MP PKR Machang: Bahas Peruntukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

19 November 2008:

Ahli Parlimen Machang membahaskan peruntukan Kemneterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 19 November 2008

Teks penuh:
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Pada peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, saya mohon menarik perhatian kepada tiga perkara.

Pertamanya, Butiran 050000 – Perbadanan Harta Intelek. Saya mohon kementerian dapat memberikan penjelasan setakat manakah kempen untuk promote public awareness yang dijalankan bagi menerangkan tentang kepentingan harta intelek. Mempatenkan harta intelek ini adalah merupakan tahap akhir kepada satu hasil penyelidikan. Sekian banyak perbelanjaan yang kerajaan peruntukkan untuk penyelidikan. Hasil akhirnya adalah ianya dipatenkan. Itu yang kita faham.

Jadi, setakat ini bolehkah kementerian terangkan berapakah jumlah produk yang telah dipatenkan? Sama ada ia merupakan produk ataupun design ataupun apa dan berapa banyak? Bolehkah diberikan pecahan mengikut sektor-sektornya? Maklumat ini penting saya fikir untuk memberikan justifikasi terhadap perbelanjaan di bawah penyelidikan di dalam buku anggaran ini.

Saya teliti satu-satu kementerian, jumlah bajet penyelidikan yang kerajaan peruntukkan ialah sebesar RM546 juta. Sangat besar. Jadi sudah tentulah kita hendak tengok kejayaan hasil penyelidikan sama ada yang dijalankan oleh universiti ataupun agensi-agensi penyelidikan yang dipatenkan mengikut Akta Paten 1983.

Ini adalah sebab semakan saya mendapati di bawah perkara Permohonan dan Pendaftaran Paten dan Inovasi Utiliti ini Yang Berhormat Menteri, jumlah permohonan yang diterima sehingga setakat ini daripada tahun 1988 waktu paten ini dikuatkuasakan ataupun dijalankan sampai sekarang, di Malaysia ini permohonan yang diterima 6,037 dan didaftarkan cuma 1,144.

Angka ini sebenarnya sangat kecil dan ini berkaitan dengan fungsi Perbadanan Harta Intelek, antaranya mendukung objektif untuk mempromosikan kesedaran publik tentang kepentingan program harta intelek ini, itu yang pertama.

Kedua, di bawah 030000 – Konsumerisma. Ada dua perkara di sini saya hendak sentuh, kementerian atau pun kerajaan pernah bukan pernah telah pun bagi kontrak kepada Teras Kimia Sdn. Bhd. yang pengerusinya juga adalah orang penting kepada Northern Corridor yang juga rapat dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Saya pernah membangkitkan persoalan ini kepada Yang Berhormat Menteri, waktu itu jawapannya ialah syarikat Teras Kimia Sdn. Bhd. ini menjalankan fungsi utamanya ialah bagi mengesan penyalahgunaan subsidi diesel.

Ada 10 bilion liter diesel yang menelan bajet RM10 bilion dan Teras Kimia Sdn. Bhd. diberikan kuasa
ataupun diberikan kontrak oleh kerajaan dalam tempoh selama lima tahun untuk membuat sampling bagi diesel subsidi yang disalahgunakan oleh sektor-sektor yang tidak sepatutnya menikmati kerana perbandingan harga dengan negara jiran yang menyaksikan harga kita lebih rendah berbanding negara jiran.

Jadi, hari ini ketika Yang Berhormat Menteri telah pun beberapa kali mengumumkan penurunan harga diesel, apakah kementerian masih lagi terikat untuk memberikan Teras Kimia Sdn. Bhd. ini kontrak ini kerana jumlah yang saya catat daripada jawapan Menteri tempoh hari, bayaran yang telah kerajaan berikan kepada syarikat ini setakat jawapan diberikan tempoh hari adalah lebih daripada RM160 juta untuk kontrak lima tahun, berapa besar sebenarnya saiz kontrak itu.

Berapa efektif peranan yang dimainkan oleh Teras Kimia Sdn. Bhd. ini dan apa lagi rasional untuk kerajaan teruskan pemberian kepada syarikat ini ketika kejatuhan harga diesel yang telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri.

Kedua, ialah saya meneliti laporan audit. Walaupun di bawah item Jabatan Perdana Menteri berkenaan dengan Halal Hub. Tetapi, ada syor di sana oleh Jabatan Audit Negara berkenaan dengan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang boleh dijadikan sebagai pegawai guna sama untuk bukan sahaja mengesan amalan peniaga yang meletakkan tanda harga yang salah atau tidak sepatutnya menjual pada harga yang mahal dan sebagainya.

Makanya, pegawai penguat kuasa kementerian menjalankan peranan itu. Tetapi, dalam syor itu bagi memastikan pula aspek halal di dalam sesetengah barangan. Syor yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara yang terbaru ialah supaya pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu diberikan hak dan diperturunkan kuasa juga untuk memantau dan mengesan kes-kes berkaitan dengan isu halal.

Ya, itu saya mohon maklum balas, setakat manakah ianya telah dilaksanakan atas cadangan yang saya fikir praktikal. Sekian, terima kasih.

Tinggalkan komen