MP PAS Pokok Sena: Bahas peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Pokok Sena membahaskan peruntukan Kemneterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008.

Teks penuh:
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin menyentuh B dan P.25 ini. Pertama, saya ingin menyentuh 020000 – Perdagangan Dalam Negeri, 030100 – Penguatkuasaan, 030200 – Hal Ehwal Pengguna.

Pertama, berkaitan dengan soal harga minyak Datuk Menteri. Saya berkongsi pendapat dengan wakil kawan saya dari Rembau …
Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Rasah, Rasah.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Maaf, maaf, daripada Rasah tentang kedudukan harga minyak ini. Saya juga ingin mendapatkan penjelasan daripada kenyataan Yang Berhormat Menteri sendiri. Yang Berhormat mengatakan bahawa harga kos pengeluaran minyak kita sekarang di negara kita ialah hanya RM1.62 sen satu liter.

Jadi apa masalah kepada kerajaan yang sukar untuk nak memberikan harga yang disebut ini. Kalau pun bagi saya bahawa saya bersetuju dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Rasah tadi bahawa sepatutnya kalau diberi dengan subsidi maka sudah tentu RM1.32 sen, kalau mengikut kadar yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri sebelum ini bahawa setiap satu liter itu 30 sen satu liter.

Ini bermakna bahawa pengguna sepatutnya mendapat harga yang lebih murah kalau dikira sekali dengan harga subsidi. Akan tetapi bagi saya bahawa kalau pun tanpa subsidi sepatutnya pengguna sudah pun boleh mendapat harga yang lebih murah daripada yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri baru-baru ini. Jadi sebab itu bagi saya bahawa apa masalah kepada kerajaan.

Adakah kerana kerajaan tidak punya kewangan yang cukup untuk menguruskan dan mentadbir negara kita sekarang ini. Sehingga terpaksa membebankan kepada rakyat dan disebut sebelum ini bahawa harga yang diberi sekarang kepada kita ini juga adalah harga tanpa subsidi sedangkan sepatutnya harga tanpa subsidi ialah RM1.62 sepatutnya rakyat harus mendapat lebih murah.

Bermakna sepatutnya mendapat harga yang cukup rendah sebab bagi saya bahawa kenaikan harga minyak tempoh hari maknanya telah memberikan kesan yang sangat besar daripada sudut permintaan minyak ini.

Lalu akhirnya kita lihat bahawa walaupun sudah kali yang kelima harga minyak diturunkan dan saya lihat, saya check bahawa empat kali sebelum ini tidak berlaku pergerakan yang besar daripada sudut permintaan harga minyak. Maknanya keupayaan orang untuk membeli minyak, menggunakan minyak ini terlalu masih rendah kerana pada kadar harga yang tinggi.

Saya check bahawa permintaan harga minyak itu ada pergerakan yang agak sedikit lebih daripada biasa hanya kepada minyak kapal terbang, tidak kepada diesel dan juga petrol. Ini mungkin kerana musim haji sekarang dan sebagainya. Jadi saya nak sebut di sini bahawa walaupun harga minyak diturunkan empat kali sebelum ini, masih tidak mampu memberikan keupayaan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan minyak. Bekalan itu ada tetapi tak mampu untuk nak beli.
[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Jawatankuasa]

Walaupun itu baik daripada sudut penjimatan dan sebagainya tapi bagi saya menunjukkan bahawa keupayaan dan sudah tentu memberikan kesan kepada pergerakan ekonomi, pergerakan perdagangan, perniagaan dalam negara kita. Jadi saya minta penjelasan yang pentingnya di sini ialah kenapa?

Sepatutnya saya percaya bahawa kalau harga itu diturunkan RM1.62 ini saya percaya bahawa mungkin permintaan minyak itu akan lebih demand, minyak itu akan lebih banyak dalam negara kita. Jadi saya minta penjelasan ini merupakan sebagai satu perkara yang sangat penting.

Kemudian saya sebut tadi 030100 dan 030200 berkaitan dengan soal Penguatkuasaan dan Hal Ehwal Pengguna. Ini berkaitan dengan soal harga barang. Saya lihat bahawa walaupun kerajaan telah
mewujudkan apa yang disebut tadi, pagi tadi oleh Yang Berhormat Menteri pemantau harga daripada kalangan mahasiswa universiti kita sebanyak 2000 orang.

