MP PAS Sik: Bahas peruntukan Kementerian Pelajaran

26 November 2008:

Ahli Parlimen Sik membahaskan peruntukan Kementeri Pelajaran (peringkat Jawatankuasa) Dewan Rakyat, 26 Nov. 2008.

Teks penuh:
Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Timbalan Menteri, terlebih dahulu terima kasih kerana diberi peluang untuk menyampaikan atau menyertai perbincangan ini.

Pertama sekali saya hendak ambil tajuk B.41 010300. Saya hendak ambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kementerian kerana mungkin saya ini pembangkang, kawasan saya cukup jagalah. Tak ada sekolah yang tak elok, semua sekolah elok-elok. Terima kasih. Puji kena puji juga Tuan Pengerusi.

Yang keduanya, saya hendak pergi kepada tajuk B.41 010700 – Pengurusan Sumber Manusia berserta 030600 – Pengurusan Pentadbiran Negeri. Dalam hal ini, saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri dan juga pegawai-pegawai di kementerian kalau boleh duduk tenang-tenang dan kajilah kedudukan perjawatan sama ada di kementerian, di Jabatan Pelajaran Negeri ataupun di PPD serta sekolah. Ini kerana saya merasakan ada yang tak kena bila mana pada masa saya bertugas dahulu pengarah DG51 tetapi terdapat guru-guru di bilik darjah yang mendapat JUSA.

Hal ini berlaku hingga hari ini dan dengan pelaksanaan guru-guru pakar tadi, ianya menjadi lebih teruk. Walaupun ini merupakan satu galakan kepada guru-guru tetapi bagi pegawai-pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri, PPD yang mana jawatan pangkatnya lebih rendah adalah sukar untuk menegur guru-guru ini. Walaupun ada baiknya tetapi perkara ini perlu difikirkan kerana ianya menjatuhkan semangat pegawai-pegawai yang jawatan tinggi tetapi pangkatnya rendah, gajinya rendah daripada pegawai-pegawai di bawah.

Walaupun ini merupakan idea Perdana Menteri, saya rasa perkara ini perlu dikaji dan diselaraskan balik dan menambahkan minat guru-guru dari pegawai-pegawai hinggalah ke sekolah untuk bertugas dengan lebih yakin, dengan lebih bersemangat kerana mereka mendapat layanan yang baik.

Di bawah tajuk yang sama, saya juga masih mahu menekankan soal kemasukan pegawai-pegawai PTD JPA ke Kementerian Pelajaran, JPN dan juga PPD. Saya harap perkara ini dapat ditimbangkan semula, dikaji dan kalau boleh diberhentikan. Untuk pengetahuan Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Timbalan Menteri, golongan guru merupakan golongan pegawai kerajaan yang paling ramai melebihi 350,000 orang sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

Dari data ini kita yakin dan kita sedar bahawa peluang kenaikan pangkat untuk guru-guru ini amat sempit. Bila kerajaan menstrukturkan semula kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan juga PPD serta sekolah, beberapa jawatan kenaikan pangkat telah diwujudkan.

Guru-guru seronok, bangga tetapi apa yang berlaku sebahagian daripada jawatan naik pangkat tadi diambil alih oleh pegawai-pegawai di JPA dan PTD. Ini amat mengecewakan guru-guru. SMS, surat-surat yang saya terima banyak menyentuh soal ini.

Untuk pengetahuan Tuan Pengerusi, Yang Berbahagia Datuk Rafie Mahat dahulu mempertahankan supaya pegawai-pegawai ini tidak masuk dan bila dia tamat tempoh perkhidmatannya, orang lain terima kemasukan ini. Saya dimaklumkan bahawa sebelum Yang Berbahagia Datuk Rafie meninggal dunia, last wording ataupun kata-kata akhir yang dia buat ialah “Saya kesal”.

Dia meninggal dan itulah saya rasa sebelum orang lain meninggal lebih ramai lagi tariklah balik program ini, berhentilah. Pada pegawai-pegawai JPA pun peluang anda di bahagian lain cukup banyak. Jadi berilah peluang, kasihanilah guru-guru ini supaya mereka dapat berkhidmat dengan lebih baik, yakin dan dengan penuh semangat.

Perkara yang kedua, soal 030200 – Pendidikan Prasekolah. Kerajaan selalu menyebut, mentohmah bahawa prasekolah yang dijalankan oleh pihak swasta dan juga NGO tidak melaksanakan peranan ataupun berunsur menghasut. Apa yang saya hendak minta kalaulah begitu, kenapa Kementerian Pelajaran tidak menawarkan sekolah-sekolah ataupun kelas-kelas prasekolah ini di semua sekolah.

