MP PAS Kubang Kerian: Majlis Perundingan Ekonomi perlu ditubuh segera

11 Mac 2009 – Perbahasan Usul (Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009)

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk bersama-sama membahaskan pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah RM60 bilion sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri semalam.

Dengan penuh tanggungjawab, saya dan rakan-rakan dalam PAS khususnya, termasuklah rakan saya tadi Yang Berhormat Pokok Sena telah menghulurkan tangan bagi kita berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk sama-sama kita membangunkan ekonomi negara apatah lagi dalam keadaan kita menghadapi krisis ekonomi di peringkat global. Saya…

Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said [Kuala Krau]: Mohon penjelasan ya, Kuala Krau.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tak start lagi.
Dato’ Haji Ismail bin Haji Mohamed Said [Kuala Krau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, saya ingin jawapan yang seikhlasnya daripada Yang Berhormat Kubang Kerian kenapakah semasa pembentangan bajet rangsangan kedua semalam ramai kawan daripada pembangkang tidak berada di dalam Dewan termasuk daripada Pakatan Rakyat ada dua tiga orang, PAS ada dua orang. Apakah sebabnya? Cuma DAP sahaja yang ramai datang. Jadi seikhlas yang mungkin kalau hendak bersama-sama kita memantapkan ekonomi dan menangani masalah ekonomi di dalam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Kubang Kerian. Tak payah respons kepada itu. Ahli Yang Berhormat, walaupun pada ketika ini tidak ramai yang ada janganlah terlampau tidak mengendahkan peraturan mesyuarat. Dalam sesi minta penjelasan itu yang harus kita buat sewaktu kita bangun minta penjelasan, kesamaran hujah yang dibuat oleh Yang Berhormat sedang berhujah. Ini belum berhujah pun sudah minta penjelasan dengan perkara yang tidak kait-mengait dengan perbahasan. Elakkanlah itu. Perkara-perkara yang menyentuh dengan soal-soal politik luar sana janganlah bawa di dalam ini. Banyak lagi perkara yang kita bincang yang mustahak. Sila Yang Berhormat. Tak payah respons kepada itu.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Untuk sahabat saya Yang Berhormat Kuala Krau saya hendak jawab tetapi nasihat Tuan Yang di-Pertua saya sangat hormat. [Ketawa] Jadi kalau hendak jawapan jumpa saya di luar Dewan.

Tuan Yang di-Pertua: Yang saya khuatir Yang Berhormat bila Yang Berhormat jawab itu ada lagi penjelasan ekoran daripada itu. Selepas itu ada lagi penjelasan selepas itu dan ini sudah cukup diperjelaskan di luar dan mendapat liputan akhbar yang cukup luas.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua di atas nasihat yang cukup bernas itu.

Pandikar Amin nama diberi,
Lagi kecil sudah terpuji,
Sopan-santun lemah bestari,
Manis dipandang berseri-seri.
[Ketawa]

Tuan Yang di-Pertua: Yang itu Yang Berhormat, pujian pun tak dibenarkan peraturan mesyuarat. [Ketawa]
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ini anggota Jawatankuasa SPRM ini. Mana boleh puji. [Ketawa]
Tuan Yang di-Pertua: Sila teruskan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya teruskan. Sebenarnya kita serius dalam kita menghadapi krisis ekonomi ini dan saya rasa rata-rata Ahli-ahli Yang Berhormat yang berucap khususnya bagi kami di pihak sini kita memberikan pandangan-pandangan yang membina dan kita mencadangkan pelbagai cadangan alternative terhadap bagaimana pakej ini yang pentingnya perlu sampai kepada golongan sasaran.

Tuan Yang di-Pertua, RM6 bilion yang disebut oleh Yang Amat Berhormat semalam kalau kita perhatikan betul-betul adalah merupakan 8% daripada GDP dan ini merupakan satu jumlah yang sama ada dengan izin at the end of the day akhirnya besok akan sampai kepada rakyat adalah terpulang kepada iltizam kita yang berada di dalam Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua, kalau rakan saya tadi Yang Berhormat daripada Pokok Sena dan lain-lain termasuk Yang Berhormat daripada Jelutong dan Yang Berhormat Bukit Bendera saya rasa yang pakar dan banyak menulis sebelum mereka hadir di dalam Dewan yang mulia ni juga telah banyak menulis sama ada dalam majalah-majalah seperti The Edge majalah yang cukup tersohor.

