MP PAS Pendang, BN Batu Pahat dan PAS Pokok Sena mencelah penggulungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Pendang, Baru Pahat dan Pokok Sena mencelah penggulungan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna (peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008.

Teks penuh:
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Menteri dan Tuan Pengerusi. Sebenarnya saya hendak tahu, apakah dasar ataupun polisi di dalam pemberian lesen untuk membuka hypermarket di sesuatu pekan?

Ini kerana saya tengok di suatu pekan dalam jarak 3 kilometer, 4 kilometer ada kadang-kadang 2 hingga 3 hypermarket yang di bina. Ini akan menyebabkan masalah kepada pekedai-pekedai runcit ini. Minta jawapan Yang Berhormat Menteri.

Dato’ Shahrir Abdul Samad: Tuan Pengerusi, sebentar tadi saya telah menyatakan bahawa hanya dari segi hypermarket asing sahaja yang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri menggunakan kuasa untuk menentukan sama ada boleh dibuka ataupun tidak boleh dibuka. Namun bagi perniagaan, di mana kalau kita membuka supermarket atau pasar raya ataupun mini market ia bergantung pada lesen yang biasa daripada majlis penguasa tempatan.

Ini bermakna kita jangan tersilap bahawa kawalan Kementerian Perdangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari segi kebenaran untuk sesebuah hypermarket terhad kepada hypermarket asing sahaja dan hypermarket yang dimiliki orang tempatan, umpama contohnya, Mydin ataupun The Store tertakluk kepada lesen perniagaan dan keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sebelum Yang Berhormat Petaling Jaya Utara…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sikit sahaja. Maksudnya kalau macam Carrefour dan sebagainya sekarang ini tidak dibenarkan lagi untuk dibuka.
Dato’ Shahrir Abdul Samad: Ia bukan tidak dibenarkan tetapi ia berasaskan kepada pertimbangan. Setiap permohonan itu diberikan pertimbangan berasaskan kepada pandangan dan teguran daripada peringkat bawahan atau di tempat yang dicadangkan iaitu pihak berkuasa tempatan berhak untuk memberi teguran, kerajaan negeri berhak memberi teguran dan juga persatuan-persatuan bukan kerajaan dalam kawasan berkenaan pun boleh memberi teguran.

Teguran-teguran ini akan diambil kira sama ada hendak diluluskan ataupun tidak. Itu dasar yang telah kita tetapkan kerana setakat ini sudah pun agak terlalu banyak hypermarket yang dibuka dalam negara ini sehinggakan kadarnya ialah satu hypermarket bagi 250,000 rakyat Malaysia iaitu 100 berbanding dengan 26 juta.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: [Bangun]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Batu minta jalan, Yang Berhormat.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Pengerusi, sikit sahaja lagi. Kalau begitu caranya, maksudnya bergantung pada nasihat daripada majlis perbandaran dan sebagainya saya rasa ia tidak menyebabkan kita mempunyai satu dasar yang tegas dari segi untuk memastikan tidak lagi banyak hypermarket milik asing ini diwujudkan.

Saya bimbang maksudnya macam majlis perbandaran ini dia takut ada perkara-perkara lain menyebabkan dia sokong sahaja dan dia setuju sahaja. Itu yang kita tidak hendak. Maksudnya bila polisi itu, polisi itulah, tidak lagi ada pertimbangan yang lain. Ini untuk yang asing itu tadi.

Dato’ Shahrir Abdul Samad: Sebagaimana saya sebentar tadi menyatakan bahawa satu contoh di negeri Johor, satu cadangan untuk membuka sebuah hypermarket di bandar Kluang umpamanya telah terhenti kerana pandangan daripada pihak tempatan dan juga kerajaan negeri.

Ini bermakna saya rasa bahawa tidak mungkin bahawa kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan langsung tidak responsif atau langsung tidak mengambil kira dan menjadi saluran daripada pandangan pihak tempatan iaitu kesemuanya hendak diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Dari segi pandangan saya, saya rasa bahawa yang patut membuat keputusan ini dan memberi teguran ialah masyarakat pengguna dan pembeli di kawasan itu dan bukan hanya kementerian yang duduk di Putrajaya umpamanya membuat keputusan tanpa merujuk kepada pandangan akar umbi. Itu maksudnya.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Batu.
Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Batu.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Kebimbangan saya tadi ialah kita bimbang majlis perbandaran atau kerajaan negeri contohnya, dia tidak meminta pandangan peniaga kecil, peruncit dan sebagainya. Maksudnya dia buat keputusan dia bukan dia minta pandangan daripada akar umbi. Itu yang saya maksudkan.