Kita tidak memberi peluang kepada anak-anak di luar bandar untuk mendapatkan didikan prasekolah di sekolah kerajaan tetapi kita tidak memberikan kemudahan kepada orang lain untuk menguruskan prasekolah ini.

Kalau kita tak mampu, apa salahnya kita memberi kemudahan kepada orang lain dan memberi bantuan kepada agensi lain untuk membuka prasekolah ini supaya anak-anak terutamanya di luar bandar mendapat pendidikan prasekolah. Sekarang ini sebahagian sahaja sekolah menawarkan prasekolah ini itu pun dengan kadar satu kelas. Kalau sekolah itu selalunya menerima murid tahun satu empat atau lima kelas, hanya satu kelas prasekolah diadakan. Jadi saya minta perkara ini diberi pertimbangan sewajarnya.

Perkara 030700 – Pendidikan Islam. Saya mohon juga supaya Kementerian Pelajaran dengan kerjasama JAKIM mencari jalan supaya kita memulihkan semula tulisan jawi. Kita memulihkan semula kelas-kelas agama di sekolah-sekolah agama rakyat. Sepatutnya kita timbulkan juga tadi semasa membincangkan SJK(C), SJK(T) kerana kedudukan sekolah-sekolah SAR ini dalam perlembagaan samalah dengan sekolah tersebut.

Jadi saya mohon Kementerian Pelajaran memberi pertimbangan dalam hal ini kerana Ahli-ahli Yang Berhormat dan Tuan Pengerusi sedia maklum soal akhlak pelajar-pelajar hari ini begitu merosot. Hanya pendidikan Islam sahaja yang dapat menyelesaikan masalah ini. Jadi kita harus timbangkan balik, kita bagi balik per kapita yang pernah kita berikan kepada sekolahsekolah SAR, sekolah-sekolah agama rakyat.

Cukuplah ya kerana apa yang kita lakukan itu amat menyeksa kerana sebahagian daripada sekolah-sekolah agama rakyat tadi telah pun ditutup ataupun merosot kerana tindakan kerajaan menarik balik per kapita yang diberikan kepada mereka.

Mengenai sekolah kluster. Hari ini sekolah kluster dipilih dari sekolah-sekolah ternama. Kalau konsep ini kita laksanakan, bermakna sekolah-sekolah kluster ini akan tertumpu di kawasan-kawasan tertentu di negeri-negeri tertentu. Pada pandangan kami, sekolah kluster ini haruslah diwujudkan. Dengan lain perkataan, kerajaan mewujudkan sekolah-sekolah kluster ini di semua daerah dengan diberi segala kemudahan kerana dengan cara itu sahajalah peluang yang sama dapat kita berikan kepada semua murid sama ada di bandar atau di luar bandar.

Kalau tidak, memanglah sekolah-sekolah yang baik itu duduk di bandar, diberi segala kemudahan. Saya rasa satu perkara yang tidak adil kepada sekolah-sekolah lain. Kalau sekolah-sekolah luar bandar pun diberi peluang, diberi kemudahan, diberi bantuan, saya rasa insya-Allah sekolah itu juga akan mencapai taraf sekolah kluster sebagaimana yang dikehendaki.

B.41 04000.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, tinggal seminit lagi Yang Berhormat.
Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Bagi chance lah dua minit Tuan Pengerusi.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Jangan macam itu Yang Berhormat. Tak ada tawar-menawar Yang Berhormat. Ini bukan…

Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [Sik]: Ya, boleh. Saya menyokong usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan profesionalisme guru tetapi perkara yang selalu dilupakan oleh pihak kementerian ialah bila kita memberi kebenaran kepada guru-guru untuk melanjutkan pelajaran, kita lupa murid di sekolah. Terdapat sekolah yang tujuh hingga lapan orang guru pergi melanjutkan pelajaran meninggalkan murid terkapai-kapai. Walaupun ada guru ganti tetapi hasrat untuk memberi pendidikan yang sempurna tidak dapat kita capai.

Akhir sekali di dalam perluasan program baru, saya mintalah kita ambil iktibar dari apa yang berlaku dalam pelaksanaan PPSMI. Tanpa kajian teliti PPSMI telah dilaksanakan dan Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri telah dengar perbincangan tadi, bila mana dilaksanakan ianya banyak memberi keburukan daripada kebaikan yang kita harapkan. Saya ingat memandangkan masa, terima kasih Tuan Pengerusi.

Tinggalkan komen