MP PKR Machang: mencelah penggulungan Menteri Pertanian dan Industri Asas tani

13 November 2008, 12.49 tengahari:

Ahli Parlimen Machang mencelah penggulungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, 13 Nov 2008.

Teks penuh:
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Berkenaan dengan sasaran penghasilan padi, Yang Berhormat Menteri tadi membayangkan bahawa ada kemungkinan sasaran program 10 tan sehektar itu akan dinilai kembali berasaskan kepada banyak negara lain pun tidak mencapai sasaran itu.

Yang Berhormat Menteri juga sebut tadi bahawa faktor banjir, bencana alam turut menyumbang kepada tidak tercapainya sasaran itu. Di satu sisi, saya dapati bahawa satu elemen penting yang membantutkan sasaran pencapaian hasil padi ini ialah kemudahan prasarana pertanian.

Apabila saya teliti di bawah maksud pembangunan, perkara yang berkaitan dengan menyediakan
sistem pengairan moden pertanian ini bajetnya tidaklah begitu besar; 12800, ada sebut pasal pengairan 12900, 15400, 15100 semuanya pasal itu, jumlahnya kecil. Bahkan kalau di kawasan saya, di Machang, memang sudah ada pun dibuat kajian oleh perunding yang dilantik oleh kementerian berkenaan dengan cadangan mewujudkan sistem pengairan moden bagi mengatasi masalah bendang yang sekarang ini luas
menjadi tanah terbiar sedangkan sumber airnya itu lumayan, berdekatan dengan Sungai Kelantan.

Saya hadir mesyuarat berkenaan dengan pengurusan tanah terbiar ini. Jabatan yang berkaitan dengan agensi pertanian memaklumkan di peringkat daerah bahawa masalahnya ialah masalah prasarana pertanian. Pada tahun depan kelihatannya, kalau kita tengok dokumen di bawah kementerian ini butiran perbelanjaan, angka itu tidak menjanjikan bahawa projek itu boleh disegerakan.

Itu yang pertama, tetapi di sana di bawah item 00900 – Projek Pertanian Yang Lain belanjanya sampai RM1.6 bilion. Apakah boleh kita anggap bahawa perbelanjaan yang begitu besar berbanding dengan
bajet agensi. Bajet agensi ini kecil sahaja macam LKIM – 57, KADA -17 LPP – 9. Tetapi bila projek pertanian yang lain RM1.6 bilion. Jadi, apakah dari sudut urutan meletakkan keutamaan itu diambil kira dengan menyediakan prasarana pertanian ini.

Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Pengerusi, sebenarnya…
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit laluan.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Titiwangsa, hendak bagi?
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih. Saya berminat untuk bertanya tentang masalah siput gondang ini. Pertamanya, saya ada pernah melihat dalam dokumentari bagaimana siput gondang ini boleh diatasi dengan cara yang lebih natural iaitu dengan melepaskan itik ke dalam sawah.

Adakah usaha ini telah dilakukan secara bersungguh-sungguh? Keduanya, saya difahamkan juga bahawa siput gondang ini ada nilai pemakanan atau nutrition di situ, mempunyai kandungan protein yang tinggi. Adakah kementerian juga membuat kajian terhadap nilai pemakanan siput gondang.

Dato’ Mustapa Mohamed: Mengenai nilai nutrition siput gondang yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Titiwangsa, belum ada kajian tentang setakat mana ia memberi khasiat yang tinggi untuk menaikkan semangat, saya tidak tahulah. Akan tetapi berkaitan dengan penggunaan itik ini saya sudah sebutkan tadi, Yang Berhormat Titiwangsa pun sudah dengar bahawa antara tiga kaedah digunakan ialah menggunakan itik. Cuma soalnya kesungguhan.

Semua kerja yang kita buat bersungguh-sungguh, Yang Berhormat Machang tadi bertanya berkaitan dengan prasarana. Ada dua perkara yang penting dalam prasarana pengairan ini. Pertamanya prasarana baru dan keduanya penyelenggaraan prasarana. Kedua-duanya penting bukan sahaja yang baru.

Jadi, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan sebenarnya termasuklah Kajian Separuh Penggal, kerajaan menambah peruntukan untuk pengairan ini kepada RM2 bilion, adalah satu angka yang besar bagi seluruh negara. Ini juga termasuk iaitu kena campur, ada dua di bawah pembangunan dan mengurus untuk tahun ini beberapa tempat dimasukkan di bawah belanja mengurus untuk menyelenggarakan tali air.

Di Machang pun Yang Berhormat pernah tulis surat kepada saya. Yang Berhormat sudah dapat jawapan kepada surat itu?

