MP PAS Shah Alam: bahas peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Shah Alam membahaskan peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal ehwal Pengguna (peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008.

Teks penuh:
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Pengerusi.
Tuan Pengerusi: Yang lain gelak, jadi maknanya itu tepatlah yang saya panggil ini.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tuan Pengerusi mengotakan janjilah, terima kasih. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri trading 010300, 020100 dan 030200.

Berhubung dengan 010300 – Dasar dan Perancangan, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri sama ada kumpulan yang mengkaji dan menentukan dasar untuk tahun depan adalah orang-orang yang sama yang telah memberikan nasihat kepada beliau bahawa naikkan harga minyak tidak akan mendatangkan inflasi.

Kalau sekiranya mereka ialah orang-orang yang sama, tidakkah terbukti bahawa nasihat yang telah mereka beri dahulu tidak tepat. Saya khuatir bukan nasihat daripada mereka tetapi pandangan dab analisa daripada Yang Berhormat Menteri sendirilah. Apa yang telah dinyatakan dahulu dengan kenaikan harga minyak itu tidak akan berlaku inflasi, tidak akan naik harga barang tetapi seperti mana yang kita tahu apa yang telah berlaku ialah kita telah mencatat kadar inflasi yang tertinggi sebanyak 8.5%.

Sekiranya nasihat itu adalah daripada mereka, apakah tindakan yang ingin dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri untuk mungkin mendidik mereka kah, hantar kursus kah supaya lain kali tidak beri nasihat yang samalah. Itu soalan yang pertama.

Kedua berhubung dengan 030200 tetapi kalau yang nasihat itu datang daripada Yang Berhormat Menteri, dia pula lah yang kena pergi kursus.
Tuan Pengerusi: Awas sedikit Yang Berhormat jangan ada sangkaan jahat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tidak apa abang.

Kedua, soal 030200, Hal Ehwal Pengguna. Saya melihat ada banyak billboard-billboard ini yang mana pengguna diajar soal bandingkan harga, tentukan mutu, beli hanya yang perlu. Billboard-billboard ini saya jangka mungkinlah meletakkan sebahagian daripada kesalahan ataupun persoalan hendak kawal inflasi itu kepada tangan pengguna.

Walaupun saya faham bahawa hendak bajetkan pendapatan rumah itu perlu tetapi inflasi itu saya rasa lebih yang menentukan ataupun yang menghasilkan kesan inflasi ini bukan sangat pengguna yang tidak pandai hendak balance dia punya check book ataupun dia punya income dan pendapatan setiap bulan tetapi lebih ditentukan dan dikesani daripada dasar-dasar yang ditetapkan oleh kerajaan itu sendiri.

Lalu saya rasa perbelanjaan untuk billboard-billboard ini mungkin boleh, ialah sepatutnya kita ada dalam kita punya kurikulum pendidikan kah, apakah, adalah home science kah, home economics kah supaya daripada kecil lagi kita sudah ajar rakyat kita untuk berjimat cermat, untuk macam mana hendak balance dia punya check book dan sebagainya.

Kita tidak perlulah belanja mungkin dengan billboard-billboard yang seperti ini kerana sebenarnya bila orang yang baca itu dalam keadaan pendapatan mereka hanya RM750 sebulan, dia naik sakit hati kerana dia tahu bahawa ianya bukan masalah dia inflasi ini berlaku.

Bukan kerana dia tidak pandai hendak bandingkan harga, hendak beli barang yang bermutu, beli hanya barang yang perlu, kerana ianya mesej yang sedikit sebanyak macam menyindir bahawa ini semua masalah oleh sebab rakyat yang tidak pandai menguruskan kewangan rumah tangga mereka. Saya rasa itu mungkin tidaklah setepat apa yang berlaku.

Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: [Bangun]
Tuan Pengerusi: Tidak perlu mencelah Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Oh Yang Berhormat Kota Belud? Tidak payahlah. Biar saya habiskan dulu.
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Pasal cara hendak …
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Okeylah, bagilah. Kesian dia datang dari jauh kan Kota Belud.

Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tuan Pengerusi terima kasih Yang Berhormat Shah Alam. Saya sebenarnya kita tahu semua bahawa masalah kenaikan harga minyak ini dan kenaikan harga barang ini adalah masalah semua pihak bukan sahaja masalah kerajaan.

Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Shah Alam. Tadi Yang Berhormat Batu Gajah seolah-olah mengatakan bahawa kesilapannya itu banyak kepada kerajaan. bagaimana untuk mengajar rakyat untuk menurunkan harga, berbelanja secara berhemah dan sebagainya.

Saya hendak tanya Yang Berhormat Shah Alam, kenapa dewan-dewan perniagaan Tionghoa, dewan-dewan perniagaan Cina tidak mengambil peranan yang lebih aktif dalam meminta pengusaha-pengusaha, peniaga-peniaga yang rata-ratanya adalah daripada kalangan sahabat-sahabat kita yang berbangsa Tionghoa. Itu soalan saya.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya ingat soalan Yang Berhormat Kota Belud ini mungkin saya duduk jauh dia nampak saya ni macam orang Tionghoa tetapi sebenarnya saya tidak.
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Tidak, tidak saya hendak tanya.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Lalu saya rasa soal cara ianya ditangani, nombor satu hakikatnya inflasi berlaku oleh sebab dinaikkan harga minyak. Apabila harga minyak naik, ini sudah melencong sedikit Tuan Pengerusi tetapi tidak apalah seminit. Bila harga minyak naik sebenarnya negara kita mendapat pendapatan yang berlipat kali ganda tetapi bila naik harga minyak dia sebut…
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Soalan saya lain.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Nantilah sekejap saya hendak tanya. Bila harga minyak naik dia cerita tentang subsidi yang naik, dia tidak cerita tentang pendapatan yang naik. Bila harga minyak turun dia cerita tentang pendapatan turun lalu sekarang ini kita susah. Lalu seolah-olah rakyat Malaysia ini harga minyak naik pun kita sakit, harga minyak turun pun kita sakit.

Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Soalan saya lain.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dalam soal persatuan peniaga Tionghoa itu saya rasa sepatutnya tanya kepada Yang Berhormat Batu Gajah paling kurang dia Tionghoa, tanya kepada saya manalah saya hendak tahu.
Dato’ Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Pendapatnya?

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Nombor dua saya rasa macam mana sekali pun mana-mana persatuan perniagaan sama ada orang Tionghoa ataupun orang Melayu hakikatnya bila harga minyak naik sudah pasti harga barang-barang akan naik. So yang ketiga, soal perdagangan dalam negeri. Ini sekali lagilah hendak masuk kepada soal minyak inilah.

Saya faham bahawa ramai yang telah sebut. Saya hendak tanyalah dari segi pandangan Kerajaan Barisan Nasional. Minyak ini, harta rakyat. Lalu bila minyak ini harta rakyat sepatutnya kita mendapat manfaat, tidak bolehlah kita dilayani seperti mana orang lain. Dalam erti kata kita terpaksa beli minyak pada harga pasaran ataupun harga pasaran antarabangsa ataupun lebih mahal daripada harga pasaran antarabangsa kerana minyak itu kita punya.

Saya faham bila ada keuntungan Petronas dapat dia akan labur balik dalam negara dan sebagainya, itu saya faham tetapi Yang Berhormat Menteri sendiri hari itu kalau tidak silap sayalah mungkin boleh diperbetulkan, telah menyatakan bahawa sebenarnya keuntungan Petronas pun hanya 30% yang datangnya daripada penjualan minyak.

Mungkin yang dimaksudkan ialah penjualan domestik ataupun apa tidak tahu tetapi dia kata banyak yang datang daripada investment, banyak yang datang daripada internasional, hanya 30% sahaja. Lalu bererti bahawa kalau sekiranya diberikan manfaat direct kepada rakyat duit yang Petronas dapat dan keuntungan yang diperoleh dia masih tidak terjejas dan dia masih boleh labur balik kepada negara kita.

Apa yang pentingnya ialah bila kita turunkan harga minyak itu kepada satu kadar yang rendah, kita rakyat jelata semuanya akan mendapat manfaat dan ianya mempunyai satu kesan yang menyeluruh. Bukan sekadar harga minyak sahaja akan turun tetapi harga barang-barang makanan dan sebagainya.

Saya cukup yakin walaupun bercanggah dengan debat Yang Berhormat Menteri Penerangan dulu, saya cukup yakin turunkan harga minyak, inflasi akan turun bukan sebaliknya. Lalu saya mintalah kalau boleh Yang Berhormat Menteri menyentuh ketigatiga isu ini. Terima kasih.

Tinggalkan komen