MP PAS Kubang Kerian: Bahas usul potong gaji Menteri Pelajaran

26 November 2008:

Ahli Parlimen Kubang Kerian membahaskan usul di bawah peraturan 66 (9) daripada DAP Serdang mencadangkan memotong gaji Menteri Pelajaran, 26 Nov. 2008.

Teks penuh:
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Pengerusi kerana mengizinkan juga saya untuk membahaskan usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Serdang. Tuan Pengerusi, yang luhur itu budi, yang indah itu bahasa. Bahasa jiwa bangsa.

Saya mengambil bahagian ini untuk sekali lagi menegaskan dan mengharapkan supaya Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil suatu pandangan yang serius terhadap hujah-hujah yang kami kemukakan. Saya juga merasakan dan mendengar sebentar tadi bahawa hujah-hujah kami yang berada di sebelah sini telah merentasi dengan izin transcend untuk kebaikan dan kepentingan negara dan juga seluruh rakyat dalam negara ini.

Saya mengambil sudut bahawa daripada bahasa itu sendiri yang mesti diperkukuhkan dan negara kita yang bernama Malaysia ini sejak kita merdeka 50 tahun ditakdirkan hadirnya masyarakat majmuk dan perlembagaan negara itu sendiri mengizinkan supaya bahasa-bahasa yang lain itu berkembang, progresif dan diperkasakan dan peruntukkan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu bahasa Melayu itu telah jelas dalam Perkara 152.

Saya juga bersetuju dengan rakan saya, Yang Berhormat Parit Buntar tadi. Saya juga seangkatan dengan Yang Berhormat Timbalan Menteri yang sekarang ini diberikan peluang dan rezeki untuk menjadi
Timbalan Menteri.

Saya masih ingat juga ucapan penangguhan beliau pada waktu itu yang bersama kami untuk mengembalikan di atas roh dan semangat yang sama minta supaya Kementerian Pelajaran membuka ruang dan peluang di atas hujah bukan di atas sentimen. Bukan di atas prasangka ataupun di atas kepentingan politik tetapi berkongsi pengalaman pada waktu itu untuk mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik itu dalam bahasa kebangsaan.

Ini saya rasa satu peluang yang cukup baik. Alhamdulillah sebagai contoh University of Beijing baru-baru ini telah mempelawa seorang tokoh bahasa kita iaitu Dr. Awang Serian untuk mengajar dan mempelopori pengajian bahasa Melayu di University of Beijing. Ini suatu penghargaan kepada negara bagaimana negara China yang ada pada hari ini memberikan ruang ini.

Cuba kita lihat Tuan Pengerusi, saya dan rakan-rakan yang lain mungkin berpeluang untuk hadir dalam banyak program-program yang melibatkan diplomat daripada luar negara. Saya difahamkan Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan Rusia sekiranya mereka mahu menghantar para diplomat mereka ke dalam negara kita di Rantau Asia Timur Jawa ini, mereka diberikan kursus dan diberikan latihan yang secukupnya sama ada mereka boleh fasih berbahasa Indonesia ataupun dalam bahasa Melayu Malaysia.
Ini suatu yang diktator pada zaman abad ke-21 ini.

Negara besar lain belajar bahasa kebangsaan kita untuk apa? Untuk mereka lebih maju ke hadapan. Melahirkan para diplomat world class dan menguasai pelbagai bahasa. Tiba-tiba kita masih tidak mahu menerima hakikat bahawa komitmen kerajaan yang ada pada hari ini yang masih mahu mengekalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini adalah satu langkah you are ten years behind time. Sepuluh tahun terkebelakang.

Saya teramat kesal ada di kalangan kita yang ada pada hari ini mengatakan bahawa kita meremehkan dan memperlekehkan kajian-kajian yang dibuat oleh cerdik pandai kita.

Jangan kita menghina hatta profesor mana pun. Mereka berdiri atas sifat akademik mereka. Mereka berdiri di atas sifat intelektual mereka. UPSR adakah satu universiti yang kita boleh perlekehkan begitu saja? Dewan Bahasa dan Pustaka yang ada pada hari ini yang telah membuat kerja-kerja penterjemahan di peringkat awal.

Saya berdiri di sini tidak payahlah Tuan Pengerusi untuk saya mengagungkan pemimpin-pemimpin kami. Nanti orang kata masuk bakul angkat sendiri. Akan tetapi saya merasakan telah sampai masanya dipihak sana, dipihak UMNO dan Barisan Nasional kembali kepada apa yang diperjuangkan oleh Tun Razak sendiri.

Pada zaman itu lahirnya UKM. Suatu batch mark, suatu mercu tanda yang membuktikan bahawa bahasa kebangsaan yang mampu untuk menjadi bahasa ilmu yang standardnya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain. Doktor-doktor yang dilahirkan oleh UKM apa kurangnya?

