MP PAS Hulu Langat: Ingin tahu status insinerator yang tidak beroperasi

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Mengenai incinerators yang ada di pulau-pulau, umpamanya Pulau Tioman, Pulau Langkawi dan sebagainya, bagaimana status sekarang dan di Bintulu yang tidak beroperasi?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Kota Melaka bangun lagi.
Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka]: Sedikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri atas jawapan itu. Saya ingin hendak minta penjelasan, adakah tapak pengurusan sisa pepejal ini di Sungai Udang yang dikatakan juga landfill, jika bukan incinerator.

Adakah ini juga landfill seperti sedia ada di Bukit Gelugor? Adakah sama dengan Sungai Udang?

Dato’ Seri Ong Ka Chuan: Mengenai dengan incinerator, sebenarnya incinerator yang kita pakai dalam pulau-pulau ini adalah satu jenis incinerator yang teknologinya belum mencapai kepada piawaian yang diperlukan. Maka sebenarnya tidak boleh diiktiraf sebagai incinerator yang sebenarnya.

Jadi ini cuma macam satu tempat pembakaran sampah sahajalah, tetapi kita akan kaji supaya ada teknologi yang lebih canggih boleh digunakan untuk incinerator generasi yang baru. Kalau ada, kita dapat bertemu dengan teknologi yang lebih boleh dipercayai, maka kita akan gunakan teknologi incinerator ini.

Berkenaan dengan tempat pelupusan sisa pepejal Sungai Udang, ia adalah jenis landfill tetapi adalah sanitary landfill. Bermaksud ia bukan landfill yang biasa. Ia akan dilengkapi dengan semua sistem tapisan dan sebagainya supaya pencemaran tidak akan berlaku dan kemudian ia penuh dengan loji pembersihan dan sebagainya. Maka ia adalah satu jenis landfill yang lebih lengkap dan lebih boleh dipercayailah.

Rujuk: Pencelahan Penggulungan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Seri Ong Ka Chuan, 30 Oktober 2008, ms 193-194

Tinggalkan komen