MP PAS Rantau Panjang: Bahas peruntukan Kem. Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah

13 November 2008:

Ahli Parlimen Rantau Panjang membahaskan peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pada 13 November 2008.

Teks penuh:
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan semua Ahli Yang Berhormat kerana memberi peluang kepada saya untuk sama-sama membahaskan di peringkat Jawatankuasa B.22.

Saya ingin menyentuh Butiran 010700 berkenaan dengan pembangunan. Saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri untuk menjelaskan sejauh mana perancangan untuk menyeimbangkan pembangunan antara wilayah dan kawasan di antara negeri terutama di antara negeri di sebelah Pantai Timur dan Pantai Barat terutama kami termasuk juga Sabah dan Sarawak.

Kalau kita lihat dari keseimbangan infra terutama di kawasan luar bandar kami masih jauh ketinggalan dan saya harapkan dengan peruntukan RM2,787,655 ini benarbenar diberi manfaat kepada rakyat. Kami di Kelantan cukup serik dengan kes yang berlaku satu ketika dahulu di mana lebih daripada RM37 juta peruntukan PPRT telah disalahgunakan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di Kelantan.

Jadi, kita tidak hendak perkara ini berlaku sebab kita kena ingat satu peringatan daripada hadis Rasulullah s.a.w bagaimana Nabi menyebutkan seseorang pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat kepada mereka tetapi apabila mereka mati dalam keadaan menipu rakyat maka haram baginya syurga dan haram baginya bau syurga. Kita harap ini adalah menjadi peringatan bagi kita orang beriman.

Tuan Pengerusi, saya ingin menyentuh bagaimana permasalahan yang berlaku terutama berkaitan dengan kawasan luar bandar. Kita lihat rata-rata rakyat masih lagi berdepan dengan masalah, jalan yang pecah, lampu jalan yang masih kurang. Begitu juga permasalahan bekalan air dan bekalan elektrik yang seharusnya perkara ini selesai.

Kita sudah 52 tahun merdeka. Seharusnya perkara ini tidak menjadi satu masalah di dalam kita mendakwa kita Malaysia Boleh, di dalam kita mendakwa kita negara yang maju. Jadi, bagaimana boleh perkara-perkara asas kepada rakyat ini masih belum selesai sedangkan peruntukan berbilion-bilion ringgit setiap tahun diperuntukkan tetapi sasarannya tidak sampai kepada apa yang dihasratkan.

Tuan Pengerusi, saya ingin menyentuh 010900 iaitu berkenaan dengan butiran pembasmian kemiskinan. Kita lihat sekarang ini bagaimana laporan menyebutkan dalam negara kita mempunyai lebih daripada 57,850 orang golongan miskin tegar yang ada di seluruh negara.

Saya ingin penjelasan sejauh mana program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membebaskan mereka semua ini daripada kemiskinan. Apakah perancangan yang dibuat dan sejauh mana usaha kerajaan untuk menangani isu ini terutama dalam berdepan kadar inflasi yang semakin meningkat.

Begitu juga saya ingin menyentuh Butiran 020500 berkenaan dengan Program Bina Insan. Saya ingin penjelasan apakah program yang disediakan untuk membina kesedaran rohani di kalangan remaja sebab laporan yang didedahkan ini yang dibentangkan kepada kita banyak berkaitan dengan KEMAS dan tadika.

Ini adalah bagi golongan prasekolah. Jadi bagaimana dengan golongan-golongan masyarakat kita yang perlu dibina kesedaran terutama yang melibatkan remaja-remaja yang sekarang ini masih lagi terjebak dengan banyak masalah terutama di kawasan-kawasan luar bandar termasuk lepak dan sebagainya termasuk juga dengan penagihan dadah.

Jadi, sejauh mana kementerian prihatin terhadap golongan ini dan sejauh mana program bina insan ini dilakukan kerja sama dengan kerajaan negeri-negeri. Minta penjelasan daripada pihak kementerian.
Yang seterusnya, saya ingin menyentuh Butiran 06000 berkaitan dengan RISDA.

Saya mengucapkan tahniah di atas usaha yang dibuat oleh kerajaan pelbagai program dan latihan yang telah diberi kepada anak-anak pekebun kecil dan bagaimana supaya mereka menambahkan lagi pendapatan mereka. Saya ingin penjelasan setakat ini berapakah mereka yang telah berjaya melalui latihan-latihan yang telah disediakan melalui RISDA dan sejauh mana pekebun-pekebun RISDA ini diberi kebajikan terutama mereka yang masih berada di bawah tahap kemiskinan.