Tuan Chua Tian Chang [Batu]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Setahu saya bukan sahaja hypermarket ini dibenarkan untuk didirikan, kebelakangan ini mereka dibenarkan untuk buka sehingga jam 1.00 tengah malam. Saya tidak nampak dasar yang konsisten daripada membenarkan hypermarket-hypermarket ini untuk dibuka sehingga jam 1.00 tengah malam. Adakah ini langkah yang berkesan untuk mengurangkan inflasi ataupun tidak.

Saya nampak ini hanya satu dasar yang akan merugikan kedai-kedai yang kecil dan juga peniaga-peniaga kecil.

Jadi, apakah kriteria yang kita benarkan supaya bukan sahaja kita membenarkan pembangunan hypermarket ini tetapi juga membenarkan hypermarket ini berniaga sehingga jam 1.00 tengah malam. Ini bagi saya satu trend yang agak berbahaya kerana ini bukan lagi isu competition, ini isu unfair competition kepada ramai pemborong dan peruncit kedai-kedai runcit yang kecil. Harap dapat jawapan. Terima kasih.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Menteri hendak beri jalan?

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Berkaitan soal hypermarket ini saya rasa bahawa perlu ada satu garis panduan yang jelas sama ada untuk hypermarket luar ataupun hypermarket dalam negara kita untuk menjadi garis panduan yang jelas hantar kepada pihak berkuasa tempatan supaya dasar untuk mengimbangi antara kepentingan pengguna dan juga usaha kerajaan sendiri, umpamanya Kementerian Pembangunan Usahawan membangunkan usahawan-usahawan kecil.

Maknanya apabila kita membuka ruang yang begitu luas kepada hypermarket ini akhirnya mematikan usaha kita untuk pembangunan usahawan-usahawan kecil. Jadi, pelaburan kita dalam usaha latihan yang kita berikan kepada usahawan-usahawan kecil akhirnya begitu sahaja dan matlamat kita untuk membangun dan melahirkan ramai usahawan kecil tidak berjaya.

Oleh sebab itu adakah salah untuk kita meletak syarat umpamanya. Bukan saya katakan saya hendak menafikan tentang perlu, tidak perlu ataupun sebagainya tentang hypermarket ini, memang diakui dari segi peluang pekerjaan, barangan harga yang murah dan sebagainya.

Akan tetapi tidakkah boleh kita letakkan syarat mengehadkan jenis barangan yang hendak dijual. Kalau dia ambil barangan yang dijual oleh pekerja-pekerja runcit hari ini, memang habislah mereka. Mereka tidak boleh berniagalah. Itulah jenis perniagaan mereka. Kalau jenis perniagaan mereka itu diambil alih oleh hypermarket – ikan pun diambil oleh hypermarket, jadi apa lagi yang mereka boleh berniaga. Maknanya, saya rasa harus ada perimbangan ini untuk kepentingan semua pihak.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Pasir Salak.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri. Saya agak lebih ekstrem daripada apa yang dibawa oleh Yang Berhormat Pokok Sena.

Saya hendak mempersoalkan apa yang perlu sangat supermarket ini. What technology they are bringing to our country? Apa teknologinya? Apa kepakaran, kehebatan yang orang Malaysia tidak ada? Pengurusannya? Setakat pengurusan kita ada.

Kewangan? Saya rasa banyak syarikat dalam Malaysia ini yang mampu untuk mengadakan peruntukan kewangan untuk membuka supermarket tempatan, banyak GLCs, banyak conglomerates yang mampu ada modal berbilion-bilion.

Jadi, saya tidak nampak apabila kita membenarkan modal asing datang ke dalam negara kita, pertama sekali ialah kita tidak mampu. Orang tempatan mampu! Tidak ada teknologinya, tidak ada kemahirannya, tidak ada kewangannya, maknanya perniagaan supermarket ini perniagaan biasa sahaja. Apa yang kita hendak benarkan mereka berniaga dan semua duit rakyat ini pergi ke kantung mereka? Kenapa perlu begitu? Orang kata atas dasar bahawa harga murah. Saya tidak nampak supermarket sebagai satu outlet yang dikatakan boleh memberi faedah yang besar kepada pengguna dengan memberikan harga yang rendah.

Ikan keli di Telok Intan bawa ke supermarket harganya melambung naik. Udang galah harganya RM30 di Telok Intan, di Kampung Gajah di tempat saya di supermarket dijual RM50, RM60 sekilo, harga murah apa ini?