Akan tetapi disebut tadi bahawa mereka tidak ada kuasa, maknanya bukan penguat kuasa, bukan untuk mengambil tindakan. Hanya membuat laporan kepada kementerian, angkat kepada Majlis Harga Negara untuk dipertimbangkan dan apakah tindakan-tindakan yang sewajarnya. Jadi saya nak sebut di sini bahawa kita telah berbelanja besar ini, 2000 orang dan mungkin seorang itu hampir RM2000 dia punya elaun dia atau gaji dan sebagainya, hampir RM2000 seorang sedangkan 2000 orang ini tidak dapat memberikan manfaat kepada pengguna.

Dia hanya memberikan maklumat kepada pihak kerajaan dan sedangkan kerajaan sendiri tidak mempunyai satu mekanisme yang cukup, yang jelas daripada sudut undang-undang dan sebagainya. Ini untuk memastikan supaya penurunan harga barang itu dapat diberikan kepada pengguna khususnya kepada rakyat dalam negara kita. Ini disebabkan juga kerana saya lihat bahawa undang-undang yang ada dalam negara kita ini hanya mengehadkan kepada tindakan luar undang-undang dari sudut kalau peniaga tidak meletakkan tanda harga. Itu saja, kecuali kepada barangan-barangan kawalan sama ada dia letak tanda harga atau dia tak letak.

Akan tetapi kalau didapati dia menjual lebih daripada harga yang ditetapkan oleh kerajaan, maka ada ruang untuk pihak kerajaan khususnya penguat kuasa untuk mengambil tindakan. Akan tetapi kalau barang-barang lain yang bukan daripada barang kawalan tapi dia menjadi keperluan kepada rakyat, dia letak harga yang tinggi.

Dia letak harga, dia ada tanda harga jadi tak ada ruang undang-undang untuk diambil tindakan ke atas peniaga-peniaga. Ini saya lihat bahawa satu kelemahan yang sepatutnya difikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah ini selepas daripada hari ini untuk mewujudkan undang-undang yang lebih tegas.
Kemudian, berkaitan dengan pihak kerajaan sebelum ini pernah membuat satu skim pengedaran barang-barang keperluan asas.

Kalau tidak silap saya waktu pilihan raya kecil di Permatang Pauh baru-baru ini, dibuat di Seberang Perai dan kemudian dibuat di Pekan iaitu kementerian sendiri yang membuat, mengambil inisiatif untuk membuat pengedaran barang-barang keperluan asas kepada rakyat.

Saya sangat gembira maknanya ini satu tindakan yang cukup baik untuk membantu pengguna. Akan tetapi saya lihat bahawa selepas itu tidak nampak tidak ada satu kesinambungan dalam usaha untuk menyediakan barang-barang keperluan dengan harga yang lebih munasabah dan lebih murah yang boleh didapati dan diperolehi oleh pengguna-pengguna.

Kemudian kerajaan juga sebelum ini bercadang bahawa untuk mewujudkan sama ada GLC baru ataupun memanfaatkan GLC yang ada ini untuk membuat pengedaran kepada barangbarang keperluan asas ini yang tidak berjenama. Jadi saya nak minta penjelasan, apa perkembangan tentang cadangan pihak kerajaan ini kerana bagi saya bahawa ini satu yang sepatutnya dipercepatkan kerana ini satu yang baik untuk pengguna.

Cuma saya minta bahawa perlu ada satu mekanisme bagaimana setiap pengguna itu boleh mendapatkan barangan itu. Tak akanlah semua orang boleh dapat barangan yang diedarkan dengan harga yang murah ini. Maknanya sepatutnya keutamaannya orang yang macam mana. Tak akan keutamaan kita nak bagi barang yang murah kepada Yang Berhormat Batu Pahat, elaun dia, dengan GLC nya, macam-macam, dia sebulan sampai RM20, 30 ribu mungkin.

Jadi mungkin dia berupaya walaupun beli dengan harga yang lebih mahal. Jadi bagi saya bahawa supaya apa yang disediakan oleh kerajaan nanti, tidak diambil kesempatan oleh pertama sekali peniaga-peniaga besar untuk mengambil daripada ruang yang disediakan. Kemudiannya orang kaya sedangkan akhirnya orang yang pendapatannya kecil, pendapatannya rendah, dia tidak akan mendapat habuan ini khususnya pegawai-pegawai kerajaan, di sektor awam, sektor swasta dan sebagainya yang pendapatan mereka itu rendah.

Jadi saya minta supaya satu mekanisme bagaimana syarat-syarat kelayakan yang kalau kerajaan buat nanti dan saya sangat minta supaya perkara ini mesti dipercepatkan supaya memberikan manfaat yang besar kepada rakyat dalam negara kita ini.