Saya merasakan bahawa negara telah sampai kepada tahap memerlukan ikut pandangan saya dan saya mencadangkan pada hari ini supaya suatu majlis perundingan krisis ekonomi negara perlu untuk ditubuhkan dengan segera dan sebagaimana yang pernah berlaku dlm sejarah Tuan Yang di-Pertua bahawa kerajaan dahulu pernah mempelawa kami PAS dalam MAPEN dan kita telah menghantarkan tiga tokoh pada waktu itu termasuklah Yang Berhormat daripada Shah Alam untuk memberikan pandangan-pandangan kita kepada kerajaan dan pada waktu itu kita bersedia untuk melupakan seketika pertelingkahan politik kita dan kita menjurus kepada bagaimana pada waktu itu kita memberikan pandangan kita dan kita duduk dalam MAPEN. Akhirnya terpulanglah kepada kerajaan pada waktu itu untuk menerima atau tidak pandangan-pandangan yang pernah kita berikan.

Ini bermakna bahawa pernah tercatat dalam sejarah bahawa kerajaan dan pembangkang pernah duduk semeja dan pada hari ini saya merasakan telah sampai masanya kalau benarbenar pelawaan daripada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan yang mahukan kita memberikan sumbangan kita ayuh dengan segera saya kira kabinet dalam mesyuarat minggu depan memutuskan satu majlis atau namakan apa sahaja.

Majliskah, jawatankuasa bertindakkah sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Pokok Sena tadi atau apa sahaja untuk segera kita mengemukakan pakar-pakar kita. BN ada ramai pakar dalam kerajaan, dalam PKR, DAP dan PAS kita juga punyai kepakaran kita untuk kita duduk semeja dan kita melahirkan idea-idea yang baik untuk negara kerana bagi saya RM60 bilion ini adalah merupakan 8% daripada GDP yang kita mesti memastikan bahawa rakyat mesti mendapat manfaat ini.

Saya juga suka mencadangkan Tuan Yang di-Pertua bahawa majlis ini akan berperanan paling tidak pun kepada tiga perkara pokok. Tiga perkara utama yang cukup asas untuk kerajaan menilai semula secara serius bagaimanakah kita mahu menangani masalah ini yang walaupun kita boleh memberikan alasan apa yang berlaku di Malaysia ini, negara ini adalah akibat daripada apa yang berlaku di peringkat global tetapi kita mesti punya cara kita sendiri dan kita mesti punya iltizam kita sendiri bagaimana kita seharusnya mengatasi masalah ini secara bijak dan bagaimana kita harus menyampaikan dalam bentuk delivery system dengan izin tadi supaya rakyat sebagai end result itu mendapat manfaatnya.

Tuan Yang di-Pertua, yang pertama saya mencadangkan majlis ini supaya membincangkan tentang bagaimana seharusnya kita kembali kepada apa yang pernah dikatakan oleh pakar-pakar ekonomi dunia iaitu back to the fundamentals of economy. Kalau kita perhatikan bahawa Amerika Syarikat pernah menghadapi zaman yang cukup serius tahun 1969 yang dinamakan Wall Street Crash. Ia pernah berlaku pada dunia yang maju dan sekarang kita mengakui bahawa dan rakan-rakan juga tadi menyebut secara serius dengan fakta bahawa kita gagal untuk mencium, we failed to smell dengan izin Tuan Yang di-Pertua yang dua tahun yang lalu sepatutnya kita telah mengorak langkah dengan penuh tangkas dan bijak.

Kalau kita dapat membuat satu unjuran pendapatan negara yang berdasarkan pendapatan negara pada waktu itu sudah tentu kita tidak separah ini dalam menghadapi krisis walaupun alasannya kita masih boleh bersandarkan bahawa Amerika yang begitu maju pun mengalami masalah krisis kewangan ini.

