MP PAS Pendang: Bahas peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Pendang membahaskan peruntukan Kemneterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008.

Teks penuh:
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tuan Pengerusi. Yang Berhormat Menteri, abang kepada Yang Berhormat Shah Alam, terima kasih.

Saya hendak sebut tentang 030000 – Konsumerisma, terutamanya 030200 – Hal Ehwal Pengguna. Kita dapati bahawa semalam surat khabar menunjukkan gambar biskut-biskut yang tercemar dengan melamin telah dibuang di Seberang Perai Utara.

Apa yang menjadi masalah ialah biskut-biskut yang didapati di Hong Kong dan di Singapura di cap sebagai diimport dari Malaysia. Kita hendak tahu di Malaysia sendiri berapa banyak biskut-biskut yang tercemar oleh melamin ini telah disita dan terpaksa dibuang. Kalau kita melihat daripada laporan internet mengatakan bahawa biskut-biskut ini mengandungi melamin yang cukup tinggi yang mereka import daripada negara kita Malaysia, terutama sekali di Singapura.

Saya dapati tidak kurang daripada lima jenis biskut yang diimport dari Malaysia terkandung di dalamnya kandungan melamin yang tinggi. Mungkin dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh memberikan penerangan kepada rakyat, syarikat-syarikat mana yang mengeluarkan biskut yang mengandungi melamin yang tinggi ini.

Ini kerana kandungan melamin dalam biskut terdapat dalam sodium bicarbonate yang digunakan sebagai serbuk penaik di dalam pembuatan biskut. Kita takut biskut-biskut yang kandungan melaminnya tinggi sampai kepada pengguna ini dan telah digunakan oleh pengguna-pengguna dalam negara kita ini.

Keduanya tentang barang-barang yang digunakan yang diperbuat daripada melamin. Ada laporan daripada internet mengatakan memang barang-barang ini seperti pinggan, piring dan mangkuk ini dalam keadaan biasa tidak menjadi masalah kepada kesihatan tetapi apabila terkena panas ataupun dimasukkan benda-benda panas ia akan terlarut dan memberikan kesan kepada kesihatan kita.

Jadi, saya harap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga memberi perhatian kepada perkara-perkara ini.

Kemudian tentang harta intelek tadi, saya ingin bertanya jugalah mengenai Butiran 050000. Berapakah jumlah paten yang telah dimasukkan dalam harta intelek yang terkandung dalam aspek-aspek perkara berhubung dengan kesihatan seperti yang dibuat oleh Profesor Dr. Asmah iaitu kit untuk menguji tifoid ini dimasukkan ke dalam harta intelek dalam negara kita.

Apabila ia telah dimasukkan ke dalam harta intelek maknanya negara-negara luar tidak dapat meniru paten yang telah kita masukkan sebagai harta intelek ini.

Tentang penggunaan barang buatan Malaysia, saya ingin tahu daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ini setakat manakah kemajuan penggunaan barang-barang buatan Malaysia terutamanya barang-barang elektrik kerana kita masih lagi mendapati banyak barangan, terutamanya kalau kita pergi ke Pudu, barang-barang yang diimport yang di situ tidak mempunyai cap SIRIM ataupun tidak mempunyai cap yang kita katakan selamat untuk digunakan.

Saya bimbang barang-barang buatan elektrik yang diimport ini memberi kesan buruk kepada kesihatan dan juga kepada keselamatan pengguna kita.

Satu lagi mengenai paten ini, baru-baru ini sebuah syarikat iaitu Radix Fried Chicken di Sungai Petani telah disaman oleh Kentucy Fried Chicken kerana menggunakan warna merah sebagai lambang promosi mereka. Jadi, saya hendak bertanya kepada kementerian apakah disebabkan oleh warna sahaja syarikat ini telah disaman kerana mungkin warnanya yang sama.

Kalau saya pakai biru orang kata mungkin BN. Kalau pakai hijau orang kata mungkin PAS. Saya tidak mahu disebabkan oleh warna, macam ketakutan yang ditunjukkan oleh bekas Menteri dahulu terpaksa tukar lambang di Petronas disebabkan oleh hanya kerana warna hijau. Jadi, saya minta penjelasan daripada kementerian. Itu sahajalah, Tuan Pengerusi. Terima kasih banyak-banyak.

Tinggalkan komen