Ketua Pembangkang: Mencelah penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

19 November 2008

Ahli Parlimen Permatang Pauh mecelah penggulungan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 19 November 2008.

Teks penuh:
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, Yang Berhormat. Semangat daripada hujah yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat yang diulas oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri ialah bahawa harus ada fokus yang berlebihan daripada IKS dan SMIDEC.

Saya mengucapkan tahniah kerana ada tumpuan dalam bidang ini oleh MITI. Cuma saya tidak dapat kesan dari jawapan dan penegasan baru ini bahawa SMIDEC dan IKS itu diberikan fokus yang sepatutnya.

Yang Berhormat Timbalan Menteri tentu tahu bahawa semua negara industri itu tidak kuat kerana industri besar tetapi kuat kerana IKS. Walaupun takrif IKS itu berlainan sedikit tetapi kalau di Korea Selatan- 99%, Taiwan – 98% dan umumnya termasuk Jepun, malah Amerika Sendiri. Akan tetapi kalau dilihat daripada peruntukannya itu RM293.33 juta, dilihat dari bentuk jawapannya itu hanya percubaan memperbaiki sedikit sebanyak pelaksanaan dan tumpuan.

Saya minta supaya Yang Berhormat Timbalan Menteri membawa kepada Yang Berhormat Menteri seterusnya membawa kepada Kabinet supaya memberikan sedikit tumpuan dan anjakan daripada fokus yang ada sekarang. SMIDEC sekadar satu tahap yang diberikan sekarang kepada suatu yang menjadi fokus utama – the primary objective dalam MITI ini.

Ini kerana dengan izin survival in any going industrial nation itu nampaknya di peringkat ini. Apa salahnya kalau dari dibazirkan dengan ValueCap itu dipindahkan ke SMIDEC. Yakni kita tumpukan pembangunan ke arah itu.

Dalam hal-hal yang dibangkitkan penekanan umpamanya tentang bukan sekadar pinjaman dan promosi tetapi fokus kepada pemodenan peralatan¸daya teknologi, hal-hal yang dilakukan oleh Taiwan dan Korea Selatan sejak 20 tahun yang lalu yang mampu mengangkat ekonominya jauh lebih baik daripada Malaysia.

Dato’ Jacob Dungau Sagan: Terima kasih, Yang Berhormat Permatang Pauh. Kita ambil perhatian seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi. Kita memang melihat peranan SMIDEC ini dan juga sumbangan daripada semua syarikat SME ini memang amat penting sekali untuk negara kita. Kita tahu bahawa 99.2% daripada syarikat yang ada di negara ini ialah SME.

Jadi sumbangan oleh mereka ini kepada GDP kita amat penting sekali. Keduanya, SMIDEC bukan hanya memberi pinjaman promosi sahaja tetapi juga mempunyai banyak program yang dijalankan seperti industri linkage programme, outreach program, entrepreneur program yang dijalankan dan juga seperti SEAP di mana expert kita pergi membantu pihak syarikat-syarikat SME ini supaya mereka dapat menjalankan enterprise mereka dengan cekap dan juga dengan menggunakan teknologi moden seperti ICT, jika ia berkenaan dengan kilang, ia menggunakan mesin yang moden dan pengurusan syarikat-syarikat mereka ini dan banyak lagi program yang dijalankan oleh SMIDEC.

Jadi, semua ini ditumpukan supaya SMIDEC dapat menjalankan syarikat mereka dengan cekap, produk yang berkualiti dan mempunyai hubungan yang rapat dengan negara-negara yang mengimport produk-produk mereka.

Tinggalkan komen