Saya mencadangkan Tuan Yang di-Pertua pertamanya supaya kita review semula sumber-sumber pendapatan kita. Hari ini harga minyak dunia setong tinggal pada paras average saya rasa USD35 satu tong. Ini satu pendapatan yang telah jauh merosot. Enam bulan yang lalu kita menikmati hampir USD140 setong sekarang sudah tinggal USD35 satu tong dan kemudian kita harus melihat secara jujur, secara komprehensif dan kita harus melihat secara holistik bagaimanakah hasil-hasil yang kita dapati daripada hasil komoditi yang terpaksa mengalami kemerosotan pada hari ini.

Kelapa sawit kita, harga getah kita dan juga kita melihat bagaimana nilai eksport kita dan sudah tentu kita melihat nilai import kita yang semuanya itu akan menggambarkan suatu dasar fiskal kerajaan kewangan negara sama ada dalam masa terdekat ataupun dalam masa tempoh jangka masa panjang.

Oleh itu Tuan Yang di-Pertua, majlis ini mesti bersidang dengan segera. Kita tidak boleh berlengah lagi. Maknanya sudah sampai masanya sama ada bermula daripada dua minggu akan datang saya mengharapkan supaya majlis ini menjadi suatu kenyataan.

Semua pihak boleh duduk di sana dan berbincang secara mikronya ataupun makronya bagaimana kita seharusnya menjana ekonomi ini yang insya-Allah kalau saya yakin kita penuh iltizam dan keikhlasan, kita boleh memberikan sumbangan yang besar. Kemudian Tuan Yang di-Pertua, kalau kita melihat tentang bagaimana dasar kerajaan terhadap pertanian.

Bila Negara-negara maju, saya perhatikan bagaimana pakar-pakar ekonomi Amerika yang telah mencatatkan pada tahun 2009 menghadapi wall straight crash ini dan akhirnya kita melihat Tuan Yang di-Pertua, pandangan-pandangan daripada pakar-pakar ekonomi mereka tetap mengatakan bahawa Dasar Pertanian Negara itu mesti dilihat sebagai satu asas yang paling fundamental dalam mengekalkan pertumbuhan ataupun apa juga yang menentukan dasar fiskal negara ini.

Maka dengan sebab itulah saya melihat Tuan Yang di-Pertua, dalam rangsangan pakej ekonomi ini, kita tidak melihat suatu portion ataupun suatu ruang yang kita melihat bagaimana kita serius untuk kita memastikan bahawa hasil pertanian kita ini mesti lebih maju dan lebih berinovasi pada masa yang akan datang. Kalau kita melihat Taiwan, Tuan Yang di-Pertua dan kalau kita melihat Thailand yang ada pada hari ini, bagaimana kita melihat padi mereka, sayuran mereka dan buah-buahan mereka, mereka telah jauh ke hadapan meninggalkan kita.

Pertumbuhan ataupun hasil mereka setiap tahun begitu memberangsangkan. Kita memang seharusnya mengakui teknologi makanan kita masih jauh ketinggalan. Maka dengan sebab itulah kita harus melihat perkara ini secara serius dan apabila majlis ini dapat bersidang bukan mungkin satu siri, dua siri ataupun tiga siri.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: [Bangun]
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Mungkin kita memakan masa setahun atau dua tahun supaya majlis ini dapat memikirkan cara yang terbaik bagaimana seharusnya kita menjana supaya aspek ataupun sektor pertanian kita ini dapat bersaing paling tidak pun dengan negara-negara jiran kita yang ada pada hari ini, Thailand mahupun Taiwan yang jauh ke hadapan dari segi mengekalkan pendapatan mereka yang berdasarkan kepada hasil pertanian.

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Saya mohon penjelasan sikit.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya, sila.
Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, saya tertarik dengan cadangan Yang Berhormat Kubang Kerian mengenai perlu dibentuk satu majlis. Saya mengandaikan bahawa keperluan itu dari segi aspek kebebasannya. Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat Kubang Kerian.

