MP PKR Machang: Bahas peruntukan Kementerian Kewangan

10 November 2008,

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail membahaskan peruntukan Kementerian Kewangan (Peringkat jawatankuasa) Dewan Rakyat 10 November 2008

Teks penuh:
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Tuan Pengerusi, Bekalan 10 010500 e-perolehan. E-perolehan ini dijalankan oleh Commerce Dot Com 1999 buat syarikat paid-up capital RM40 juta. MOF ada special share dalamnya. Syarikat ini bertanggungjawab untuk membangunkan sistem dan modul. Bagi setiap modul yang hendak dilaksanakan itu pembekal kena bayar.

Kalau modul itu perlu difahami, latihan kena buat, yuran juga dikenakan ke atas pembekal. Untungnya luar biasa tapi nilai tambahnya tidak begitu ketara Yang Berhormat Menteri. Misalnya hendak daftar sebagai supplier. CDC charge RM450 bagi setiap tiga tahun.

Kemudian kena beli smart card pula harganya RM150. Semakan saya mendapati sehingga hari ini 133,654 pembekal telah berdaftar dan kali dengan RM600, untung atas angin RM80,192,400. Bandingkanlah kalau berapa sebenarnya kos hendak jalankan, hendak run this company. Data center hosting dan ICT infra barangkali RM1 juta setahun. Staffing barangkali RM9.6 juta setahun. Sewa cyber view garden, pejabat lebih kurang RM3 juta setahun.

Tapi untung untuk satu modul mendaftarkan pembekal sahaja sudah RM80 juta. CDC ini atau Commerce Dot Com yang terlibat dengan e-perolehan ini dia charge 0.8% bagi setiap PO. Dia akan charge juga maksima 9,600 untuk PO melebihi RM1.2 juta.

Akan tetapi amalan yang kerajaan buat sekarang ini ialah, katalah projek itu harganya RM5 juta, dia keluarkan lima PO. Jadi lima darab 0.8% darab RM1 juta, dia akan dapat RM40,000 padahal kalau RM5 juta itu dikeluarkan satu PO sahaja, pembekal cuma perlu bayar RM9,600, tetapi ini tidak, amalan sekarang ini dia keluar beberapa PO bagi jumlah melebihi RM1.2 juta.

Kemudian dia buat pula Module Tender2U’s notification ini, average RM50 sebulan. Kita andaikanlah daripada 133,000 tadi yang pembekal berdaftar, notify dia kena bayar RM50 kali RM65,000 kali 12 bulan. Satu perniagaan yang cukup lumayan Tuan Pengerusi.

Jadi kita mohon penjelasannya begini sahaja, apa nilai tambahnya apakah pembekal boleh cepat dapat bayaran? Apakah e-Perolehan, e-Procurement ini semakin menambahkan kecekapan penyampaian kerajaan, itu kita mohon penjelasan.

Kedua, P.10 – 02900 – Penyertaan Equiti Dalam Projek Strategik dan P.10 – 09000 – Pelbagai Suntikan Ekuiti. Saya merujuk kepada EPF. Dalam semakan saya mendapati, EPF ini macam angsa telur emaslah sebenarnya. Asal sahaja ada masalah dalam negara, EPF lah dicari dulu. EPF ini duit simpanan pekerja. ValueCap RM5 bilion, saya baca Financial Daily muka depan baru ini Yang Berhormat Menteri Kewangan Kedua sebut bahawa “RM5 billion extended but provident fund not taking equity stake in ValueCap”. Bagi loan tetapi tidak ada ekuiti, itu ValueCap.

Bakun – RM3 bilion, PTPTN – RM7.5 bilion, Bank Pembangunan untuk infra RM5 bilion, KLIA Berhad – RM1.2 bilion, Permodalan Nasional Berhad – RM500 juta, TimedotCom – saya masih ingat ini skandal satu ketika dulu, RM270 juta sebab bila dia buat IPO public tidak beli.

Harga RM1.90 tetapi EPF dia minta beli harga RM3.30. Selesai duit kita RM100 juta. Kemudian Star LRT ada masalah, EPF lagi RM600 juta. Senarainya ada lagi tetapi setakat saya bagi A sampai H tadi.

Saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri apa landing polisi EPF ini. Boleh tidak kita, saya pun ada caruman juga tidak banyaklah tetapi ada. Jadi saya fikir saya ada locus standi untuk bangkit yang ini bagi pihak pengundi saya juga dan rakyat seluruhnya. Apa landing polisi?

Boleh tidak kita tanya apakah loan properly secure? Boleh tidak kita tanya juga apa polisi, what percentage go to what industries, supaya dia membantu kita memahami kalau kerajaan cukup terdesak hendak buat keputusan terpaksa membangkitkan perkara-perkara ini.

Dalam topik ini juga Yang Berhormat Menteri saya mohon penjelasan, kekuatan kewangan kerajaan itu setara mana termasuk reserve, gold umpamanya saya semak Bank Negara website, rupanya simpanan emas kita ini jatuh menjunam selepas 1998. Saya print graf ini menjunam sebanyak 84%, gold reserve negara kita. Apa jadi sebenarnya selepas 1998. Ke mana gold reserve itu dibelanjakan apa alasan pengurangan begitu mendadak selepas 1998 ini?