Mereka menggunakan bahasa Melayu dan kita mengalu-alukan bahasa-bahasa yang lain terus subur dan diajar di sekolah sama ada di SRJK(C) ataupun di SRJK(T). Saya rasa kita perlu kepada Malaysia yang progresif pada masa akan datang. Bukan Malaysia yang kita mundurkan kembali dan kita balik kembali sebelum zaman datangnya British dan datangnya Jepun.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, mohon penjelasan sikit.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Balik Pulau, Yang Berhormat.
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, saya terpanggil untuk memohon penjelasan daripada Yang Berhormat Kubang Kerian. Setahu saya sejarah perjuangan bahasa di negara ini bukan saja merujuk kepada keringat pejuang-pejuang. .Malah, kebanyakan pejuangnya di kalangan pejuang-pejuang Melayu di kalangan orang-orang UMNO dan tokoh pendidik yang saya rasa ada yang masih lagi hidup hingga hari ini.

Suatu ketika bahasa Melayu dikatakan bahasa rasmi. Kemudian dinaikkan taraf menjadi bahasa kebangsaan. Jadi saya rasa ini satu perjuangan yang telah mengangkat harakat bangsa dan bahasa ke satu tahap yang tinggi sehinggalah kes-kes seperti kes-kes Merdeka Universiti itu pun gagal di peringkat mahkamah agung kerana ada asas perlembagaannya dan ada asas dasar pendidikannya.

Jadi saya mohon penjelasan. Sekiranya begini asas negara ini dibina, kenapa perlu diskusi bahasa penggunaannya hanya bersifat perkara dengan izin convenient tanpa melihat kerangka-kerangka yang telah diperjuangkan selama ini. Mohon penjelasan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya, oleh kerana rakan saya Yang Berhormat Balik Pulau seorang peguam yang lebih arif daripada saya dalam memahami perlembagaan. Apa yang kita perjuangkan pada hari ini tidak pernah terkeluar daripada kerangka perlembagaan. Kalaulah kita yang ada dalam Dewan ini tidak menghormati perlembagaan ini, siapa lagi? Siapa lagi?

Perkara yang kita pertaruhkan sebagai dasar yang kita perjuangkan dan pertahankan bersama. Sebab itu Tuan Pengerusi, apabila pengajaran Sains dan Matematik ini diajar dalam bahasa Inggeris dahulu juga diperbahaskan dan didebatkan dalam Dewan yang mulia ini, pandangan para-para cendekiawan, pandangan tokoh-tokoh bahasa dan pandangan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka diperlekehkan, diremehkan dan yang menjadi mangsanya ialah siapa?

Yang menjadi mangsa kepada kerakusan ini siapa dia? Anak bangsa kita sendiri. Kalau kita boleh berbangga kita hari ini boleh berbahasa Inggeris ataupun kita boleh bercakap lebih daripada satu bahasa, itu bukan bermakna kita memartabatkan bahasa lain dan kita menganaktirikan bahasa kita sendiri. Orang Jepun belajar daripada bahasa Inggeris. Mereka menterjemah buku-buku Inggeris sejak daripada zaman Maharaja Meiji lagi. Perjuangan yang bukan sehari. It is a long work. Akan tetapi dengan iltizam bangsa mereka untuk maju, bukubuku itu diterjemahkan dalam bahasa ibunda mereka dan dipelajari.

Hari ini saya menyebut tentang Den Xioa Peng yang dianggap bapa reformasi bangsa Cina. Dia bercakap untuk memartabatkan dan menjadikan Cina hari ini yang sepuluh tahun akan datang akan menguasai dunia. Akan tetapi dengan bahasa mereka. Dengan kekuatan bahasa Mandarin mereka dan bukannya memartabatkan bahasa yang lain.

Kita hari ini terbalik. Kita songsang iltizam kita surut ke belakang dengan kita tidak sedar dan tidak mahu belajar. We never learn daripada bangsa-bangsa yang maju ini yang menjadikan bahasa mereka menguasai dunia. Tidak malu bahasa mereka merentasi lautan. Kita beri kereta recon pada hari ini.
Daripada Jepun. Toyota ataupun Honda. Manual mereka ditulis dan dicetak dalam bahasa mereka.

Mereka tahu kereta mereka merentasi Lautan Pasifik, mereka faham, mereka sedar kereta mereka merentasi Lautan Atlantik, ke Amerika, ke Jerman, ke Malaysia tapi mereka menulis manual itu dalam bahasa ibunda mereka. Tidak malukah kita?