Adakah satu lagi aspek yang dikenali sebagai ketelusan itu ataupun dengan izin transparency juga merupakan satu kayu ukur kerana dalam hal ini seperti yang dibahaskan daripada pagi hingga sekarang ialah krisis yang dialami di negara kita ataupun di dunia bukan satu krisis yang teruk ataupun parah. Saya yakin tidak ada orang dalam dunia hari ini yang mampu secara yakin datang kerana kita ada solutionnya ataupun ada jawapannya.

Akan tetapi saya rasa apa yang rakyat tunggu sebenarnya bukan jawapan sahaja tetapi ketelusan dan keikhlasan yang perlu ada di dalam kerajaan yang bertanggungjawab.

Jadi saya mencadangkan sekiranya boleh diperjelaskan lagi, satu ketelusan di mana majlis yang dicadangkan oleh Yang Berhormat itu apa yang dikatakan publish what you pay or publish what you get. Maksudnya dengan izin apa saja perbelanjaan daripada pakej RM60 bilion itu mesti diterbitkan. Sekarang kita ada teknologi iaitu internat yang mana rakyat semua mempunyai akses kepada maklumat tersebut. Mohon penjelasan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih sahabat saya daripada Balik Pulau. Tuan Yang di-Pertua, saya bersetuju 100% dengan pandangan Yang Berhormat Balik Pulau tadi. Ekonomi ialah suatu perkara yang integrated. Satu faktor yang menyokong pembangunan ekonomi itu ialah satu yang integrated. Ia tidak boleh berdiri dengan sendirinya atas satu faktor sahaja. Maka, aspek ketelusan memang satu perkara yang sangat penting.

Di sinilah saya melihat dalam roh SPRM yang ditubuhkan itu. Saya merasakan dan kita juga menyokong tentang rang undang-undang itu walaupun dalam banyak pandangan, kita mahukan ada pindaan dan seumpamanya. Namun dari segi semangat dan roh itu, kita bersetuju bahawa everything must be put on the table dengan izin.

Semuanya diletakkan di atas meja dan tidak ada under table. Kalau ini pendekatan yang boleh kita realisasikan baik di peringkat kerajaan, agensi-agensi kerajaan dan termasuklah kerajaan negeri, saya merasakan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Balik Pulau tadi akan dapat mencapai matlamat yang semaksimum mungkin. Di atas input itu, saya ucapkan terima kasih.

Kemudian saya menyambung Tuan Yang di-Pertua, bahawa kita perlu melihat cadangan saya yang pertama tadi bahawa dengan kita melihat masalah ini secara keseluruhan, dengan izin kita must look at the big picture, dengan suatu gambar yang lebih luas. Maka dengan sebab itulah saya cukup yakin dan percaya bahawa bukan negara kita tidak punya kekuatan dan potensi ini. Kita ada sumber asli, kita ada sumber eksport kita dan kita ada suatu yang dikatakan region, satu daerah yang boleh dikatakan aman, bebas dan berkecuali. Ini adalah dalam konsep ASEAN.

Oleh itu kita boleh mencadangkan dan majlis ini boleh membincangkan bagaimana dalam bentuk jangka panjang yang berskala besar dalam menjana ekonomi ini, Malaysia boleh menjadi hab kepada industri petrokimia. Kenapa ini tidak boleh difikirkan? Saya rasa ini telah lama dibincangkan dan dalam Majlis MAPEN dulu pun, wakil-wakil PAS pernah mengutarakan perkara ini sebab region kita ini aman.

Region Timur Tengah Tuan Yang di-Pertua, kita maklum bahawa tidak aman. Campur tangan luar. Apa hasilnya kita melihat pada hari ini? Saya cukup yakin dan positif. Kita melihat apabila barat selepas post 9 September memberikan tekanan terhadap orang-orang Islam yang mahu masuk ke negara mereka. Maka, pelancong-pelancong daripada Timur Tengah ini datang ke Malaysia secara mendadak dan memilih Malaysia sebagai destinasi alternatif mereka.

Kita melihat pada hari ini, kalau dulunya Bukit Bintang sebagai contoh satu kawasan yang hanya dikenali dengan hanya dikunjungi mungkin oleh pelancong-pelancong daripada China tapi hari ini kita melihat satu inovasi telah berlaku di mana lorong-lorong seperti Bukit Bintang dan Petaling Street itu juga dikunjungi oleh pelancong-pelancong daripada Arab. Ini adalah dalam aspek pelancongan.

