MP PAS Kota Raja: Bahas peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Kota Raja membahaskan peruntukan Kemneterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008

Teks penuh:
Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana membenarkan saya untuk sama-sama membahaskan dalam peringkat Jawatankuasa ini bajet untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tuan Pengerusi, saya perhatikan peruntukan bajet untuk kementerian ini adalah antara yang terendah. Malah angka-angkanya lebih rendah daripada tahun 2008. Sebagai contohnya untuk pengurusan, daripada RM403 juta lebih turun kepada RM377 juta.

Untuk pembangunan pula daripada RM26 juta turun ke RM19 juta lebih, hampir RM20 juta. Jadi, adakah ini menunjukkan keefisienan, kecekapan kementerian ataupun adakah kementerian ini sudah menjadi kurang penting? Bagaimana ya? Minta Yang Berhormat Menteri jelaskan.

Kemudian saya juga ingin membawa kepada Butiran 020200 – Pembangunan Perniagaan. Saya minta menteri menyatakan sasaran yang terlibat bagi bantuan pembangunan perniagaan ini dan bezanya dengan peranan yang dimainkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga kita tahu membantu para peniaga, pengusaha dan usahawan bagi membangunkan perniagaan mereka.

Jadi apa beza peranan kementerian ini dengan peranan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi? Sejauh mana pengusaha kecil dan sederhana mendapat manfaat daripada aktiviti pembangunan perniagaan di bawah kementerian ini?

Di bawah program konsumerisme bagi Butiran 030200 – Hal Ehwal Pengguna, jumlah peruntukannya juga didapati berkurang daripada RM40 juta ke RM16 juta. Dalam zaman di mana kita semua mengatakan bahawa harga barang kadang-kadang naik ikut suka peniaga, Kementerian Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna masih boleh menurunkan kurang daripada separuh peruntukan tahun lepas.

Adakah ini bermakna urusan berkaitan konsumerisme ini sudah menjadi kurang penting pada masa akan datang, bagaimana ya? Ini satu-satunya kementerian saya lihat peruntukkannya berkurangan. Sejauh mana keberkesanan kempen Pengguna Bijak dan apakah perancangan kementerian pada masa hadapan bagi memastikan masyarakat pengguna yang berada di seluruh pelosok negara kita ini termasuk kawasan pedalaman juga mendapat manfaat daripada kempen-kempen seumpama ini.

Selepas kempen Pengguna Bijak ini, apakah perancangan kementerian? Kempenkempen, tajuk-tajuk, topik-topik apakah yang ada dalam perancangan kementerian? Prestasi dan kekerapan operasi penguatkuasaan kini khususnya selepas kesan kenaikan harga minyak baru-baru ini dan kemudian diturunkan balik, apa yang para pengguna atau rakyat rasakan adalah penurunan harga minyak kini tidak diikuti dengan penurunan harga makanan dengan kadar yang cepat.

Kalau minyak naik, cepat harga barang naik tetapi bila harga minyak turun, kadar ataupun kadang-kadang tidak turun langsung harga barangan. Saya tertanya-tanya juga apabila kementerian membuat kempen dengan peruncit-peruncit besar seperti hypermarket untuk kempen untuk menurunkan kos.
Ada hypermarket ini dapat menurunkan harga sehingga 30%. Kalaulah mereka dapat menurunkan harga 30% dan kita tahu margin ataupun keuntungan biasanya peruncitan ini sebenarnya tidaklah begitu besar. Kalau mereka boleh turun 30% maka sebenarnya berapa keuntungan yang mereka buat selama ini? Maknanya they must make a lot of profit, dengan izin.

Oleh sebab itu mereka boleh turun 30% dan selama mana mereka boleh mempertahankan harga ini? Bila kementerian meminta juga peruncit-peruncit lain untuk menurunkan harga, persoalannya kita rasa kita faham dinamik antara permintaan dan bekalan.

Kita tahu bahawa hypermarket-hypermarket yang besar ini mengenakan bayaranbayaran tertentu kepada pembekal-pembekal mereka dan bayaran mereka kepada pembekal juga mengambil masa yang agak lama. Pernah kita mendapat maklum balas sehingga tiga bulan pembekal-pembekal ini tidak dapat bayaran.

