MP PAS Rantau Panjang: Minta kerajaan mendidik Orang-Orang Atasan berbelanja di Luar Negara

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Tahniah di atas usaha kerajaan untuk mendidik masyarakat ke arah mengubah cara hidup yang lebih berhemah dalam suasana tekanan ekonomi.

Persoalan saya ialah apakah usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk mendidik orang-orang atasan, golongan-golongan pembesar yang berbelanja mewah di luar negara yang melibatkan jutaan ringgit yang sepatutnya, seharusnya budaya ini bukan sahaja diterapkan di kalangan rakyat bawahan tetapi perkara ini perlu terus ditekankan di kalangan golongan atasan yang sebenarnya berbelanja lebih mewah berbanding dengan rakyat bawahan. Jadi minta penjelasan. [Tepuk]

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna [Tuan Jelaing anak Mersat]: Terima kasih Yang Berhormat Rantau Panjang. Ini satu soalan yang juga relevan. Trip ataupun perjalanan bagi menjalankan tugas di luar negara bagi pegawai-pegawai atasan kita pada masa ini saya rasa ada tersekat sedikit oleh kerana ekonomi yang tidak begitu baik.

Sekatan ini memang dipanjangkan kepada semua pihak termasuk pihak atasan. Kita disekat dari segi melawat overseas, dan juga disekat bercuti di tempat-tempat yang tertentu, tidak boleh jauh sangatlah. Terima kasih.

Soalan asal
Tuan Ahmad Maslan [Pontian] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan apakah langkah-langkah baru yang kreatif dan berkesan agar pengguna mengubah gaya hidup ke arah perbelanjaan berhemah dan bagaimana Kempen Pengguna Bijak boleh dijayakan secara meluas sehingga kepada rakyat di luar bandar.

Rujukan: Sesi soalan jawab lisan, 3 November 2008

Tinggalkan komen