Kalau kita, Malaysia boleh menawarkan dengan satu kestabilan di rantau ini, kita boleh menjadikan satu daerah dalam negara kita sebagai hab kepada industri petrokimia ataupun kita boleh menjadi satu tempat untuk negara-negara Arab menyimpan minyak mereka dengan selamat dalam negara kita dan kita mewujudkan kilang-kilang penapis untuk mereka dan industri hiliran yang akan lahir Tuan Yang di-Pertua, cuba bayangkan betapa kita dapat melihat suatu potensi berskala besar yang mampu diraih oleh negara kita. Jadi saya rasa kalau kita serius dan ikhlas untuk melihat krisis ini yang bagi saya bukan kita mesti melihat saja pada hari ini tetapi dalam bentuk jangka panjang, saya rasa Malaysia sebagai sebuah hab kepada industri petrokimia ini akan dan boleh menjadi suatu kenyataan.

Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, saya mencadangkan supaya inovasi dalam bidang industri kecil ini juga diberikan suatu perhatian. Dunia hari ini berubah, Tuan Yang di-Pertua dengan inovasi melayari internat. Anak-anak kita tidak perlu lagi pergi ke cyber cafe. Dengan satu hand phone, inovasi yang dicipta oleh Nokia. Hari ini segala-galanya di sini. Muziknya di sini, video kameranya di sini dan telefonnya juga di sini. Dan mereka melangkah lebih jauh lagi.

Hari ini ada tempat-tempat kita melihat warung-warung telah bertukar menjadi cyber. White Coffee dan Coffee Bean yang kita dapat lihat. Ini inovasi yang datang dan kita melihat, perlu kita jana. Saya juga melihat di bawah sana terlalu ramai lagi anak-anak Malaysia sama ada mereka berbangsa apa pun yang telah lahir sebagai usahawan yang kalau kerajaan memberikan mereka suatu dana untuk mereka melanjutkan dan untuk mereka mengunjurkan lagi inovasi ini, saya rasa kita akan ada suatu pool, ada suatu kumpulan usahawan yang boleh bergerak pantas dan tangkas. Contohnya White Coffee dan Coffee Bean.

Hari ini kita ada lagi RFC Tuan Yang di-Pertua. RFC ini adalah Radix Fried Chicken yang hari ini telah ada dua tiga destinasi di Kedah, ada di Sungai Petani, ada di Alor Setar yang kita melihat dan saya melihat dengan mata sendiri bagaimana RFC ini benar-benar boleh menjadi alternatif kepada KFC. Kalau hari ini kita melihat, kita mahu memboikot KFC atas nama persaudaraan kita dengan umat Islam Palestin, kita boikot KFC, apa alternatif kita? Akan tetapi, hari ini kita telah punya alternatif. RFC bagi saya benar-benar telah boleh mengganti alternative kepada KFC di Malaysia.

Dengan ayamnya di bela di reban-reban yang bersih, yang diberikan makanan-makanan yang berasaskan kepada herba dan ini sudah tentu saya rasa satu potensi kalau kita jana dengan baik dan saya melihat kesemuanya ini, industri IKS ini kalau boleh kerajaan memberikan satu fokus yang saya rasa dana ini benar-benar sampai kepada mereka ini, saya cukup yakin dan percaya ekonomi kita mampu digerakkan dengan begitu pantas sebab kita mengambil pengajaran daripada Korea dan Jepun.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: [Bangun]
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya rasa Yang Berhormat Rompin bukan sekadar menjadi pakar pecah belah tetapi boleh membantu saya dari segi bagaimana satu konsep “semau undung” yang dijalankan di Korea Selatan yang ala DEB. Tuan Yang di-Pertua, kalau DEB 30 tahun gagal mencapai matlamatnya, tetapi saya menekuni konsep “semau undung” ini dalam masa 15 tahun sebenarnya industri IKS di Korea Selatan telah mampu mencapai matlamat di mana cottage industry ini telah menjana ekonomi negara kita. Saya beri Yang Berhormat Rompin dahulu, kemudian Yang Berhormat Pokok Sena.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Yang Berhormat Pokok Sena duduklah.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Bahagi dua.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya tertarik dengan pandangan Yang Berhormat, hujah-hujah yang baik bagi saya. Tahniah tetapi pada hari ini saya nampak ucapan Yang Berhormat berlainan sedikit. Adakah dengan prestasi Yang Berhormat yang akan keluar Harakah hendak menawarkan jawatan Naib kah Timbalan atau kah Yang Berhormat berdua hendak mencalonkan calon lain untuk Timbalan Presiden kah. Saya dengar dengar hendaknya pengesahan sahaja.