Kemudian, berkaitan dengan soal keberkesanan pemantau tadi. Saya minta bahawa sejauh mana keberkesanan yang telah diperolehi untuk kepentingan pengguna khususnya kepentingan rakyat dalam negara kita.

Kemudian, soal hal ehwal pengguna berkenaan dengan sambutan hari pengguna, kuiz yang dibuat, seminar, pendidikan dan sebagainya ini. Sejauh mana keberkesanan kita buat, kita menyediakan peruntukan belanja yang begitu besar. Sejauh mana keberkesanan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat, kepada rakyat dalam negara kita.

Akhir sekali iaitu P.25, 01400 – Implementasi Dasar Amalan Perdagangan Adil. Saya nak minta penjelasan daripada pihak kerajaan, bila agaknya kerajaan akan dapat table ataupun bentangkan di sini tentang Akta Amalan Perdagangan Adil kepada kita semua untuk memastikan supaya ada satu perlindungan kepada pengguna-pengguna khususnya perlindungan kepada pengguna-pengguna.

Akan tetapi apa yang penting bagi saya bahawa bila kerajaan menggubal akta ini, harus melihat kepada punca masalah yang timbul akibat daripada eksploitasi yang dilakukan oleh pihak-pihak peniaga dan sebagainya.

Sebab bagi saya bahawa puncanya harus dilihat untuk kita mengatasi masalah ini ialah punca monopoli. Kalau ini kita tidak dapat atasi, masih ada ruang monopoli maka sudah tentulah bahawa kita wujud Akta Perdagangan Adil ini pun, ia tidak akan memberikan keadilan kepada pengguna, kepada rakyat dalam negara kita.

Contohnya saya katakan bahawa umpamanya beras, Bernas yang monopoli, tidak ada satu syarikat persaingan yang lain yang boleh memberikan tawaran harga persaingan yang akhirnya memberi keuntungan kepada pengguna.

Elektrik umpamanya, saya tunjuk contoh di sini bahawa yang monopolinya ialah TNB di Semenanjung, SESCO dan juga yang lainnya di Sabah dan Sarawak. Jadi orang tidak ada pilihan umpamanya, contoh bagi saya. Macam saya sebut broadband high speed umpamanya akan dimonopoli oleh Telekom. Jadi maknanya bagi saya bahawa bila dia monopoli, dia akan menentukan harga, hang mahu, hang tak mahu, sudah. Jadi tidak ada pilihan, akhirnya kita terpaksa menggunakan.

Bagi saya bahawa wujudlah Akta Perdagangan Adil ini tidak akan memberikan apa-apa kebaikan kepada rakyat selagi mana kita tidak dapat hendak mengatasi masalah monopoli yang dilakukan oleh peniaga-peniaga ataupun syarikat-syarikat yang tertentu.

Begitu juga dengan umpamanya gula yang merupakan barang keperluan dan kawalan ini. Hanya empat syarikat kalau tak silap saya yang memonopoli dalam negara kita ini. Jadi akhirnya tidak dapat memberikan manfaat dan mereka boleh berhubungan, mengatur strategi sesama mereka tapi akhirnya yang ruginya ialah rakyat ataupun pengguna-pengguna.

Jadi itu saya minta penjelasan daripada kerajaan supaya dapat memberikan perhatian khusus kepada soal harga minyak tadi ini. Bagi saya tidak wajarlah sebab Yang Berhormat Menteri kata, RM1.62 itu pun kerajaan masih boleh untung. Jadi bila jual RM2 ini, berapa banyak punya untung, berapa kali ganda punya untung. Ini dah lebih teruk daripada along ini, ini macam kerajaan sudah jadi along. Jadi kita tidak mahu kerajaan ini jadi along yang akhirnya menganiaya.

Bagi saya ini satu jenayahlah, secara tidak langsung satu jenayah terhadap rakyat dalam negara kita bahawa ambil untung yang berlipat kali ganda yang sepatutnya kita dapat RM1.62.

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Pokok Sena pun untung juga.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ya?
Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Pokok Sena pun untung juga, sudah saya kasi tiga minit lebih masa. [Ketawa]
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Oh, maknanya Tuan Pengerusi lagi memberi untung, pahala yang sangat berlipat ganda Tuan Pengerusi.

Datuk Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: Ini pun monopoli.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Itulah akibat kebaikan, kemuliaan Tuan Pengerusi ini akhirnya Tuan Pengerusi memberi masa yang lebih, Tuan Pengerusi dapat pahala yang cukup besar. Jadi saya tidak mahu nanti kerajaan tak dapat untung dan menjadi along dalam negara kita yang mencekik, menghisap darah rakyat. Terima kasih Tuan Pengerusi.

Tinggalkan komen