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Yang Berhormat Menteri, sebab itu saya bangkitkan. Saya boleh hantarkan lagi surat, tidak masalah.
Dato’ Mustapa Mohamed: Di Machang, walaupun yang menangnya Keadilan, kami kalah di Machang, tetapi kita juga akan menyediakan lebih RM20 juta untuk pengairan padi di Machang… [Tepuk] Yang Berhormat Arau marah.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ha, itu kerajaan yang adil.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Kerana ‘adil’lah dia kalah.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Jangan berlawan-lawan begitu, Yang Berhormat.
Dato’ Mustapa Mohamed: Tuan Pengerusi, saya teruskan mengenai padi yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Arau dan juga Yang Berhormat Kuala Kedah. Yang Berhormat Arau membangkitkan kenapa MADA ini cuma mengehadkan LPP bagi lima komponen racun yang boleh digunakan di seluruh negara. Yang Berhormat Arau bertanya, juga yang ditanya oleh Yang Berhormat Pokok Sena dan Yang Berhormat Kuala Kedah tetapi yang banyak tanya Yang Berhormat Araulah, kenapa MADA ini hadkan kepada tiga jenis sahaja.

Jadi ini adalah berdasarkan kepada perbincangan. Antara dua sebab kenapa digunakan tiga jenis ini sahaja, Yang pertama, perbincangan antara petani dengan pihak MADA. Kedua, kajian yang dibuat oleh MADA mendapati bahawa inilah perkara utama kenapa yield di MADA ini kurang iaitu masalah kulat, masalah tikus, masalah siput.

Ini tiga jenis masalah yang paling besar yang menjejaskan prestasi di MADA. Itu sebabnya pihak pengurusan MADA, saya telah berbincang dengan petani-petani, telah membuat keputusan bahawa cuma tiga komponen sahaja yang diedarkan kepada petani. Oleh kerana datang pihak Arau ini saya kena ambil seriuslah. Dia pun orang MADA juga, MADA Kuala Kedah. MADA jugalah tapi MADA lain. MADA dan juga dari Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Maka kita ada tubuhkan sebuah jawatankuasa bernama Jawatankuasa Majlis Muafakat yang menghimpunkan mereka yang terlibat dalam sektor padi dan beras di Kedah ini. Insya-Allah bulan ini akan mengadakan mesyuarat pertama dan isu-isu ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut. Jadi saya cadangkan petani-petani bincang dengan MADA dan jika didapati sesuai maka mungkin pihak MADA boleh membuat pengubahsuai sewajarnya.

Ini adalah atas kehendak petani, kebanyakan petani. Bukan semua, mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi kebanyakan mereka bersetuju untuk digunakan 32 jenis racun lima komponen. Tiga sahaja yang digunakan di kawasan MADA.

Rujuk: 13 November 2008, ms 58-61

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Saya akui bahawa, saya tidak tahu di Kuala Krai tapi di Machang memang penjelasan tentang agihan subsidi baja disampaikan dengan bertanggungjawab oleh jabatan di bawah kementerian. Bab itu saya setuju Yang Berhormat Menteri.

Pengalaman di Machang itu betul. Walaupun saya orang Kedah tapi orang rumah saya orang Machang, saya boleh cakaplah bab ini. Yang Berhormat Menteri saya hendak tanya, satu ketika dulu, kalut, heboh orang bercakap pasal skandal baja ini yang menyebabkan nafas kimia dan syarikat yang berkaitan.

Agihan baja ini diberi kepada nafas kimia kemudian dia lantik satu syarikat. Baja subsidi kerajaan itu dia pek balik, dia jual. Riuh masa itu. Mahkamah Shah Alam pun tubuhkan sebuah jawatankuasa siasat. Dia keluarkan dengan fakta-fakta itu.

Saya hendak tahu bagi memastikan bahawa subsidi baja ini sampai terus kepada kumpulan sasaran, saya hendak tahu setakat mana kes tersebut telah ditangani oleh Kementerian Pertanian. Skandal baja subsidi kerajaan yang di pek semula oleh sebuah syarikat dengan menggunakan premis yang disewa oleh syarikat yang lain. Panjang kisahnya, butirannya ada dalam simpanan saya, saya hendak tahu setakat mana masalah itu telah diselesaikan.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat sudah habis masa.
Dato’ Mustapha bin Mohamed: Tuan Pengerusi ini cerita-cerita lamalah. Oh, sudah habis masa, tetapi sebelum saya habis orang Machang tidak faham kalut itu apa. Kena bagi explanation apa kalut ya… [Ketawa]

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Kalut, gelabah, kelam kabut…
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Confuse, confuse macam Yang Berhormat Pokok Sena.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Chaos, hair wire, bolehlah itu.

Tinggalkan komen