Tuan Liew Chin Tong [Bukit Bendera]: Yang Berhormat Rompin hendak jadi Menteri kah?
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Benarlah telahan Yang Berhormat Kubang Kerian bahawa Yang Berhormat Rompin ini pakar pecah belah, batu api yang paling kuat… [Ketawa] Okey, setuju kah Yang Berhormat dengan pandangan saya bahawa dalam pakej rangsangan ini, kerajaan tidak begitu fokus untuk melihat sektor-sektor atau pun industri-industri yang betul-betul boleh memberikan rangsangan kepada ekonomi negara kita ini.

Umpamanya saya beri contoh, saya pun baru sedar tadi bahawa dalam sector pelancongan, saya bukan menolak bahawa pentingnya soal pelancongan tetapi saya punya pemikiran bahawa dalam suasana krisis ekonomi ini sudah tentulah setiap orang hendak berjimat, tidaklah hendak pergi ke luar negara kalau di seluruh dunia berlaku krisis seperti ini sudah tentulah orang akan mengurangkan perjalanan mereka untuk menjimatkan perbelanjaan mereka.

Jadi, saya pun hairan macam kerajaan dalam pakej ini juga menyediakan satu peruntukan untuk sektor pelancongan antaranya ialah membangunkan infrastruktur di tempat tempat pelancongan. Padahal saya katakan bahawa di tempat-tempat pelancongan ini tidak perlu lagi dalam suasana krisis ini, infra yang baru. Infrastruktur yang ada itu sudah pun mencukupi cuma hendak service sahaja untuk memberikan lebih kebaikan, keindahan, kecantikan dan sebagainya. Maknanya, seolah-olahnya macam dia hendakkan sektor pembinaan, infra ini lebih banyak kepada sektor pembinaan, yang akhirnya boleh memberikan keuntungan jangka pendek kepada kepentingan-kepentingan politik tertentu. Jadi Yang Berhormat Padang Rengas dok tengok ini, dia bukan kawasan pelancongan yang cukup hebat.

Jadi, mungkin ada kroni-kroni mereka yang akhirnya mereka inilah yang akan mendapat tetapi sedangkan untuk jangka panjang kita lihat ia tidak akan memberikan kesan yang baik. Jadi sebab itu, setuju atau tidak setuju bahawa majlis kerjasama yang saya sebut awal tadi, Yang Berhormat Balik Pulau sebut itu patut ditubuhkan bukan sahaja untuk melihat kepada pelaksanaan RM60 bilion ini tetapi hendak review balik ini beberapa perkara yang saya rasa tidak menepati kepada perkara-perkara yang sedang kita hadapi.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Rompin ini Tuan Yang di-Pertua kita doalah. Selepas bulan tiga ini harap jadi menterilah… [Ketawa] Insya-Allah dan Yang Berhormat Padang Rengas juga kawan saya akan dinaikkan pangkat yang lebih tinggi lagi, insya-Allah.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih. Yang Berhormat Pokok Sena telah memberikan satu pandangan yang saya rasa boleh kita kongsi bersama secara jujur sebab itu saya sebut tadi pada the big picture, kita seharusnya tidak lagi melihat ekonomi negara ini dan seterusnya kita mencari penyelesaian secara mini bajet dan seumpamanya. It is a total revamp.

