MP PAS Hulu Langat: Ingin tahu rancangan Kementerian atasi bilangan pelajar yang padat …

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri dan terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Timbalan Menteri menyebut dari segi infrastruktur akan menambah asrama, rumah guru dan sekolah-sekolah yang uzur dan usang tapi bagaimana sekolah-sekolah di bandar yang mempunyai pelajar yang ramai dalam satu kelas umpamanya hampir 50 orang satu kelas dan bilangan kelas pun banyak umpamanya tingkatan lima sampai 15 kelas dan tingkatan satu sampai 17 kelas.

Adakah ada rancangan untuk ditambah kelas ataupun tambah sekolah umpamanya di Hulu Langatlah di Sekolah Abdul Jalil di Bandar Baru Bangi yang bilangan pelajarnya agak padat. Terima kasih.

Dato’ Razali bin Ismail: Terima kasih Yang Berhormat. Memang Kementerian Pelajaran terutamanya bahagian pembangunan Kementerian Pelajaran sentiasa mendapat maklum balas daripada akar umbi yakni daripada sekolah daripada PPD dan juga daripada Jabatan Pelajaran Negeri yang melaporkan dari semasa ke semasa tentang status dan permasalahan pendidikan anak-anak juga termasuk infrastrukturnya.

Namun demikian beberapa perkara yang harus diambil perhatian iaitu keadaan sekarang ini di mana keadaan ekonomi kita yang agak menghadapi masalah keadaan ekonomi secara global itu di mana kita menghadapi masalah dengan peningkatan kos semasa ini yang melebihi 20% telah menyebabkan keperluan syiling meningkat sebanyak RM5.9 bilion.

Ini sekali gus menyebabkan Kementerian Pelajaran perlu berhati-hati dalam keadaan ekonomi sekarang ini yang menyebabkan beberapa projek dan program Kementerian Pelajaran terpaksa dirancang semula ataupun dilihat dan ditinjau semula dalam keadaan constraint kewangan dan situasi ekonomi semasa.

Walau bagaimanapun saya kira Kementerian Pelajaran apabila keadaan kembali pulih, maka tindakan dan strategi untuk membaiki isu-isu yang telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat akan diambil.

Rujuk: Pencelahan penggulungan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Razali bin Ismail, 30 Oktober 2008, ms 165-166

Tinggalkan komen