MP PAS Pengkalan Chepa: Adakah pembukaan ladang baru dapat menampung kekurangan beras

Dato’ Haji Ab. Halim Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Minta penjelasan sikit. Saya mengambil kesempatan ini Tuan Yang di-Pertua untuk mengucapkan terima kasih kerana tindakan pantas untuk mengatasi masalah kekurangan beras ini.

Persoalan saya hendak minta penjelasan ialah berapa tahun kerajaan kena menanggung RM700 juta untuk mengatasi masalah ini? Sehingga kita dapat mampu untuk mengurangkan, kalau mengurangkan berapa peratuskah setahun-tahun itu yang dapat kita kurangkan dari subsidi dan hasil kita?

Yang kedua, rancangan kerajaan untuk membeli dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ini banyak menumpu kepada pembukaan ladang-ladang beras yang baru seperti Sabah, Sarawak dan sebagainya. Saya ingin penjelasan, kawasan-kawasan seperti MADA, KADA di Perak ini yang agak terbiar, bukan terbiar tetapi tidak ditingkatkan hasilnya.

Jadi saya nak tanya di mana priority sebenarnya? Dari segi peruntukan itu, adakah kerajaan memandang bahawa pembukaan ladang ataupun kawasan yang baru itu dapat segera menampung ataupun kawasan yang sedia ada cuma dipertingkatkan. Dan berapa peruntukan yang diperlukan?

Saya tidak nampak peruntukan yang banyak untuk mengatasi atau menaik taraf kawasan-kawasan yang pengeluaran beras ini lebih daripada rancangan yang baru. Ingin penjelasan.

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Menteri, kalau boleh sambung sikit, benda yang sama.

Dato’ Mustapa Mohamed: Nanti, saya selesaikan dulu. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin maklumkan bahawa kedua-duanya priority, persoalan daripada Yang Berhormat Pengkalan Chepa ialah mana lebih priority, sama ada yang baru atau yang lama?

Yang baru ini penting kerana bagi Sabah dan Sarawak khususnya negeri-negeri tersebut tidak mengeluarkan padi dan beras yang mencukupi. Jadi kita perlu juga pastikan Sabah dan Sarawak menambah pengeluaran padi dan beras. Itu sebabnya tumpuan juga diberikan kepada negeri-negeri
tersebut.

Selain dari itu, kita tidak mengabaikan kawasan sedia ada dan seperti saya telah maklum di dalam Dewan ini, kita telah memperuntukkan lebih RM2 bilion dalam tempoh dua tahun setengah ini bukan sahaja untuk kawasan baru tetapi juga untuk kawasan lama. Umpamanya bagi kawasan MADA yang merupakan kawasan lama, dulunya peruntukan cuma RM160 juta untuk menyelenggarakan tali air, sekarang lebih RM600 juta peningkatan empat kali ganda.

Bagi KADA di Kelantan, dulunya cuma RM100 juta, lebih tiga kali ganda meningkat. Jadi kawasan baru diberi tumpuan, kawasan lama diberi tumpuan.

Bagi menjawab soalan kedua berkaitan dengan sampai bila kita nak teruskan subsidi ini. Sektor pertanian memerlukan bantuan daripada kerajaan, mana-mana negara di dunia khususnya negara-negara maju memberikan subsidi yang besar kepada pertanian.

Jadi kita bersyukur kerajaan Barisan Nasional memberikan banyak bantuan kepada petani dan bantuan ini perlu diteruskan. Umpamanya kalau bantuan baja yang bukan sahaja diberikan tetapi ditambah baru-baru ini pula. Kalau ditarik balik bantuan ini sudah pasti yang pertamanya akan menjejaskan pengeluaran.

Yang keduanya ia tidak akan menjadi satu bidang yang menguntungkan. Jadi subsidi akan diteruskan, cumanya keberkesanan subsidi akan dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan bahawa seperti Yang Berhormat Marang dan lain-lain mencadangkan kita nak pastikan bahawa subsidi sampai kepada mereka yang berkenaan, kumpulan sasar. Dan berkaitan dengan sasaran kita, pada masa ini kita cuma mengeluarkan 72% daripada keperluan negara, beras dan kita bercadang untuk tingkatkan kepada 86% menjelang tahun 2010.

Rujuk: Sesi Pencelahan Penggulungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Mustapa Mohamed3 November 2008 ms 50-51

Tinggalkan komen