Jadi, kekuatan oleh sebab pembekal ini perlukan shelf ataupun para di tempat untuk menjual di hypermarket-hypermarket ini, maka harga yang mereka berikan juga itu mungkin juga boleh menyebabkan keuntungan mereka bertambah tipis oleh pembekal-pembekal ini. Masalahnya adalah apabila peruncit-peruncit kecil seperti mini market, kedai runcit kampung dan sebagainya, mereka tidak akan boleh menandingi harga yang diberi oleh hypermarket.

Kita tahu apabila rakyat pergi menderu-deru ke hypermarket ini, bukan sahaja barangbarang asas sahaja yang dibeli oleh mereka tetapi sebaliknya mereka juga akan terpukau dan terpaku dengan barang-barang lain dalam supermarket dan akhirnya mereka juga berbelanja lebih. Adakah ini satu perkara yang akhirnya dari segi kepenggunaannya menggalakkan kepenggunaan yang bijak? Kita perlu juga mendidik masyarakat mengenai belian di hypermarket.

Ini yang sebenarnya lebih menguja, bila pergi ke supermarket kita lihat bakul-bakul ataupun trolitroli penuh dengan barangan-barangan sebenarnya bukan lagi barangan asas. Jadi sejauh mana hypermarket ini boleh mempertahankan harga yang mereka beri sekarang.

Kemudian juga mengenai cadangan mewujudkan stok penimbal. Sebelum Yang Berhormat Menteri mengambil alih dulu, menteri yang lepas ada menyebut mengenai kerajaan akan mengadakan stok penimbal untuk barang-barang keperluan untuk mengelakkan daripada fluctuation harga yang mendadak apabila bekalannya kurang dalam pasaran. Jadi apakah status stok penimbal ini dan adakah kita akan mendapat manfaat daripadanya.

Mengenai Butiran 050000 – Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Kalau boleh saya ingin sedikit penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Menteri, apa sebenarnya tanggungjawab Perbadanan Harta Intelek Malaysia ini. Butiran 060000 – One-Off, saya tidak berapa faham bagaimana kita boleh buat one-off sedangkan kita boleh masukkan… mungkin saya naif sedikit mengenai perkara ini.

Akan tetapi di bawah misalnya kenderaan. Ia ialah aset, kenapa tidak dimasukkan di bawah 3000 – Aset, sebaliknya diletakkan di bawah one-off. Begitu juga dengan ICT dan harta modal yang lain, ia juga diletakkan di bawah one-off. Mungkin Yang Berhormat Menteri boleh menjelaskan sedikit kepada saya perkara ini.

Mengenai Butiran 00800 – Kajian-kajian Perdagangan dan Kepenggunaan. Ini adalah juga untuk peruntukan pembangunan, bolehkah saya tahu apakah kajian-kajian kepenggunaan yang telah dilakukan dan apakah hasil, jumlahnya dan apakah yang telah dilakukan, dan bagaimana ia memberi impak ke atas tindakan dan kerja di kementerian ini? Begitu juga dengan…

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Boleh gulung, Yang Berhormat.
Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Ya, okey, sudah akhir. Bagi Butiran 01400 juga Implementasi Dasar Amalan Perdagangan Adil. Apakah inti pati dasarnya, bila diwujudkan, bagaimana ia beroperasi dan sejauh mana statusnya sekarang? Lagi satu perkara yang perlu saya sebut di sini, mungkin pagi tadi menteri telah menjawab untuk soalan pertama, Majlis Harga Barang.

Mungkin boleh jawab lagi sekali sebab pagi tadi saya tidak dapat hadir, Majlis Harga Barang, apa statusnya, sejauh mana pembentukannya dan apakah tindakannya setakat ini dan juga ingin bertanya tadi tidak dijawab mengenai 2,000 orang graduan yang direkrut untuk memantau harga barang. Adakah ada peruntukan khas untuk mereka dan adakah masih wujud lagi kumpulan ini untuk memantau harga barang? Saya ingat itu sahaja, Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri. Sekian, terima kasih.

Tinggalkan komen