MP PAS Sik: Bahas peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Sik membahaskan peruntukan Kemneterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008.

Teks penuh:
Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Assalamualaikum, terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hanya akan menyentuh empat perkara sahaja. Yang pertama sekali Butiran 00100 – Program Latihan Perdagangan dan Kepenggunaan dan Butiran 030200 – Hal Ehwal Pengguna.

Saya minta Yang Berhormat Menteri dapat memberi perhatian kepada soal ini kerana setakat ini kita nampak usaha-usaha memberi latihan kepada soal kepenggunaan ini tidak menyeluruh dan pengalaman saya sebagai pegawai kerajaan dahulu, saya nampak orang yang dipanggil untuk mendapat taklimat ataupun diberi kursus mengenai kepenggunaan ini terhad kepada jawatankuasa koperasi dan juga pegawai-pegawai kerajaan tertentu.

Saya rasa Yang Berhormat Menteri patut memikirkan supaya kempen ataupun latihan kepenggunaan ini kita perluaskan lagi dan saya amat berbesar hati kalau Yang Berhormat Menteri dapat juga menggunakan pegawai-pegawai agama, tok-tok imam yang boleh kita hebahkan soal kepenggunaan ini kepada rakyat secara umum. Kita maklum pada setiap minggu khutbah-khutbah Jumaat didengari oleh jutaan penduduk negara kita.

Jadi kalau kita boleh perkemaskan khutbah-khutbah ini dimasukkan hal-hal kepenggunaan ini, saya rasa ianya akan lebih menyeluruh ataupun lebih ramai rakyat jelata ataupun pengguna yang dapat mengikuti khusus ataupun ilmu kepenggunaan ini dan insya-Allahlah saya rasa mereka tidak lagi akan dipermainkan oleh penjual-penjual ataupun peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Saya juga ingin menyentuh dalam soal ini bahawa apa yang berlaku setakat ini penumpuan kementerian secara kebetulan tertumpu di kawasan-kawasan bandar dan kawasankawasan yang ada supermarket atau hypermarket, yang mana saya rasa tumpuan ini kurang berkesan kepada penduduk-penduduk di luar bandar.

Walaupun ada usaha-usaha kementerian mewujudkan unit pasaran sebagaimana yang berlaku di Pekan dan juga di kawasan Kepala Batas, tetapi keseluruhan kawasan di luar bandar di negara kita ini tidak menerima kesan ini.

Saya berpendapat kalau dahulu kita pernah dengar, kerajaan pernah menubuhkan di bawah Pernas Edar kedai-kedai hampir di seluruh pekan utama atau bandar utama di negara kita. Saya minta kalau boleh kementerian perluaskan tugas ini dan kalau boleh di setiap bandar ada kedai-kedai yang berbentuk begini, iaitu kedai-kedai yang boleh menjual keseluruhan barangan dengan harga yang patut.

Kita boleh mengambil panduan dengan apa yang berlaku di Mesir, misalnya kerajaan memberi amanah kepada penjualan barang-barang harga patut kepada koperasi-koperasi. Hanya mereka yang mendapat kad ataupun kelulusan tertentu dibenarkan membeli di kedaikedai ini.

Kalaulah kita dapat membina kedai-kedai harga patut ini di semua daerah, saya rasa ianya akan dapat memberi panduan kepada peniaga-peniaga di seluruh daerah dan penggunapengguna juga dapat mengetahui keadaan sebenar harga barangan ketika ini.

Jadi kalaulah peniaga-peniaga mengenakan harga yang tinggi, pengguna boleh menggunakan kedai-kedai harga contoh ini untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka dan insya-Allah saya rasa penindasan yang berlaku selama ini, yang berpunca daripada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab tadi akan mencapai ataupun akan dapat kita atasi dengan baiknya.

Tuan Pengerusi, Ahli Yang Berhormat, saya juga berpendapat bahawa pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh kementerian selama ini tidak berapa menyeluruh. Saya maklum bahawa di tempat saya sendiri iaitu di daerah Sik tidak pernah terdapat pemantaupemantau ini dan saya amat berbesar hati jika pihak menteri dapat menyatakan, sejauh manakah pemantauan yang telah dibuat setakat ini dan adakah 2,000 orang pegawai yang telah dimaksudkan itu telah diambil dan kalau diambil di mana mereka ini bertugas, kerana kita tidak pun pernah nampak atau berjumpa dengan mereka ini di mana-mana.

Jadi di bawah Butiran 030100 saya minta pihak menteri dapat melihat perkara ini dengan cara lebih serius, kerana apa yang berlaku hari ini kita nampak peniaga-peniaga terutamanya di luar bandar dan kawasan-kawasan yang terpencil telah mengambil kesempatan dari kelemahan kita di dalam pelaksanaan ini, menindas pengguna-pengguna yang secara kebetulan pula hari ini semakin tertekan dengan kejatuhan harga-harga komoditi utama di negara kita seperti getah, kelapa sawit, dan juga komoditi lain yang turun harga menyebabkan mereka ini cukup susah dan memerlukan pembelaan daripada kementerian Yang Berhormat. Terima kasih
Tuan Pengerusi.

Tinggalkan komen