara bidang cakupannya atau salah satu agensi yang terlibat adalah KESEDAR, satu kawasan yang luas di Kelantan Selatan yang dikendalikan oleh satu agensi pusat yang melibatkan
tanah dan juga urusan-urusan pembangunan tanah dan infrastruktur.

Ada 15 aktiviti Tuan Pengerusi di bawah KESEDAR ini. Saya ingin memuji kebelakangan ini hubungan antara kerajaan negeri dengan KESEDAR agak baik malah beberapa pampasan ataupun premium-premium tanah sudah mula dibayarkan kepada kerajaan negeri.

Jadi suasana cukup baik dan Pengerusi KESEDAR pun Ketua Bahagian Kuala Krai dan Kuala Krai telah
mencalonkan Tan Seri Menteri sebagai calon ini jadi kita rasa kena bagi perhatian sikit lah Kuala Krai, ya. Mudah-mudahan kita akan dapat satu kepimpinan yang baik.

Jadi, saya hendak mengambil peluang ini mengajak kementerian untuk menggunakan suasana yang sedang baik ini untuk meminta ataupun mengajak kerajaan negeri melalui wakil rasmi kerajaan negeri duduk di dalam KESEDAR yang suatu ketika dulu pernah ada saya dimaklumkan setiausaha kerajaan Negeri berada tetapi tidak lama dan selepas itu tidak ada wakil kerajaan negeri di dalam lembaga berkenaan.

Saya rasa sebagai sebuah agensi yang besar dalam sebuah negeri Kelantan elok rasanya. Ini masa yang sesuai untuk mempunyai seorang wakil rasmi daripada kerajaan negeri. Di harapkan supaya permintaan ini dipertimbangkan.

Mengenai perkara B.22 mengenai Bekalan Air Luar Bandar, saya ingin bertanya sama ada kementerian ini melalui KESEDAR jugalah akan mempertingkatkan lagi urusan penyampaian bekalan air, memperbaiki yang ada dan menambah yang ada kerana kita tahu di kawasan-kawasan KESEDAR masih lagi banyak tempat-tempat yang tidak dapat bekalan air yang baik kerana air Kelantan hanya meliputi sebahagian,
kemudian air-air daripada Jabatan Kesihatan sebahagian.

KESEDAR mempunyai tanggungjawab dan juga peranan yang besar dan kita mencadangkan supaya untuk mengelakkan masalah keputusan air dan juga air yang tidak berkualiti supaya KESEDAR memberikan tumpuan dengan perbelanjaan yang ada itu sebahagiannya ditumpukan kepada pembekalan air selamat kepada penduduk-penduduk di Kelantan Selatan termasuk di Kuala Krai.

Begitu juga, saya hendak menarik perhatian kepada jalan-jalan luar bandar 02300 memang dilema sekarang ini ialah keadaan jalan yang sangat teruk ditambah pula dengan keadaan cuaca yang lembap yang menyebabkan banyak jalan-jalan di luar bandar rosak.

Saya telah memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada kementerian melalui surat saya, itu hanya sebahagian kecil daripada beberapa keadaan yang saya maklumkan kepada kementerian untuk di ambil tindakan kerana keadaan terlalu meruncing sehingga perhubungan antara penduduk di satu kampung dengan kampung yang lain terjejas kerana jalan yang begitu rosak.

Jadi, saya rasa pembangunan jalan-jalan ini tidak meningkatkan kos yang tinggi, sebahagiannya hanya memerlukan jalan konkrit yang dibuka bukan untuk kereta pun untuk laluan motosikal dan basikal sepanjang 6km, 7km yang saya rasa belanjanya tidak banyak. Jadi atas surat-surat yang saya telah kemukakan kepada kementerian kita harap dapat diberikan sedikit perhatian supaya dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah-masalah yang ada. begitu juga dalam pembangunan jambatanjambatan kecil.

Jambatan, walaupun tidak kecil sungainya banyak di Kelantan ini memerlukan bantuan walaupun jabatan yang lain, kementerian yang lain saya minta Kementerian Luar bandar dan Wilayah ini memanjangkan masalah yang ada di beberapa tempat ini supaya ada pembangunan yang bersepadu, mungkin dengan Jabatan Kerja Raya dan sebagainya kerana masih ada lagi kampung-kampung di
kawasan saya dan di Kelantan sana yang tidak boleh dihubungi dengan jalan raya melainkan menggunakan perahu-perahu dan juga bot-bot.

Jadi dalam era pembangunan kita kali ini, saya rasa perkara ini patutnya sudah berlalu dan kita minta diberikan perhatian oleh kementerian. Itu sahaja Tuan Pengerusi. Terima kasih.

Rujuk: 13 November 2008, ms 98-99

Tinggalkan komen