MP PAS Kubang Kerian: Status 80 laporan Polis terhadap Ketua Menteri Sabah?

Tuan Salahuddin bin Ayub [Kubang Kerian]: Penjelasan sedikit. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih timbalan menteri yang saya anggap berpengalaman dan juga boleh menjawab dengan baik. Bukan macam Rompin, pakar pecah belah, batu api….

[Disampuk] Tuan Yang di-Pertua, kes yang dianggap selesai, saya ingin tanya sebab isu ini telah pun kita bawa daripada sesi yang lepas lagi, lebih kurang 80 laporan polis dibuat terhadap Ketua Menteri Sabah.

Jadi adakah ini sudah dikategorikan sebagai isu selesai kerana tidak ada laporan, tidak ada feedback dan tidak ada satu laporan yang kita terima sedangkan isu ini dibawa dengan penuh tanggungjawab oleh saya sendiri pada sesi lepas dan dibawa lagi dalam ucapan-ucapan kita dalam sesi ini.

Jadi saya minta penjelasan, apa status tentang isu ini kalau ia melibatkan seorang ketua menteri, laporan polis bukan satu tetapi hampir 80 yang masih tidak ada statusnya hingga hari ini. Terima kasih.

Dato’ Chor Chee Heung: Terima kasih Yang Berhormat. Apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat, saya tidak mempunyai maklumat sekarang ini tetapi kalau Yang Berhormat minat, mungkin saya boleh bagi jawapan secara bertulis…

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Penjelasan. Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Timbalan Menteri, saya mewakili majoriti orang-orang kampung yang banyak masalah sebenarnya apabila mereka berkeuzuran dan ingin menyerahkan senjata api mereka kepada anak mereka.

Rata-ratanya Tuan Yang di-Pertua, seolah-olahnya polis mengambil sikap menyusahkan dan menolak permohonan itu kali pertama dan terpaksa dibuat rayuan dan seumpamanya, sedangkan mereka duduk di kampung itu, di kebun itu. Memang polis tahu bahawa mereka memang menggunakan senjata api itu untuk menjaga musuh-musuh tanaman mereka.

Jadi apakah Yang Berhormat boleh menjamin bahawa polis supaya jangan mengambil sikap menyusahkan permohonan ini tetapi kalau jelas maknanya anaknya itu memang duduk di situ, di kampung itu untuk menjaga kebun mereka itu, jadi apa masalahnya tanpa menolak dan terpaksa membuat rayuan demi rayuan.

Saya harap ini mendapat pertimbangan Yang Berhormat kerana masalah ini saya bawa ke dalam Parlimen ini mewakili rata-rata orang-orang kampung yang menghadapi masalah menyerahkan senjata api mereka kepada waris-waris mereka untuk menjaga kebun-kebun mereka. Terima kasih.

Dato’ Chor Chee Heung: Terima kasih Yang Berhormat. Untuk makluman Yang Berhormat, pemilikan senjata api bukanlah satu hak yang boleh diwarisi tetapi diluluskan berdasarkan kepada kelayakan individu.

Saya faham, saya pun juga menerima begitu banyak permintaan dan aduan supaya permohonan mereka ini diluluskan, tetapi ini adalah di luar bidang kuasa saya sebab selepas kita meneliti akta tersebut, kita tahulah, kita faham bahawa untuk memiliki senjata api kita perlu memenuhi begitu banyak syarat, iaitu sama ada hendak mencegah musuh tanaman kita perlu mengadakan tanah-tanah yang mencukupi ataupun bila seorang bapa telah pun uzur sudah tua tetapi dia sayang hendak bagi balik senjata api kepada pihak kerajaan.

So, mereka ini memohon dengan sewenang-wenangnya supaya anak dia dapat memiliki senjata api. Ini adalah masalah-masalah kita sentiasa berhadapan, tetapi walau bagaimanapun setiap kali terdapat orang yang ingin membuat permohonan biarlah sebagai Ahli Parlimen kita memberi sokongan kuat sekali.

Saya ingin memberi jaminan bahawa pihak polis bukan sengaja hendak menyusahkan pemohon-pemohon tetapi lebih menjurus kepada kelayakan, sama ada layak atau tidak untuk memiliki senjata api dan tidak bermaksud bahawa bapa mempunyai lesen, anak juga harus diberikan lesen. Sekian, terima kasih.

Rujuk: Pencelahan Penggulungan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Chor Chee Heung, 30 Oktober 2008 ms 92-93, 113-114

Tinggalkan komen