MP PAS Kota Raja: Sesi soalan jawab lisan,

17 November 2008:

Soalan No. 4 – Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah perancangan untuk membanteras eksploitasi (seks) wanita di dalam industri pengiklanan dan juga di dalam bidang sukan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri [Dato’ Chor Chee Heung]: Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Raja yang telah pun mengemukakan pertanyaan pada pagi ini. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Kementerian Dalam Negeri melalui Lembaga Penapisan Filem sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memastikan semua kandungan dan iklan ditapiskan sebelum disiarkan.

Bagi perkara yang berkaitan dengan industri pengiklanan, pihak Lembaga Penapis Filem ialah satu badan yang terdapat di Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan adalah bertanggungjawab untuk menapis semua iklan yang akan ditayangkan di televisyen.

Dalam menjalankan tanggungjawab itu, LPF menggunakan garis panduan penapisan tahun 1993 yang telah disediakan oleh Jabatan Perdana Menteri untuk menjadi panduan dan juga kod kandungan yang disediakan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Sebuah organisasi yang ditubuhkan di bawah seksyen 94 Akta Forum dan Multimedia 1998.

Berhubung dengan pengiklanan yang menyentuh wanita, di dalam para 7 kod kandungan yang mengatakan bagi wanita dalam iklan, yang pertama iklan mestilah tidak menunjukkan wanita sebagai objek seks ataupun digambarkan sebagai pemuas nafsu lelaki semata-mata.

Kedua, iklan mestilah memaparkan secara positif imej wanita. LPF juga merujuk kepada akta-akta, peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan dengan tatacara pengiklanan.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, pada masa kini pihak LPF mendapati tidak ada eksploitasi wanita di dalam bidang pengiklanan yang menyalahi undang-undang dan peraturanperaturan yang berkuat kuasa pada masa ini. Sekiranya terdapat perkara-perkara tersebut, maka LPF akan mengambil tindakan memotong adegan-adegan berkenaan dan juga tidak dapat diselamatkan lagi akan terus tidak meluluskan untuk tayangan. Sekian, terima kasih.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Timbalan Menteri. Saya sedar bahawa isu ini bukanlah satu isu yang mudah walaupun kita sudah ada garis-garis panduan dan perundangan. Tetapi kita lihat realitinya walaupun media perdana kita seperti TV3 dan RTM dan sebagainya, masih lagi mematuhi garis panduan dan akta ini, tetapi kalau kita lihat misalnya Astro terutama TV8 dan juga di bidang kesukanan wanita digunakan sebagai penarik di dalam Formula One.

Jadi, eksploitasi ini tidak semestinya dalam bidang pengiklanan sahaja, dia merentasi banyak bidang pengawasan. Saya lihat di sini bukan sahaja Kementerian Dalam Negeri, bukan sahaja Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi, Belia dan Sukan juga terlibat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri tidak mengambil sesuatu yang proaktif dalam hal ini.

Cuma saya ingin tahu sekarang ini, adakah kerajaan akan mencadangkan satu ataupun himpunkan semua akta-akta yang ada ini supaya lebih komprehensif dan ia merujuk kepada semua eksploitasi wanita di dalam semua bidang dan satu badan pemantauan yang hanya bukan memantau filem, bukan hanya setakat menapis filem tetapi dalam semua bidang. Satu badan pemantauan yang bersepadu. Sekian, terima kasih.

Dato’ Chor Chee Heung: Terima kasih Yang Berhormat Kota Raja, untuk makluman Yang Berhormat, setakat ini kita mempunyai beberapa badan penguatkuasaan untuk memantau dari segi simbol kewanitaan dalam iklan-iklan dalam negara ini. Contohnya, forum kandungan dan juga Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan Radio Awam dan Swasta, kedua-dua ini di bawah KTAK, Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi dan juga satu lagi…[Ketawa]

Jangan ketawa pula, ini memang benar dan satu lagi Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri, kita mempunyai tiga-tiga ini yang sentiasa menjalankan kerjakerja pemantauan. Bagi Astro pula ini, Astro ini telah pun diberikan kuasa untuk mengadakan self-censorship dengan izin dan ini adalah satu janji yang diberikan kepada ASTRO sebelum mereka ini diberikan lesen sebagai televisyen swasta.

Bagi isu eksploitasi wanita di bidang sukan, ini di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan dan saya juga difahamkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan sentiasa memberi input dan memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu jika mereka ini melanggari garis-garis panduan sama ada satu cadangan yang dicadangkan oleh Yang Berhormat di mana satu akta yang meliputi semua kementerian mengenai semua bukan sahaja terhadap pengiklanan, mengenai semua aspek kewanitaan dalam iklan, dalam filem atau lain-lain bidang disatukan. Ini satu cadangan yang bernas dan boleh diteliti oleh kerajaan. Sekian, terima kasih.

Rujuk; 17 November 2008

Tinggalkan komen