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan, penjelasan, boleh?
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tapi jangan marah-marah. [Ketawa]
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat.
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Tuan Pengerusi, terima kasih kepada Yang Berhormat Kubang Kerian. Saya tidak marah kalau orang tidak menghina saya. Saya cuma react pada orang yang tidak tahu dihormati, Yang Berhormat pandai menghormati orang, saya juga hormat kepada Yang Berhormat.

Saya kagum dengan pendirian Yang Berhormat begitu patriotik terhadap perjuangan bahasa. Saya memuji, saya sanjung tetapi selain daripada tutur kata yang begitu muluk-muluk, bukan Tajul Muluk tetapi muluk-muluk, cantik, terpesona orang yang mendengarnya. Kenapa Yang Berhormat tidak mampu bersuara apabila bahasa Melayu diperkotak-katikkan oleh rakan dalam Pakatan Rakyat di Pulau Pinang? Kenapa suara yang berdegar-degar ini tidak kedengaran? Di mana? Di mana hilangnya suara ini? Patriotisme ini? Merentas dunialah, merentas lautanlah, merentas itu, merentas ini, nak merentas jambatan Pulau Pinang pun tidak mampu. Sekian, terima kasih.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, boleh gulung Yang Berhormat.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih. Yang pertama bahasa Mandarin itu ditulis di papan tanda, di zon pelancongan yang diiktiraf oleh UNDP, oleh Bangsabangsa Bersatu. Ia tidak menghilangkan, hanya dua, tiga batang jalan raya sahaja. Satu yang berlaku di Bukit Bintang, adakah itu maknanya kita melempar jauh ke Laut China Selatan bahasa kebangsaan? Adakah itu maknanya kita memperlekeh bahasa kita sendiri? Kalau dibandingkan dengan iltizam, kerajaan dulu yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Adakah itu maknanya? Oleh itu bagi saya…
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, gulung Yang Berhormat.
Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sikit, saya minta sedikit penjelasan daripada Yang Berhormat Kubang Kerian. Apa pandangan Yang Berhormat Kubang Kerian berkenaan dengan penggunaan “Precint” di Putrajaya.

Adakah itu bahasa Melayu yang diagungagungkan oleh orang UMNO? Kenapa Yang Berhormat Pasir Salak tidak bangun mempertahankan bahasa Melayu dalam isu ini? Bagaimana penjelasan?

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Tanya sikit.
Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Habiskan Yang Berhormat ya.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Adakah Yang Berhormat bersetuju tentang penggunaan bahasa Mandarin di Pulau Pinang itu ataupun di tempat-tempat lain? Yang Berhormat bersetuju tak?

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Pada saya, jelas itu dasar.
Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Penjelasan. Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Adakah Yang Berhormat sedar di Bukit Bintang khususnya di Jalan Berangan, yang mana Arab Street di mana selain daripada papan tanda jalan, ada bahasa kebangsaan dan juga ada bahasa Arab. Tidak ada masalah, di Pulau Pinang hanya tambah bahasa Mandarin atau bahasa Tamil atau bahasa Arab atau bahasa Jepun atau Korea untuk pelancongan. Untuk memberi kemudahan kepada pelancong-pelancong.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Cukup Yang Berhormat.
Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Ini salah satu, baru-baru ini di China, di China terdapat bahasa Mandarin dan juga bahasa Inggeris. Di mana-mana tempat di Beijing untuk menarik pelancong-pelancong. Ini adalah satu hakikat, satu konsep dunia. Apakah UMNO main-mainkan ini sebagai isu politik? Minta penjelasan.

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, cukuplah Yang Berhormat. Habiskan Yang Berhormat Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya Tuan Pengerusi, saya gulung. Orang kampung, rombongan bas pergi ke Putrajaya, mungkin daripada kampung saya sendiri pun, Hulu Terengganu, pening “Precint” itu apa dia.
Seorang Ahli: “Precint” apa dia?
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tapi this is not an issue, itu tidak menjadi isu.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Bahasa Mandarin tak peningkah?
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Itu menjadi satu yang telah tertulis di Putrajaya. Jadi jangan ambil isu itu dan compare dengan Pulau Pinang. Yang jelas dasar negeri Pulau Pinang hanya beberapa batang jalan raya saja. Di Bukit Bintang itu beberapa batang sahaja.

Dato’ Ismail bin Haji Abd. Muttalib [Maran]: Yang Berhormat…
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Jadi saya rasa itu bukan isunya. Isunya ialah saya rasa telah sampai masanya dengan iltizam kita semua melangkaui batasan politik sama ada daripada PKR, DAP, PAS, UMNO dan parti-parti yang lain termasuk Sabah dan Sarawak, telah sampai masanya kerajaan mengubah balik pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Sekian, terima kasih. [Tepuk]

Tinggalkan komen