Kita perlu melihat secara keseluruhan. Paling tidak pun majlis tadi boleh melihat dalam jangka masa lima tahun, kita mengunjurkan pendapatan kita dan pandangan kita terhadap pendapatan negara dan dari situlah kita bertolak untuk kita melihat bagaimana kita seharusnya menyediakan bajet yang lebih relevan, yang lebih efisien. Kita mengharapkan supaya apa yang kita bincang itu rakyat akan mendapat manfaatnya.

Jadi, pandangan Yang Berhormat Pokok Sena itu sudah tentu saya akan ambil dan saya masukkan sebahagian dalam ucapan saya. Yang Berhormat Padang Rengas teruskan senyumaya sebagai exercise selepas forum ini… [Ketawa] Akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menegaskan bahawa cadangan saya yang akhir adalah supaya kita benar-benar serius terhadap bagaimana kita menyantuni, menyentuh dan juga mendekati anak-anak muda kita yang benarbenar berminat dalam bidang perniagaan ini. Saya rasa pendekatan hendak dapat bantuan projek kerajaan, hendak lihat isi borang UMNO atau tidak akan berlalu serta-merta.

Saya tidak kisah Tuan Yang di-Pertua, walaupun saya wakil rakyat di Kubang Kerian, bukan semua yang mengundi saya itu adalah merupakan orang-orang PAS. Kalau ada anak muda UMNO yang benar-benar berminat dalam bidang usahawan dan benar-benar telah mendirikan kilang sebagai contoh, maka berikanlah. Itu tidak ada masalah. Saya harap budaya supaya ada peruntukan, scan, ini ahli pembangkang, dihalang. Sedangkan mereka adalah anak muda yang cukup berpotensi, saya rasa ini satu amalan yang saya rasa kalau kita ingin melihat negara kita maju dengan penuh keikhlasan, amalan seperti ini saya rasa perlu kita hapuskan…

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: [Bangun]
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ada lagi?
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya setuju dengan saranan Yang Berhormat, hendak membela rakyat Malaysia, semua rakyat Malaysia. Kalau ada dalam Perlembagaan ada membantu bumiputera, kita bela bumiputera, saya setuju Yang Berhormat. Mungkin kerajaan Kelantan begitu tetapi tidak semua. Akan tetapi saya dengar di Kerajaan Pembangkang di Selangor yang bukan diketuai oleh PAS, saya dengar cerita kontrak Alam Flora, hendak buang semua kontraktor yang ada, dia kata kena masuk borang PKR dahulu.

Adakah Yang Berhormat setujukah itu? Kalau Yang Berhormat tidak setuju, mungkin giliran PAS pula menjadi Menteri Besar Selangor supaya apa yang disarankan oleh Yang Berhormat bukan sahaja dilaksanakan di Kelantan. Kelantan mungkin sekarang cakap, buat tidak. Tidak sepenuhnya tetapi …
Tuan Ooi Chuan Aun [Jelutong]: [Bangun]

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Akan tetapi…, apa pula Yang Berhormat Jelutong bangun ini. Tak kan Yang Berhormat Jelutong hendak bela Selangor pula. Pembantu?

Tuan Ooi Chuan Aun [Jelutong]: Tidak.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Adakah Yang Berhormat..
Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Ah, orang Selangor bangun pula. Supaya bukan sahaja dituduh belah sini Tuan Yang di-Pertua, yang belah sana kadang buat lebih teruk lagi. Kita sentiasa membaiki apa yang ada Yang Berhormat Menteri kan?
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Selalu dah.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Akan tetapi, yang barubaru ini lebih kasar, lebih ganas. Kata orang, saya dengar dalam internet sebenarnya. Saya baca malam tadi. Kami kena paksa, kalau kami tidak masuk borang PKR tidak boleh sambung kontrak kami. Ini di Selangor, saya dengar. Adakah Yang Berhormat setujukah kalau apa Yang Berhormat sarankan itu bukan untuk belah sini, memang kita buat pun Yang Berhormat Menteri tetapi yang belah sana, itu lebih teruk lagi…

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]
Beberapa Ahli: Memang buat pun.
Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Penjelasan.
Tuan Ooi Chuan Aun [Jelutong]: Minta penjelasan Tuan Yang di-Pertua. Cuma saya hendak pastikan yang Hansard itu mencatatkan rekod yang betul. Pulau Pinang sememangnya ialah sebuah negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat yang bukan PAS tetapi Alam Flora ini tidak beroperasi di Pulau Pinang. Itu sahaja. Terima kasih.

Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian. Apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Rompin tidak betul. Apa yang difahamkan oleh saya di Negeri Selangor khususnya di MPAJ semua kontraktorkontraktor yang dipakai semua UMNO ahli UMNO walaupun ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Saya difahamkan. Apa yang dikatakan Yang Berhormat Rompin tidak betul tidak benar.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Yang ini Yang Berhormat Peraturan Mesyuarat 37(1)(b) ini terlampau distretch begitu jauh sudah.
Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Yalah jauh-jauh malam ini [Ketawa] Yang Berhormat setuju atau tidak setuju bahawa saya baru dihubungi sebelum Asar tadi oleh beberapa orang kontraktor di negeri Kedah. Mereka risau dengan pakej rangsangan ini kerana ada beberapa perkara yang berkaitan dengan sektor pembinaan umpamanya sekarang ini telah berlaku di negeri Kedah iaitu mana-mana kontraktor yang memohon apa-apa pelaksanaan projek dia bukan sahaja kena pergi kepada SDO dia kena pergi dapatkan recommendation, cop ketua bahagian UMNO untuk membolehkan dia dimasukkan ke dalam senarai.

Senarai kontraktor yang akan diundi untuk mendapatkan projek. Ini masalah yang berlaku. Jadi nampak macam ketua UMNO bahagian ini sudah jadi macam Raja. Sudah jadi Raja. Jadi bagi saya bahawa saya bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat ini tidak sepatutnya amalan ini masih diwujudkan kerana ini akan merugikan masa depan negara kita.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Minta maaf. Peraturan mesyuarat. Tuan Yang di-Pertua, minta maaf sebab saya tengok ramai berminat hendak berucap tetapi Yang Berhormat Kubang Kerian sudah mengambil masa dekat satu jam. Besok…
Dato’ Kamarudin Jaffar [Tumpat]: Eh, tak sampai.
Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Besok masa amat terhad. Jadi saya mohonlah supaya yang lain juga diberi kesempatan untuk berucap. Terima kasih.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, saya pendekkan. Atas semua tadi Yang Berhormat Rompin, Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Pokok Sena, dan juga Yang Berhormat Bukit Bintang.

Tuan Yang di-Pertua saya anggota khas SPRM insya-Allah UMNO kah, PAS kah, PKR kah, DAP kah, kalau tidak betul kita akan ambil tindakan, insya-Allah. Jadi akhir sekali untuk saya menjana supaya IKS ini kita ada contoh. Kita ada contoh. Kalau kita serius tentang belia kita, usahawan kita dan kita letakkan dan kita letakkan mereka ini sebagai sasaran kita.

Tuan Yang di-Pertua, saya rasa kita kena ikut contoh bagaimana dalam masa singkat sahaja Profesor Muhammad Yunus daripada Bangladesh dengan Grameen Bank, pada mula beroperasi modal dia untuk memberikan skim agro kredit ini cuma USD67 juta sahaja Tuan Yang di-Pertua tetapi alhamdulillah dalam masa yang begitu singkat tidak sampai 15 tahun dananya telah mencapai hampir USD 80 bilion dan telah memberikan sumbangan termasuk kepada wanita-wanita yang membuat industri berasaskan buluh di Bangladesh dan tiga juta dalam rekodnya telah berjaya untuk menaik tarafkan golongan usahawan ini.

Saya rasa ini patut kita contohi. Kalau Bangladesh boleh buat dan dia berjaya dengan penuh iltizamnya dan Muhammad Yunus mendapat anugerah Nobel Prize daripada UNDP. Saya rasa kenapa tidak kita dengan prasarana, dengan modal, dengan revenue kita yang saya rasa cukup ini, saya rasa kita boleh untuk menjana ekonomi kita dengan lebih baik pada masa yang akan datang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.