Duit EPF sudah susah, gold reserve pun susah juga kah? Hendak tanyalah ini dalam peringkat Jawatankuasa ini.

Yang Berhormat Menteri, industri strategik ini juga melibatkan soal PERWAJA tetapi anehnya masa dia sakit dulu Parlimen inilah digunakan untuk minta persetujuan bantu PERWAJA. Kemudian tidak boleh selamat juga, boleh kepada Maju Holding dan akhirnya jual kepada Maju Holding dengan harga RM1.00. Maju Holding kepada Kingsteel, Kingsteel listed.

Saya hendak tanya polisi ini bila sudah listed itu apa jadi kepada loan government dulu itu. Apa kerajaan ada ekuiti dalam listed company yang baru ini? Berapa sebenarnya, apa investment am kerajaan yang bertanggungjawab. Berapa nilai pegangan kita sebenarnya dalam ini?

Sebab sekarang ini Kingsteel yang menikmati. Masa sakit kerajaan guna duit rakyat bantu, masa sudah pulih dia senaraikan industri pembinaan melambung naik dia dapat senaraikan pula. Jadi keuntungan daripada penyenaraian itu, bagaimana kepentingan kerajaan dilindungi daripada PEWAJA ini?

B.10 – Perbendaharaan Butiran 030200, Menteri Kewangan Diperbadankan. Saya tengok daripada 2006 syarikat MKD ini, Menteri Kewangan Diperbadankan ini 296 jumlahnya. Kemudian 2007 jadi 419. Begitu pesat sekali berkembang syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.

Saya mohon sedikit kalau Yang Berhormat Menteri boleh berkongsi maklumat memberikan penjelasan. Kemudian kenapa sampai empangan hidroelektrik Bakun ini saya tengok laporan Ketua Audit muka surat 69, daripada RM4.5 bilion melonjak sampai RM7.5 bilion sekarang ini.

Saya juga hendak mengajak perhatian Dewan kepada P.10 – 050000, Institut Penilaian Negara. Saya baca dalam Institut Penilaian Negara ini dia hendak bagi pendidikan dalam bidang hartanah melalui pengajian tinggi. Bolehkah saya tahu apakah program yang telah dijalankan untuk mencapai matlamat tersebut.

P.10 – 060000, Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin. Sedia maklum CIQ ini kalau kita semak dalam laporan audit berapa kali, aduan banyak tentang siling rosak, kotor, terkopak, berkulat di bahagian booth Jabatan Imigresen. Laluan motosikal kotor, lampu tidak berfungsi dan segala macam. Jumlah aduan yang diterima adalah sebanyak 3,523 kes. Kenapa bilangan aduan begitu banyak, apakah tindakan ataupun penalti dikenakan ke atas kontraktor yang bertanggungjawab?

B.10 – Perbendaharaan Butiran 090200, yang saya hendak tanya ialah kenapa sewa mesin fotostat dalam pejabat tiba-tiba melambung dari kosong pada 2008 kepada RM8.148 juta pada tahun 2009. Apakah kita telah beralih ke dasar leasing? Kalau begitu apa jadi kepada mesin-mesin yang lama yang sedia ada.

Pembangunan 10, Perbendaharaan Butiran 04600 – Suntikan Modal Untuk Menaiktaraf Infrastruktur Teknologi Maklumat Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM100 juta. Pada tahun 2009, RM20 juta telah diperuntukkan untuk suntikan tersebut. Jadi bolehkah kita tahu kenapa kita perlu memberi suntikan berulang dan jumlahnya begitu banyak untuk membangunkan infra yang sama?

Jadi Tuan Pengerusi, di bawah butiran ini juga kita tengok di bawah Bank Negara Yang Berhormat Menteri, ada SME Sekretariat. Saya tengok SME Sekretariat ini dia simpan database peserta SME tetapi saya juga dapati program SME ini ada di beberapa kementerian lain. Di MOSTI pun ada di MECD pun ada, Kementerian Pembangunan Usahawan pun ada. Jadi data SME ini berselerak atau fragmented dengan izin. Jadi kalau kita hendak bangunkan satu dasar berkaitan SME dengan keadaan data yang berselerak.

Bank Negara ada database dia sendiri, MOSTI ada database dia sendiri, MECD ada database dia sendiri. Database ini pula masing-masing diuruskan dan belum tentu MOSTI ada pegawai yang pakar dalam bidang SME ini. Bila saya berbual, berdialog dengan peserta SME dia orang beritahu kalau peserta SME Melayu dia orang sukakan MECD. Kalau peserta SME bukan Melayu dia orang senang berurusan dengan MOSTI. Akibatnya database itu berbeza.

Jadi kalau kita hendak bangunkan selangkah ini tonggak kepada ekonomi. Bahkan kalau kita tengok dari segi loan out standing, dalam pasaran kewangan kita, inilah yang paling tinggi sekali SME dan peluang pekerjaan juga paling ramai di sini. Dalam keadaan ekonomi sekarang saya fikir tumpuan kerajaan haruslah diberikan secara lebih terurus dari segi ini.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, boleh gulung.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Itulah pengakhiran saya, terima kasih Tuan Pengerusi.

Rujuk: 10 November 2008, ms 47-49

Tinggalkan komen