Yang saya tahu ialah ini adalah peniaga-peniaga asing, investors daripada luar yang tahu bahawa negara kita ini mempunyai purchasing power yang sangat bagus.

Dengan sebab itu mereka hendak mengaut keuntungan di dalam ekonomi negara kita yang membangun ini, yang kaya ini, bukan miskin macam mana yang pembangkang sebut. Tidak betul. Negara kita maju. Ramai orang kaya, ramai orang senang. Ya tidak? Dengan sebab itu mereka mampu untuk shopping, mereka mampu untuk membeli. Kalau tidak mampu, tidak ada purchasing power, mereka tidak akan buka supermarket di dalam negara kita ini.

Kenapa kita beri kepada mereka wang ini? Berilah perniagaan kepada local business man. Ini saya harap kerajaan…
Tuan M. Manogaran [Telok Intan]: [Bangun]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Telok Intan, tidak boleh bangunlah Telok Intan.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Kerajaan melihat balik kepada dasar yang menggalakkan atau memberi kebenaran yang sewenang-wenangnya kepada penubuhan supermarkets ini. Yang Berhormat Pokok Sena pun boleh buka satu super market tidak ada masalah.
Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tidak ada masalah, kita share. Share modal bersama.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya bersetuju bahawa memang kerajaan mengawal harga-harga barang-barang kawalan yang telah pun ditetapkan. Akan tetapi tidak boleh dinafikan bahawa apabila umpamanya beras. Walaupun harga beras itu dikawal oleh kerajaan tetapi oleh kerana tanggungjawab untuk mengimport beras itu hanya diberikan kepada satu syarikat BERNAS.

Akhirnya itulah timbul masalah yang kita berbahas di Dewan ini berkali-kali kerana ia mengambil kesempatan maknanya masalah itu, masalah ini dan sebagainya.

Akhirnya, tujuan kita mewujudkan BERNAS untuk membantu petani dalam negara kita tidak pun dilaksanakan secara yang bersungguh-sungguh. Jadi, akhirnya kita berhadapan dengan masalah-masalah yang kita hadapi. Satu masa bahawa kita menghadapi masalah kekurangan beras, kemudian ada waktu dia membawa masuk tanpa ada permit, AP daripada kerajaan, datang ke pelabuhan baru minta permit, baru minta kelulusan permit dan sebagainya kerana dia rasa dia raja beras dalam negara kita.

Jadi, saya hendak katakan bahawa ini kesan antaranya apabila kes monopoli ini. Begitu juga dengan kes umpamanya saya katakan elektrik TNB. Kita tidak dapat persaingan dari segi perkhidmatan dan akhirnya kita lihat umpamanya wang pendahuluan, wang cagaran, kita tidak tahu apa sepatutnya kita mendapat keuntungan daripada wang cagaran. Wang cagaran itu kalau kita masuk dalam simpanan tetap, sudah tentu bahawa banyak untung yang dia dapat tetapi tidak pernah diagihkan keuntungan itu untuk pengguna.

Dato’ Shahrir Abdul Samad: Okey, terima kasih. Saya pun hendak masuk kepada beras. Walaupun saya ada pandangan bahawa beras patut diletakkan balik kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Ini kerana pada satu ketika dahulu kawal silia beras pun diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri tetapi telah dikeluarkan balik kepada Kementerian Pertanian.

Itu pemikiran ketika itu. Akan tetapi saya bersetuju dan kerajaan sebenarnya bersetuju supaya disemak balik kedudukan BERNAS yang ada sekarang. Memang sudah ada pandangan itu dan keadaan ini
belum lagi saya rasa pihak kerajaan umumkan sama ada umpamanya pandangan yang sama bukan sahaja daripada Yang Berhormat. Akan tetapi daripada Ahli-ahli Yang Berhormat dari Sabah mengatakan mengapa tidak untuk Sabah dibenarkan sebuah syarikat yang lain juga untuk mengimport beras bagi Sabah atau pun untuk Sarawak dan sebagainya.

Ini pandangan-pandangan yang telah kita kumpulkan dan memang kerajaan berpendapat bahawa harus peranan BERNAS itu diulang kaji dan di dalam ini memang saya ingat memang kita tidak ada permasalahan kerana matlamat kita ialah untuk menentukan akhirnya yang untung ialah rakyat.

Bukan kerana adanya lapisan-lapisan yang dapat mencari untung berlebihan di atas pemberian dan kedudukan istimewa mereka. Ini saya ingat satu hujah yang saya rasa semua kita boleh terima, tidak ada masalah dari segi ini.

Tinggalkan komen