Rata-rata kita lihat terutama kalau di Kelantan, terutama di musim tengkujuh ini golongan ini adalah golongan keluarga yang miskin yang berdepan dengan cabaran yang cukup hebat terutama apabila hendak berdepan dengan musim persekolahan untuk mempersiapkan alat-alat persekolahan dengan harga komoditi getah yang semakin menurun. Sudah tentulah ini merupakan satu tekanan yang hebat.

Jadi, saya ingin penjelasan, apakah bantuan khas kepada golongan ini untuk meringankan beban
mereka terutama apabila berdepan dengan musim persekolahan dan musim tengkujuh ini.

[Tuan Pengerusi (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Jawatankuasa]
Seterusnya saya ingin menyentuh Butiran 01700. Bekalan elektrik luar bandar masih menjadi masalah. Kita lihat masih lagi banyak kampung-kampung terutama di kawasan pedalaman yang tidak mendapat bekalan elektrik. Jadi, apakah usaha yang dibuat oleh pihak kementerian untuk memastikan bahawa seluruh negara kita mendapat kemudahan elektrik di masa akan datang.

Saya ingin juga menyentuh butiran 01707 pemasangan dan penyelenggaraan jalan iaitu jalan-jalan utama dan begitu juga tentang penyelenggaraan jalan-jalan kampung dalam butiran 02500 terutama kami di kawasan Parlimen yang sentiasa terdedah dengan banjir.

Kita lihat sekarang ini banyak jalan yang dibuat terutama yang dikendalikan oleh projek yang dilaksanakan melalui JKK. Jalan ini hanya dibuat sebagaimana yang disebut oleh salah seorang Yang Berhormat tadi iaitu hanya dimulakan di rumah penyelia kampung dan dia akan berhenti di sekerat jalan, dia akan sambung balik apabila ada rumah orang UMNO di depan. Ini juga berlaku di kampung
saya.

Dato’ Dr. Mohamad Shahrum Osman [Lipis]: Lawak mu lah.
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Ini boleh tengok sendiri. Sila datang ke kampung saya, saya boleh tunjuk bukti. Ini dekat dengan rumah saya sendiri bagaimana apa yang sedang berlaku, sekerat jalan sahaja yang di tar.

Jadi, saya ingin penjelasan kerana apakah pemantauan dibuat, kenapa diskriminasi berlaku sedangkan semua rakyat membayar cukai kepada kerajaan. Ini adalah duit rakyat, bukan duit kerajaan, bukan duit daripada UMNO, Barisan Nasional sebab kita tidak hendak sebagaimana baja padi tadilah, bagaimana baja padi cap dacing sedangkan ini adalah duit negara bukan duit Barisan Nasional.

Tuan Pengerusi, saya ingin menyentuh butiran 090300 Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Saya ingin penjelasan sejauh manakah usaha yang dibuat oleh pihak kementerian untuk memberikan kesedaran agama kepada Orang-orang Asli terutama bagi mereka yang telah memeluk Islam sebab kita melihat bagaimana kebanyakan daripada mereka yang memeluk Islam ini dibiarkan dan pendakwah-pendakwah kita tidak istiqamah maknanya untuk membimbing mereka sedangkan kita lihat ada di kalangan kampung-kampung Orang Asli di Kelantan banyak pendakwah Kristian yang setiap minggu masuk ke kampung-kampung Orang Asli untuk mengajar mereka kepada agama Kristian, Jadi, sejauh mana pemantauan yang dibuat oleh pihak kementerian.

Saya ingin juga penjelasan berkenaan dengan butiran 010800 Institut Kemajuan Desa atau INFRA. Sejauh mana dan apakah program yang telah dilaksanakan untuk yang telah dilaksanakan dalam program ini dan apakah bentuk penyelidikan yang dijalankan dan apakah hasil yang telah dapat dipergunakan untuk diperkembangkan dalam masyarakat?

Apakah ada seminar-seminar sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang telah dijalankan setakat ini? Jadi, sekadar itu sahaja Tuan Pengerusi. Terima kasih.

Rujuk: 13 November 2008, ms 107-110

Tinggalkan komen